أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Isnin, 10 Mei 2021

Khutbah Aidil Fitri 1442H

KHUTBAH PERTAMA اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ …. فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ Firman Allah dalam ayat 39-40 surah an-Hijr : قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ‎﴿٣٩﴾‏ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ ‎﴿٤٠﴾ Maksudnya : “Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik” Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Hakikat Aidil Fitri adalah perayaan kemenangan iman dan ilmu atas nafsu di medan jihad Ramadhan. Setelah berhasill menundukkan nafsu, kita dapat kembali ke fitrah kejadian kita ialah sebagai hamba bertaqwa yang tunduk patuh kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan. Jika ketika menunakan ibadat puasa Ramadhan kita mesti berilmu bagi memastikan puasa kita diterima oleh Allah maka begitulah ketika menyambut Aidilfitri maka mesti berdasarkan ilmu agar pematuhan adab dan batasan yang telah ditetapkan oleh Allah dan ditunjuk oleh nabi s.a.w dalam berhari raya dijaga serta tidak menurut hawa nafsu seperti berpakaian mendedah aurat, pergaulan bebas, pembaziran, hiburan yang melalaikan. Kita merayakan Aidil Fitri dalam keadaan merdeka atau bebas daripada 2 penjajahan besar iaitu [1] Penjajah Syaitan di mana sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sebagaimana janjinya kepada Tuhan dalam ayat 39-40 surah al-Hijr yang dibaca awal khutbah tadi Pada 1 Syawal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan,? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Allah, berapakah yang menurut seruan Syaitan? Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka layaklah untuk kita bergembira di Syawal ini. Berbahagialah hamba Allah yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan. اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ Firman Allah dalam ayat 23 surah al-Jaathiyah : أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ‎﴿٢٣﴾ Maksudnya : Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? Syukur atas hari raya juga akan lebih bermakna bila kita mampu memerdekakan diri daripada penjahan kedua iaitu hawa nafsu. Cara kita menyambut perayaan ini sebenarnya adalah satu lambang terhadap siapakah diri kita yang sebenarnya. Samada seorang yang benar-benar menjadi hamba Allah atau sekadar menjadi hamba kepada Ramadan sebagaimana ungkapan Hukama’ : Tidaklah seseorang itu bergembira tanpa mengingati Allah melainkan dia sebenarnya telah dilupakan oleh Allah swt. Seorang yang lalai akan bergembira dengan hawa nafsu mereka sedangkan seorang yang berakal akan gembira ketika mana dia semakin dekat kepada Allah. 5 Tips dalam mengawal nafsu sebagaimana yang dinukil oleh Imam a-Ghazali : [1] Tazkiyyah al-Nafs iaitu suatu usaha gigih dan bersungguh-sungguh untuk membersih dan menyucikan diri seseorang dari sifat-sifat buruk dan keji (mazmumah) yang menjadi satu rintangan kepada penyuburan akhlak mulia (mahmudah) [2] Mujahadah iaitu bersungguh dalam melawan hawa nafsu dengan menggunakan ilmu pengetahuan dan mengendalikan secara berhikmah dengan ditambah dengan tahap kesabaran yang tinggi. Ibnu Ata’illah menegaskan dalam kalam hikmahnya, : “Apabila Allah berkehendak memenangkan seseorang hamba-Nya maka Allah akan membantunya dengan diberi-Nya bantuan tentera yang terdiri daripada berbagai-bagai cahaya hidayah yang langsung masuk ke dalam hati dan Allah juga akan melemahkan nafsu dan syaitan dengan menjauhkan daripada ruang hatinya berbagai-bagai kegelapan dan berbagai-bagai pengaruh makhluk”. [3] Melazimi atau membiasakan amalan kebaikan secara istiqamah dan berterusan supaya menjadi kebiasaan dalam kehidupan termasuk amalan baik yang kita buat pada bulan Ramadhan lalu dapat diteruskan dalam 11 bulan selepasnya [4] Melakukan sesuatu bertentangan dengan sifat mazmumah iaitu dengan cara sentiasa bersabar daripada terjerumus untuk melakukan perkara mazmumah seperti marah, khianat, sombong dengan melakukan sifat mahmudah seperti sabar, amanah dan rendah diri [5] Muraqabatullah iaitu yakin bahawa pengawasan diri terhadap Allah dengan merasakan diri diawasi oleh Allah dan menumpukan perhatian yang bersungguh-sungguh kepada-Nya اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ Firman Allah dalam ayat 33 surah Al-Anfal: وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ‎﴿٤٥﴾ Maksudnya : Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; Ini merupakan tahun kedua kita menyambut hari raya dalam suasana berdepan dengan musibah covid -19. Musibah yang menimpa memerlukan jiwa yang kental agar tidak menjadikan kita sebagai umat yang putus asa dan malas berusaha untuk keluar daripada masalah yang dihadapi. Ramai yang tertekan jiwanya termasuk menyambut hari raya tidak sebagaimana kebiasaan jauh daripada ibubapa atau anak-anak serta sanak saudara. Jangan berhenti dalam memohon kepada Allah agar dihilangkan wabak merbahaya ini dengan memperbanyakkan solat dan doa kepada Allah serta istighfar dan taubat. Kita juga mendesak agar kerajaan mengawal selia rancangan TV, radio dan media massa agar lebih patuhi syariah supaya rakyat tidak terus hanyut dengan maksiat ketika gelombang musibah sedang melanda. Suatu pesanan indah daripada Sheikh Sya’rawi tentang bala ujian “Sungguh, seseorang hamba itu akan sentiasa lupa kepada Allah sehingga Allah hantar bala kepadanya supaya dia kembali ingat dan cinta kepada Allah, lalu Allah pun mencintainya. Maka ketika itu, bala yang ditimpanya akan diangkat kembali dan Allah akan mengurniakan kepadanya rezeki yang melimpah” Firman Allah dalam ayat 33 surah Al-Anfal: وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ ‎﴿٣٣﴾‏ ‎ Maksudnya : Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun). Hanya golongan yang selalu membiasakan diri dengan zikrullah akan terselamat dan mampu berhadapan dengan cabaran getir itu. Sememangnya dengan melazimi zikir, ia secara langsung dapat menjadikan badan kita kuat dan cergas. Hal ini dibuktikan melalui sebuah riwayat hadis daripada Sayyidina Ali bin Abi Thalib R.A apabila Fatimah R.Anha mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa tangannya alami kecederaan dan beliau menginginkan seorang hamba untuk membantu. Lalu Nabi SAW mengajar zikir yang dapat memberi kekuatan kepada mereka dengan bersabda: أَلَا أَدُلُّكُمَا عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ ؟ إِذَا أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا، أَوْ أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، فَكَبِّرَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، وَسَبِّحَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، وَاحْمَدَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، فَهَذَا خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ Maksudnya: “Tidakkah kamu berdua mahu aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang hamba? Maka apabila kamu berdua mendatangi tilam atau dalam keadaan kamu berdua berbaring untuk tidur, bertakbirlah sebanyak 33 kali, bertasbihlah sebanyak 33 kali dan bertahmidlah sebanyak 33 kali. Hal ini adalah lebih baik untuk kamu berdua berbanding bantuan seorang hamba”. (Riwayat Al-Bukhari) Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, قَالَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنْ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا – رواه البخاري Maksudnya : “Perumpamaan orang yang mematuhi dan melanggar batas-batas hukum Allah adalah seperti suatu kaum yang mengundi untuk menentukan kedudukan masing-masing yang belayar di dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Apabila mereka yang berada di bahagian bawah ingin mendapatkan air, mereka melalui tempat orang yang berada di bahagian atas. Lalu mereka berkata sesama mereka: “Jika kita menebuk lubang tempat kita ini, nescaya kita tidak akan mengganggu orang yang berada di atas. Sekiranya orang yang berada di atas membiarkan saja apa yang dilakukan orang yang di bawah itu maka mereka semua akan binasa. Namun jika mereka mencegah dengan tangan mereka maka mereka akan selamat semuanya”. Ketika berdepan dengan musibah covid-19 ini kita wajib memperkasakan kerja menyuruh umat kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran kerana ini antara usaha dalam menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Nabi s.a.w mengibaratkan kita seperti penumpang sebuah kapal di mana jika dibiarkan penumpang sebelah bawah menebuk lubang lantai kapal maka semua penumpang samada yang di atas atau yang di bawah bakal karam bersama. Begitulah juga dalam menangani masalah covid-19 di mana jika hanya setengah pihak seperti barisan hadapan sahaja yang bersungguh menyekat penularan wabak berjangkit ini sedangkan ramai pihak lain tidak mahu mematuhi SOP yang ditetapkan maka penyakit ini semakin merebak Apa yang lebih malang apabila virus berita palsu lebih banyak tersebar sehingga meracuni masyarakat yang menyebabkan suasana semakin bercelaru. Zaman kini, posting dan penulisan dalam media sosial juga termasuk dalam kategori ‘perkataan’ yang jika baik posting tersebut, maka akan beroleh pahala. Sebaliknya jika posting yang berniat jahat maka ia sama seperti ucapan khianat yang mendapat dosa dan seksa. Ingatlah kita bahawa malaikat Raqib dan Atid tidak pernah pencen dan rehat daripada menulis pahala dan dosa kita. Nabi SAW telah memberi peringatan agar tidak bercakap dalam perkara yang tidak diketahui kebenarannya melalui sabdanya: إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِق– رواه البخاري Maksudnya : “Seorang hamba itu apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ Firman dalam ayat 46 Surah al-Anfal: وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ‎﴿٤٦﴾ Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. Laungan kalimah وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab di mana kalimah ini sentiasa dilaung setiap kali menyambut hari raya bagaikan suatu isyarat dalam menyemarakkan semangat jihad dan menambah keyakinan bahawa Islam pasti menang walau pun diserang dan dimusuhi sebagaimana kemenangan yang dicapai oleh tentera Islam dalam peperangan Ahzab atau Khandak. Laungan kemenangan ini bukan slogan kosong malah wajib dihayati dalam mengembalikan semula kehebatan dan kemuliaan umat Islam. Oleh itu wajib diubati virus hilangnya kepercayaan dalam diri umat Islam sendiri terhadap keunggulan syariat Islam. Kejayaan umat Isllam silam dianggap nostalgia indah yang menjadi dongeng turun temurun. Seolah ia tak punya hubungan dengan kehidupan sekarang. Akhirnya muncul golongan mengaku beriman dengan al-Quran tetapi masih ragu-ragu dengan kelengkapan ajarannya. Syariat Islam menjadi asing di tengah masyarakat Muslim. Sebahagian kita menjadi silau dengan segala budaya dan ilmu pengetahuan yang datang dari Barat dan di luar Islam. Parahnya lagi ada yang sampai membenci agama sendiri yang dianggap ajaran kolot, menyekat kebebasan dan punca kemunduran. Memahami dengan bahayanya virus ini maka kita wajib mengubatinya segera secara bersungguh-sungguh dalam mengembalikan semula kegemilangan umat Islam antaranya dengan menyuntik 3 vaksin utama: [1] Pemerkasaan ilmu kerana dengan ilmu, adab seorang Muslim juga mampu terjaga. Seseorang berilmu makin mengenal siapa dirinya dan mengetahui hak dan kewajibannya sebagai hamba Allah dan menjadi khalifah yang bertugas mengurus kemaslahatan di muka bumi. [2] Membangun iman yang mendalam di mana Memahami syariat Islam dengan baik menjadi tidak bermakna tanpa adanya iman. Iman adalah bekal untuk menggapai keredhaan dan pengakuan Allah serta jaminan keselamatan dunia dan akhirat [3] Membangun ukhuwah tali persaudaraan atas dasar iman yang kukuh. Kelonggaran ukhuwah di kalangan umat Islam telah membuka ruang besar bagi musuh-musuh Islam untuk memecahbelahkan umat Islam. Sebahagian kita terus sibuk berbalah sesama sendiri sedangkan di luar sana musuh-musuh Islam bertepuk riuh dengan keadaan ini Semoga tarbiah Ramadhan dan semangat Syawal mampu menyatukan kita atas dasar iman seterusnya bergerak seiring sekata sehati sejiwa dalam mengembalikan semula kehebatan Islam Islam serta menjulang kegemilangan umat. Islamlah nescaya kita selamat dan Berjaya dunia dan akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ KHUTBAH KEDUA اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .أَمَّا بَعْدُ..فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ Firman Allah dalam ayat 78 Surah al-Maidah : لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ ‎﴿٧٨﴾‏ Maksudnya : Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, Ibadat solat berjemaah, puasa dan zakat banyak mengajar kita tentang kepentingan hidup secara berjemaah dan mengambil berat tentang penderitaan umat Islam yang lain. Islam agama sejagat yang tidak terbatas kepada bangsa atau Negara tertentu sahaja. Ruh kesejagatan Islam ini wajib dihayati agar penderitaan umat Islam seperti di Myanmar, Syria dan Negara lain dapat diberi perhatian dan bantuan sewajarnya. Kita mengutuk tentera rejim zionis Israel yang bertindak biadab dengan melemparkan bom tangan dan bom asap, malah melakukan serangan dengan menembak para jemaah di dalam Masjid al-Aqsa menggunakan peluru getah sehingga mencederakan lebih 178 orang rakyat Palestin. Tindakan tidak berperikemanusiaan dan menambah luka umat Islam tatkala sedang menunaikan solat dan beribadat di penghujung Ramadhan baru lalu. Ketika mengkaji bagaimana sebuah negara penjajah bernama Israel yang penduduknya datang dari 150 negara lain diikat untuk cinta dan setia kepada negara mereka serta mempertahankannya dengan jiwa raga mereka walaupun mereka adalah bukan penduduk asal tempat itu. Ada 4 ikatan yang disemat kemas dalam jiwa zionis Yahudi ini iaitu : [1] Ikatan agama di mana tiada ikatan yang dapat mewujudkan kasih sayang dan kesetiaan yang lebih kuat daripada agama. Perkataan Zion didakwa disebut dalam Taurat sebanyak 809 kali dan apabila negara itu dibentuk pada 1948, seluruh penduduk Yahudi digesa kembali ke Israel atau Judea dan Samaria untuk menjadi pusat agama dan bangsa Yahudi semula selepas mereka hilang kekuasaan ribuan tahun dahulu akibat dijajah Rom. [2] Kewajipan berkhidmat dalam tentera di mana anak menteri sehinggalah anak petugas kebersihan, lelaki dan perempuan diwajibkan berkhidmat dalam tentera selama 2 hingga 2 tahun setengah. Yang dapat lari dari khidmat wajib tentera ini hanya golongan ortodoks Yahudi yang belajar di sekolah agama mereka. [3] Media di mana majoriti penduduk hanya mendengar berita dari dalam negara. Ini bermakna penduduk Israel adalah penduduk yang tertutup dan media mampu memainkan peranannya membentuk pemikiran masyarakat. Walaupun media di Israel jauh lebih bebas dan telus berbanding kebanyakan negara Islam, tetapi ia memainkan peranan cukup penting dalam memastikan penduduk sentiasa berada dalam keadaan waspada dan sensitif kepada keselamatan Israel. [4] penduduk Israel diikat dengan institusi pendidikan di mana Bahasa Hebrew menjadi bahasa asas. Jika Israel dengan ikutan agama dan negara palsu yang dicipta pun mampu menyatukan anak bangsanya, sepatutnya umat Islam yang diikat dengan agama yang lurus serta kesatuan ummah perlu berasa insaf dan tidak berpecah belah kerana kepentingan kuasa dan tipu daya dunia. اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ Selamat hari raya Aidil Fitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Banyakkan bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira terutama yang terkesan teruk sepanjang musibah wabak covid-19. Rebutlah peluang untuk menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ ( رواه مسلم ) Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun. اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيْ الحَاجَاتِ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلا يَرْحَمُنَا, بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. اللَّهُمَّ إِنِّا نعُوذُبِكَ مِنْ البَرَصِ، وَالجُنُونِ، وَالجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَامِ. اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ. نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ. Ya Allah! Jauhilah kami daripada bala’ bencana, wabak penyakit berjangkit covid 19, pelbagai perlakuan keji dan mungkar, segala kepayahan dan dugaan yang zahir dan yang tersembunyi. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau ampunilah dosa-doa kami, kedua ibu bapa kami,adik beradik kami, anak-anak kami dan seluruh keluarga kami . Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami. Engkau lindungilah hamba-hamba Mu yang kerdil ini dari segala musibah, Engkau jauhilah diri kami dari penyakit yang merbahaya dan wabak yang mengancam nyawa, Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini, Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami, Sesungguhnya setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami Ya Allah tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kami kepadaMu. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Angkatkan musibah ini dari kami dan pulihkan kembali keadaan ekonomi, sosial, pengajian, keselamatan dan permudahkan untuk kami menyuburkan masjid dan surau sebagaimana biasa. Ya Muqallibal Quluub, Teguhkan hati kami dalam agama Islam dan janganlah kau tarik nikmat Islam di dalam hidup kami. Sebagaimana Engkau kumpulkan kami pada hari raya ini maka kumpulkanlah kami untuk kebahagiaan yang berkekalan dalam SyurgaMu di akirat nanti اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَزَكَاتَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Tiada ulasan: