أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 19 September 2019

Piagam DiHayati Rahmatan Lil Alamin DiRasai

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah S.W.T dalam ayat 1-3 surah al-Asr : وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾ Maksudnya : Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. Alhamdulillah rasa syukur kita rafakkan ke hadhrat Allah yang masih memanjangkan umur kita untuk bertemu dengan tahun baru 1441H. Nikmat waktu yang Allah anugerahkan ini wajib diisi dengan amalan soleh disamping menjauhi dosa maksiat. Betapa ramai umat manusia yang mensia-siakan nikmat masa ini sehingga mereka menyesal bila nikmat itu diangkat. Nabi s.a.w pernah mengingatkan kita عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ - رواه البخاري Maksudnya : 2 kenikmatan, kebanyakan manusia tertipu pada keduanya, (iaitu) kesihatan dan waktu luang. Waktu luang adalah nikmat yang besar dari Allâh tetapi malangnya ramai manusia tertipu dan mendapat kerugian terhadap nikmat ini antaranya : [1] Seseorang tidak mengisi waktu luangnya dengan bentuk yang paling sempurna seperti menyibukkan waktu luangnya dengan amalan yang kurang utama, padahal dia mampu mengisinya dengan amalan yang lebih utama. [2] Seseorang itu tidak mengisi waktu luangnya dengan amalan-amalan yang utama, yang memiliki manfaat bagi agama atau dunianya. Namun kesibukannya adalah dengan perkara-perkara mubah atau harus yang tidak berpahala. [3] Apa yang lebih malang apabila seseorang itu mengisi waktu dengan perkara yang haram. Ini adalah orang yang paling tertipu dan rugi kerana dia menyia-nyiakan kesempatan memanfaatkan waktu dengan perkara yang tidak bermanfaat. Tidak hanya itu, bahkan dia menyibukkan waktunya dengan perkara yang akan membawanya kepada hukuman azab Allâh di dunia dan di akhirat. Ketika melihat keadaan umat manusia dalam mengisi nikmat waktu maka terbahagi kepada 3 golongan iaitu : [1] Golongan yang amalan soleh mereka lebih banyak daripada waktu mereka. [2] Golongan yang menghabiskan waktu mereka dalam mengejar perkara yang tidak berfaedah, baik berupa ilmu atau harta yang tidak bermanfaat, atau urusan-urusan dunia lainnya. [3] Golongan yang tidak mengetahui apa yang mereka hendak lakukan terhadap nikmat waktu sehingga terlepas faedah dunia apatah lagi manfaat akhirat Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal : وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤﴾ Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. Keberadaan kita pada awal tahun hijrah juga mengingatkan kita bagaimana betapa penting peristiwa hijrah untuk difahami dan dihayati dalam kehidupan seharian bukan sahaja peringkat peribadi malah keluarga, masyarakat seterusnya negara dan antarabangsa. Hijrah yang berjaya ialah hijrah yang berjaya menukarkan umat melarat kepada umat berdaulat, umat dihina kepada umat memimpin dunia, umat yang lemah bertukar menjadi gagah. Hijrah yang berjaya juga mengubah dunia daripada kongkongan jahiliah kepada keluasan Islam, daripada gelap kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu. Umat yang mahu berjaya mesti berhijrah daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk dengan segala arahan wahyu tanpa rasa was-was dan ragu-ragu lagi. Hijrah menzahirkan Rahmatan Lil Alamin dalam kehidupan sehingga Islam diyakini mampu menyelesaikan masalah umat. Sebagaimana intipati titah DYMM Yang Dipertuan Agong ketikan sambutan Hijraturrasul 1441H bagaimana Rahmatan Lil Alamin ialah rahmat yang lahir daripada penghayatan Islam yg sebenar. Rahmat ini akan mencucuri kehidupan manusia dan alam sejagat. Bukan bertolak ansur sehingga hilang roh dan izzah Islam. Bukan hendak sesuai dengan kehendak manusia. Bukan hendak ambil hati orang bukan Islam sehingga hilang ruh Islam. Bukan meletakkan Islam terlalu mudah sehingga hilang kecantikan Islam. Bukan takut untuk mempertahankan Islam ketika dihina. Bukan takut hendak membela saudara seIslam ketika dihina. Rahmatan Lil Alamin bukan ilusi, fantasi tetapi realiti, dengan syarat ambil daripada acuan Islam. Ianya suatu kebenaran daripada Allah SWT. Sidang Jumaat yang diberkati Allah , Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj : الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾ Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. Ketika menyoroti peristiwa hijrah maka kita dapati 3 perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w setibanya di Madinah ialah membina masjid, mempersaudarakan umat Islam dan menggubal piagam. Tahap awal ini merupakan proses untuk mengukuhkan kedudukan sosio-politik orang Islam di Madinah termasuk kedudukan Baginda s.a.w sebagai Ketua Negara. Piagam yang digubal pada 633 Masihi tersebut juga dikenali sebagai Ṣaḥīfah al-Madīnah. Piagam adalah sebuah perlembagaan yang digunapakai sebagai rujukan dalam pentadbiran dan pengurusan sesebuah negara yang adil. Oleh itu, perlembagaan bukan hanya diperlukan oleh sebuah negara yang dianggap bertamadun tetapi juga digunapakai oleh negara yang dianggap tidak bertamadun. Untuk mencapai kestabilan dalam kehidupan masyarakat pelbagai budaya dan bangsa serta agama, kontrak sosial diperlukan sebagai perjanjian yang disepakati oleh setiap kumpulan masyarakat. Ia juga bukan sekadar perjanjian oral tetapi adalah sebuah perjanjian yang termaktub di dalam dokumen. Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia yang digubal oleh sebuah negara berdaulat di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w. Ia juga menolak dakwaan yang menyatakan Islam hanyalah agama ibadat yang menumpukan hubungan antara makhluk dengan Tuhan semata-mata. Piagam tersebut mempunyai 52 bahagian yang mengandungi istilah-istilah perundangan dan kaedah penulisan perlembagaan yang sesuai dengan era tersebut bahkan kepentingannya juga turut diperakui oleh pengkaji-pengkaji di Eropah. Malah ketika penjajah ingin mengurus negara jajahan selepas perang dunia turut menjadikan Piagam Madinah sebagai rujukan utama. 3 asas utama dalam piagam Madinah ialah : [1] Piagam Madinah adalah perlembagaan persekutuan yang membentuk negara Madinah; [2] Piagam Madinah adalah kontrak sosial masyarakat pelbagai kaum dan agama bagi membentuk ummah dan; [3] Piagam Madinah menjamin hak-hak asasi setiap warganegara terutamanya hak kebebasan beragama mereka terutama masyarakat Yahudi. Begitulah dalam konteks negara kita sekiranya setiap rakyat dapat memahami dan mematuhi kontrak sosial yang dibuat sebelum mendapat kemerdekaan maka isu adanya golongan pelampau yang menghina Islam, mencaci nabi Muhammad s.a.w, mencerca raja, mempertikai keistimewaan Melayu, membantah pembelajaran jawi di sekolah, mengibar bendera Malaysia secara terbalik dan beberapa isu lain yang menggugat keharmonian Negara tidak akan berlaku secara terang-terangan Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf : وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. Hijrah telah mengubah keadaan umat yang tertindas menjadi kuat berkuasa. Hijrah telah membolehkan seluruh system Islam termasuk ekonomi, perundangan, sosial, politik dapat disebar luaskan sehingga dirasai nikmat dan keadilannya. Hijrah telah merubah umat manusia yang menurit hawa nafsu kepada tunduk kepada hukum hakam yang diwahyukan sehingga kezaliman disekat dan negara mendapat berkat. Semoga semangat hijrah yang pernah ditunjukkan oleh nabi s.a.w dan para sahabat dapat dihayati dan diteruskan dalam kehidupan kita untuk mengembalikan izzah kemuliaan umat. Kita mesti buang rasa sangsi terhadap perundangan Islam sebagaimana contoh yang terdekat iaitu Brunei yang hampir 2 bulan melaksanakan perundangan Islam termasuk hudud di mana setakat ini hanya 2 orang pesalah di bawah kesalahan mencuri didakwa di mana kedua-dua pencuri itu hanya dihukum takzir iaitu denda dan penjara sahaja kerana tidak cukup bukti dan jumlah yang dicuri kurang daripada had minima untuk dikenakan hukuman potong tangan. Apa yang penting bila kita laksanakan hukuman Islam ialah jaminan daripada Allah. Kita sendiri terus dihantui dengan kes curi, rompak yang semakin menjadi-jadi Hijrah juga membentuk peribadi yang takut kepada Allah sehingga menjauhi sifat jahat termasuk rasuah dan pecah amanah. Kita begitu bimbang dan mendesak agar pihak pihak berkuasa membanteras jenayah sindiket menjual kad pengenalan kepada warga asing. Jangan gadai kemerdekaan negara dengan jenayah yang menjijikkan ini. Sebagaimana tokoh China pernah berkata bahawa penjajan tidak mampu menawan China dengan meruntuhkan tembok China yang begitu kukuh tetapi penjajah boleh menjajah dengan membeli pengawal yang menjaga pintu kota Hijrahlah kita daripada jahiliah kepada Islam agar kita bahagia dan Berjaya dunia dan akhirat قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: