أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 10 Disember 2009

66. HIJRATURRASUL S.A.W LUASKAN PERANAN AGAMA

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 90-91 surah Yunus :
و جوزنا ببني إسرائيل البحر فأتبعهم فرعون وجنوده بغيا وعدوا حتى إذا أدركه الغرق قال آمنت أنه لاإله إلا الذي ءامنت به بنوا إسرائيل وأنا من المسلمين. ءالئن وقد عصيت قبل وكنت من المفسدين
Maksudnya : Dan Kami memungkinkan Bani Israel melintasi laut lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya kerana hendak menganiayai dan menindas mereka sehinggalah ketika Firaun itu telah hampir tenggelam lalu dia berkata : “ Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri kepada Allah “. Adakah sekarang baru engkau percaya sedangkan engkau telah derhaka sejak dahulu dan engkau termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.
Kita baru sahaja menyambut kedatangan tahun baru 1430 Hijrah dan juga bakal sama-sama menghidupkan ketibaan hari ‘Asyura’ iaitu hari kesepuluh Muharram dengan puasa sunat. Puasa sunat hari ‘Asyura’ mengingatkan kita kepada suatu pesanan nabi s.a.w yang menggalakkan agar umat Islam lebih menghidupkan hari ‘Asyura’ berbanding umat yahudi bagi memperingati bagaimana pada hari tersebut di mana Allah telah menyelamatkan nabi Musa bersama kaumnya bani Israel daripada dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya. Nabi Musa dan pengikutnya berjaya merentasi Laut Merah yang terbelah dua dengan izin Allah apabila nabi Musa memukulnya dengan tongkatnya sedangkan Firaun dan bala tenteranya ditenggelamkan di tengah Laut Merah apabila air laut itu kembali bercantum sebagaimana asal. Penghijrahan nabi Musa akibat tekanan dan permusuhan yang diterima daripada bapa angkatnya sendiri iaitu Firaun kerana dakwah Islam di mana Allah menunjukkan kepada kita bagaimana keangkuhan Firaun yang mengaku sebagai tuhan dihancurkan dengan mati lemas di tengah Laut Merah. Allah juga membawa gambaran bagaimana Firaun yang hampir mati lemas mula percaya kepada Tuhan yang dipercayai oleh nabi Musa dan Bani Israel tetapi pintu taubat kepadanya telah tertutup sehingga dia mati dalam keadaan penuh hina di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Manusia angkuh dan sombong sentiasa lahir pada setiap masa dan tempat. Jika nabi Musa terpaksa berhadapan dengan manusia angkuh bernama Firaun dibantu oleh Haman dan Qarun maka tidak ketinggalan nabi kita Muhammad s.a.w yang terpaksa berhadapan dengan pembesar musyrikin Quraisy termasuk bapa saudaranya sendiri juga kerana dakwah Islam. Abu Lahab, Abu Jahal serta manusia angkuh bersamanya turut mengakui kebenaran Islam tetapi akibat tiadanya hidayah Allah dan permusuhan terhadap Islam telah menyebabkan cahaya iman dan kebenaran Islam cuba dipadamkan termasuk usaha membunuh nabi Muhammad s.a.w. Akhirnya nabi Muhammad s.a.w diizinkan oleh Allah untuk berhijrah sambil dikejar oleh musuh yang terus cuba membunuhnya. Penghijrahan yang terancang ini telah membawa suatu kejayaan yang gemilang kepada dakwah Islam. Jika dalam dakwah dan penurunan ayat al-Quran di Mekah sebelum ini hanya berkisar tentang dasar aqidah, hukum syariat yang boleh dilakukan oleh individu serta masalah pembinaan akhlak yang baik bersesuaian dengan keadaan dan kedudukan umat Islam di Mekah tanpa tampuk pemerintahan. Sebaliknya apabila berlakunya peristiwa hijrah ke Madinah maka dakwah Islam dan penurunan ayat al-Quran mula meluas bukan sahaja menyentuh dari sudut aqidah dan akhlak sahaja tetapi turut merangkumi keseluruhan sistem hidup seperti ekonomi, kemasyarakatan dan kenegaraan agar umat manusia terhindar daripada kesesatan dan kezaliman dalam mencari kebahagiaan yang hakiki di dunia dan akhirat.
Proses pembinaan masjid dan persaudaraan antara golongan Muhajirin dari Mekah dan Ansor dari kalangan penduduk tempatan itu sendiri telah menyuburkan lagi ikatan kehambaan manusia terhadap Allah dan hubungan manusia sesama manusia dalam membina pembangunan insan yang sememangnya mesti didahulukan sebelum pembangunan kebendaan. Kita dapat saksikan bagaimana hubungan antara Muhajirin dan Ansor begitu terserlah sebagaimana yang diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam Sohihnya yang berbunyi : “ Setelah mereka tiba di Madinah, Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan di antara Abdul Rahman ‘Auf dengan Sa’ad bin Rabi’ di mana Sa’ad telah berkata kepada Abdul Rahman: “ Saya adalah orang yang paling kaya di kalangan golongan Ansor. Oleh itu marilah kita bahagi dua harta saya. Saya mempunyai dua orang isteri. Oleh itu pilihlah yang mana satu awak suka agar saya ceraikannya di mana setelah habis ‘iddahnya maka awak kahwinilah dia”. Abdul Rahman ‘Auf menjawab: “ Mudah-mudahan Allah memberkati keluarga dan hartamu. Tunjukkanlah kepada saya di mana pasar kamu”.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Peristiwa Hijraturrasul ini wajar dihayati dengan bersungguh bukannya hanya disambut saban tahun tanpa usaha yang sewajarnya untuk mencontohi segala perancangan dan tindakan yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.aw sehingga terdirinya Daulah Islamiah yang pertama di Madinah. Melalui pembangunan insan telah berjaya melahirkan generasi yang lebih sayang kepada Allah dan rasulNya sehingga tidak timbul bahawa nabi dan para muhajirin adalah pendatang asing yang hanya berhak diberi bantuan sebagaimana pelarian. Sebaliknya nabi Muhammad s.a.w telah dilantik sebagai pemimpin yang diberi kuasa penuh dalam mememerintah Madinah dan seluruh rakyat bersatu atas dasar iman bukannya kebendaan. Kekuatan aqidah ini bukan sahaja memudahkan nabi untuk mentadbir umat Islam tetapi turut merangkumi penduduk Madinah yang belum Islam dan juga golongan yahudi. Perpecahan di kalangan bangsa arab dan penindasan yahudi melalui manopoli ekonomi berjaya ditangani melalui piagam Madinah. Daulah Islamiah Madinah yang pertama ini wajib dijadikan model oleh umat Islam hari ini dan dunia sejagat dalam menghentikan penindasan dan peperangan yang berlaku saban hari bagaikan tidak mahu berhenti.
Ramai di kalangan cerdik pandai yahudi pada hari ini dalam penulisan mereka turut mengakui bahawa tiada cara yang terbaik dalam membawa kejayaan yahudi untuk menguasai dunia melainkan kembali kepada agama yang dibawa oleh nabi seperti nabi Musa. Pendapat ini bertentangan dengan apa yang berlaku di mana kebanyakan keganasan dan peperangan yang meletus pada hari ini adalah hasil hasutan golongan pengganas zionis yahudi yang terus berusaha menguasai dunia dengan cara keganasan demi mencapai keuntungan kebendaan semata-mata. Amerika dan Britain merupakan antara negara yang paling banyak berhutang dengan kapitalis yahudi yang menyebabkan mereka mesti mengikut telunjuk yahudi dalam setiap tindakan termasuk masalah serangan ke atas Iraq pada hari ini. Sebelum ini kuffar meranapkan Afghanistan hasil hasutan yahudi yang begitu bimbang tentang beberapa perkara antaranya tentang penanaman pokok popi untuk menghasilkan dadah telah dimusnahkan oleh kerajaan Taliban. Sebab itulah apabila dilantik kerajaan Boneka Afghanistan maka penanaman pokok itu untuk menghasilkan dadah semakin meningkat. Kita juga melihat bagaimana Amerika cuba juga untuk menyerang Iraq dalam memastikan tiada lagi negara Islam yang kuat kelengkapan senjatanya daripada terus wujud berhampiran negara zionis yahudi Israel. Yahudi begitu lama tidak memerintah dunia dengan kuasa mereka sendiri semenjak beberapa tahun selepas kewafatan nabi Sulaiman di mana yahudi hanya berjaya mencipta beberapa ideologi untuk digunakan oleh orang lain dengan yahudi bertindak sebagai penasihat. Selagi sesebuah kerajaan terus menggunakan sistem yahudi maka dengan mudah yahudi akan menekan dan menindas terutama dari sudut ekonomi mereka walau pun hasil mahsul negara agak banyak seperti seorang kapitalis yahudi Soros boleh meranapkan ekonomi Asia Tenggara dengan mudah kerana pemimpin negara bergantung kepada sistem tajaan yahudi.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Permusuhan zionis yahudi terhadap Islam semakin marak termasuk pembunuhan di Palestin semakin meningkat ditambah dengan tekanan terhadap Iraq disamping amaran awal untuk turut meranapkan Iran dan Syria selepas itu. Negara kita tidak terkecuali setelah kuffar sedang meranapkan pejuang Islam di Selatan Filiphina dan Indonesia. Oleh itu berhijrahlah kita daripada bergantung kepada sistem yahudi kepada melaksanakan seluruh sistem Islam. Jika seluruh negara Islam bersatu atas dasar Islam dengan melaksanakan seluruh sistem Islam maka zionis yahudi dan kuasa besar kuffar akan jatuh. Kita sebagai rakyat bolehlah terus berusaha termasuk berdoa agar Allah menyelamatkan bumi Iraq, Palestin dan sebagainya. Kita juga mesti lebih bersemangat dalam memboikot atau memulaukan barangan yang banyak membantu zionis yahudi seperti minuman pepsi, coca-cola di mana di setengah tempat dimasukkan gelatin babi serta makanan ringan Kentucky dan Micdonalds yang berjaya ditutup di kebanyakan negara Arab, Fatani dan Indonesia. Ingatlah kita bahawa Islam pernah menguasai dunia lebih kurang 1300 tahun tetapi telah diranapkan oleh musuh dengan hilangnya sistem khilafah. Kita hina dan ditindas kerana meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh. Oleh itu kembalilah kepada seluruh ajaran Islam yang lengkap demi mencapai kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
والذين ءامنوا وهاجروا وجــهدوا فى سبيل الله والذين ءاووا ونصروا أولئك هم المؤمنون حقا لهم مغفرة ورزق كريم
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: