أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 3 Februari 2023
Khutbah Jumaat : Sweden DiTekan, Kebiadapan Bakar al-Quran DiHalang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah :
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦﴾
Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa
HARI ini kita sudah hampir 2 minggu kita berada dalam bulan Rejab yang merupakan antara 4 bulan haram selain bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sesungguhnya ketibaan bulan Rejab sebagai petanda betapa kita semakin menghampiri bulan yang paling mulia iaitu Ramadan al-Mubarak. Rejab ialah bulan yang mulia dan suci. Selain itu, terdapat juga maksud lain bagi Rejab iaitu kebesaran, rahmat, pemurah, kebajikan dan kerohanian. Seorang Ulama iaitu Abu Bakar al-Warraq RH berkata : “Rejab ialah bulan untuk bercucuk tanam, Syaaban pula bulan untuk menyiram tanaman dan Ramadan pula bulan untuk memungut hasil.”
Bulan haram bermaksud bulan yang mulia lagi dihormati. Pada bulan ini, mereka akan menangguhkan peperangan, perjalanan dan perniagaan lantaran bulan ini perlu diberi fokus untuk membanyakkan amalan yang mulia.
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan dalam kitab Fathul Bari bahawa pengharaman atau kemuliaan bulan Rejab berlaku disebabkan perselisihan masyarakat Arab dalam penentuan waktu peperangan. Apabila mereka ingin menangguhkan peperangan maka mereka akan mengharamkan bulan berkenaan sebagai tanda penghormatan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾
Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Tahun ini ketika taqwim Hijrah baru sahaja mahu beralih kepada bulan Rejab tiba-tiba dunia dikejutkan dengan tragedi agenda Islamofobia yang terbaru ialah perbuatan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di Stockholm, Sabtu lalu sebagai tindakan melampau serta terdesak kumpulan terpencil untuk mendapat perhatian. Tindakan biadap dan tidak bertamadun itu sewajarnya dikutuk dan dikecam, bukan saja oleh negara umat Islam, malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian. Kebiadapan Paludan diteruskan dengan tindakan membakar al-Quran lepas solat Jumaat di depan sebuah Masjid di Sweden. Malah beliau mengugut untuk membakar al-Quran setiap Jumaat.
Dalam masa yang sama Pegawai Sweden, Kementerian Luar Israel dan Kedutaan Israel, bekerjasama menghalang penunjuk perasaan yang mahu membakar kitab suci Yahudi, Torah di ibu negara Sweden. Sekumpulan pelampau meminta permit polis, berusaha untuk mengadakan protes di luar Kedutaan Israel di Sweden dan mahu membakar skrol Torah iaitu kita yahudi. Namun, sebaik sahaja berita itu diketahui, diplomat Israel bergegas menghubungi rakan sejawatan mereka di Sweden, meminta protes dihalang dengan alasan “tindakan kebencian”. Keadaan ini mencerminkan sikap kepura-puraan Sweden secara terang-terangan apabila membenarkan seorang pemimpin berhaluan kanan, Rasmus Paludan, membakar senaskhah al-Quran di luar kedutaan Turki di Stockholm pada 21 Januari lalu dan Jumaat lepas. Sedangkan terus bertindak dengan menghalang kitab Yahudi daripada dibakar. Ini sikap bacul dan bermuka-muka kerajaan Sweden.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 108 surah al-An’am :
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ فَيَسُبُّوا اللّٰهَ عَدْوًاۢ بِغَيْرِ عِلْمٍۗ كَذٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ اُمَّةٍ عَمَلَهُمْۖ ثُمَّ اِلٰى رَبِّهِمْ مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ.
Maksudnya : “Dan janganlah kamu mencela sembahan yang mereka (orang kafir) sembah selain Allah kerana mereka nanti akan mencela Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka (Allah S.W.T) tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.
Islam sangat melarang seseorang itu mencela agama lain. Hal ini kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganutnya dan akan menyebabkan mereka bertindak balas dan mencela Islam kembali. Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan maknanya adalah janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka.
Pada asasnya, al-Quran termasuk dalam kitab suci dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum-hakam Islam. Al-Quran juga adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Bahkan, al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membaca dan bertadabbur.
Begitu juga mencintai al-Quran termasuk dalam salah satu tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT. Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Sahl bin Abdullah yang menyebutkan, tanda seseorang itu mencintai Allah adalah dengan mencintai al-Quran, tanda seseorang itu mencintai al-Quran adalah dengan mencintai Nabi SAW, tanda seseorang itu mencintai Nabi SAW adalah dengan mencintai sunnah, tanda seseorang itu mencintai Allah, al-Quran, Nabi dan sunnah adalah dengan mencintai akhirat, tanda seseorang itu mencintai akhirat adalah dengan mencintai dirinya sendiri, tanda seseorang itu mencintai dirinya sendiri adalah dengan membenci dunia dan tanda seseorang itu membenci dunia adalah dengan dia tidak mengambil daripada dunia itu melainkan sebagai bekalan dan sekadarnya yang cukup sahaja bagi kehidupan. Ibn Mas‘ud R.A melalui pesananannya bahawa:
لَا يُسْأَلُ أَحَدُكُمْ عَنْ نَفْسِهِ إلَّا الْقُرْآنُ فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُحِبُّ اللَّهَ وَإِنْ كَانَ يُبْغِضُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُبْغِضُ اللَّهَ وَرَسُولَ
Maksudnya: “Janganlah ditanya seseorang daripada kamu itu tentang dirinya melainkan al-Quran. Hal ini kerana sekiranya dia mencintai al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah, dan sekiranya dia membenci al-Quran maka sesungguhnya dia (sebenarnya) membenci Allah dan Rasul-Nya.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 61 surah al-Anfal :
وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١﴾
Maksudnya : Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui
Berbalik kepada isu penghinaan terhadap al-Quran itu, apa yang kita boleh lakukan sebagai seorang Muslim terutamanya di Malaysia. Kita mungkin tidak mampu untuk memerangi atau menentukan hukum kepada pesalah memandangkan kita bukanlah rakyat di negara sana. Oleh itu, ada 2 cara bagi menunjukkan penentangan terhadap isu ini. Yang pertama adalah dengan cara yang lembut iaitu dengan cara mendoakan mereka dan yang kedua adalah memberikan kesan kepada tahap ekonomi mereka dengan cara memboikot produk daripada negara Sweden.
Kejadian penghinaan ini wajib kita benci perbuatan tersebut. Namun siapalah kita untuk menghukum seseorang sedangkan hidayah Allah SWT itu luas. Bukan itu sahaja, hukuman juga tertakluk kepada sistem pemerintahan sesebuah negara. Oleh itu, kita boleh mendoakan kepada pesalah tersebut sama ada mendoakan agar diberikan hidayah buatnya. Janganlah pula kita menunjukkan sikap yang buruk seperti menghina agama mereka, memaki hamun dan sebagainya. Tindakan ini juga dilaknat keras oleh Allah SWT bagi sesiapa yang menghina agama lain. Setelah berdoa, selebihnya adalah urusan Allah SWT dan Allah sentiasa tahu apa yang terbaik buat hambaNya.
Selain berdoa, kita juga boleh bertindak dan memberi kesan kepada tahap ekonomi mereka. Salah satunya ialah dengan cara memboikot produk keluaran Sweden. Dengan cara ini, boleh memberikan pengajaran terhadap negara tersebut bahawa besar kesannya jika mencabar agama Islam. Antara produk yang boleh diboikot adalah IKEA, H&M, Ericcson, Electrolux dan Scania. Tindakan memboikot ini bukanlah dengan erti kita perlu membakar barang kepunyaan sendiri yang dibuat daripada Sweden. Dan bukan juga mendatangkan bahaya kepada perusahaan dan stor-stor yang telah disebutkan tadi. Boikot dengan cara berkempen dan menghentikan pembelian daripada perusahaan mereka buat sementara waktu. Jika tindakan ini dilakukan oleh seluruh Muslim disetiap negara, sudah tentu akan menjejaskan ekonomi negara Sweden. Secara tidak langsung mereka akan sedar tentang kepentingan menghormati agama Islam. Bahkan lebih baik lagi jika mereka sendiri yang melakukan permohonan maaf atas kelakuan yang buruk itu.
Disini jelas bahawa menghormati agama lain sangat dituntut bukan sahaja dalam agama Islam, bahkan agama selain Islam. Agama lain juga menganjurkan hormat-menghormati kerana tiada agama yang berteraskan kekerasan dan menolak keharmonian. Tindakan proaktif perlu diambil bagi membendung sikap Islamophobia ini. Sesi penerangan dan pendidikan sama ada menerusi dialog atau perdebatan perlu dilakukan oleh umat Islam kepada masyarakat bukan Islam yang berada di dunia Barat mengenai ajaran sebenar yang dibawa oleh Islam. Umat Islam sendiri harus tampil berani menerangkan dengan jelas bahawa Islam ialah agama yang sentiasa mementingkan kedamaian bukannya pergaduhan, peperangan dan keganasan.
Firman Allah dalam ayat 190 surah al-Baqarah :
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya : “Dan perangilah kerana (menegak dan mempertahankan) agama Allah (Islam) akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan