الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :
إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس وليعلم الله الذين ءامنوا ويتخذ منكم شهداء والله لايحب الظــلمين
Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim
Kita sekarang ini masih berada di dalam bulan Syawal di mana kehangatan sambutan eidil fitri masih hangat terasa. Anugerah hari raya bagaikan suatu majlis penerimaan ijazah kepada umat Islam yang baru sahaja berjaya menamatkan pendidikan dan tarbiah diri di universiti Ramadhan yang baru lalu. Malah galakan berpuasa 6 hari di bulan Syawal ketika umat Islam sedang berseronok menyambut hari raya bagaikan suatu isyarat bahawa pemergian Ramadhan bukan bererti terhentinya proses dalam mendidik diri serta mengawal nafsu dengan meneruskan segala amal soleh seperti puasa sunat, membaca serta mengamalkan al-Quran, jinak dengan masjid dan sebagainya. Adalah suatu yang amat rugi apabila seseorang yang telah berjaya mendidik nafsu dalam diri ketika berlangsungnya tarbiah Ramadhan akhirnya kembali menjadi hamba kepada nafsu dengan berlalunya Ramadhan. Apakah untungnya jika sebulan Ramadhan dijadikan medan untuk merapatkan diri kepada Allah sedangkan kedatangan Syawal dijadikan medan untuk memperbanyakkan maksiat terhadap Allah. Ingatlah bahawa orang yang paling bijak ialah orang yang bersiap menyediakan bekalan untuk hari akhiratnya sedangkan orang yang dungu ialah orang yang sibuk dengan habuan dunianya yang pasti ditinggalkan bila-bila masa sahaja.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketika menyentuh tentang peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah di mana sebelum keluar berperang maka Rasulullah s.a.w telah bermesyuarat dengan para sahabat samada mahu berkubu di dalam di dalam Kota Madinah di mana pendapat ini merupakan cadangan daripada Rasulullah s.a.w sendiri berdasarkan kepada mimpinya iaitu tentang baginda melihat beberapa ekor lembu disembelih yang ditakwil dengan beberapa orang para sahabat yang gugur syahid, pedang yang sumbing yang ditakwil dengan ahli keluarga baginda yang ditimpa musibah manakala baju besi ditakwil dengan Madinah. Tetapi ada cadangan kedua daripada golongan muda terutama mereka yang tidak sempat keluar dalam peperangan Badar dahulu termasuk Sayyidina Hamzah yang mencadangkan agar tentera Islam keluar berperang di Uhud luar Madinah dengan alasan supaya musuh tidak menganggap bahawa tentera Islam takut. Akhirnya Rasulullah s.a.w memilih pendapat supaya keluar berperang di Uhud sehingga adanya suara daripada para sahabat agar baginda menarik balik cadangan itu lalu Rasulullah s.a.w dengan tegas menyatakan : “ Tidak patut bagi seorang nabi apabila sudah memakai baju besi maka dia meletaknya semula sehinggalah Allah membuat keputusan antaranya dan musuhnya”.
Tentera Islam pada asalnya berjumlah seribu orang tetapi pada pertengahan jalan menuju ke Uhud maka ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai bersama 300 orang lagi telah menarik diri yang menyebabkan tentera Islam yang terus kekal bersama dengan Rasulullah s.a.w hanya berjumlah 700 orang terpaksa berdepan dengan bala tentera musuh seramai 3000 orang. Ini merupakan antara ujian awal kepada keimanan dan ketaatan tentera Islam kepada Allah dan rasulNya di mana umat Islam pada hari mesti mengambil pengajaran penting daripadanya antaranya bahawa dalam berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi ini maka kita terpaksa berdepan berdepan musuh nyata iaitu kuffar dan juga musuh dalam selimut iaitu munafik.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan tetapi pada peringkat kedua tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Antara sebab yang jelas kepada berlakunya kekalahan peringkat kedua ini ialah keengkaran sebahagian besar daripada kumpulan pemanah yang turut turun mengutip harta rampasan perang dengan alasan tentera Islam telah pun menang dan juga ada yang bimbang jika habuan untuk mereka akan dinafikan. Peperangan Uhud telah menjelaskan sikap di kalangan tentera Islam sendiri di mana ada yang berjuang kerana mahu habuan dunia antaranya berbentuk harta rampasan perang dan ramai yang berjuang benar-benar ikhlas kerana Allah. Sebab itulah adanya ahli tafsir daripada kalangan para sahabat ketika menafsirkan beberapa ayat dari surah Ali ‘Imran berkenaan Peperangan Uhud menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyangka bahawa ada juga di kalangan tentera Islam yang telah ditarbiah oleh Rasulullah s.a.w sendiri masih lagi tamak kepada habuan dunia. Sekiranya Allah tidak membongkarkan perkara ini dalam al-Quran maka ia tidak diketahui oleh sesiapa. Perkara ini boleh kita dapati melalui firman Allah antaranya dalam ayat 145 surah Ali ‘Imran :
وما كان لنفس أن تموت إلا بإذن الله كتـبا مؤجلا ومن يرد ثواب الدنيا نؤته منها ومن يرد ثواب الآخرة نؤته منها وسنجزى الشــكرين
Maksudnya : Tiada suatu jiwa pun akan mati melainkan dengan izin Allah melalui suatu suratan yang telah ditetapkan. Sesiapa yang mahu habuan dunia maka Kami akan berikan kepadanya. Dan sesiapa yang inginkan pahala akhirat maka Kami juga akan anugerahkan kepadanya. Kami akan berikan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
Menyedari tentang bahayanya pengaruh kebendaan dalam diri pejuang Islam yang boleh menyebabkan kita bakal ditimpa dengan kekalahan dan kehinaan maka umat Islam mesti berusaha menghindari penyakit merbahaya ini daripada terus subur apatah lagi menjadi budaya hidup. Selagi masih ramai pemimpin dan rakyat yang beragama Islam yang mengamalkan budaya rasuah atau mudah dijual beli dengan wang maka perjuangan dalam menegakkan Islam masih jauh lagi untuk dicapai.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada peringkat ketiga dalam Peperangan Uhud ini, tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Di sini kita dapat lihat betapa pentingnya membangkitkan kembali semangat pejuang Islam selepas diuji dengan kekalahan agar musuh tidak terus berdabik dada dengan kemenangan yang tidak seberapa disamping semangat musuh bertambah kurang bukannya semakin kuat. Lanjutan daripada Peperangan Uhud ini maka Rasulullah s.a.w telah beberapa kali mengejar musuh agar mereka menjauhi Madinah malah hampir berlaku beberapa peperangan walau pun dengan keadaan ramai tentera Islam yang masih letih dan cedera. Walau pun tidak berlakunya peperangan itu tetapi tindakan bijak ini telah menaikkan semangat juang yang tinggi kepada umat Islam disamping meletakkan musuh dalam penuh kehinaan apabila tentera kuffar yang diketuai oleh Abu Sufian telah diejek oleh masyarakat Mekah kerana bukan sahaja gagal membawa pulang harta rampasan perang walau mendakwa telah menang malah tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w apatah lagi menawan Madinah disamping sentiasa lari dari medan peperangan walau pun berdepan dengan tentera Islam yang sedikit dan cedera. Cara dan taktik yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w wajib diikuti dalam memastikan semangat juang umat Islam pada hari ini tidak terus luntur sekali pun diuji dengan pelbagai kekalahan samada melalui peperangan, pilihanraya dan sebagainya agar kita menjadi umat yang bersyukur atas kemenangan dan bersabar dengan ujian kekalahan kerana yakin bahawa segala perjuangan ini adalah kerana Allah sedangkan kemenangan musuh Islam adalah sementara dan kekalahan mereka pula merupakan kehinaan di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :
وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين
Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan