أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 14 Januari 2010

157. SYAHID SAYYIDINA UMAR AL-KHOTTAB

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 78 surah an-Nisa’
أينما تكونوا يدرككم الموت ولو كنتم في بروج مشيدة وإن تصبهم حسنة يقولوا هذه من عند الله وإن تصبهم سيئة يقولوا من عندك . قل كا من عند الله فمال هؤلأ القوم لايكادون يفقهون حديثا ,
Maksudnya : Di mana jua kamu berada, kematian pasti akan datang kepadamu sekali pun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka beroleh kebaikan mereka berkata : “Ini adalah dari sisi Allah”. Dan jika mereka ditimpa bencana, mereka akan berkata :” Ini adalah dari (sesuatu yang nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (Wahai Muhammad) :” Semuanya itu adalah dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan(nasihat dan pengajaran.
Pada hari ini kita akan mengambil iktibar daripada kisah yang menyayat hati yang telah berlaku kepada Sayyina Umar al-Khottab. Sayyidina Umar al-Khattob iaitu khalifah yang kedua daripada khulafa' ar-rashidin. Beliau juga merupakan khalifah ar-rashid yang pertama gugur syahid(akhirat) akibat pembunuhan yang dilakukan oleh orang yang menjadi musuh dalam selimut kepada umat Islam. Sebagaimana kita semua maklum bahawa daripada kalangan Khalifah ar-Rasyidin yang empat itu hanya Sayyidina Abu Bakar Sahaja yang wafat kerana tua manakala mereka yang lain wafat kerana dibunuh oleh musuh. Sayyidina Umar semasa hidupnya samada sebelum memeluk Islam mahu pun selepasnya begitu terkenal dengan keberaniannya. Keberanian beliau diketahui oleh kawan dan lawan dan sebagai contohnya bagaimana semasa mahu berhijrah ke Madinah Munawwarah, beliau secara terang-terang memberitahu tentang penghijrahannya kepada kafir Quraisy yang berada di kawasan Ka'bah pada masa itu. Dengan pedang terhunus beliau menyeru : " Wahai kafir Quraisy! aku ingin berhijrah ke Madinah. Sesiapa yang ingin melihat isterinya menjadi janda dan anaknya menjadi yatim maka cubalah sekat penghijrahan Umar ini".
Pada zaman pemerintahan Umar juga, kita dapat lihat lebih luasnya penyebaran Islam dan juga pembukaan negara-negara Islam yang baru. Antara yang paling masyhur ialah apabila tentera Islam mampu membebaskan qiblat umat Islam yang pertama iaitu Masjid Aqsa di Palestin pada zamannya. Banyak lagi jasa yang telah dilakukan oleh beliau sepanjang hayatnya dan kehilangan beliau sukar dicari ganti. Kita juga menyaksikan bagaimana pada zaman beliau menjadi khalifahlah bermulanya penggunaan taqwim Islam berdasarkan peristiwa hijraturrasul S.A.W.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Beberapa hari sebelum terjadinya peristiwa yang menyayat hati ini, Abu Lu'luah seorang Majusi telah bertemu dengan beliau dan mengadu mengenai jumlah kharaj yang dikenakan ke atasnya untuk dijelaskan kepada tuannya iaitu Mughirah bin Syu'bah agak tinggi. Kadar jumlah yang terpaksa dibayar ialah 4 dirham setiap hari yang mana Sayyidina Umar yang mendengar pengaduan ini mengatakan bahawa jumlah itu agak bersesuaian dan tidak terlalu membebankan. Ini berdasarkan kepada pendapatnya hasil daripada beberapa kerja yang dilakukan. Sebenarnya Sayyidina Umar memang boleh mempertimbangkan rayuannya itu sebagaimana beliau berbuat demikian dengan mereka yang lain tetapi beliau tetap dengan pendiriannya bahawa kadar yang dikenakan tidak membebankan Abu Lu'luah. Apabila rayuannya itu tidak diterima oleh Sayyidina Umar maka dia terus berlalu dari situ dalam keadaan marah dan penuh perasaan dendam. Dia berniat dalam hati untuk membunuh Sayyidina Umar dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan niat jahatnya itu.
Akhirnya Sayyidina Umar mendapat berita mengenai niat jahat yang ingin dilakukan oleh Abu Lu'luah terhadap beliau. Beliau meminta pandangan Sayyidina Ali mengenai perkara ini lalu Sayyidina Ali berkata : "Adakah perlu kami mengawal engkau wahai Amirul Mukminin?". Jawab Sayyidina Umar dengan tegas : "Cukuplah Allah sebagai pengawal". Beliau tidak melantik pengawal khas bagi mengawal beliau daripada sebarang kemungkinan yang akan berlaku kerana beliau bimbang tindakan ini akan diikuti oleh khalifah selepas beliau nanti. Jika perkara ini berlaku akan menyebabkan orang yang dizalimi tidak lagi mampu menemui khalifah bagi mengadu sebarang masalah dengan mudah dan tidak payah melepasi pengawal terlebih dahulu.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Pada suatu hari ketika Sayyidina Umar bersama para sahabat yang lain ingin mendirikan solat Subuh, Abu Lu'luah turut sama masuk ke masjid dan berada dicelah-celah para sahabat yang lain. Dia membawa pisau yang bermata dua dan terus mara menuju ke arah Sayyidina Umar. Apabila telah hampir maka dia terus meluru ke arah Sayyidina Umar lalu menikamnya sebanyak enam tikaman yang mana antara sala satunya terkena dibahagian perut Sayyidina Umar. Tikaman di bahagian perut inilah yang menyebabkan Sayyidina Umar gugur syahid. Setelah menikam Sayyidina Umar, Abu Lu'luah cuba lari tetapi ditahan oleh para sahabat yang lain. Apabila ditahan menyebabkan dia terus menggunakan pisaunya untuk menikam mereka yang cuba menangkapnya. Ini menyebabkan sebelas atau tiga belas orang sahabat gugur syahid dan yang lain ramai yang luka. Namun begitu para sahabat cuba juga untuk manangkap penjenayah yang kejam itu dan akhirnya Abdullah bin 'Auf az-Zuhri berjaya memegang bajunya dan terus menariknya sehingga dia rebah di atas lantai. Melihat dirinya telah terkepong dan tertangkap maka dia terus membunuh dirinya sendiri dengan menggunakan pisau ditangannya. Selepas itu Abdullah bin 'Auf terus memenggalkan kepala penjenayah itu.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian
Berbalik kepada keadaan Sayyidina Umar di mana beliau terus rebah setelah ditikam. Para muslimin yang berada di situ terus memangku beliau dalam keadaan penuh kebimbangan. Beliau menyeru :" Adalah di kalangan kamu ini Abdul Rahman bin 'Auf?". Para muslimin menyahut : " Ya! ada wahai Amirul Mukminin". Beliau berkata :"Katakanlah kepadanya agar mengimamkan para muslimin dalam menunaikan solat Subuh!. Ia merupakan solat fardhu yang diwajibkan ketika ini". Inilah dia Sayyidina Umar yang begitu mementingkan kewajipan terhadap Allah daripada dirinya sendiri yang sedang berada dalam keadaan parah ketika itu.
Lalu Abdul Rahman bin 'Auf mengimamkan para muslimin dalam solat Subuh pada pagi itu. Manakala Abdullah bin Abbas bersama beberapa orang muslimin yang lain sibuk menguruskan Sayyidina Umar sehinggalah beliau diusung masuk ke rumahnya dan beliau ketika itu berada dalam keadaan koma tidak sedarkan diri. Setelah pagi telah meninggi maka beliau yang telah sedar daripada koma terus bertanya kepada para muslimin dikelilingnya : Adakah para muslimin telah mendirikan solat?". Jawab Ibnu Abbas :" Ya!". Kata Sayyidina Umar :" Tidak Islam bagi orang yang meninggal solat". Selepas itu beliau terus berwudhu' dan solat.
Setelah selesai solat beliau terus berkata :" Wahai Abdullah bin Abbas! keluar dan tanya tentang siapakah yang cuba membunuhku?. Abdullah bin Abbas terus keluar dari rumah Sayyidina Umar dan bertanya mereka yang ditemuinya : " Siapakah yang menikam Amirul Mukminin?". Mereka memberitahu bahawa Abu Lu'luah yang telah melakukan perbuatan yang kejam itu terhadap Sayyidina Umar. Mendengar jawapan itu, lalu Abdullah bin Abbas terus kembali semula kepada Sayyidina Umar dan memberitahu beliau tentang orang yang menikamnya. Mendengar jawapan itu maka Sayyidina Umar terus berkata : " Alhamdulillah aku bersyukur kepada Allah yang mana tidak menjadikan orang yang menikamku sebagai orang yang akan mendakwaku di hadapan Allah nanti dengan tempat sujud yang disujudnya bagiNya sahaja". Maksud kata-kata beliau ialah beliau berasa lega kerana orang yang menikamnya bukan daripada kalangan muslim yang tidak berpuas hati dengannya.
Beliau memanggil ahli perubatan pada masa itu yang mana ramai daripada kalangan mereka yang berada di Madinah datang untuk merawatnya. Mereka menyatakan bahawa kecederaan yang dihadapi oleh Sayyidina Umar agak parah dan tidak mampu dirawat lagi. Mendengar kata-kata ahli perubatan itu maka para muslimin berasa begitu sedih dan menangis kerana tidak lama lagi mereka akan berpisah dengan pemimpin yang adil dan tegas itu. Mendengar tangisan itu lalu Sayyidian Umar terus menegahnya. Ketika beliau meminum susu maka beliau dapat melihat bagaimana air susu yang putih itu keluar daripada kesan lukanya. Beliau merasa sudah sampai masanya untuk menemui Allah Tuhan Penciptanya. Beliau memandang kepada muslimin sekelilingnya lalu berpesan agar mereka bertaqwa kepada Allah dan mendirikan solat serta bersikap adil kepada rakyat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam keadaan yang sugul itu para muslimin mencadangkan agar beliau menentukan khalifah selepasnya. Beliau menjawab kepada mereka :" Aku tidak akan membuatnya maka sesungguhnya orang yang lebih mulia daripadaku telah meninggalkan urusan ini(pemilihan) kepada muslimin maka Rasulullah S.A.W sendiri meninggalkan urusan ini. Sekiranya aku membuat pemilihan maka aku akan memilih orang yang lebih baik daripadaku iaitu Sayyidina Abu Bakar. Jika Abu Ubaidah bin Jarrah masih hidup(di mana beliau telah gugur syahid dalam peperangan Mu'tah) nescaya aku akan melantiknya.Jika Salim maula Abu Huzaifah masih hidup nescaya aku akan melantiknya". Kemudian beliau memanggil Abdul Rahman bin 'Auf lalu berkata :"Aku mahu memberi sumpah setia kepadamu".
Mendengar kata-kata Sayyidina Umar itu lalu Abdullah bin 'Auf bertanya :" Adakah engkau telah bermesyuarat dalam perkara ini?. Jawab beliau :"Demi Allah aku belum lagi berbuat demikian". Kata Abdul Rahman bin 'Auf :"Demi Allah aku tidak masuk campur dalam masalah ini selama-lamanya". Perintah beliau :" Carilah kata putus sehingga aku boleh melantik daripada kalangan mereka yang telah dipilih oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda redha dengan mereka". Abdul Rahman bin 'Auf terus memanggil Sayyidina Ali, Sayyidina Uthman, Zubair bin al-Awwam dan Sa'ad bin al-Waqas. Dia berkata:" Tunggulah kehadiran saudaramu Talhah yang mana dia sekarang berada di luar Madinah dan jika tidak maka laksanakan urusan kamu". Dari sini kita dapat fahami bahawa masalah kepimpinan ini merupakan perkara yang besar dan tidak boleh dipandang ringan. Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan ini terlibat secara langsung dengan masalah agama bukannya sebagaimana dakwaan sesat golongan sekular bahawa agama suku politik suku. Jika benar dakwaan mereka mengapa masalah ini ditekankan oleh muslimin dan juga Sayyidina Umar yang berada dalam keadaan tenat ketika itu.Kita juga dapat menyaksikan bagaimana cara pemilihan seseorang khalifah itu tidak ditetapkan oleh syarak. Oleh itu setiap cara boleh diguna selagimana tidak bercanggah dengan syarak dan tidak menggugat pelaksanaan Islam secara menyeluruh bukannya secara juzu' tertentu sahaja dengan menafikan juzu' yang lain

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian
Subuh hari pertama bulan Muharram tahun 22 hijrah menyaksikan kesyahduan suasana apabila Sayyidina Umar menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 63 tahun iaitu sama dengan umur Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar ketika kewafatan keduanya. Selepas jenazah beliau selesai diurus maka Suhaib ar-Rumi telah mengimamkan para muslimin dalam menyembahyangkan jasad yang mulia ini. Beliau dikebumikan dalam bilik Sayyidatina 'Aisyah selepas mendapat keizinannya. Maqam beliau berada berhampiran maqam Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar. Pada hari itu juga para ahli majlis Syura telah bermesyuarat dan sebulat suara melantik Sayyidina Uthman bin al-'Affan sebagai khalifah ar-rashid yang ketiga menggantikan Sayyidina Umar al-Khattob al-Faruq sebagai pemimpin Daulah Islamiah.
Firman Allah dalam ayat 10 dan 11 surah al-Munafiqun :
وأنفقوا من ما رزقناكم من قبل أن يأتي أحدكم الموت فيقول رب لولآ أخرتني إلى أجل قريب فأصدق وأكن من الصالحين . ولن يؤخر الله نفسا إذا جاء أجلها والله خبير بما تعملون .
Maksudnya : dan belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada kamu sebelum sampainya ajal maut kepada seseorang daripadamu. (jika tidak) maka dia akan merayu-rayu dengan katanya :” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau tangguhkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang yang soleh.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: