أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 16 November 2023
Khutbah Jumaat : Kemerdekaan Palestin DiMartabat Penjajahan Zionis Yahudi DiSekat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Palestin dan Masjid Aqsa mempunyai kedudukan yang istimewa di hati umat Islam. Terdapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan bumi Palestin yang telah dinyatakan oleh al-Quran dan dikhabarkan oleh Baginda S.A.W. Palestin menjadi tempat tinggal para Nabi dan Rasul antaranya Nabi Ibrahim, Nabi Luth, Nabi Ya’qub, Nabi Musa, Nabi Isa serta ramai lagi dan akhirnya Allah S.W.T menjadikannya sebagai milik umat Islam setelah bangsa Yahudi menempuh jalan kesesatan. Allah S.W.T memberkati bumi Palestin dan telah turut menyucikannya
Di bumi Palestin inilah terletaknya Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama bagi umat Islam untuk mendirikan solat. Selama hampir 17 bulan Rasulullah S.A.W dan para Sahabat melakukan ibadat solat berkiblatkan Masjid al-Aqsa maka turunlah ayat memerintahkan supaya dialihkan kiblat ke arah Masjidil Haram di Makkah. Allah S.W.T berfirman dalam Surat Al-Baqarah ayat 144:
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Maksudnya : “Sungguh Kami (sering) melihat mukamu mendongak ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram.”
Dalam pada itu, Masjid al-Aqsa juga adalah masjid yang kedua didirikan dalam sejarah peradaban manusia. Sebagaimana yang dinukilkan dalam sebuah Hadis:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ مَسْجِدٍ وُضِعَ فِي الْأَرْضِ أَوَّلُ قَالَ الْمَسْجِدُ الْحَرَامُ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ قَالَ ثُمَّ الْمَسْجِدُ الْأَقْصَى قَالَ أَبُو مُعَاوِيَةَ يَعْنِي بَيْتَ الْمَقْدِسِ قَالَ قُلْتُ كَمْ بَيْنَهُمَا قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً – رواه البخاري
“Wahai Rasulullah, masjid apakah yang pertama diletakkan oleh Allah di muka bumi? Beliau bersabda, ‘Al-Masjid Al-Haram’. Abu Dzar bertanya lagi, kemudian apa? Beliau bersabda, ‘kemudian Al-Masjid Al-Aqsa’. Berkata Abu Mu’awiyah ‘iaitu Baitul Maqdis’ Abu Dzar bertanya lagi, berapa lama antara keduanya? Beliau menjawab, empat puluh tahun.”
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Selain daripada itu ganjaran yang besar sekiranya bersolat di Masjid al-Aqsa iaitu 500 kali ganda daripada solat dari masjid lain,
صَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ مِائَةُ أَلْفِ صَلَاةٍ، وَصَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي أَلْفُ صَلاةٍ، وَفِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَمْسُمِائَةٍ صَلَاةٌ
Maksudnya: “Melaksanakan solat di Masjidilharam (pahalanya) sebanding dengan 100.000 kali sholat (di masjid yang lain), solat di masjidku (Masjid Nabawi) pahalanya sebanding dengan 1.000 kali solat (di masjid yang lain), sedangkan solat di Baitul Maqdis (Masjid Aqsa) pahalanya sebanding dengan 500 kali solat (di masjid yang lain).” (HR Bazar, Ibnu Khuzaimah, & Thabrani dari Jabir bin Abdullah)
Rasulullah S.A.W juga menggalakkan umat Islam bermusafir ke sana seperti yang dinyatakan dalam sebuah Hadis:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”. [Riwayat al-Bukhari ]
Dari sudut geografi pula, kedudukan Palestin terletak di bumi Syam. Rasulullah S.A.W telah mendoakan bumi Syam dengan keberkatan dan para malaikat membentangkan sayapnya ke atas bumi bertuah ini. Sabda Nabi S.A.W:
طُوبَى لِلشَّامِ فَقُلْنَا لِأَيٍّ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لِأَنَّ مَلَائِكَةَ الرَّحْمَنِ بَاسِطَةٌ أَجْنِحَتَهَا عَلَيْهَا
Maksudnya : “Beruntunglah bagi penduduk Syam, maka kami bertanya: Mengapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Kerana para malaikat membentangkan sayap-sayapnya kepada mereka.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Bumi Syam juga dikhabarkan oleh Baginda S.A.W sebagai tempat berlakunya padang mahsyar yang akan menghimpunkan manusia keseluruhannya selepas berlakunya qiamat. Nabi S.A.W bersabda:
عن مَيمونةَ مَوْلاةِ النَّبيِّ عليه السَّلامُ، عنِ النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أنَّها سألتْهُ فقالت: أَفْتِنا في بيتِ المَقدِسِ، فقال: أرضُ المَحشَرِ، والمَنشَرِ،
“Nabi S.A.W ditanya oleh Maimunah mengenai Baitul Maqdis, Baginda bersabda: Bumi tempat berkumpul (mahsyar) dan penyebaran.”(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Demikianlah istimewanya Palestin di hati kita semua. Sokongan kita tidak bermusim kerana kita semua pencinta bumi Palestin yang penuh keberkatan. Kita wajib bersama dengan umat Islam di Palestin untuk membebaskan tanah wakaf milik seluruh umat Islam daripada penjajahan zionis Yahudi dan sekutunya
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 4-7 surah al-Isra’ :
﴿وَقَضَيۡنَآ إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَتُفۡسِدُنَّ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَّتَيۡنِ وَلَتَعۡلُنَّ عُلُوّٗا كَبِيرٗا ٤ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ أُولَىٰهُمَا بَعَثۡنَا عَلَيۡكُمۡ عِبَادٗا لَّنَآ أُوْلِي بَأۡسٖ شَدِيدٖ فَجَاسُواْ خِلَٰلَ ٱلدِّيَارِۚ وَكَانَ وَعۡدٗا مَّفۡعُولٗا ٥ ثُمَّ رَدَدۡنَا لَكُمُ ٱلۡكَرَّةَ عَلَيۡهِمۡ وَأَمۡدَدۡنَٰكُم بِأَمۡوَٰلٖ وَبَنِينَ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ أَكۡثَرَ نَفِيرًا ٦ إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَاۚ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ ٱلۡأٓخِرَةِ لِيَسُُٔواْ وُجُوهَكُمۡ وَلِيَدۡخُلُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٖ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوۡاْ تَتۡبِيرًا ٧﴾
Maksudnya : “Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Isra’il dalam Kitab itu, ‘Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan sesungguhnya kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.’ (4) Maka, apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama daripada dua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka menjelajah di kampung-kampung, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. (5) Kemudian, Kami berikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantu kamu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar. (6) Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi diri kamu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi diri kamu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuh kamu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai. (7)”
Allah SWT mendedahkan senario sejarah bangsa Yahudi yang melakukan kejahatan dan akhirnya mereka akan dimusnahkan. Kini, mereka melakukan kejahatan kali kedua yang akan menempah kemusnahan pada akhir zaman dengan kemenangan umat Islam. Mereka menguasai politik, ekonomi dan kemajuan teknologi persenjataan yang membunuh hidupan dan merosakkan alam sekitar, tanpa mempedulikan amaran daripada kalangan agamawan mereka sendiri. Inilah yang berlaku apabila kalangan sekular yang melampau menguasai pemerintahan negara Israel.
Kemuncaknya terkini, mereka mengganas membunuh rakyat Palestin dan menceroboh Masjid al-Aqsa. Mereka juga sudah bersedia melakukan upacara korban lembu betina berwarna merah mengikut kepercayaan mereka, bagi merasmikan asas Haikal Sulaiman (kuil Yahudi) terbesar menggantikan Masjid al-Aqsa. Pendatang Yahudi dibawa mencurah-curah dengan latihan senjata untuk melakukan keganasan dengan bantuan Amerika Syarikat dan sekutunya negara Eropah dalam gabungan tentera Ahzab yang pernah dimusnahkan pada zaman Rasulullah SAW.
Daripada yahudi, lahirnya pula pencipta ideologi dan teori sesat yang merosakkan politik, ekonomi dan akhlak. Seterusnya, puak Zionis berjuang supaya dapat menguasai politik negara kuasa besar, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ekonomi antarabangsa, serta media yang mempengaruhi pemikiran dan kehidupan manusia yang dilemahkan supaya semuanya berada di bawah kuasa negara besar Israel. Antara pendekatannya ialah mencetuskan huru-hara dan peperangan yang menghancurkan negara dan bangsa lain. Jika dilihat pada sejarah, penglibatan Zionis yang telah mencetuskan dua perang dunia tidak boleh dinafikan sekali-kali.
Dalam aspek ekonomi pula, mereka menyebarkan muamalat riba yang diharamkan oleh Allah SWT. Kini, mereka menguasai Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Melalui kekayaan ekonomi dan pengaruh media, mereka menentukan supaya calon yang menang menjadi ketua kerajaan mestilah menyokong Israel dan melindunginya, sekali gus menjadikan semua calon yang dipilih menang dengan sokongan Zionis. Melalui negara-negara tersebut, ahli-ahli Zionis berjaya berada dalam pentadbiran PBB dan cawangannya, seperti Majlis Keselamatan dan lain-lain. Oleh sebab itu, semua negara kuasa besar terlibat dalam menubuhkan negara haram Israel
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Setelah lebih sebulan serangan besar-besaran oleh pengganas dunia zionis Yahudi ke atas bumi wakaf milik umat Islam iaitu Palestin di mana Jurucakap Kementerian Kesihatan Ashraf al-Qudra berkata tentera Israel membunuh 10,022 orang dan mencederakan lebih 25,000 yang lain. Jumlah korban itu, termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita. Warga Palestin yang cedera pula gagal mendapat bantuan perubatan yang sepatutnya akibat hospital turut dibom manakala bekalan air, elektrik dan minyak dipotong. Inilah lambang kekejaman yang sedang berlaku terhadap saudara seagama kita di bumi Palestin. Situasi ini benar-benar memberikan kesan dalam jiwa dan merasakan bahawa masih ada ruang lagi bagi membantu rakyat Palestin secara langsung pada waktu ini.
Orang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat sebatang tubuh. Apabila satu anggota sakit, maka anggota badan lain akan merasai kesakitan tersebut. Kita sebagai umat Islam boleh menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan untuk membantu saudara seakidah di bumi Palestin. Bantuan ini akan meringankan penderitaan ditanggung penduduk Palestin. Semua pihak perlu bertindak dengan memberi bantuan dan desakan supaya peperangan dan keganasan Zionis Israel ini diberhentikan segera. Kita sebagai umat Islam yang bersaudara perlu membantu perjuangan rakyat Palestin. Kita perlu tunjukkan solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin. Sebagai umat Islam, kita perlu mengangkat tangan memohon pertolongan daripada Allah SWT. Pada saat ini doa ke hadrat Ilahi oleh seluruh umat Islam dari segenap pelusok dunia sangat ditagih rakyat Palestin. Semua pihak perlu berganding bahu membantu saudara kita di bumi Palestin. Yakinlah, kemenangan yang menjadi milik rakyat Palestin semakin hampir. Mereka berjuang dengan cara bertempur untuk pertahan diri, keluarga dan tanah air tercinta yang merupakan tanah wakaf milik seluruh umat Islam. Berbahagialah pejuang-pejuang yang mati syahid. Mereka bakal mendapat rezeki yang tidak putus-putus daripada Allah
Firman Allah dalam ayat 169 surah Ali Imran :
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ﴿١٦٩﴾
Maksudnya : dan janganlah sama sekali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah telah mati. Bahkan mereka hidup dan dikurniakan rezeki di sisi Tuhan mereka.”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan