أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 19 Januari 2018
Pemimpin Taqwa Negara Sentosa Rakyat Bahagia
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 45-46 surah al-Anfal :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٤٥﴾ وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan musuh maka teguhkanlah hatimu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh keuntungan. Dan taatlah kepada Allah dan rasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang akan menyebabkan kamu menjadi gentar serta hilang kekuatanmu dan bersabarlah sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar
Kita kini berada dalam bulan Jamadil Awwal yang telah mencatatkan beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya Peperangan Mu’tah, Jordan tahun ke 8 Hijrah yang meletus disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Rasulullah s.a.w dalam masa yang pantas dapat mengumpul 3000 orang tentera Islam untuk keluar ke Mu’tah. Penghantaran tentera ini bukan atas misi membalas dendam sebaliknya Rasulullah s.a.w telah meletakkan tujuan utama ialah berdakwah dengan mengajak terlebih dahulu penduduk Mu’tah agar memeluk Islam dan jika mereka enggan serta terus berkeras untuk berperang barulah serangan boleh dimulakan. Tindakan tegas ini mengajar kita tentang betapa pentingnya umat Islam memilih pemimpin yang takutkan Allah bukannya pengecut dengan musuh supaya maruah dan nyawa umat Islam dapat dibela. Kita berasa sedih apabila pada hari ini bukan seorang umat Islam yang dibunuh terutama di Palestin, Iraq, Syria, Afghanistan, Yaman, Selatan Filiphina, Myanmar dan selainnya namun tidak ramai pemimpin negara umat Islam yang bangun membela sehingga musuh Islam lebih bermaharajalela dalam membaham dan meratah tubuh saudara seagama. Apa yang lebih malang apabila peluru dan bom dihalakan sesama saudara seagama. Kebanyakan pemimpin negara umat Islam sendiri lebih memikirkan bagaimana mahu menambahkan kekayaan peribadi dan bagaimana mahu mengekalkan kuasa yang sedia ada bukannya untuk memperjuang agama. Di manakah rasa kasih sayang dan bertanggungjawab terhadap saudara seagama yang disuruh oleh agama
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى – رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 64-65 surah al-Anfal:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَسْبُكَ اللَّـهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٦٤﴾ يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ ۚ إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّائَةٌ يَغْلِبُوا أَلْفًا مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَفْقَهُونَ ﴿٦٥﴾
Maksudnya : Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu 20 yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan 200 orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu 100 orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) golongan yang tidak mengerti.
Sebelum keluar ke Mu’tah maka nabi Muhammad s.a.w telah melantik 3 panglima perang sekaligus iaitu Zaid bin Harithah, Ja’afar bin Abi Tolib dan Abdullah bin Rawahah di mana mereka akan diganti secara berturutan sekiranya yang lebih utama gugur syahid. Inilah bayangan awal bagaimana peperangan yang bakal dihadapi begitu dahsyat terutama 3 ribu tentera Islam akan berdepan dengan 200 ribu tentera kuffar sehingga ada tentera Islam mencadangkan agar mereka berundur terlebih dahulu bagi meminta bantuan tambahan dari Madinah. Dalam keadaan kelam kabut ini lalu Abdullah bin Rawahah bangun sambil memberi semangat kepada tentera Islam dengan katanya : “ Demi Allah! Adakah kita benci dengan sebab keluarnya kita ke Mu’tah iaitu untuk untuk memburu syahid. Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan untuk beradu kekuatan tetapi datangnya kita ke sini adalah untuk Islam yang telah memuliakan kita. Oleh itu maralah kita ke medan peperangan kerana di sana 2 kebaikan pasti kita perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama dengan keredhaan Allah”.
Semangat jihad yang ditanam beserta keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada pertolongan Allah telah membawa kemenangan kepada tentera Islam di mana hanya 12 tentera Islam gugur syahid termasuk 3 panglima perang yang telah dilantik oleh Rasulullah s.a.w sedangkan pihak musuh lebih 3000 yang terbunuh. Kepimpinan tentera Islam selepas itu diambil alih oleh Sayyidina Khalid ibnu Walid yang berjaya mengatur strategi yang membolehkan tentera Islam dapat pulang ke Madinah dengan selamat bagi mengatur perancangan yang baru selepas itu
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 58-59 surah al-A’araf :
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا﴿٥٨﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا﴿٥٩﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya
Antara pengajaran yang dapat kita ambil daripada peperangan Mu’tah ialah berkaitan kepimpinan. Islam meletakkan kepimpinan adalah suatu taklif atau bebanan tanggungjawab dan bukan suatu tasyrif atau keistimewaan. Pemimpin diibaratkan sebagai "pengembala" yang akan diminta tanggungjawab di atas gembalaannya. Kepimpinan atau pemerintahan dalam Islam adalah alat dan bukan sebagai tujuan atau matlamat. Pemimpin perlu dipimpin oleh ilmu, iman dan amal untuk menjadikan kepimpinannya sebagai alat yang aktif yang dapat merealisasikan tujuan yang hendak dicapai iaitu membela agama dan mengurus dunia. Lantaran itu, Islam menempatkan kepimpinan ditempat yang tinggi. 4 perkara utama yang perlu diberi keutamaan dalam usaha menunaikan amanah kepimpinan, iaitu: [1] Allah sebagai kemuncak pimpinan yang wajib ditaati. [2] Kesetiaan dan ketaatan kepada Rasulullah s.a.w sebagai jalan untukmelaksanakan ketaatan kepada Allah. [3] Ketaatan dan kesetiaan para muslimin kepada ulil `amri, iaitu orang yang telah diberikan kekuasaan untuk memimpin masyarakat. [4] Mengiktiraf Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perundangan utama masyarakat Islam sekaligus menjadikannya sebagai sumber rujukan untuk menyelesaikan segala-segala persengketaan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Kepimpinan banyak mencorakkan rakyat dan negaranya. Oleh itu tidak ada pemimpin yang mampu membina Tamadun Kebendaan dan Rohani secara serentak berdasarkan agama melainkan orang yang kenal Allah dan mencintai Allah. Antara contohnya ialah pemimpin yang mengatakan judi adalah haram maka kedai judi tidak diberikan lesen untuk beroperasi agar rakyat terjaga daripada keruntuhan akhlak. Pemimpin yang meyakini bahawa arak suatu benda yang merosakkan akal dan memusnahkan kerukunan masyakat maka lesen arak dihadkan. Pemimpin yang yakin tentang bahayanya system riba lagi lalu diperkasakan perbankan Islam. Pemimpin yang tahu tentang bahayanya zina, keruntuhan akhlak akibat hiburan melampau maka kelab malam ditutup, penguatkuasaan terhadap pemakaian yang tidak sopan dilaksana, rancangan tv, program hiburan dipantau. Corak pemerintahan akan mendatangkan keberkatan kepada negara bila melaksana kehendak agama sebaliknya ribuan penyakit silih berganti akibat mengabaikan Islam
Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah ibnu Umar:
يَا مَعْشَرَ المُهَاجِرِيْنَ خَمْسٌ إِذَا ابْتَلَيْتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوْذُبِاللهِ أَنْ تُدْرِكُوْهُنَّ لَمْ تَظْهَرِ الفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوْا ِبهَا إِلا فَشَا فِيْهِمُ الطَّاعُوْنُ وَالأوْجَاعُ الَّتِى لَمْ تَكُنْ مَضَتْ ِفى أَسْلافِهِمُ الَّذِيْنَ مَضُوْا, وَلَمْ يَنْقُصُوْا المِكْيَالَ وَالِمْيزَانَ إِلا أُخِذُوْا بِالسِّنِيْنَ وَشِدَّةِ المُؤْنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلا مُنِعُوْا القَطْرَ مِنَ السَّمَآءِ وَلَوْ لا البَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوْا, وَلَمْ يَنْقُضُوْا عَهْدَ اللهِ وَعَهْدَ رَسُوْلِ اللهِ إِلا سَلَّطَ اللهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوْا بَعْضَ مَا فِى أَيْدِيْهِمْ, وَمَالَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللهِ وَيَتَخَيَّرُوْا ِمماَّ أَنْزَلَ اللهُ إِلا جَعَلَ اللهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ
Maksudnya : Wahai kaum Muhajirin! Ada 5 perkara di mana jika telah menimpa kamu maka tiada lagi kebaikan bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah S.W.T agar kamu tidak menemui zaman itu. 5 perkara itu ialah: [1] Tidak bermaharajalela perbuatan zina pada suatu kaum sehingga mereka berani secara terang-terang melakukannya melainkan akan ditimpa penyakit Taun yang merebak dengan cepat dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang lain. [2] Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka. [3]Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T. [4] Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah S.W.T dan rasulNya melainkan Allah S.W.T akan menurunkan kepada mereka musuh yang akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. [5] Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah S.W.T yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan utama maka Allah S.W.T akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri
Ditangan kita ada pilihan samada memilih kepimpinan Islam yang membawa kepada Syurga atau memilih kepimpinan berdasarkan hawa nafsu yang mendatangkan penderitaan dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan