السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 100 surah an-Nisa’ :
ومن يهاجر فى سبيل الله يجد فى الأرض مرغما كثيرا وسعة ومن يخرج من بيته مهاجرا إلى الله ورسوله ثم يدركه الموت فقد وقع أجره على الله وكان الله غفورا رحيما
Maksudnya : Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah S.W.T nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah S.W.T dan rasulNya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang dituju maka telah tetap pahala di sisi Allah S.W.T. Dan adalah Allah S.W.T Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
Kini kita berada di bulan Muharram bagi tahun baru 1427 Hijrah. Pelbagai usaha dan cara yang dilakukan oleh umat Islam dalam merayakan kedatangan tahun baru hijrah untuk sama-sama meningkatkan kesedaran umat Islam bahawa kita mempunyai taqwim hijrah yang tinggi nilainya setelah begitu lama umat Islam sendiri lebih membesarkan kalendar masihi dalam kehidupan seharian. Tanyalah diri kita masing-masing tentang sejauh manakah penggunaan taqwim hijrah yang digunakan untuk mengatur urusan seharian. Jika tidak disebabkan dengan kaitan antara taqwim hijrah dengan waktu sembahyang, puasa Ramadhan, hari raya dan beberapa lagi hari penting dalam Islam maka semakin lama taqwim hijrah akan dilupai oleh umat Islam sendiri. Oleh itu menjadi kewajipan kepada umat Islam dalam memartabatkan semula penggunaan yang lebih meluas terhadap taqwim hijrah agar identiti umat Islam lebih terserlah dan tidak lagi terlalu bergantung kepada musuh Islam dalam pelbagai perkara termasuk taqwim tahunan.
Sambutan tahun baru hijrah juga bertujuan mengajak umat Islam agar menghayati konsep hijrah yang pernah dilalui oleh nabi Muhammad s.a.w. Sekiranya pada bulan Zulhijjah yang baru lalu kita banyak menyentuh tentang pengorbanan suci yang pernah dilakukan oleh nabi Ibrahim dan anak kesayangannya nabi Ismail serta beberapa pengorbanan yang lain maka pada bulan Muharram pula umat Islam banyak diberikan penekanan terhadap hijrah nabi Muhammad s.a.w dari tanahair tercinta Kota Mekah sehingga berjaya mendirikan Daulah Islamiah di Kota Madinah. Perintah hijrah ini bukan sahaja dilalui oleh nabi Muhammad s.a.w tetapi turut dilalui oleh beberapa nabi dan rasul sebelum ini di mana hijrah merupakan antara kewajipan yang terpaksa ditempuhi sebelum datangnya pertolongan dan kejayaan yang lebih besar daripada Allah. Hubungan rapat antara korban dan hijrah tidak dapat dinafikan kerana hanya orang yang sanggup berkorban apa sahaja untuk Allah dan rasulNya yang sanggup berhijrah meninggalkan tanahair tercinta bukan untuk mengejar kemewahan hidup sebaliknya bersama memartabatkan seluruh system Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Kita dapat menyaksikan bagaimana hijrah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w bukan berlaku secara tergesa-gesa dan mudah sebaliknya hijrah itu didahului dengan pelbagai perancangan dan strategi yang rapi terutama dalam membina umat Islam yang mantap aqidahnya serta bersedia untuk memperjuangkan Islam walau pun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Apabila berjaya melahirkan umat Islam yang berhijrah yang digelar Muhajirin dan penduduk Madinah yang sanggup membantu digelar Ansor di mana kedua-dua golongan ini begitu mantap aqidahnya, indah akhlaknya dan tinggi semangat juangnya maka ini semua merupakan aset penting bagi membantu Rasulullah s.a.w dalam mendirikan Daulah Islamiah yang gemilang di Madinah. Kegagalan melahirkan pemimpin dan umat yang benar-benar kukuh aqidahnya, utuh budi pekertinya dan bersungguh dalam meninggikan kalimah di muka bumi ini menyebabkan umat Islam gagal mengembalikan kejayaan system Khilafah yang pernah menerajui dunia sebelum ini. Umat Islam yang kabur aqidahnya, hancur akhlaknya dan kendur semangat juangnya tidak mampu melawan godaan dunia berbentuk politik wang dan juga cabaran yang lebih keras seperti undang-undang rimba ISA, buang kerja dan sebagainya.
Ramai juga umat Islam yang terkeliru dengan janji manis yang dibawa oleh golongan yang mendakwa ingin melaksanakan system Islam sebaliknya dalam keadaan yang begitu halus mereka membuang sedikit demi sedikit kekuatan dan ruang untuk umat Islam memahami Islam secara menyeluruh seperti sekatan terhadap masjid, pusat pengajian agama, proses tarbiah di pusat pengajian tinggi dan sebagainya. Kita mesti ingat kepada kata-kata musuh Islam bahawa untuk memasukkan umat Islam kepada agama Kristian agak payah tetapi Kristian mesti melahirkan golongan daripada umat Islam sendiri untuk memesongkan aqidah umat Islam sebagaimana pemburu gajah akan menggunakan gajah denak untuk menangkap gajah liar. Mengharapkan golongan sekuler untuk menegakkan Islam seolah-olah kita seperti ayam daging yang menganggap ia adalah ternakan yang disayangi kerana diberikan makanan setiap hari tetapi rupa-rupanya hanya menunggu masa untuk disembelih dan seterusnya bakal dijual kepada pembeli. Oleh itu kita perlu faham bahawa slogan seperti Islam Hadhari bukan suatu usaha dalam memartabatkan Islam sebaliknya ia bertujuan untuk mengendurkan semangat serta mengelirukan umat Islam yang benar-benar cintakan Islam daripada meneruskan perjuangan sebagaimana yang disuruh oleh Allah dan rasulNYa.
Firman Allah S.W.T dalam ayat 204-205 surah al-Baqarah :
ومن الناس من يعجبك قوله فى الحيــوة الدنيا ويشهد الله على ما فى قلبه وهو ألد الخصام. وإذا تولى سعى فى الأرض ليفسد فيها ويهلك الحرث والنسل والله لايحب الفساد
Maksudnya : Dan di antara manusia ada orang di mana ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu. Dan dipersaksikan kepada Allah S.W.T isi hatinya sedangkan dia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila dia berpaling dari kamu, dia berjalan di atas muka bumi ini untuk melakukan kerosakan padanya dan merosak tanaman dan binatang ternakan dan Allah S.W.T tidak menyukai kebinasaan
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Hijrah yang berjaya ialah hijrah yang berjaya menukarkan umat tertindas kepada umat berdaulat, umat dihina kepada umat memimpin dunia, umat yang lemah bertukar menjadi gagah. Hijrah yang berjaya juga mengubah dunia daripada kongkongan jahiliah kepada keluasan Islam, daripada gelap kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu.
Kedatangan tahun baru hijrah sepatutnya mengubah diri kita daripada terus tunduk kepada system ciptaan manusia dengan berhijrah kepada system Islam. Kita lihat perundangan manusia telah gagal apabila masalah Hiv/AIDS menunjukkan peningkatan apabila Malaysia kini berada di tempat kelima di rantau Asia Pasifik. Oleh itu pengajian seks bermula daripada kanak-kanak mestilah diselaraskan dengan kehendak Islam agar rakyat bukan sahaja bimbang pada bala Hiv/AIDS malah mesti takut kepada Allah dan juga azab neraka. Begitu juga dengan laporan bagaimana 5000 orang gadis Melayu menjadi tukang urut di sekitar Lembah Klang sahaja. Kini timbul pula golongan terutamanya bukan Islam yang mendesak agar mahkamah syariah berada di bawah kehakiman sivil yang sekuler sebagaimana pada era penjajah selepas perebutan mayat pendaki gunung Everest baru-baru ini. Desakan ini begitu merbahaya terutama agama Islam bakal dikawal sepenuhnya oleh mahkamah sivil. Perundangan yang ada sekarang pun sudah menyekat banyak kebebasan umat Islam untuk mengamalkan seluruh system Islam apatah lagi jika ia dipinda. Malah desakan agar menghalalkan perkahwinan bukan Islam dengan orang Islam tanpa perlu memeluk Islam terlebih dahulu serta memberi kebebasan untuk murtad di mana semua desakan ini bakal meletakkan umat Islam dalam penuh kehinaan di negara majoriti umat Islam. Kita turut bimbang apabila Sisters In Islam yang mengaku Islam mempertikaikan beberapa ketetapan Allah dalam pembahagian pesaka dan masalah poligami serta talak. Golongan ini hanya menggunakan akal dan panduan berasaskan hak asasi bawaan barat dalam menafsirkan hukum agama. Hilangnya ilmu agama menyebabkan zahirnya kejahilan yang membawa kepada kesesatan. Oleh itu marilah kita berhijrah dengan menyuburkan semula pengajian agama dan perkasakan pusat pengajiannya. Bersama kita berhijrah dengan membasmi kejahilan dan memerangi kesesatan.
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
والذين ءامنوا وهاجروا وجــهدوا فى سبيل الله والذين ءاووا ونصروا أولئك هم المؤمنون حقا لهم مغفرة ورزق كريم
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan