أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 21 Januari 2022

Khutbah Jumaat : Unboxing isteri dan Pluralisme DiHindari Umat DiBerkati

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat  77 surah al-Qosas : وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ ‎﴿٧٧﴾‏ Maksudnya : "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ". Islam satu-satunya al-Din yang diredai Allah yang akan menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan yang abadi kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu, ramai manusia berpusu-pusu memeluk dan menganut Islam sebagai teras dan dasar kehidupan mereka. Walaupun begitu, masih terdapat kebanyakan umat Islam yang belum memahami dan menghayati Islam yang sebenarnya.  Merenung senario umat Islam kini, kedapatan ramai umat Islam yang mengaku dirinya sebagai Muslim namun mereka masih lagi melakukan larangan Allah seperti berjudi, mendedah aurat, berzina, rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Tidak kurang juga terdapat segelintir umat Islam yang berkefahaman sempit dan jumud dengan anggapan Islam hanyalah untuk akhirat semata-mata dan mereka meminggirkan terus urusan dunia yang merupakan jambatan menuju alam akhirat. Seiringan dengan gelombang kesedaran Islam kini, umat Islam sewajibnya menilai dan memahami hakikat beragama sebenarnya menurut kaca mata Islam. Al-Din Islam yang diredai Allah tidak hanya sekadar ucapan lidah bahawa dia beriman kepada Allah, bahkan keimanan perlu diterjemahkan dengan amalan yang disyariatkan Islam bukan sahaja dalam ibadat khusus seperti solat, puasa malah merangkumi cara ekonomi, politik, sosial wajib berteraskan Islam Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat  269 surah al-Baqarah : يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩﴾ Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. Amat merisaukan apabila cabaran penghayatan agama dalam diri anak-anak Muslim pada hari ini makin rapuh. Dunia terbuka, menambahkan lagi parah dan telah membenarkan banyak aliran pemikiran yang masuk di kalangan masyarakat, yang ternyata memberatkan lagi cabaran dalam kehidupan beragama.  Oleh itu, pembelajaran ilmu agama adalah benteng utama buat kita semua, terutamanya buat anak-anak yang perlu dididik bukan sahaja di sekolah, malah perlu dihidupkan pembelajaran agama di luar sekolah. Ustaz dan Ustazah mendidik anak-anak kita di sekolah. Kita pula sebagai ibu bapa memberi bimbingan kepada anak-anak apabila di rumah. Ibu ayah, dan kita semua perlu bersama berperanan untuk terus menguatkan pegangan agama yang melibatkan semua umat Islam.  كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ – رواه البخاري Maksudnya : Anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani, ataupun Majusi.” Tular isu berkenaan pertikaian berkenaan subjek agama yang terdapat di dalam silibus Sekolah Rendah, memberi jentikan untuk kita secara bersama berminat menyelongkar kesedaran utama dalam pembelajaran agama, dan pastinya minat ini perlu sentiasa dipertingkatkan.  Menghapuskan subjek agama tidak akan menyelesaikan masalah, malah ianya akan mencipta lebih banyak lagi cabang masalah terutama daripada aspek aqidah dan cabaran sosial anak-anak kita ada hari ini. Sewajibnya sukatan agama diperkasakan lagi di semua peringkat pengajian Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali Imran : وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ‎﴿٨٥﴾ Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. Kita dikejutkan dengan penyebaran istilah Perayaan Hari Agama Sedunia yang bercanggah dengan Islam kerana mempunyai unsur pengiktirafan kepada kebenaran agama lain. Sebagai Muslim, kita meletakkan segala kesetiaan dan ketaatan hanya kepada agama Islam dan berlepas diri (bara’ah) daripada sebarang unsur-unsur yang mengiktiraf agama lain. Firman Allah dalam ayat 19 surah ‘Ali-Imran: إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ Maksudnya : Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam. Benar Islam adalah agama rahmat yang bersifat universal, penuh toleransi dan menerima hakikat wujudnya pelbagai agama (pluraliti) di muka bumi ini. Namun demikian, ia bukan bermakna Islam menyeru kepada kesamarataan agama dan mempercayai agama lain sebagai satu kebenaran seperti yang dipercayai dalam ajaran Pluralisme agama. Berhati-hatilah dalam bertoleransi, jangan sampai melebihi hak-hak yang sepatutnya. Semoga Allah menetapkan agar kita sentiasa berada di atas jalan-Nya yang lurus, dan menjauhkan kita daripada jalan yang menyimpang. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 8 surah al-Mumtahanah: لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Ketika banjir besar yang melanda Negara baru ini timbul isu orang Islam membersih kuil. Secara dasarnya seorang Muslim itu tidak boleh melibatkan diri dalam kerja gotong royong membersihkan rumah ibadat agama lain. Hal ini kerana ia dibimbangi boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam kategori membantu ke arah kesyirikan yang jelas dilarang dalam Islam. Namun hal ini tidak sama sekali menegah kita daripada menunaikan hak kemanusiaan lain dengan membantu non-Muslim yang terkesan dengan sebarang musibah atau yang memerlukan bantuan melalui cara lain. Antaranya dengan membersihkan rumah kediaman dan harta benda mereka serta menghulurkan bantuan kewangan dan barang keperluan. Toleransi ada batas dan hadnya maka belajar dan bertanyalah kepada pihak yang berkenaan termasuk majlis agama Islam agar kita tidak terjebak kepada terlibat dengan perkara yang boleh merosakkan iman Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim : ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan  Isu terbaru juga akibat kejahilan dan mudah terikut dengan budaya luar yang merosakkan iaitu tular di media sosial pasangan pengantin baharu yang menjalankan upacara ‘unboxing isteri’. Pemerhatian dari video yang dipaparkan, istilah ‘unboxing isteri di sini membawa maksud pihak suami menanggalkan perhiasan daripada pakaian isterinya. Istilah unboxing itu sendiri seolah-olah menjadikan wanita material dagangan yang dilakukan seperti barang perniagaan. Upacara unboxing isteri ini secara zahirnya dilihat bercanggah dengan prinsip Islam. Rasulullah SAW memerintahkan suami supaya sentiasa menjaga kehormatan isteri dan penampilan mereka. Suami tidak seharusnya menjadikan isteri mereka sebagai objek perhiasan buat tatapan umum. Oleh itu umat Islam dilarang daripada terjebak dengan perbuatan yang mendatangkan fitnah dan kemurkaan Allah. Jagalah maruah diri dan ahli keluarga kita daripada dipertonton kepada orang lain ثَلَاثَةٌ قَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ الْجَنَّةَ مُدْمِنُ الْخَمْرِ وَالْعَاقُّ وَالدَّيُّوثُ الَّذِي يُقِرُّ فِي أَهْلِهِ الْخَبَثَ – رواه أحمد Maksudnya: Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga: Iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: