أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 30 Ogos 2024

Khutbah Jumaat : Ulama’ DiJulang, Kemerdekaan DiPertahan

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu : قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ Ertinya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan Pada tahun ini kita sama-sama menyambut hari kemerdekaan negara kali ke-67 di mana hakikat sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum: نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ  الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ” Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat” Kemerdekaan juga ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Za’aba, memberi erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”    Sidang Jumaat yang diberkati Allah , Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj : الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾ Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. Bila kita faham bagaimana erti merdeka maka bersungguhlah kita dalam mempertahankan kemerdekaan Negara dengan bersungguh berhijrah daripada terus memuja system kuffar kepada Islam, cara hidup yang bercanggah dengan agama kepada patuh kepada syarak. Kita sedar bagaimana setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah untuk disebarkan, [2]  Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajah terhadap negara jajahannya diperbesarkan dan [3]  Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan. Kemerdekaan yang sedang kita pertahan dan idamkan sekarang ialah Merdeka dari belenggu penjajah. Merdeka dari serangan pemikiran penjajah (al-ghazw al-fikri). Merdeka dari penjajahan ekonomi. Merdeka dari belenggu keberhutangan yang melampau. Merdeka dari budaya ciplak yang songsang, yang tiada kena mengena dengan adat resam ketimuran dan Malaysia. Merdeka dari akhlak yang buruk dan keji serta nafsu serakah yang buruk dan hina. Merdeka dari akal yang terbelenggu dengan kemabukan sama ada disebabkan oleh arak ataupun dadah dengan pelbagai jenis dan bentuk. Merdeka dari kemalasan, kealpaan, ketakutan, kelalaian, kemiskinan, kepapaan, kebodohan, kelemahan dan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya. Merdeka dari kemurungan, kedukacitaan, kesedihan, perasaan yang lemah dan pemikiran yang lemah. Merdeka dari perpecahan, pergaduhan, permusuhan, perseteruan serta peperangan saudara. Merdeka dari kelemahan pembinaan institusi kekeluargaan seperti rapuhnya rumahtangga, ketidakbertanggungjawaban terhadap anak-anak dan remaja, kurangnya kasih sayang, simpati dan empati dari kalangan keluarga. Merdeka dari sifat dan sikap ekstrem, taksub, perkauman yang melampau serta mengeruhkan hubungan etnik, bangsa sekalipun semuanya warganegara Malaysia. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat  11 surah al-Mujadilah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ‎﴿١١﴾‏ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. Perjuangan golongan ulama dalam membebaskan negara daripada belenggu penjajahan mungkin tidak begitu didendangkan, malah mereka sebaliknya pernah dilabel penderhaka dan pemberontak. Namun, sejarah membuktikan betapa tokoh ulama tanah air turut tersenarai sebagai individu penting dalam meniup semangat jihad dan Perang Sabil sehingga masyarakat bangkit menentang penjajahan dan kezaliman. Lebih daripada itu, mereka juga berjaya mendidik masyarakat dengan pendidikan agama bagi mengamalkan ajaran Islam sebenar dan membenteng diri daripada belenggu noda dan nista. Di Kelantan, Haji Mat Hassan Panglima Mat Munas atau Tok Janggut kerana janggutnya sampai paras dada adalah ulama memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu susulan campur tangan British di Kelantan menerusi Perjanjian Bangkok pada 1909. Pada 24 Mei 1915, Tok Janggut bersama kira-kira 1,000 pengikut menyerang kedudukan British di Pasir Puteh, namun beliau terkorban bersama Tok Abas dan Tok Hussein serta beberapa pengikut. Di Terengganu pula, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong adalah tokoh ulama tersohor yang terbabit secara langsung dalam gerakan menentang penjajahan British apabila Penasihat British di Terengganu mengenakan pelbagai cukai menindas rakyat. Tindakan British menimbulkan perasaan tidak puas hati masyarakat dan seterusnya mencetuskan kebangkitan menentang British pada 1919. Akibatnya, Abdul Rahman dibuang negeri ke Makkah dan meninggal dunia di Tanah Suci. Nama Tok Ku Paloh atau Sayid Abdul Rahman Muhammad al-Idrus juga tidak asing dalam sejarah penentangan British di Tanah Melayu. Pembabitan Tok Ku Paloh dalam meniup semangat jihad dan perjuangan dapat dilihat dalam Pemberontakan Pahang. Ketika itu, orang Melayu di bawah pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau berundur dan hampir menyerah diri setelah menghadapi serangan British. Di samping itu, Tok Ku Paloh memberi bantuan seramai 200 orang dari Terengganu dan Kelantan untuk menggempur kedudukan British hingga berjaya menawan kubu British di Jeram Ampai, Pahang. Dikatakan juga, British berundur dalam suatu pertempuran di Terengganu selepas melihat ribuan pahlawan lengkap bersenjata bersedia menyerang kapal mereka. Tok Ku Paloh meninggal pada usia 100 tahun, namun jasa dan perjuangannya tetap dikenang hingga kini. Ramai lagi tokoh ulama pejuang kemerdekaan seluruh negara yang memainkan peranan penting dalam memerdekakan negara dari penjajah Sidang Jumaat yang diberkati Allah, لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ - رواه أبو دأود Maksudnya : Bukan termasuk ummatku, siapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda dan mengetahui hak-hak orang alim. Jika pada zaman penjajah mereka melabelkan ulama pejuang kemerdekaan sebagai pemberontak, penderhaka dan sebagainya. Maka pada zaman selepas merdeka ini ulama yang bersungguh dalam melaksanakan tuntutan sunnah nabi dan berusaha memperjuangkan sistem Islam yang lengkap dalam kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dilabelkan dengan pelampau, jumud, anti kebebasan dan sebagainya. kewajiban setiap muslim terhadap para ulama dan orang-orang soleh adalah mencintai dan menyukai mereka, menghormati dan memuliakan mereka, tanpa berlebih-lebihan atau merendahkan mereka. Mengolok-olok ulama dan orang-orang solehh, mengejek atau melecehkan mereka, tentu saja bertentangan dengan perintah untuk mencintai dan memuliakan mereka. Memperleceh ulama dan orang soleh, sama artinya dengan menghina dan merendahkan mereka. Memperolok-olok dan memandang rendah ulama dan orang soleh, termasuk sifat orang kafir dan salah satu cabang kemunafikan Musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan Nasrani serta orang-orang munafik yang mengikuti mereka, sentiasa berusaha memperleceh ulama Islam, berusaha meruntuhkan kepercayaan umat kepada para ulama dengan sindiran-sindiran dan komentar-komentar negatif tentang ulama. Dalam Protokol 27 Yahudi disebutkan sebagai berikut: “Kami telah berusaha sekuat tenaga untuk menjatuhkan martabat tokoh-tokoh agama dari kalangan selain Yahudi dalam pandangan manusia. Oleh kerana itu, kami berhasil merosak agama mereka yang memudahkan perjalanan kami. Sesungguhnya pengaruh tokoh-tokoh agama terhadap manusia mulai melemah hari demi hari”. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia dan memperingati kemerdekaan negara maka tidak lupa untuk terus kita membantu pejuang Islam Palestin dengan pelbagai cara samada kewangan dan doa serta boikot. Semoga kemerdekaan Palestin dan Masjid Aqsa dapat dicapai dengan usaha kita bersama. Jangan biarkan musuh terus membunuh saudara kita dan merampas bumi Palestin tanpa pembelaan daripada kita. Biar bermandi darah namun pejuang Islam tidak akan berundur walau selangkah. Biar nyawa melayang namun bumi Aqsa tetap kita pertahankan. Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran : وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾ Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.  بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 2 Ogos 2024

Khutbah Jumaat : Mati Syahid DiTagih, Arak dan Judi DiSisih

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 256 surah al-Baqarah: لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّـهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗوَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦﴾ Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Hakikat peperangan dan kemenangan dalam Islam adalah jauh berbeza dengan misi dan cara peperangan yang dilakukan oleh manusia yang melanggar agama. Islam tidak membenar peperangan dengan tujuan untuk memaksa orang lain masuk Islam dengan secara paksa. Islam melarang berperang dengan tujuan agar suatu bangsa atau manusia berkuasa mahu menguasai bangsa atau manusia lemah yang lain. Manusia telah dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenal, bukan untuk saling berbunuhan, bukan untuk saling menguasai. Islam tidak menjadikan matlamat peperangan untuk mencari keuntungan material atau kebendaan. Oleh itu, Islam mengenepikan semua bentuk kemenangan yang di belakangnya tersembunyi kerakusan ekonomi seperti memperluas pasaran untuk memasarkan hasil pengeluaran pihak yang menang atau untuk mendapatkan bahan mentah Negara yang dijajah atau untuk menyedut hasil mahsul sumber alam, atau untuk mendapatkan tempat strategik untuk kepentingan pihak yang menang. Islam juga melarang peperangan untuk memperolehi kemegahan peribadi untuk raja dan para pemimpin atau untuk memuaskan nafsu untuk mencapai ketinggian pangkat dan kekuasaan. Memahami hakikat peperangan dan kemenangan Islam yang telah menyebarluaskan Islam adalah untuk menegakkan kalimat Allah. Peperangan dan kemenangan itu didahului oleh dakwah Islam. Peperangan baru terjadi sekiranya terdapat 2 keadaan yang memaksa iaitu: [1] Jika ada kekuatan kebendaan terutama ketenteraan musuh yang menghalang dakwah yang bersifat damai. [2] Apabila terjadi serangan terhadap kebebasan beragama dan godaan agar kaum Muslimin keluar dari agamanya, baik secara perseorangan atau secara berkelompok. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 169 : وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ (١٦٩) Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan Pemergian asy Syahid Ismail Haniyeh yang menggemparkan dunia Islam beberapa hari lepas. Beliau menyelusuri jalan syuhada’ yang telah dilalui oleh pimpinan pejuang Islam Palestin Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Rantisi yang syahid dengan ledakan peluru berpandu Israel. Sasaran zionis Yahudi terhadap pimpinan pejuang Islam tidak akan berakhir malah terus berlangsung sehingga hari qiamat. Perjuangan umat Islam dalam memedekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa terus berlangsung dan tidak sekali-kali terhenti dengan gugur syahid mana-mana pemimpinnya. JIka umat Palestin tidak pernah penat dan jemu dalam berdepan senjata musuh yang kejam dan ganas maka mengapa kita pula berasa letih dan tidak bermaya untuk terus menyumbang sumbangan dan doa serta boikot barangan musuh Islam. Alangkah lemahnya iman seseorang yang mengaku Islam tapi membiarkan saudara agama bermandi darah dan ditindas oleh pengganas dunia tanpa pembelaan sewajarnya Pejuang Islam tidak pernah takut dengan musuh malah mereka terus bersemangat dalam menunggu giliran untuk mati syahid yang besar ganjarannya Daripada al-Miqdam RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: لِلشَّهِيدِ عِنْدَ اللَّهِ سِتُّ خِصَالٍ: يُغْفَرُ لَهُ فِي أَوَّلِ دَفْعَةٍ، وَيَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الجَنَّةِ، وَيُجَارُ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَيَأْمَنُ مِنَ الفَزَعِ الأَكْبَرِ، وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الوَقَارِ، اليَاقُوتَةُ مِنْهَا خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَيُزَوَّجُ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ زَوْجَةً مِنَ الحُورِ العِينِ، وَيُشَفَّعُ فِي سَبْعِينَ مِنْ أَقَارِبِهِ - رواه الترمذي Maksudnya: “Orang yang mati syahid di sisi Allah SWT mempunyai enam keutamaan: diampunkan dosanya ketika darahnya tertumpah untuk pertama kalinya (pertempuran), diperlihatkan tempatnya di dalam Syurga, diselamatkan daripada azab kubur, diberi ketenangan daripada ketakutan ketika dibangkitkan dari kubur, diletakkan di atas kepalanya makhkota daripada permata yang mana permata itu lebih baik daripada dunia dan isinya, dikahwinkan dengan 72 isteri daripada bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada 70 orang daripada ahli keluarganya” Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah :  يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ‎﴿٢١٩﴾‏ Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:   Ketika ada pihak yang memberi hujah yang dangkal atas alasan hak kebebasan dan agama selain Islam membenarkan judi maka kita datangkan kajian di mana didapati bukan Islam sahaja mengharamkan judi malah agama lain turut meletakkan judi sebagai perbuatan buruk. Ajaran lama Budha Hinayana, menggariskan lima larangan kepada penganut Budha iaitu; ” membunuh, mencuri, menipu, berzina, meminum alkohol dan berjudi”. Namun ajaran baru Budha Mahayana telah melonggarkan larangan ini dan ia hanya terpakai kepada yang mahu menjadi sami atau betul-betul menghayati ajaran Budha. Juga tercatit dalam kitab lama Budha kisah masyhur ‘Ratapan si Penjudi’ (Gambler’s Lament) yang menjadi pengajaran berguna apabila seorang penjudi yang kalah wang taruhan menyebabkan dia kehilangan anak dan isteri. Bagi ajaran Kristian pula tidak ada kejelasan dalam pengharaman judi tetapi ajaran Kristian memberi amaran bagi yang mencari kekayaan secara cepat dan cintakan wang. Majoriti gereja bersepakat menyatakan keburukan judi dan menolak penubuhan pusat judi secara besaran seperti kasino atas dasar ‘melampau’. Manakala gereja Prebysterian menolak terus segala bentuk judi termasuk loteri kerana atas hujah ia mengambil wang dari golongan miskin dan berpendapatan rendah, yang mengharapkan hadiah lumayan, tetapi hanya ‘seorang dalam sejuta sahaja’ yang memenangi hadiah wang yang dijanjikan. Manakala bagi penganut agama Yahudi, para Rabbi (pemimpin agama Yahudi) menetapkan aktiviti judi dibenarkan semasa perayaan Hannukah sahaja sebagai satu bentuk hiburan di musim perayaan. Di Amerika Syarikat sendiri, walaupun di peringat Pusat membenarkan aktiviti judi, namun setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkannya di mana kebanyakan negeri masih tidak membenarkan lesen judi atas sebab kesan moral dan sosial. Adakah Amerika Syarikat dituduh diskriminasi agama kerana melarang judi di kebanyakan negerinya. Oleh itu kita sebagai negara yang Islam adalah tunggak agama rasmi sewajibnya membanteras amalan judi bukan menyuburkannya agar dijauhi daripada laknat dan kemurkaan Allah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ Maksudnya : “Allah melaknat arak, orang yang meminumnya, orang yang menuangkannya, penjualnya, pembelinya, yang memerahnya, yang mengambil hasilnya, penghantarnya dan orang yang meminta dihantarkan. (HR Abu Daud) Tindakan kerajaan mengawal unsur promosi arak di premis pendidikan adalah tindakan yang seharusnya disokong. Ia bertepatan dengan saranan hadis malah langkah ini pernah dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dahulu. Umat Islam dilarang keras terlibat dengan arak. Ia selaras dengan saranan Rasulullah yang melaknat penyebaran arak. Rasulullah ﷺ pernah mengingatkan sahabat supaya menjauhi tempat yang dihidangkan arak. Sabda Rasulullah ﷺ: مَن كان يؤمن بالله واليوم الآخِر، فلا يقعُد على مائدةٍ يُشرب عليْها الخمْر Maksudnya : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul, hendaklah dia menjauhi tempat yang dihidangkan minuman arak” (Riwayat Ahmad) Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa tidak seharusnya bagi seorang Muslim berada ditempat yang terzahir perlakuan yang dilarang oleh Allah. Ini kerana keberadaan mereka ditempat tersebut seolah bersetuju dengan kemungkaran yang berlaku. Malah dibimbangi ia akan memberikan imej negatif kepada diri Muslim itu sendiri. Dengan sebab itu Umar Abdul Aziz pernah mengarahkan satu kumpulan peminum arak untuk dihukum sebat. Tiba-tiba beliau dimaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki yang berpuasa dikalangan kumpulan tersebut. Umar Abdul Aziz bertegas untuk turut mengenakan hukuman adab (hukuman lain) terhadap lelaki tersebut lalu berkata: “Kamu adalah sebahagian dari mereka”. Imam Malik pernah ditanya berkenaan seorang lelaki yang dijemput ke satu majlis yang menghidangkan arak secara jelas. Apakah boleh dia menghadiri majlis tersebut? Imam Malik menjawab: Tidak! Kerana majlis tersebut telah menzahirkan (mempamerkan) kemungkaran yang jelas. Oleh itu syarikat yang terlibat dengan aktiviti dikategorikan memudaratkan seperti arak dan judi tidak wajar dijadikan sumber sumbangan bagi mana-mana pusat pendidikan negara. Tindakan tersebut merupakan normalisasi terhadap aktiviti yang sepatutnya dijauhi oleh anak-anak, pelajar dan juga masyarakat sivil yang baik. Sewajibnya surat pekeliling KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) yang menyatakan di dalam perkara 7.3 bahawa tata cara penerimaan sumbangan adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Sikap terlalu lembut dalam masalah ini akan mudharatkan negara. Jangan kerana ingin mencari sumbangan banyak yang segera maka keselamatan rakyat dan negara tergadai بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ