أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Sabtu, 2 Julai 2011

51. BERSUNGGUH MEMBINA JATIDIRI MUSLIM SEJATI

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :
قد نرى تقلب وجهك في السماء فلنولينك قبلة ترضئها فول وجهك شطر المسجد الحرام وحيث ماكنتم فولوا وجوهكم شطره وإن الذين أوتوا الكتب ليعلمون أنه الحق من ربهم وما الله بغفل عما يعملون
Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Ayat 144 surah al-Baqarah yang dibaca tadi mengingatkan kita bagaimana peristiwa perubahan arah qiblat daripada mengadap ke arah Masjid Aqsa di Palestin kepada Ka’abah di Mekah Mukarramah. Jika pada bulan Rejab lepas kita dingatkan dengan peristiwa Isra’ Mikraj di mana disebut secara jelas bagaimana perjalanan nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjdi al-Aqsa di Palestin maka dalam peristiwa perubahan qiblat daripada mengadap Baitul Maqdis kepada Ka’abah di Masjidil Haram yang berlaku pada bulan Sya’aban yang menunjukkan kepada kita bagaimana kuatnya ikatan antara kedua-dua masjid tersebut.
Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda diarahkan agar menghadap ke arah Baitul Maqdis dan ramai di kalangan penduduk Madinah waktu itu daripada golongan Yahudi di mana sememangnya qiblat mereka adalah Baitul Maqdis. Oleh itu kaum yahudi sentiasa mengejek dan mencerca nabi Muhammad s.a.w dan muslimin kerana mereka menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Cercaan dan ejekan yahudi ini agak memberi kesan mendalam terhadap umat Islam pada masa itu sehingga nabi berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu yang mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah di Mekah. Akhirnya selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w menghadap ke Baitul Maqdis, barulah Allah memerintahkan agar baginda menghadap ke Ka’abah.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah antaranya dalam ayat 145 surah Ali ‘Imran :
وما كان لنفس أن تموت إلا بإذن الله كتـبا مؤجلا ومن يرد ثواب الدنيا نؤته منها ومن يرد ثواب الآخرة نؤته منها وسنجزى الشــكرين
Maksudnya : Tiada suatu jiwa pun akan mati melainkan dengan izin Allah melalui suatu suratan yang telah ditetapkan. Sesiapa yang mahu habuan dunia maka Kami akan berikan kepadanya. Dan sesiapa yang inginkan pahala akhirat maka Kami juga akan anugerahkan kepadanya. Kami akan berikan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
Peristiwa pertukaran Qiblat ini memberi isyarat yang jelas kepada umat Islam agar kita mesti berusaha menjauhi amalan dan budaya hidup yang bercanggah daripada Islam yang sentiasa disogokkan oleh musuh Islam dengan pelbagai cara. Umat Islam mesti mempunyai jatidiri berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi sehingga kita mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada orang bukan Islam bukannya kita menjadi penghalang atau tembok yang mendinding orang bukan Islam daripada melihat keindahan yang ada dalam Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Umat Islam wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sehingga orang bukan Islam yang selama ini dimomokkan dengan gambaran jahat tentang Islam dan umatnya yang dipandang sebagai punca keganasan dan kemunduran dapat ditepis. Islam adalah agama yang menyucikan aqidah dan mencantikkan akhlak manusia dengan membersihkan diri daripada sifat dan sikap yang buruk serta menyuruh umat manusia agar tunduk patuh kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dalam setiap kelakuan. Islam bukan agama yang bersangkutan hati sahaja tetapi ia adalah sebuah agama yang lengkap. Islam juga bukan agama untuk kegunaan peribadi tetapi ajarannya mengambil berat tentang kehidupan masyarakat seluruhnya. Kegagalan umat Islam sendiri daripada menghayati suruhan agama dalam kehidupan seharian bukan sahaja menyebabkan diri mereka rosak malah turut memberi kesan kepada orang bukan Islam untuk memandang rendah kepada Islam. Sebab itulah Sayyidina Ali Karramallahu wajhah pernah memberi nasihat penting dengan katanya : “ Kenalilah muslim melalui Islam dan jangan kamu kenali Islam melalui muslim”. Pesanan berharga ini mengingatkan kita semua bahawa dalamilah Islam terlebih dahulu barulah seseorang itu dapat tahu siapakah orang Islam yang benar-benar menghayati Islam atau sebaliknya.

Siang Jumaat yang dikasihi,
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :
قال الرسول  : بَادِرُوْا بالأعْمالِ فِتَنًا كَقَطَعِ اللَّيْلِ المُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيَمْسِى كَافِرًا أَوْ يَمْسِى مُؤْمِنًاوَ يُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيْعُ دِيْنَهُ بِعَرَضِ مِّنَ الدُّنْيَا
Maksudnya: Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat kelam. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi kemudian di waktu petang dia sudah menjadi kafir atau seseorang yang masih beriman di waktu petang kemudian pada esok paginya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit daripada mata benda dunia.
Bila kita menyebut tentang Masjid Aqsa maka kita tidak lupa kepada penderitaan umat Islam di bumi Palestin. Pembunuhan dan kekejaman zionis yahudi terus berjalan sehingga hari ini di mana selain terus melakukan pembunuhan di Palestin, penculikan terhadap anggota kerajaan HAMAS pilihan rakyat disamping terus berusaha dalam meruntuhkan Masjid al-Aqsa. Begitu juga dengan kekejaman zionis yahudi yang membunuh ribuan rakyat Lubnan dalam masa 34 hari di mana akhirnya pengganas dunia yang dianggap mempunyai tentera dan senjata yang paling canggih di dunia terpaksa berundur dengan penuh kehinaan. Bila musuh Islam yang takut mati berdepan dengan pejuang Islam yang cintakan mati syahid maka biasanya musuh akan kalah dengan penuh kehinaan. Musuh Islam memang boleh dikalahkan walau sehebat mana pun persenjataan mereka dengan syarat hati umat Islam mesti bersatu atas wadah Islam dan melaksanaka segala syarat kemenangan. Sekiranya umat Islam sendiri tidak yakin dengan Islam, takut pada mati, terlalu mengejar dunia sehingga lupa akhirat, takut kepada musuh Islam lebih daripada takut kepada Allah ditambah dengan perbalahan sesama sendiri maka bagaimana kemenangan yang dijanjikan oleh Allah S.W.T dapat dicapai. Kalahnya musuh Islam kerana mereka berada dalam kesesatan tetapi sekiranya umat Islam sendiri hidup dalam dosa maksiat maka bagaimana kita mahu mencapai kemenangan di dunia dan akhirat. Sekiranya musuh Islam gila kuasa dan harta sehingga bertindak kejam tanpa perikemanusiaan membunuh umat Islam sesuka hati hanya berdepan dengan pemimpin umat Islam yang hanya seronok membilang harta dan menjaga kuasa maka selagi itulah rakyat akan ditindas tanpa pembelaan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada hari ini tanyalah diri kita sendiri samada sudah bersedia untuk mengorbankan jiwa dan raga untuk Islam atau kita lebih sayangkan dunia daripada agama. Lupakah kita pada amaran nabi bahawa orang Islam yang tidak pernah berazam untuk berjuang dalam mempertahankan Islam akan mati dalam keadaan jahiliah penuh kehinaan di dunia dan akhirat. Kuatkah semangat jihad kita sekiranya semangat untuk datang berjemaah di masjid atau surau pun masih lemah apatah lagi ke medan juang. Tinggikah semangat juang kita untuk berkorban sekiranya untuk memboikot barangan zionis yahudi, Amerika dan sekutu pengganasnya pun kita masih teragak-agak. Hebatkah semangat berkorban kita sekiranya untuk menghulur bantuan kepada saudara seagama yang ditindas pun masih banyak perkiraan. Ubahlah sikap dan kobarkan semangat jihad dalam diri ke arah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T sehingga tiada lagi perasaan cinta pada dunia dan takut pada mati.
Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يــأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجــهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: