أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 9 Oktober 2020

Maksiat DiHindari Ibadat DiGandai Keberkatan DiMiliki

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Anbiya’ : كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ ﴿٣٥﴾ Maksudnya : Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. Telah menjadi sunnah ketetapan Allah di mana setiap diri manusia akan dicuba, akan diuji, akan diperiksa samada kenyataan kepada keimanan mereka kepada Allah dan seluruh ajaranNya melalui kata-kata mereka adalah betul dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan mereka atau pun hanya terhenti setakat di mulut sahaja. Kita sebagai umat akhir zaman yang hidup dalam zaman yang penuh cabaran fitnah maka mesti mempunyai bekalan ilmu dan aqidah yang kukuh agar segala keyakinan kita di hati diikuti dengan pengucapan kita di mulut dan disertakan dengan pengamalan terhadap seluruh kewajipan agama sebagai tanda tunduk dan patuh kepada perintah Allah samada dalam keadaan senang atau susah, sihat atau sakit, muda atau tua, lapang atau suntuk. Betapa ramai umat manusia sebelum kita telah diuji oleh Allah sehingga jelaslah kedudukan iman dan penyerahan diri mereka samada mereka benar-benar beriman sehingga sanggup menyerahkan seluruh jiwa raga untuk Islam dan tidak kurang mereka yang tewas disebabkan keyakinan yang nipis terhadap Allah walau pun mulut mereka lantang menyatakan bahawa mereka merupakan umat yang beriman kepada Allah tetapi apabila datangnya ujian dan cabaran maka mereka tidak mampu menghadapinya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Haj : وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَى حَرْفٍ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انْقَلَبَ عَلَى وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالآخِرَةَ ذَلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ Maksudnya : Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. Seluruh dunia hari ini sedang berdepan dengan musibah covid 19 termasuk negara kita di mana kes jangkitan akhir-akhir ini semakin meningkat. Ini memerlukan kerjasama semua pihak dalam mematuhi garis panduan penjagaan diri masing-masing daripada sebarang perkara yang boleh mendedah kepada jangkitan. Sebagai seorang muslim maka ketika berdepan dengan musibah ini hendaklah kita meningkatkan amal ibadat kepada Allah, menjauhi dosa maksiat serta memperbanyakkan doa agar Allah mengangkat musibah yang melanda ini. Tingkatan sikap manusia ketika menghadapi ujian atau dalam menerima takdir Allah iaitu : [1] Marah dengan takdir Allah yang berlaku. Boleh jadi dia marah dalam hatinya dengan bergumam, diucapkan dengan lisannya. Orang yang marah dengan takdir Allah, maka dia dibimbangi terjerumus dalam perbuatan kufur dengan sebab dia mencela takdir di mana marah kepada takdir pada hakikatnya marah kepada Allah. [2] Sabar sebagaimana ungkapan seorang penyair arab, الصَّبْرُ مِثْلُ اسْمِهِ مُرٌّ مَذَاقَتُهُ ** لَكِنَّ عَوَاقِبَهُ أَحْلَى مِنَ الْعَسَلِ Sabar itu memang seperti namanya (sebuah nama tumbuhan), yang rasanya pahit Namun hasil dari kesabaran akan lebih manis dari madu Ketika seseorang merasakan beratnya ujian dan tidak suka dengan ujian yang menimpanya, namun ia lebih memilih bersabar sehingga ia merasa ada atau tidaknya ujian sama saja. Meskipun ia tidak menyukainya, namun keimanannya menghalanginya untuk marah. Bersabar ketika menghadapi ujian hukumnya wajib, dan seseorang yang tidak bersabar ketika itu akan terjerumus dalam dosa. Dan sabar adalah tingkatan yang paling minima yang dimiliki oleh seorang Muslim ketika menghadapi ujian. Sidang Jumaat yang berkati Allah, قال النبي : مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ – رواه البخاري مسلم Maksudnya : “Tidaklah suatu kelelahan, sakit, kesedihan, kegundahan, bahkan tusukan duri sekali pun, kecuali akan menjadi penghapus dosa baginya.” Tingkatan ke-[3] lebih tinggi dari tingkatan sebelumnya, iaitu redha atas setiap ujian yang datang. Dia menjadikan ujian dan nikmat yang menimpanya sama saja, iaitu sama-sama bahagian dari takdir dan ketetapan Allah [4] Syukur di mana iaadalah tingkatan tertinggi dan yang paling utama dalam menghadapi ujian. Dia mampu bersyukur atas musibah yang menimpanya yang membolehkan dia menjadi hamba Allah yang penuh rasa syukur ketika dia melihat masih ramai orang lain yang lebih berat musibahnya dibandingkan dirinya. Musibah dalam hal dunia lebih ringan dibandingkan musibah dalam hal agama, kerana azab di dunia lebih ringan dibandingkan azab di akhirat nanti.Pada hakikatnya, musibah adalah penghapus dosa dan akan menjadi tambahan kebaikan di sisi Allah tatkala dia menjadi hamba yang bersyukur قال النبي : عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ – رواه مسلم Maksudnya : Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 58 surah an-Nisa’ : ﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾ Maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia (semuanya dalam masyarakat majmuk) supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Ingatlah al-Quran telah menegaskan bahawa Allah menciptakan manusia berbeza daripada makhluk yang lain. Tujuan hidup manusia adalah: [1]Beribadat dalam setiap aspek kehidupan [2] Berkhilafah iaitu mentadbir urusan dunia berdasarkan agama [3] Menunaikan amanah dengan menegakkan petunjuk Allah yang adil kepada semua manusia dan alam semesta. Hidup manusia bukanlah untuk makan dan diperhambakan kepada makhluk selain menjadi hamba kepada Allah. Sesungguhnya manusia itu makan untuk hidup dan berhikmah, bukan seperti makhluk yang hidup semata-mata untuk makan dan dimakan. Sesuai dengan kejadian manusia itu dicipta sebagai khalifah di bumi, maka Allah yang Maha Pencipta bukan saja mencantikkan kejadian manusia itu, malah menganugerahkan nikmat akal untuk membezakannya daripada makhluk lain. Dengan akal dan berpandukan pula ajaran Islam yang syumul lagi lengkap, maka peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah tentunya besar dan berat. Ia bukan hanya sekadar menyempurnakan tanggungjawab terhadap Penciptanya saja, iaitu Allah, malah bertanggungjawab terhadap hubungannya sesama manusia dan alam sekitar. Pendeknya, Islam meletakkan keseluruhan tanggungjawab ini di bawah satu peranan umum iaitu pengabdian yang sepenuhnya, hanya kepada Allah. Oleh itu, pemikiran yang dianut oleh mereka yang mengatakan kehidupan manusia tidak mempunyai matlamat dan tujuan tertentu, adalah salah. Tidak kira sama ada ia berpandukan ajaran Islam atau sains sekular, masing-masing mempunyai matlamat dan tujuan tertentu. Tetapi matlamat dan tujuan itu tentunya tidak sama. Bagi seorang materialis, kehidupannya adalah berdasarkan kepada fahaman kebendaan manakala bagi seorang sosialis pula, dia akan cuba menekankan konsep kesamarataan dalam masyarakat. Bagi seorang kapitalis pula, dia akan berusaha memungut keuntungan semaksimum mungkin, hasil daripada sistem yang diciptanya sendiri. Pendek kata, setiap manusia atau masyarakat itu mempunyai matlamat dan tujuan tertentu. Malangnya, matlamat dan tujuan itu diseleweng dan disalah tafsir mengikut hawa nafsu dan demi mementingkan kehidupan duniawi semata-mata. Mereka beranggapan ilmu yang dimiliki mampu untuk menguasai manusia dan dunia serta apa saja yang mereka hajati. Dari aspek lain pula, pendukung sekularisme berpandangan bahawa, agama dan kehidupan duniawi adalah sesuatu yang perlu dipisahkan. Bagi mereka, segala bentuk kepercayaan agama yang membawa kepada ketaatan kepada Allah serta memelihara batasan syariah adalah terhad kepada amalan peribadi saja manakala perkara umum yang membabitkan kehidupan manusia secara keseluruhannya, perlu diatasi dengan kekuatan kebendaan semata-mata. Sebaliknya, Islam mengajar penganutnya yang juga khalifah di bumi ini, supaya dapat mengimbangi kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat sewajarnya. Di samping menganjurkan umatnya supaya beramal sebagai bekalan pada akhirat, Islam tidak pernah pula melarang umatnya daripada berusaha untuk kesejahteraan hidup di dunia. Yang berbeza adalah kaedah yang disarankan oleh Islam untuk berusaha bagi mencapai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj : الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾ Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: