أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 30 Ogos 2024

Khutbah Jumaat : Ulama’ DiJulang, Kemerdekaan DiPertahan

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu : قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ Ertinya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan Pada tahun ini kita sama-sama menyambut hari kemerdekaan negara kali ke-67 di mana hakikat sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum: نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ  الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ” Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat” Kemerdekaan juga ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Za’aba, memberi erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”    Sidang Jumaat yang diberkati Allah , Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj : الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾ Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. Bila kita faham bagaimana erti merdeka maka bersungguhlah kita dalam mempertahankan kemerdekaan Negara dengan bersungguh berhijrah daripada terus memuja system kuffar kepada Islam, cara hidup yang bercanggah dengan agama kepada patuh kepada syarak. Kita sedar bagaimana setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah untuk disebarkan, [2]  Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajah terhadap negara jajahannya diperbesarkan dan [3]  Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan. Kemerdekaan yang sedang kita pertahan dan idamkan sekarang ialah Merdeka dari belenggu penjajah. Merdeka dari serangan pemikiran penjajah (al-ghazw al-fikri). Merdeka dari penjajahan ekonomi. Merdeka dari belenggu keberhutangan yang melampau. Merdeka dari budaya ciplak yang songsang, yang tiada kena mengena dengan adat resam ketimuran dan Malaysia. Merdeka dari akhlak yang buruk dan keji serta nafsu serakah yang buruk dan hina. Merdeka dari akal yang terbelenggu dengan kemabukan sama ada disebabkan oleh arak ataupun dadah dengan pelbagai jenis dan bentuk. Merdeka dari kemalasan, kealpaan, ketakutan, kelalaian, kemiskinan, kepapaan, kebodohan, kelemahan dan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya. Merdeka dari kemurungan, kedukacitaan, kesedihan, perasaan yang lemah dan pemikiran yang lemah. Merdeka dari perpecahan, pergaduhan, permusuhan, perseteruan serta peperangan saudara. Merdeka dari kelemahan pembinaan institusi kekeluargaan seperti rapuhnya rumahtangga, ketidakbertanggungjawaban terhadap anak-anak dan remaja, kurangnya kasih sayang, simpati dan empati dari kalangan keluarga. Merdeka dari sifat dan sikap ekstrem, taksub, perkauman yang melampau serta mengeruhkan hubungan etnik, bangsa sekalipun semuanya warganegara Malaysia. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat  11 surah al-Mujadilah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ‎﴿١١﴾‏ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. Perjuangan golongan ulama dalam membebaskan negara daripada belenggu penjajahan mungkin tidak begitu didendangkan, malah mereka sebaliknya pernah dilabel penderhaka dan pemberontak. Namun, sejarah membuktikan betapa tokoh ulama tanah air turut tersenarai sebagai individu penting dalam meniup semangat jihad dan Perang Sabil sehingga masyarakat bangkit menentang penjajahan dan kezaliman. Lebih daripada itu, mereka juga berjaya mendidik masyarakat dengan pendidikan agama bagi mengamalkan ajaran Islam sebenar dan membenteng diri daripada belenggu noda dan nista. Di Kelantan, Haji Mat Hassan Panglima Mat Munas atau Tok Janggut kerana janggutnya sampai paras dada adalah ulama memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu susulan campur tangan British di Kelantan menerusi Perjanjian Bangkok pada 1909. Pada 24 Mei 1915, Tok Janggut bersama kira-kira 1,000 pengikut menyerang kedudukan British di Pasir Puteh, namun beliau terkorban bersama Tok Abas dan Tok Hussein serta beberapa pengikut. Di Terengganu pula, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong adalah tokoh ulama tersohor yang terbabit secara langsung dalam gerakan menentang penjajahan British apabila Penasihat British di Terengganu mengenakan pelbagai cukai menindas rakyat. Tindakan British menimbulkan perasaan tidak puas hati masyarakat dan seterusnya mencetuskan kebangkitan menentang British pada 1919. Akibatnya, Abdul Rahman dibuang negeri ke Makkah dan meninggal dunia di Tanah Suci. Nama Tok Ku Paloh atau Sayid Abdul Rahman Muhammad al-Idrus juga tidak asing dalam sejarah penentangan British di Tanah Melayu. Pembabitan Tok Ku Paloh dalam meniup semangat jihad dan perjuangan dapat dilihat dalam Pemberontakan Pahang. Ketika itu, orang Melayu di bawah pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau berundur dan hampir menyerah diri setelah menghadapi serangan British. Di samping itu, Tok Ku Paloh memberi bantuan seramai 200 orang dari Terengganu dan Kelantan untuk menggempur kedudukan British hingga berjaya menawan kubu British di Jeram Ampai, Pahang. Dikatakan juga, British berundur dalam suatu pertempuran di Terengganu selepas melihat ribuan pahlawan lengkap bersenjata bersedia menyerang kapal mereka. Tok Ku Paloh meninggal pada usia 100 tahun, namun jasa dan perjuangannya tetap dikenang hingga kini. Ramai lagi tokoh ulama pejuang kemerdekaan seluruh negara yang memainkan peranan penting dalam memerdekakan negara dari penjajah Sidang Jumaat yang diberkati Allah, لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ - رواه أبو دأود Maksudnya : Bukan termasuk ummatku, siapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda dan mengetahui hak-hak orang alim. Jika pada zaman penjajah mereka melabelkan ulama pejuang kemerdekaan sebagai pemberontak, penderhaka dan sebagainya. Maka pada zaman selepas merdeka ini ulama yang bersungguh dalam melaksanakan tuntutan sunnah nabi dan berusaha memperjuangkan sistem Islam yang lengkap dalam kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dilabelkan dengan pelampau, jumud, anti kebebasan dan sebagainya. kewajiban setiap muslim terhadap para ulama dan orang-orang soleh adalah mencintai dan menyukai mereka, menghormati dan memuliakan mereka, tanpa berlebih-lebihan atau merendahkan mereka. Mengolok-olok ulama dan orang-orang solehh, mengejek atau melecehkan mereka, tentu saja bertentangan dengan perintah untuk mencintai dan memuliakan mereka. Memperleceh ulama dan orang soleh, sama artinya dengan menghina dan merendahkan mereka. Memperolok-olok dan memandang rendah ulama dan orang soleh, termasuk sifat orang kafir dan salah satu cabang kemunafikan Musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan Nasrani serta orang-orang munafik yang mengikuti mereka, sentiasa berusaha memperleceh ulama Islam, berusaha meruntuhkan kepercayaan umat kepada para ulama dengan sindiran-sindiran dan komentar-komentar negatif tentang ulama. Dalam Protokol 27 Yahudi disebutkan sebagai berikut: “Kami telah berusaha sekuat tenaga untuk menjatuhkan martabat tokoh-tokoh agama dari kalangan selain Yahudi dalam pandangan manusia. Oleh kerana itu, kami berhasil merosak agama mereka yang memudahkan perjalanan kami. Sesungguhnya pengaruh tokoh-tokoh agama terhadap manusia mulai melemah hari demi hari”. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia dan memperingati kemerdekaan negara maka tidak lupa untuk terus kita membantu pejuang Islam Palestin dengan pelbagai cara samada kewangan dan doa serta boikot. Semoga kemerdekaan Palestin dan Masjid Aqsa dapat dicapai dengan usaha kita bersama. Jangan biarkan musuh terus membunuh saudara kita dan merampas bumi Palestin tanpa pembelaan daripada kita. Biar bermandi darah namun pejuang Islam tidak akan berundur walau selangkah. Biar nyawa melayang namun bumi Aqsa tetap kita pertahankan. Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran : وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾ Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.  بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: