أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 31 Mei 2019

Lailatul Qadar DiKejar Plural Agama DiHindar

الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar : إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ ﴿٥﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?. ( Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! Kini kita telah berada pada saki baki bulan Ramadhan yang memberi isyarat jelas supaya kita semakin bersemangat dalam menambahkan bekalan akhirat pada saat yang begitu berharga ini terutama salah suatu malamnya akan ada Lailatul Qadar yang beribadat padanya lebih baik daripada 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan. Jika adanya tawaran gaji lumayan, jualan murah serta bonus kerja maka kita pasti berebut dan rasa begitu gembira apabila berjaya mendapatnya maka ganjaran akhirat lebih patut diutamakan. Kita jangan hilang fokus dan tumpuan bila berada di akhir Ramadhan sebaliknya amalan soleh kita termasuk solat berjemaah, iktikaf di masjid, membaca al-Quran, bersedekah terus dijaga dan ditambah. Jangan biarkan persiapan menyambut hari raya mengganggu tumpuan kita dalam mengejar Lailatul qadar bagi menjamin hari raya yang lebih hebat dalam Syurga Allah di akhirat nanti قال الرسول : “تحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ الوِتْرِ مِنَ العَشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” – رواه البخاري ومسلم Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada bilangan ganjil pada 10 malam terakhir daripada Ramadhan Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 9-10 surah as-Syamsu : قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا ﴿١٠ Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). Tidak lupa sepanjang Ramadhan tahun ini sahaja adakah kita betul-betul menghayatinya agar kita sentiasa berada atas landasan yang benar supaya matlamat untuk lahir sebagai hamba Allah yang bertaqwa dapat dicapai. Tarbiah Ramadhan yang begitu menekan pengawalan kita terhadap lidah, telinga, tangan, kaki, mata, kemaluan hatta hati daripada melakukan maksiat terhadap Allah maka sepastinya akan melahirkan hamba Allah yang begitu menjaga kuantiti dan kualiti ibadatnya. Kita tidak mahu menjadi manusia yang lalai hatinya daripada mengingati Allah antaranya kurang semangat untuk beribadah termasuk tidak suka membaca Quran dan berzikir, tidak nampak berbuat baik itu suatu yang utama, hilang fokus dalam hidup dan mudah lesu dan buntu, sentiasa rasa esok masih ada sehingga suka melengahkan untuk beramal dan bertaubat. Antara punca hati lalai iailah mengulang-ulang dosa kecil sehingga ketagih dan menjadi suatu kebiasaan, berkawan dengan orang-orang yang lalai, suka berada dalam persekitaran yang 'rosak' seperti pergaulan bebas dengan bukan muhrim, mendedah aurat dan buat maksiat dan terjerat dalam perancangan-perancangan licik kaum yang kufar seperti berlebihan dalam mendengar lagu, tengok filem dan rancangan yang tidak berfaedah. Oleh itu ubatilah hati yang lalai dengan beberapa cara antaranya dengan mencari sahabat yang baik, sentiasa menghadiri majlis ilmu, lazimi bangun malam dan solat, perbanyakkan zikir dan membaca Quran dan ziarah kubur bagi mengingati kematian yang pasti akan datang bila-bila masa sahaja Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 113 surah at-Taubah: مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَن يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَىٰ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ ﴿١١٣﴾ Maksudnya : Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka Ramadhan turut menguatkan keimanan kita bahawa hanya Islam sahaja satu-satunya agama yang diredhai dan membawa kita ke Syurga. Umat Islam yang kuat imannya sepastinya menolak Pluralisme agama di atas nama keharmonian kaum dan merapatkan jurang perbezaan kaum kerana ia adalah racun yang membunuh akidah. Contohnya bila adanya suatu majlis berdoa beramai-ramai dengan pelbagai fahaman agama diperkuburan bukan Islam maka ia mengundang suatu perkara yang bahaya. Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ berkata, ulama sepakat mendoakan orang bukan Islam dengan keampunan Allah, mendapat syurga dan apa saja berkaitan akhirat adalah diharamkan. Begitu juga mereka yang disyaki keislamannya, kata Imam Ibn Hajar al-Haithami. Islam bukan agama menyuruh membenci penganut agama lain malah Islam sentiasa menganjurkan kita mendoakan orang bukan Islam supaya bersama menikmati hidayah milik Allah SWT. Itulah nilai kasih sayang sebenar dengan membebaskan mereka dari azab neraka jahanam Begitu juga dengan isu berbuka puasa di rumah ibadah bukan Islam di mana dalam suatu kenyataan Jabatan Mufti Kedah menyeru agar ia dielakkan kerana hukumnya makruh yang hampir kepada haram dengan setengah penfasiran Ulama iaitu suatu yang berdosa kerana perbuatan itu lebih banyak membawa kepada keburukan berbanding kebaikan وَقَالَ عُمَرُ: إِنَّا لَا نَدْخُلُ كَنَائِسَكُمْ مِنْ أَجْلِ التَّمَاثِيلِ الَّتِي فِيهَا الصُّوَرُ. – رواه مسلم Maksudnya : Kami tidak masuk ke gereja kamu disebabkan patung-patung serta gambar-gambar yang terkandung di dalamnya (iaitu yang mempunyai unsur syirik). Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fathu: إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا ﴿١﴾ لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّـهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا ﴿٢﴾وَيَنصُرَكَ اللَّـهُ نَصْرًا عَزِيزًا ﴿٣﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya) Beradanya kita pada bulan Ramadhan turut mengetuk hati kita untuk mengambil pengajaran kepada pembukaan Kota Mekah pada Ramadhan tahun 8 Hijrah yang berlaku akibat pencabulan perjanjian yang dimeterai antara Rasulullah SAW dengan puak Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah. Sebelum pembukaan Kota Makkah berlaku, pemimpin Quraisy Abu Sufyan bin Harb telah datang menemui Rasulullah S.A.W meminta perdamaian. Beliau tahu Quraisy tidak dapat lagi menghadapi kemaraan umat Islam. Nabi menerima perdamaian itu dengan meletakkan beberapa syarat. Namun semangat berkobar-kobar umat Islam mahu membalas pengkhianatan janji Quraisy menyebabkan Saad bin Ubadah menyatakan kata-kata keras di hadapan Abu Sufyan: الْيَوْمَ يَوْمُ الْمَلْحَمَةِ ، الْيَوْمَ تُسْتَحَلُّ الْكَعْبَةُ Maksudnya : Hari ini adalah hari membalas dendam! Hari ini Kaabah akan ditawan!" Apabila Nabi S.A.W mendapat tahu perkara ini, baginda membalas: الْيَوْمُ يَوْمُ الْمَرْحَمَةِ ، الْيَوْمُ يَعِزُّ اللَّهُ فِيهِ قُرَيْشًا "Sebenarnya hari ini hari kasih sayang. Hari ini Allah memuliakan bangsa Quraisy.." Umat Islam masuk Kota Mekah tanpa sebarang peperangan. Ka’abah dibuka dalam keadaan aman. Malah ketika dihimpun pembesar-pembesar Quraisy yang sebelum ini begitu kuat melawan Islam lalu Nabi S.A.W menyatakan pada mereka: اِذْهَبُوْا فَأَنْتُمُ الطُّلَقَاء Maksudnya : "Pergilah! kalian telah dibebaskan." Keadaan ini telah membuatkan orang berbondong-bondong memeluk Islam. Kemenangan Islam tidak sedikitpun digunakan bagi membalas dendam terhadap kejahatan yang selama ini dilakukan kafir Quraisy. Pembukaan Kota Mekah bukan sekadar untuk memudahkan mengerjakan ibadat umrah dan haji, bukan sekadar menghancurkan berhala yang berada di keliling Ka’abah malah kesannya lebih jauh terutama dalam mengembang dakwah Islam dan menaungi negara luar Mekah dan Madinah dengan system Islam. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 190 surah al-Baqarah: وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ Maksudnya : “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau (dengan menceroboh atau melampaui adab peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”. Perkataan jihad mengikut istilah hukum Islam adalah kesungguhan menegakkan Islam walaupun terpaksa menghadapi kesusahan dan kesulitan, dan menggemblengkan tenaga sehingga mengorbankan jiwa raga, nikmat jasad, akal dan harta. Menegakkan Islam itu adalah melaksanakan Islam kerana berusaha menyelamatkan manusia termasuk diri sendiri, keluarga dan kaum bangsanya supaya menerima Islam yang sempurna, dengan berdakwah dan melaksanakan perintahnya kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, sama ada mereka menerima Islam tanpa paksaan atau bersedia di bawah naungan Islam tanpa menganutnya. Di mana langkah itu terpaksa menghadapi tentangan dan cabaran. Jihad juga dilakukan oleh umat Islam dalam meninggikan nasib mereka sendiri dari segenap lapangan ilmu, pendidikan, politik dan ekonomi mengikut takrif Islam yang menyeluruh, sehingga menasihati raja dan pemimpin yang zalim diletakkan menjadi jihad yang paling besar kerana bersabar dan tidak melakukan kekacauan dalam negara dan masyarakat sendiri walaupun terpaksa dizalimi sehingga dibunuh sekalipun. Usaha menegakkan Islam itu terpaksa menghadapi tentangan, sama ada perasaan dalam diri sendiri yang terpaksa bersabar menghadapi tekanannya atau pihak musuh luar di sekelilingnya. Bermula dengan pendekatan damai yang lebih diutamakan, sehinggalah terpaksa menghadapi musuh yang berperang dan melampau. Namun Islam mengharamkan tindakan melampau walaupun terhadap musuh yang melampau. Indahnya Islam difahami dan dihayati. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: