أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Ahad, 4 September 2011

59. KETETAPAN KALAH DAN MENANG

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :
إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس وليعلم الله الذين ءامنوا ويتخذ منكم شهداء والله لايحب الظــلمين
Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim
Umat Islam pada hari ini masih merasakan kehangatan sambutan eidil fitri yang merupakan suatu anugerah Allah kepada hambaNya yang dapat menunaikan ibadat puasa sebulan Ramadhan yang baru lalu dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah. Hidupkanlah kemeriahan Syawal ini dengan perkara yang dikira ibadat disisi Allah bukannya menjadi ahli maksiat yang mencemari kesucian hari raya dengan amalan yang bercanggah dengan syarak. Sambutan hari raya yang merupakan hari kemenangan buat umat Islam janganlah melupakan kita untuk meneruskan proses tarbiah Ramadhan iaitu dengan sama-sama menunaikan ibadat puasa 6 hari di bulan Syawal yang dinyatakan oleh nabi di mana kelebihannya seperti orang berpuasa sepanjang tahun. Galakan berpuasa 6 hari ini yang datang ketika kemeriahan hari raya bagaikan suatu isyarat bahawa pemergian Ramadhan bukan bererti terhentinya proses dalam mendidik diri serta mengawal nafsu termasuk dengan puasa sunat, terus membaca serta mengamalkan al-Quran, jinak dengan masjid dan sebagainya. Orang yang paling bijak ialah orang yang bersiap menyediakan bekalan untuk hari akhiratnya sedangkan orang yang dungu ialah orang yang sibuk dengan habuan dunianya yang pasti ditinggalkan bila-bila masa sahaja.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketika menyentuh tentang peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah di mana tentera Islam terpaksa berdepan dengan bala tentera musuh seramai 3000 orang. Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan tetapi pada peringkat kedua tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Namun pada peringkat ketiga tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Kekalahan pada peringkat kedua dalam peperangan Uhud ini akibat melanggar perintah nabi s.a.w selaku pemimpin serta rasa terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya pertautan hati dengan Allah.
Seterusnya Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah di mana setiap kali tibanya hari raya, kita sentiasa laungkan kalimah وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab. Peperangan Ahzab yang bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh. Peperangan ini berlaku selepas penghalauan Yahudi Bani Nadhir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah setelah mereka cuba membunuh nabi. Tentera Islam seramai 3 ribu orang sahaja terpaksa berdepan dengan tentera bersekutu kuffar seramai 10 ribu orang di mana tiada pertempuran sengit yang berlaku sehinggalah Allah mendatangkan kemenangan kepada tentera Islam yang begitu patuh pada arahan Rasulullah s.a.w disamping kuat ikatan diri mereka dengan Allah melalui ribut pasir dan juga kacau bilau di kalangan musuh.
Firman Allah dalam ayat 22 surah Ahzab :
ولما رءا المؤمنون الأحزاب قالوا هذا ما وعدنا الله ورسوله وصدق الله ورسوله ومازادهم إلا إيمــنا وتسليما
Maksudnya : Manakala ketika orang-orang yang beriman melihat pasukan Ahzab maka mereka berkata : “ Inilah ia yang telah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya kepada kita. Dan benarlah Allah dan rasulNya”. Dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan ketundukan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Peperangan yang berikutnya ialah Peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Bilangan tentera musuh antara 20 hingga 30 ribu orang manakala tentera Islam pimpinan Rasulullah s.a.w berjumlah 12 ribu orang. Pada peringkat pertama tentera Islam hampir kalah akibat diserang dari pelbagai penjuru oleh musuh ditambah dengan serangan saraf bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Ketika suasana yang kacau bilau ini lalu Rasulullah s.a.w melaung suara bagi membangkitkan kembali semangat jihad tentera Islam sehingga baginda bersama 200 tentera yang terus berjuang bukan sahaja berjaya mengalahkan tentera musuh yang ramai malah berjaya mengepung musuh di Taif. Melalui ketiga-tiga peperangan ini kita dapati pelbagai pengajaran penting yang mesti diambil antaranya ialah bahawa proses menang dan kalah merupakan suatu ketentuan Allah bukannya datang secara kebetulan dan bergantung kepada nasib semata-mata. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun. Sayyidina Ali Karramallahu wajhah pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Oleh itu bermula dengan suasana kita yang baru keluar daripada universiti Ramadhan dan telah diberikan ijazah kemenangan dengan anugerah hari raya maka sepatutnya semakin kuat semangat jihad dalam diri dengan bersungguh-sungguh membaca serta mengamal serta melaksanakan seluruh sistem al-Quran sehingga mampu memenuhi syarat umat kemenangan dan kemuliaan yang dijanjikan oleh Allah. Sempena bulan dan hari yang baik ini juga tidak lupa untuk kita terus mendesak agar kerajaan membebaskan mangsa ISA atau bicarakan mereka dengan saluran yang betul supaya anak dan isteri mangsa tidak terus menderita dihari raya. Kita juga menyeru agar Kerajaan Indonesia tidak terus menekan pusat pengajian pondok terutama selepas serangan di Bali sebagaimana tindakan kejam Thailand ke atas guru agama dan pondok-pondok di sana. Tiada untungnya kita tunduk kepada telunjuk musuh. Lihatlah bagaimana Pakistan yang bertindak kejam menutup madrasah dan menghalau keluar pelajar agama dari luar negaranya tetapi apabila ditimpa gempa bumi maka bantuan daripada Amerika Syarikat dan kuasa besar lain agak lewat. Begitu juga dengan pembunuhan di Palestin terus meningkat terutama Amerika Syarikat baru menambahkan bekalan senjata canggih kepada yahudi Israel dalam membunuh umat Islam. Kita mesti ingat kata-kata pemimpin yahudi pada tahun 1967 selepas kejatuhan Baitul Maqdis ke tangan yahudi : " Terlepasnya Baitul Maqdis daripada penguasaan Islam adalah impian bersama antara Yahudi dan Kristian. Kegembiraan Kristian adalah tidak kurang daripada kegembiraan yahudi. Sesungguhnya Baitul Maqdis telah terlepas daripada tangan muslimin. Ia tidak akan kembali ke tangan muslimin melalui mana-mana perundingan di antara yahudi dan muslimin di masa hadapan".
Ketika musuh menutup rapat pintu perdamaian maka adakah kita terus mengharapkan simpati daripada musuh yang saban hari menunggu masa untuk menghancurkan umat Islam. Antara cara terbaik dalam berdepan dengan kejahatan zionis yahudi adalah sebagaimana dinyatakan oleh Presiden baru Iran iaitu kita mesti membuang Israel daripada peta dunia barulah kejahatan mereka dapat disekat. Jadilah umat Islam yang bermaruah yang tidak tunduk kepada musuh walau apa pun yang berlaku. Biar pelbagai halangan, cabaran, ujian yang mendatang namun Islam mesti didaulatkan. Biar bermandi darah namun kita tidak akan berundur walaupun selangkah. Biar bercerai nyawa daripada badan namun kesucian Islam tetap dipertahankan. Tidak barat dan tidak timur tetapi Islamlah menjadi asas kemajuan dan kemuliaan kita. Bila menang kita bersyukur, bila diuji dengan kekalahan kita bersabar, jika mati kita doakan kita gugur syahid namun untuk berhenti daripada perjuangan Islam tidak sama sekali.
Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :
وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين
Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: