أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 2 Januari 2020
Membina Jatidiri Cemerlang Menjulang Kehebatan Islam
الحَمْدُ للهِ !!!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 64 surah al-Ankabut :
وَمَا هَـٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ ﴿٦٤﴾
Maksudnya : Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
Beberapa hari lagi kita bakal meninggalkan tahun 2019 dan menyambut tahun baru 2020. Waktu atau masa adalah suatu anugerah berharga daripada Allah. Manusia menerima kesempatan di dunia untuk mencapai tujuan akhirat. Islam mengajar kita betapa kehidupan dunia adalah ladang yang mesti disemai sebaik mungkin untuk dituai hasilnya di akhirat kelak. Sifat waktu dunia adalah sementara, sedangkan sifat waktu di akhirat adalah kekal abadi. Islam mengutamakan kehidupan akhirat di atas kehidupan dunia. 2 kehidupan tersebut dibahagikan sebagai 2 jenis waktu yang sejati dan tidak sejati. Al-Qur’an melukiskan kehidupan dunia dengan istilah “tempat permainan” belaka. Kalimat “kehidupan dunia ini merupakan senda gurau dan main-main” bukan bererti kita dianjurkan untuk berbuat seenaknya di dunia ini layaknya suatu permainan. Pengertian tersebut menggambarkan bahawa kehidupan dunia ini tidak sejati, tidak kekal, dan penuh dengan tipuan. Sehubungan dengan itu, seseorang mesti lebih banyak mencurahkan perhatian kepada kehidupan akhirat. Lantas apa yang mesti dilakukan agar kesempatan hidup di dunia berkualiti? Al-Qur’an telah memberikan garis bahwa tujuan diciptakannya manusia adalah untuk mengabdi secara total kepada Allah. Allah tidak menciptakan jin dan manusia untuk suatu manfaat yang kembali kepada Allah. Mereka diciptakan untuk beribadah kepada-Nya. Dan ibadah itu sangat bermanfaat untuk diri mereka sendiri. Pengertian ibadah itu pun sangat luas, tak sekadar kerohanian semata-mata kepada Allah seperti solat, puasa, haji, atau sejenisnya malah meliputi pula kebaikan-kebaikan yang membawa kemaslahatan bagi orang lain termasuk dalam ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Firman Allah dalam ayat 56 surah Adz-Dzariyat :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 99-100 surah al-Mu’minun :
حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ ﴿٩٩﴾ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ﴿١٠٠﴾
Maksudnya : Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).
Memanfaatkan umur di dunia ini menjadi sangat penting kerana waktu terus berjalan, dan tak akan boleh berulang kembali. Manusia dituntut untuk memaksimakan penggunaan waktu atau kesempatan yang diberikan untuk kerja dan amalan bermutu, sehingga tidak menyesal di akhirat kelak. Orang-orang yang menyesal di akhirat digambarkan oleh Al-Qur’an merayu-rayu kepada Allah agar dikembali semula ke dunia untuk melaksanakan amal ibadat dan menjauhi maksiat
Imam Al-Ghazali mengatakan, ketika seseorang disibukkan dengan hal-hal yang tidak bermanfaat dalam kehidupannya di dunia, maka sesungguhnya dia sedang menghampiri suatu kerugian yang besar. Sebagaimana yang beliua nyatakan dalam kitab Ayyuhal Walad:
عَلاَمَةُ اِعْرَاضِ اللهِ تَعَالَى عَنِ الْعَبْدِ، اشْتِغَالُهُ بِمَا لاَ يَعْنِيهِ، وَ اَنﱠ امْرَأً ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مَنْ عُمُرِهِ، في غَيرِ مَا خُلِقَ لَهُ مِنَ الْعِبَادَةِ، لَجَدِيرٌ اَنْ تَطُولَ عَلَيْهِ حَسْرَتُهُ
Maksudnya: “Petanda bahawa Allah sedang berpaling dari hamba adalah disibukkannya hamba tersebut dengan hal-hal yang tak berfaedah. Dan satu saat saja yang seseorang menghabiskannya tanpa ibadah, maka sudah pantas dia menerima kerugian berkepanjangan.”
Dari penjelasan ini, kita patut memikirkan secara berulang kali tentang hakikat kedatangan tahun baru buat sekian kalinya dalam hidup kita. Peringatan tahunan ini sepatutnya dihayati secara wajar dan tepat. Kebahagiaan terhadap tahun baru semestinya diarahkan kepada rasa syukur terhadap masih diberi pinjam nikmat umur dunia, bukan untuk berbangga atas tahun baru itu semata-mata. Sisa usia itu merupakan kesempatan untuk menampung kekurangan, memperbaiki yang belum sempurna, dari amalan hidup kita di dunia. Tahun baru lebih tepat menjadi suatu saat muhasabah dan ishlah atau perbaiki diri. Ingatlah kepada suatu nasihat berharga daripada Syeikh Ahmad ibn Atha’illah as-Sakandari dalam kitab al-Hikam:
رُبَّ عُمُرٍ اتَّسَعَتْ آمادُهُ وَقَلَّتْ أمْدادُهُ، وَرُبَّ عُمُرٍ قَليلَةٌ آمادُهُ كَثيرَةٌ أمْدادُهُ.
Maksudnya : “Kadang-kadang umur berlangsung panjang namun manfaat kurang. Kadang-kadang pula umur berlangsung pendek namun manfaat melimpah.”
Semoga kita menjadi peribadi yang mampu menggunakan sisa usia kita dengan sebijak-bijaknya, dan terhindar dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Dari Abu Sa’id Al Khudri, ia berkata bahwa Rasulullah s.a.w bersabda,
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِى جُحْرِ ضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوهُمْ . قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ – رواه مسلم
Maksudnya : Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob, pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, Apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapa lagi?”
Umat Islam wajib sedar bahawa serangan terhadap Islam dan umatnya terus berlangsung tanpa henti. Serangan musuh bukan setakat dengan senjata fizikal malah melalui serangan pemikiran dalam menghilangkan jatidiri umat Islam. Yahudi dan barat cuba untuk merosakkan jatidiri umat Islam termasuk di Malaysia dengan menggunakan proksi-proksi liberal yang terdiri daripada ejen-ejen mereka yang berselindung di sebalik laungan, islam moderate, islam liberal, hak asasi manusia, hak samarata dan istilah-istilah lain yang bertopengkan Islam. Tidak cukup dengan itu golongan liberal ini mencipta tafsiran terhadap ayat-ayat al-quran dengan mentafsir secara selektif dan berdasarkan nafsu seperti penggunaan ayat rahmatan lil alamin. Penciptaan dan penggunaan istilah-istilah ini adalah bertujuan untuk mengelirukan dan memecahkan kesatuan umat Islam supaya akhirnya mereka menerima ideologi yang dibawa oleh musuh Islam yang telah ditempelkan dengan nama Islam. Antara isu terbaru apabila Sisters in Islam berkempen supaya golongan wanita tidak dikawal pakaian mereka sehingga menyifatkan kawalan pakaian ini menggambarkan bahawa wanita itu cacat dari segi fizikal dan mental mereka. Sedangkan etika pakaian wanita Muslimah adalah bertujuan menjaga dan memartabatkan kemuliaan wanita. Golongan liberal ini begitu lantang dalam menelanjangkan wanita tetapi diam seribu bahawa apabila wanita diperdagang dengan aktiviti ala pelacuran seperti sugarbook.
Begitulah dalam menyambut kedatangan tahun baru Masihi di mana umat Islam tidak sepatutnya tenggelam dengan senjata musuh hingga hilang nilai agama dan tergadai maruah. Rasukan budaya hedonisme yang merupakan suatu perlakuan manusia yang diperolehi melalui pembelajaran dari masyarakat sekitar berdasarkan penglihatan, pendengaran dan kajian yang mendatangkan keseronokan dan kenikmatan yang melampau. Ia diperolehi sesuai dengan kehendak hawa nafsu tanpa mempedulikan nilai-nilai murni dan hukum-hakam agama, asalkan ia tidak dianggap mengganggu kepentingan orang lain dan tidak mengganggu kepentingan peribadinya. Tenggelamnya umat Islam dengan penyakit ini akan mendatangkan keburukan kepada jatidiri dan kehidupan mereka dunia akhirat.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 134 surah Ali ‘Imran :
الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٣٤﴾
Maksudnya : Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Sempena hamper menyambut kedatangan tahun baru 2020 juga marilah kita sama-sama berdoa dan membantu saudara seagama yang sedang ditindas, dizalimi. Kita wajib mengambil berat dan membantu saudara seagama yang terus berdepan dengan penjajahan moden termasuk isu umat Islam di Selatan Thailand yang dibunuh secara melulu tanpa bukti, begitu penderitaan berterusan suadara segama di Palestin, Myanmar dan sebagainya.
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, di masjid yang mulia maka sebagai umat beriman yang bermaruah marilah kita sama-sama mengutuk kerajaan China atas kekejaman terhadap saudara seagama kita. Tidak cukup dengan membunuh ulamak yang menterjemah al-Quran dan pengharaman ibadah umat Islam Uyghur, tidak cukup dengan menyuntik ubat pencegah kehamilan ke atas para wanita Islam Uyghur, tidak cukup dengan penjajahan ke atas demografi majoriti Islam di Xinjiang, tidak cukup dengan menahan berjuta umat Islam Uyghur untuk dihapuskan identiti Islam dan diserapkan idealogi Komunis. Perangai kerajaan China ini ibarat ‘Israel yang bersaiz besar’. Ada usaha untuk menulis semula al-Quran mengikut selera komunis. Malah adanya usaha dalam menghilangkan identity umat Islam Uyghur secara halus
Menjadi kewajipan kita untuk bangkit mempertahan saudara seakidah kita iaitu Muslim Uyghur dan jangan biarkan mereka sendirian sahaja. Pemimpin dunia Islam kena bangkit bertindak dan masyarakat Islam pula kena sentiasa berdoa, menyumbangkan sumbangan dan menyebarkan maklumat semasa Muslim Uyghur untuk membuka mata dunia sebagai desakan agar Kerajaan Komunis China diambil tindakan. Adakah kita mampu tidur lena ketika saudara kita dibunuh sewenangnya. Adakah kita mampu seronok melancong ke sini sana ketika saudara kita dipenjara dan dipaksa keluar agama. Adakah kita mampu berehat senang ketika saudara kita meraung kesakitan. Bangkitlah umat Islam bermaruah dalam menghentikan kezaliman
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
Kepimpinan Islam,
khutbah terbaru,
Tamadun Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan