أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 22 Mac 2019
Islamfobia disekat umat selamat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.
Kini kita berada bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj, Peperangan Tabuk tahun 9H serta kembali tertawannya bumi Palestin oleh Yahudi pada 15 Mei 1948 bersamaan 6 Rejab 1367H dengan penubuhan negara haram Israel selepas Palestin dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 2 Oktober 1187 Masihi. Begitu keberadaan kita pada bulan Mac maka mengingatkan kita suatu peristiwa hitam yang terkesan hingga kini kepada dunia Islam iaitu pada tanggal 3 Mac 1924M bersamaan 27 Rejab 1342H merupakan tarikh hitam dalam sejarah Islam dengan berakhirnya Khilafah Uthmaniyyah, Turki yang menaungi umat Islam selama ini. Kini 95 tahun ia berlalu samada kita ambil peduli atau pun tidak menghiraukannya.
Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui
Ketika menyoroti tentang Peperangan Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Golongan ke-[2] ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Manakala golongan yang ke-[3] yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan ini terus ada pada setiap zaman yang mesti kita jauhi daripada bersifat dengan sifat munafiq antaranya bila berjanji tidak ditepati, bila bercakap suka berdusta dan bila diberi amanah sentiasa dikhianati. Musuh dalam selimut ini lebih bahaya daripada kafir yang jelas menentang Islam kerana mereka bergerak atas nama Islam tetapi memesongkan ajaran Islam.
Ketika berdepan dengan musuh Islam yang menyerang kita dengan pelbagai cara samada dengan senjata atau serangan pemikiran maka kita wajib bersiap sedia sepanjang masa dengan aqidah yang kukuh melalui proses mendalami ilmu agama yang berterusan tanpa terhad di pusat pengajian khusus dan umur tertentu sahaja bahkan berlangsung sepanjang masa selagi hayat dikandung badan. Seterusnya bersihkan hati kita daripada sifat mazmumah atau tercela dengan mengisinya dengan sifat mahmudah atau terpuji sehingga hubungan kita dengan Allah semakin dekat yang menghampirkan kita dengan janji kemenangan dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfaal :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ ﴿٣٦﴾
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.
Ketika menyoroti kesan Kejatuhan Khilafah Islamiyyah pula, secara keseluruhan memberi kesan yang besar bagi umat Islam dari pelbagai aspek antaranya :
[1] Hilangnya Identiti Umat Islam akibat hilangnya sistem khilafah. Umat islam menjadi lemah sehingga mudah dijajah satu persatu dan diperkotak-kotikkan serta ditindas kerana tiada ada suatu pemerintah yang adil lagi bijak yang menaunginya. Umat Islam lebih mementingkan bangsa dan Negara masing-masing berbanding agama sehingga penderitaan saudara seagama di Palestin, Syria dan selainnya bagaikan tiada pembela
[2] Undang-undang di mana Al-Quran tidak lagi dijadikan dasar utama dalam penyelenggaraan negara dan pembentukan undang-undang. Undang-undang Allah SWT dianggap kuno dan ketinggalan zaman. Undang-undang Syariah digantikan dengan undang-undang Sivil yang berdasarkan sekularisme
[3] Pendidikan di mana kebanyakan sekolah agama diganti dengan sekolah sekuler, yang menerapkan sistem pendidikan sekular sebagai dasar sistem pendidikan negara. Sistem yang bertujuan memisahkan Islam dari kehidupan dunia. Memperbanyakkan program hiburan dan pelbagai bentuk maksiat yang meninggalkan syariat Islam
[4] Ekonomi di mana Ekonomi Islam dihapus dan diganti dengan sistem ekonomi barat seperti Kapitalis, Sosialis, atau globalisasi ekonomi dan sebagainya. Bank-bank riba bebas bergerak dalam negara negara Islam. Arak dan judi dijual secara bebas dan dijadikan sumber utama negara tanpa melihat kesan negatifnya dalam masyarakat.
[5] Pemikiran Umat Islam mulai ditanamkan pemikiran sekulerisme yang meyakini bahwa kemajuan hanya dapat dicapai dengan mengikut cara barat dengan meninggalkan agama. Menghilangkan keyakinan bahawa Kekuatan umat Islam yang sebenarnya adalah Khilafah Islamiyyah yang dianggap oleh Barat sebagai kekuatan ancaman yang dapat menyatukan umat Islam di bawah pemerintahan yang satu
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 120 surah al-Baqarah :
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾
Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Pertembungan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, hak dan batil terus berlangsung. Selepas serangan 11 September 2001I musuh Islam memainkan senjata Islamofobia yang merujuk kepada prasangka buruk dan diskriminasi terhadap Islam, penganutnya dan organisasi Muslim, khususnya yang berjuang untuk menegakkan semula politik Islam. Islamofobia sebagai rasa takut dan benci terhadap Islam, lalu membawa kepada permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenarnya terkandung dalam sumber yang sebenar, iaitu Al-Quran, As-Sunnah, dan ijtihad kalangan ulama’ muktabar yang diyakini ilmu dan kefahamannya serta melaksanakan Islam yang sebenarnya bersifat keadilan sejagat. Islamofobia kini bersifat ideologi sesat terhadap Islam, sehinggalah mencetuskan kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan politik, ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.
Islamofobia juga termasuk persepsi yang dipengaruhi oleh media Barat yang tidak adil kepada Islam dengan mencetuskan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas sehingga Islam tidak lagi dikenali sebagai satu agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
Media yang dikuasai oleh politik musuh Islam digunakan habis-habisan untuk menyebarkan fahaman yang salah terhadap hakikat yang sebenarnya terkandung dalam ajaran Islam dan sejarah keemasannya yang mencipta tamadun dunia yang diciplak sebahagiannya oleh tamadun moden Barat kini tetapi berkonsepkan sekularisme Kristian yang tidak sama dengan Islam sebagai Ad-Din.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 190 surah al-Baqarah :
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya : “Dan perangilah kerana (menegak dan mempertahankan) agama Allah (Islam) akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”
Pada hari Jumaat yang mulia, di bulan Rejab yang mulia ini maka kita mengecam sebarang bentuk keganasan termasuk tragedy tembakan oleh pengganas di 2 masjid di New Zeland pada Jumaat lepas yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang warga Malaysia iaitu al-Marhum Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi, 17 tahun. Kita ucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa. Semoga Allah menganugerahkan syahid kepada mereka dan memberikan kesembuhan segera kepada yang tercedera.
Kita bimbang tragedi ganas ini susulan daripada rasukan Islamofobia. Sudah sampai masanya masyarakat di negara-negara Barat mengambil satu langkah lebih proaktif serta berkesan untuk menyingkirkan sebarang sikap yang menjerumus kepada Islamfobia. Walaupun rata-rata masyarakat Barat masih mengamalkan sikap toleransi antara agama dan budaya, namun masih terdapat segelintir individu serta pertubuhan Barat yang suka melemparkan pelbagai kata-kata kesat serta negatif terhadap agama Islam itu sendiri serta umat Islam secara keseluruhannya. Ini seperti tuduhan pengganas selain tuduhan terhadap tatacara kehidupan serta pemakaian menutup aurat yang dilabelkan sebagai ketinggalan zaman serta dilihat sebagai satu bentuk penindasan khususnya terhadap kaum wanita.
Tindakan proaktif perlu diambil bagi membendung sikap Islamophobia ini. Sesi penerangan dan pendidikan sama ada menerusi dialog atau perdebatan perlu dilakukan oleh umat Islam kepada masyarakat bukan Islam yang berada di dunia Barat mengenai ajaran sebenar yang dibawa oleh Islam. Umat Islam sendiri harus tampil berani menerangkan dengan jelas bahawa Islam ialah agama yang sentiasa mementingkan kedamaian bukannya pergaduhan, peperangan dan keganasan. Masyarakat Barat harus diberitahu untuk menghentikan sebarang kaitan dengan aktiviti keganasan. Umat Islam juga harus memberi pemahaman secara terperinci mengenai segala penetapan tatacara kehidupan yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam untuk umatnya.
Masyarakat Barat juga perlu ketahui bahawa segala masalah yang sedang dialami negara-negara Islam pada masa kini bukan disebabkan ajaran agama itu. Ia hanya berlaku kerana faktor-faktor lain seperti penjajahan berpuluh tahun negara-negara Barat yang telah melemahkan serta memecah-belah kebanyakan negara-negara Islam. Usaha boleh digerakkan di peringkat antarabangsa bagi mewujudkan satu bentuk konvensyen atau peruntukan undang-undang khas yang melarang sebarang perkara yang boleh menjerumus kepada Islamfobia. Hal ini penting agar umat Islam dapat dilindungi daripada sikap Islamfobia yang jelas bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia yang sering dilaungkan dan diperjuangkan oleh masyarakat Barat sendiri. Umat Islam sendiri mesti memulakan dari diri kita sendiri dengan ilmu dan pengamalan terhadap tuntutan agama sehingga orang bukan Islam akan lebih mudah faham berkenaan Islam dan membuang sikap salah faham terhadap ajaran Islam yang menyeluruh. Islamlah nescaya kita bahagia dan mulia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 61 surah al-Anfal :
وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١﴾
Maksudnya : Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan