أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 26 November 2020

Khutbah Jumaat : Perjuangan Nabi s.a.w DiIkuti Ketagihan Arak DiTangani

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 33 surah At Taubah : هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ (33( Maksudnya : Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukainya.” Kita baru sahaja meninggalkan bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w. Dalam masa yang sama janganlah kita terlupa bahawa dalam bulan yang sama turut merakamkan peristiwa yang sedih dan memilukan seluruh umat Islam apabila pada bulan yang sama nabi Muhammad s.a.w diwafatkan. Selepas mengerjakan haji wida’ di Mekah pada tahun ke-10 hijrah lalu baginda s.a.w pulang ke Madinah. Setelah tiba di Madinah, Rasulullah s.a.w telah memerintah tentera Islam untuk menyerang Rom yang berkubu di Balqa’, Jordan dan Palestin di mana baginda memilih Usamah bin Zaid sebagai panglima perang. Setelah persiapan perang telah siap dan hanya menunggu arahan seterusnya daripada Rasulullah s.a.w maka bermula dari sinilah baginda s.a.w mulai sakit tenat. Pada suatu larut malam, Rasulullah s.a.w telah pergi bersama dengan Muwaihibah ke kawasan perkuburan Baqi’ berhampiran Masjid Nabawi kerana diperintah supaya beristighfar di sana.Sekembalinya dari kawasan perkuburan Baqi’ , Rasulullah s.a.w telah mengadu bahawa kepalanya begitu sakit dan pening kepada ummul mukminin Sayyidatina ‘Aisyah. Peristiwa ini berlaku pada akhir bulan Sofar tahun 11 hijrah. Pada hari-hari terakhir, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah memberi pilihan kepada hamba antara dunia dengan apa yang ada disisiNya (Allah) maka memilih hamba itu apa yang ada disisi Allah. Mendengar ucapan itu lalu bercucuran air mata Sayyidina Abu Bakar kerana beliau faham bahawa apa yang dimaksudkan dengan hamba itu ialah diri Rasulullah s.a.w di mana baginda merasai telah hampir saat kewafatannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : Wahai Abu Bakar! Jangan engkau menangis, sesungguhnya daripada mereka yang beriman kepadaku pada menemaninya, hartanya ialah Abu Bakar. Jika aku mengambil seorang teman rapat nescaya aku akan menjadikan Abu Bakar tetapi persaudaraan Islam dan kemanisannya. Tidak akan kekal dalam masjid satu pintu melainkan ada penghadang melainkan pintu Abu Bakar. Hadis ini menunjukkan kelebihan Sayyidina Abu Bakar. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Saat kewafatan baginda s.a.w memberi kesan yang begitu besar kepada keimanan segelintir umat Islam pada masa itu sehingga ada yang telah murtad. Ketika keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar berdiri gagah dihadapan para muslimin lalu mengeluarkan kata-katanya yang tegas : مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak akan mati selama-lamanya Kemudian beliau membaca Firman Allah dalam ayat 144 surah Ali ‘Imran : وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّـهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّـهُ الشَّاكِرِينَ ﴿١٤٤﴾ Maksudnya : Dan nabi Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah wafat atau terbunuh). Jika demikian, kalau baginda pula wafat atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj : الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾ Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan Ketika saat yang begitu runcing diluar kawalan maka penyelesaian awal telah diambil dengan perlantikan Sayydina Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah bertempat di Saqifah Bani Saadah apabila golongan Muhajirin dan Ansor memberi bai’ah taat setia kepadanya. Perlantikan khalifah diselesaikan lebih awal walau pun jenazah nabi s.a.w belum lagi disemadikan pada masa itu kerana bagi menjaga aqidah dan pengurusan umat agar tidak terus berada dalam keadaan yang kucar kacir Antara ucapan awal Sayyidina Abu Bakar selepas dilantik menjadi khalifah: “Wahai Manusia, sesungguhnya aku telah di lantik memimpin kamu dan bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya aku berbuat baik, maka taatilah aku. Sekiranya aku berbuat keburukan, betulkanlah aku. Kebenaran itu amanah dan dusta itu khianat. Orang yang lemah di sisi kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku kembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu adalah lemah di sisiku sehingga aku mengambil hak daripadanya jika Allah mengkehendaki. Tidak ada sesuatu kaum yang meninggalkan jihad melainkan Allah akan menjatuhkan mereka dengan kehinaan. Tidak akan berlaku kemungkaran yang berleluasa di dalam sesuatu kaum melainkan Allah akan menurunkan bala’ kepada mereka seluruhnya. Taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan Rasul-Nya. Maka sekiranya aku memaksiati Allah dan Rasul-Nya, maka tidaklah perlu kamu mentaatiku. Bangunlah untuk menunaikan solat., semoga Allah mengasihi kamu Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 58 surah an-Nisaa’ : إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Ketika menyoroti tugas berat yang telah dilaksanakan oleh Sayyidina Abu Bakar dalam mengawal keadaan umat antaranya menghapuskan golongan murtad dan nabi palsu sekaligus mendaulatkan kerajaan Islam Madinah, memerangi kaum yang enggan membayar zakat, membebaskan negeri-negeri di bawah naungan Rom dan Parsi di mana Tentera Islam yang diketuai panglima Khalid bin al-Walid turut berjaya mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar seperti Parsi di sebelah Timur dan serangan kerajaan Rom Timur di sebelah Barat. Beliau juga mengumpul semula semua naskah al-Quran di mana beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit supaya mengumpulkan semua tulisan ayat al-Quran serta menyalinnya semula. Jasa yang begitu besar kepada dunia Islam ini telah menjulang nama Sayyidina Abu Bakar dengan gelaran Penyelamat Umat Islam. Tugas berat ini menunjukkan bahawa kepimpinan Islam bukan sahaja mengurus tugas dakwah, ibadat khusus malah merangkumi politik, ekonomi, sosial dan cara hidup manusia berlandaskan Islam. Tiada system yang lebih baik dan menyeluruh selain daripada Islam. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 91 surah al-Maidah : إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ ﴿٩١﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? Kepimpinan adalah suatu tanggungjawab yang besar di mana ada yang menjurus kepada Syurga dengan tunduk patuh kepada Islam dan ada yang membawa kepada Neraka bila menurut hawa nafsu. Isu terbaru di mana kita mendukung tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan garis panduan dan syarat permohonan lesen minuman keras yang baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pujian harus diberikan kepada DBKL atas usaha proaktif yang sebelum ini telah mengeluarkan syarat pembekuan lesen baharu penjualan arak. Ketegasan terhadap penjualan minuman keras ini secara tidak langsung dapat mengatasi sebahagian daripada masalah sosial masyarakat, seperti kemalangan jalan raya, kematian, keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan jenayah keganasan. Di samping itu, ketegasan ini juga dapat membantu dari aspek kesihatan seperti mencegah penyakit kanser serta penyakit lain yang berbahaya. Sebagai contoh, satu penyelidikan oleh Peter Anderson terhadap kesan pengambilan alkohol menyumbang 40 peratus daripada sembilan juta kanak-kanak bagi kes keganasan dan penderaan di Eropah. Kita yakin bahaya arak bukan sahaja merosakkan akal peminum malah membahayakan nyawa orang lain. Sebab itu di Negara maju seperti Australia dan United Kingdom (UK) tidak membenarkan penjualan dan minum arak secara terbuka. Taiwan pula merancang untuk melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah yang menyebabkan kemalangan maut, ketika memandu dalam keadaan mabuk bagi kes serius. Sebab itu terdapat akta mengenai kesalahan memandu dengan pengaruh alkohol di seluruh dunia. Majoriti agama besar mengharamkan arak. Malah secara logiknya juga manusia menolak akan kemudharatan terhadap pengambilan arak. Jika dibandingkan antara kebaikan dan keburukkannya nescaya senarai keburukkannya terlalu banyak untuk disenaraikan. Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah : يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١٩﴾ Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir: بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: