أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 7 Januari 2010

90. IKTIBAR PEPERANGAN MAZAR 12 HIJRAH

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 261 surah al-Baqarah :
مثل الذين ينفقون أمولهم فى سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل فى كل سنبلة مائة حبة والله يضــعف لمن يشاء والله وسع عليم
Maksudnya : Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya
Kita kini berada pada bulan Sofar yang turut mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk direnungi bersama oleh umat Islam. Antaranya peristiwa Peperangan Al-Mazar yang telah berlaku pada bulan Safar tahun 12 Hijrah. Ia meletus akibat daripada peperangan Zat As-Salasil yang berlaku sebelum itu yang menyebabkan terbunuhnya panglima perang Parsi dianggap tidak memadai untuk mengecewakan maharaja Parsi, lalu peperangan Al-Mazar dicetuskan sebagai peperangan tambahan dalam melemahkan lagi kekuatan tentera Parsi. Sayyidina Khalid bin Al-Walid r.a telah telah diberi tanggungjawab yang besar iaitu memikul amanah sebagai panglima tentera Islam di mana tentera Islam di bawah pimpinannya ini telah bertempur dengan tentera Parsi yang mempunyai bilangan yang ramai dan dipimpin oleh seorang panglima yang bergelar Qorin. Di dalam peperangan Al-Mazar ini tentera Parsi berjaya dikalahkan oleh tentera Islam, malah Parsi terpaksa mengorbankan seramai 30,000 tentera. Belum lagi keletihan yang di alami oleh tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid hilang di dalam peperangan Al-Mazar itu, mereka telah memasuki satu peperangan lain melawan tentera Parsi yang besar di akhir bulan Safar yang dikenali sebagai peperangan Alis. Di dalam peperangan Alis ini sekali lagi tentera Parsi terpaksa mengalami kerugian yang besar walaupun mereka membekalkan dengan kekuatan ketenteraan yang begitu ramai, di mana Parsi terpaksa mengorbankan sejumlah 70,000 tenteranya. Boleh dikatakan kesemua peperangan yang dilancarkan oleh tentera Islam bagi menghadapi kekuatan tentera Parsi adalah di dahului dengan perancangan yang halus, iaitu selama mana musuh menggunakan kekuatan tentera yang cukup besar, maka peperangan secara bertalu-talu digunakan dalam tempoh waktu yang lama. Tentera Islam menunggu sehingga pihak musuh menjadi lemah akibat kerosakan dan penderitaan semasa perang barulah serangan secara menyeluruh dapat dilakukan di mana akhirnya tentera Islam berjaya mencapai kemenangan
Kemenangan yang besar ini telah membolehkan tentera Islam melemahkan kekuatan Empayar Parsi yang merupakan antara kuasa besar dunia pada masa itu. Kekuatan aqidah dan ikatan kukuh kepada Allah serta bersatunya umat Islam di bawah panji kalimah suci
لاإِلهَ إِلا اللهُ مُحَمًَّد َرَسُوْلُ اللهُ telah mendatangkan pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dijanjikan. Walau pun Rasulullah s.a.w telah pun wafat namun usaha di dalam menyebarkan dakwah Islam terus dijalankan malah janji kemenangan daripada Allah dan rasulNya bahawa kuasa Rom dan Parsi akan jatuh telah menyemarakkan lagi semangat jihad umat Islam untuk melihat Islam merajai dan memimpin dunia. Jumlah yang kecil bukan bererti lemah tetapi apa yang paling penting ialah keimanan kepada Allah serta keikhlasan diri dalam memperjuangkan agama Islam yang suci.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Apabila kita melihat kepada catatan sejarah Islam maka kita dapati bagaimana kehebatan Sayyidina Khalid ibnu Walid dalam mengetuai peperangan samada ketika belum Islam atau selepas keislamannya. Peperangan Uhud telah menukilkan bagaimana Khalid bin Walid yang belum lagi memeluk Islam pada masa itu telah diberi tanggungjawab dalam mengetuai angkatan berkuda kuffar Quraisy sehingga dengan perancangannya yang rapi telah menyebabkan tentera Islam tewas. Setelah beliau memeluk Islam maka seluruh kebijaksanaannya terutama dalam peperangan telah dicurahkan untuk perjuangan Islam. Sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w, Sayyidina Khalid Ibnu Walid mula menjadi panglima perang Islam dalam peperangan Mu’tah melawan tentera Rom setelah ketiga-tiga panglima yang dilantik oleh Rasulullah s.a.w telah gugur syahid dalam peperangan ini. Kehebatan dan ketangkasan Khalid Ibnu Walid begitu terserlah apabila kebanyakan peperangan melawan Rom dan Parsi yang diketuainya telah berjaya sehingga ketaatan dan keikhlasannya pernah diuji oleh Khalifah Uthman bin Affan di mana beliau telah membuat tindakan mengejut dengan melucutkan jawatan Khalid Ibnu Walid sebagai panglima perang dalam peperangan Yarmouk. Sayyidina Umar yang baru dilantik menjadi khalifah setelah kewafatan Sayyidina Abu Bakar telah membuat keputusan yang membahayakan ini ketika pertempuran sengit sedang berlangsung. Namun begitu Khalid Ibnu Walid menerima arahan itu dengan tenang malah memberi kerjasama yang sebaiknya kepada panglima Islam yang baru dilantik sehingga kerjasama mereka telah berjaya menyembunyikan pemecatan itu daripada pengetahuan tentera Islam sehingga berjaya mencapai kemenangan gemilang. Ketika ditanya mengenai pemecatan ini lalu Sayyidina Umar menjawab bahawa beliau begitu bimbang jika tentera Islam hanya bersemangat untuk berperang kerana dipimpin oleh Khalid Ibnu Walid dan juga risau jika Khalid Ibnu Walid semakin lupa kepada pertolongan Allah yang lebih utama berbanding kehebatan dirinya yang sentiasa diberikan kemenangan. Sikap taat kepada Allah dan patuh kepada pemimpin telah menjadikan Khalid Ibnu Walid seorang yang disanjung. Malah Khalid Ibnu Walid pernah menempelak golongan yang takut pergi berjihad di medan perang kerana takut mati dengan katanya : “ Sungguh hina mereka takut berperang kerana takut mati sedangkan aku pernah menyertai ratusan peperangan dengan harapan aku mati syahid tetapi akhirnya aku hanya mati di atas katil sahaja”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bulan Sofar turut memahat peristiwa tentang kematian panglima Islam Solehudin al-Ayyubi yang terkenal dengan jasanya yang begitu besar dalam membebaskan masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis daripada cengkaman Empayar Rom. Keimanan yang tinggi kepada Allah dan rasulNya serta keyakinan dengan janji Allah bahawa Masjid al-Aqsa bakal dibebaskan daripada cengkaman kesesatan dan kezaliman telah menyemarakkan lagi semangat Solahuddin al-Ayyubi bersama tentera Islam untuk terus berjuang dalam membebaskan Baitul Maqdis. Solahuddin al-Ayyubi yang berbangsa Kurdi dan anak kelahiran Tikrik, Iraq yang juga tempat lahir Saddam Husein telah melakukan pelbagai perancangan dalam menawan semula Baitul Maqdis milik umat Islam. Kekalahan pemimpin dan tentera Islam sebelum ini tidak pernah melunturkan semangat jihad beliau dalam memperjuangkan Islam dan membebaskan Baitul Maqdis. Selain membina kubu hampir di kesemua negara keliling Baitul Maqdis, beliau turut menggulingkan raja-raja yang lebih mementingkan kepentingan diri daripada memperjuangkan Islam. Ketika hampir berjaya menawan Baitul Maqdis setelah banyak kali dipatahkan oleh tentera Rom maka Solahuddin al-Ayyubi telah memeriksa setiap khemah tenteranya dan didapati ramai dikalangan tenteranya sedang solat tahajjud dan membaca al-Quran serta sedikit daripada mereka yang tidur. Lalu keesokan harinya beliau telah mengarahkan agar tenteranya yang tidur supaya tidak turut serta dalam serangan kerana hanya tentera yang sentiasa dekat dengan Allah sahaja yang diperlukan dalam mengalahkan musuh. Akhirnya Allah mendatangkan kemenangan yang gemilang yang terus dikenang sehingga hari ini setelah segala syarat kemenangan telah dipenuhi dengan penuh keikhlasan kepada Allah.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Melalui contoh yang ditunjukkan oleh 2 panglima Islam yang agung itu maka seluruh umat Islam wajib mengikuti cara mereka antaranya kembali bersatu di bawah panji Islam, yakin terhadap janji kemenangan daripada Allah serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya dengan penuh keikhlasan kepada Allah. Penderitaan umat Islam serta penjajahan baru terhadap negara umat Islam pada hari ini tidak mampu dihentikan oleh umat Islam yang berpecah dan jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Malah Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta pejuang Islam silam bukan memperolehi kemenangan dengan mudah sebaliknya terpaksa berkorban jiwa raga barulah kemenangan diraih. Kemenangan Islam bukan mudah diperolehi semata-mata bilangan yang ramai dan kuat pada kelengkapan senjata semata-mata sedangkan aqidah umat Islam begitu lemah yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam lebih suka tunduk kepada kuffar daripada berjuang untuk Islam. Malah bumi Iraq hari ini mudah dijajah kerana umat Islam berpecah malah ada yang sanggup membantu musuh untuk menjajah dan ramai pemimpin yang tahu bersuara lantang tetapi dalam masa yang sama terus sujudk di kaki musuh. Amerika sehingga kini gagal membuktikan mengenai senjata pemusnah dan kimia milik Iraq dan mereka hanya berjaya menggulingkan Saddam Husein tetapi belum mampu menangani masalah kepimpinan yang baru di Iraq. Amerika tidak layak bercakap tentang demokrasi kerana merekalah yang pernah mencabul sistem demokrasi di Algeria dan Turki apabila gerakan Islam mendapat kejayaan. Amerika juga tidak layak bercakap bahawa mereka sahaja mampu menggulingkan Saddam sedangkan menurut seorang tokoh gerakan Islam Iraq bahawa jika sekadar mahu menggulingkan Saddam maka gerakan Islam Iraq sendiri sudah mampu melakukannya sejak 10 tahun lalu. Memandangkan keadaan rakyat Iraq yang berpecah mengikut bangsa terbesar kepada Arab dan Kurdi dan mengikut mazhab kepada Sunni dan Syiah maka penggulingan Saddam lebih memburukkan suasana sedangkan rakyat sendiri berpecah pula kepada pro-Islam, ideologi kebangsaan, sosialis, komunis dan lain-lain disamping Iraq terus menjadi rebutan penjajah luar serta dikenakan sekatan ekonomi. Kebanyakan ulama’ Iraq berpendapat lebih kurang mudharat dengan membiarkan Saddam memerintah manakala gerakan Islam terus menyedarkan rakyat Iraq agar kembali kepada Islam yang membolehkan pemerintahan Islam yang bakal naik selepas itu mudah untuk memerintah apabila rakyat Iraq semakin faham dengan ajaran Islam yang menyeluruh. Penjajahan terhadap Iraq dan amaran keras terhadap Syria serta Iran mendedahkan lagi hasrat jahat yahudi untuk menguasai bumi Arab bagi menjayakan pembinaan negara Israel Raya dengan memperkudakan kuasa Kristian Amerika serta memandulkan peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Umat Islam mesti berhenti daripada berpecah agar musuh tidak terus memerintah dan meratah kita. Umat Islam mesti kembali bersatu agar usaha jahat musuh menjadi buntu. Kembalilah kita kepada Islam agar kita terus dimuliakan oleh Allah di dunia dan akhirat.
Ingatlah firman Allah ayat 74 surah al-Nisa’ :
فليقــتل فى سبيل الله الذين يشرون الحيــوة الدنيا بالآخرة ومن يقــتل فى سبيل الله فيقتل أو يغلب فسوف نؤتيه أجرا عظيما
Maksudnya : Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: