أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Rabu, 18 Oktober 2017
Hijrah Memuliakan Kita Dunia Akhirat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 5 surah al-Qosas :
وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ
Maksudnya : Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).
Perubahan adalah sesuatu yang fitrah. Ia berlaku pada sepanjang sejarah hidup manusia. Kita tidak boleh mengelak dari perubahan. Apa yang berlaku pada hari ini akan menjadi tradisi pada keesokannya. Peristiwa yang terjadi pada masa lalu menjadi sejarah pada hari ini. Peristiwa Hijrah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah suatu sejarah. Tetapi peristiwa itu tetap hidup pada sepanjang sejarah umat Islam. Ada latar belakang mengapa hijrah itu terjadi. Ada kesan besar kepada umat Islam dan umat manusia hasil dari peristiwa tersebut. Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah adalah suatu peristiwa strategik di mana Rasulullah s.a.w. menghadapi suatu suasana yang amat kritikal dalam perjuangannya menemui jalan keluar yang amat mencabar dan melaluinya dengan perancangan bijaksana yang dibantu oleh Allah. Peristiwa ini juga memperlihatkan pandangan jauh dan futuristik Rasulullah s.a.w. terhadap perubahan dan peradaban. Membebaskan manusia dari belenggu jahiliah bukanlah suatu hal yang mudah. Fahaman nenek-moyang yang sudah lama terbina, semangat kekabilahan yang sudah berakar umbi, undang-undang rimba yang kuat mengatasi yang lemah yang sudah sekian lama berjalan adalah faktor-faktor penghalang yang menyebabkan pejuang-pejuang jahiliah merasa tergugat dan akhirnya mengambil keputusan untuk menghapuskan Rasulullah s.a.w. dari muka bumi.
Fahaman dan amalan jahiliah berlaku di sepanjang zaman umat manusia. Ia berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. boleh berlaku pada masa kini dan boleh berlaku pada masa depan. Asas yang membezakan jahiliah dan tidak jahiliahnya sesuatu keadaan dan zaman ialah faktor akidah, iman dan takwa. Akidah yang benar memandu manusia tentang adanya Pencipta. Kewujudan Pencipta membina asas iman bahawa Pencipta berkuasa atas segala-gala. Darinya lahir keinsafan yang membawa kepada takwa bahawa dari Allah manusia datang dan kepada Allah manusia akan kembali. Kehidupan umat Islam tidak saja mengambil pertimbangan dunia tetapi juga mengambil pertimbangan akhirat. Apabila pertimbangan akhirat menjadi agenda utama, kehidupan di dunia akan menjadi lebih sempurna kerana manusia terus ingat akan hari pembalasan. Ia menyebabkan manusia lebih berhati-hati dan sentiasa dipandu untuk melakukan kebaikan dan mengelak dari melakukan kejahatan.
Jahiliah pada zaman Rasulullah s.a.w. atau sebelumnya tidak bermakna tiadanya perubahan dan kemajuan dari sudut sains dan teknologi. Zaman Yunani, zaman Mesir Purba, zaman Mesopotamia umpamanya sains dan teknologi sudah mula berkembang. Kemajuan sains dan teknologi bukan ukuran mutlak bahawa manusia sudah bebas dari belenggu. Sains dan teknologi selamanya alat untuk menemukan manusia dan faktor alamiah dan menemukan manusia dengan ilmu alat untuk memudahkan kehidupan. Dalam tradisi Islam sains mendekatkan manusia dengan pencipta. Teknologi memudahkan manusia melakukan kebaikan dan membina kesejahteraan. Komputer sebagai alat komunikasi dan sistem maklumat tidaklah salah. Tetapi perisian dan program dalam komputer yang menyebabkan maklumat yang salah tersebar dan program yang lucah menjadi subur mencetuskan masalah kepada minda dan pemikiran manusia. Tanpa akidah yang memandu manusia ke arah keperkasaan dan kebesaran Allah, pengguna komputer akan merasakan komputer itu segala-gala. Pengguna yang mempunyai akidah mantap melihat komputer selamanya alat. Input, perisian dan program yang bermanfaat berkait rapat dengan matlamat. Alat dan matlamat yang baik bakal membangunkan minda dan ilmu yang baik dan ia akan membebaskan manusia daripada belenggu.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Firman Allah dalam ayat 22 surah az-Zumar :
أَفَمَن شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Maksudnya : Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Rabb-nya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka, celakalah mereka yang hatinya telah membatu untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.”
Penghijrahan dalam membentuk sebuah negara yang hebat dan kukuh mesti bermula daripada penghijrahan dalam diri pada 4 perkara pokok iaitu :
[1] Hijrah I’tiqadiyah iaitu hijrah dari segi keimanan dan keyakinan.
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz berpesan:
إِنَّ لِلإِيمَانِ فَرَائِضَ وَشَرَائِعَ وَحُدُودًا وَسُنَنًا ، فَمَنِ اسْتَكْمَلَهَا اسْتَكْمَلَ الإِيمَانَ ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَكْمِلْهَا لَمْ يَسْتَكْمِلِ الإِيمَانَ - رواه البخاري
Maksudnya : “Sesungguhnya iman memiliki kewajiban-kewajiban, batasan dan aturan serta sunnah-sunnah, barangsiapa menyempurnakannya maka sempurnalah imannya dan barangsiapa tidak menyempurnakannya maka tidak sempurna pula imannya”.
[2] Hijrah Fikriyah iaitu pemikian. Seiring perkembangan zaman, kemajuan teknologi dan derasnya arus informasi, seolah dunia tanpa batas. Tak heran berbagai pemikiran telah tersebar di medan perang tersebut laksana dari senjata-senjata peragut nyawa. Isu sekularisasi, kapitalisasi, liberalisasi, pluralisasi, dan sosialisasi dan lain-lain telah menyusup ke dalam sendi-sendi dasar pemikiran kita yang murni. Ia menjadi virus ganas yang cuba merosakkan pemikiran umat Islam sehingga adanya umat Islam yang mahu halalkan murtad, menghalalkan kahwin sejenis dan budaya songsang serta minta dihapuskan hukuman syariat. Hijrah fikriyah menjadi sangat penting mengingat kemungkinan besar pemikiran kita telah terserang virus ganas tersebut. Mari kita kembali mengkaji pemikiran-pemikiran Islam yang murni. Pemikiran yang telah disampaikan oleh Baginda Nabi Muhammad Saw, melalui para sahabat dan para salafussoleh yang sanggup mati dalam mengembangkan dakwah Islam.
[3] Hijrah Syu’uriyyah iaitu cita rasa, kesenangan, kesukaan dan kemahuan yang ada pada diri kita sering dipengaruhi oleh nilai-nilai yang tidak Islamik. Banyak hal seperti hiburan, muzik, bacaan, gambar, hiasan, pakaian, rumah, idola luput daripada pengaruh nilai-nilai Islam. Dulu penjajah mahu menjajah umat Islam terpaksa datang ke negara kita tetapi kini kita sendiri menjemput musuh Islam untuk mengubah cara hidup ala penjajah melalui tv, radio, internet dan sebagainya
Faham jahiliah tidak melihat agama itu penting. Pedoman baik buruk akan sesuatu dianggap sebagai ketinggalan zaman. Untuk menjadi moden dan maju remaja dikatakan harus melepaskan diri dari ikatan salah-benar dan dosa-pahala. Untuk menjadi global, apa yang datang dari Barat adalah lambang maju dan moden. Yang lahir dari tradisi dan agama dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Oleh itu untuk menjadi remaja yang maju dan terkini, Baratlah menjadi segala-gala. Bukanlah Barat yang harus dibenci oleh remaja. Di Barat terdapat sumber ilmu dan teknologi yang bermanfaat. Tetapi agenda pembaratan yang menyebabkan ramai remaja kita terjebak seharusnya menimbulkan kewaspadaan. Lebih-lebih lagi mengambil faktor kebebasan Barat sebagai ukuran hidup yang maju boleh menjebak remaja kepada elemen-elemen jahiliah yang menjauhkan remaja dari agama.
[4] Hijrah Sulukiyyah iaitu tingkah laku , keperibadian atau biasa disebut juag akhlak. Rasulullah s.a.w begitu menekankan tentang penghijrahan daripada terlibat dengan perkara mungkar barulah kita benar-benar menjadi manusia yang berhijrah
قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Anbiya’ :
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ ﴿٣٥﴾
Maksudnya : Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan
Jika penghijrahan untuk mencari kemuliaan dan kegemilangan di dunia perlu kepada pengorbanan dan kesungguhan maka lebih-lebih lagi persiapan sebelum berlakunya penghijrahan atau perpindahan hidup kita ke negeri akhirat tempat pembalasan atas segala amalan kita di dunia ini. Cara dan gaya hidup kita dunia samada dihiasai dengan amalan soleh atau dicemari dengan dosa maksiat merupakan cerminan awal kepada tempat kembalinya kita di akhirat nanti.
Imam Al-Ghazali membahagikan manusia kepada 3 tingkatan dalam menghadapi mati iaitu [1]Al-Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Mereka tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian. Golongan seperti itu tidak mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat. [2] At-Taib, iaitu golongan yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah dan mereka banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat. [3] Al ‘Arif, iaitu golongan yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Mereka sentiasa mengingati kematian bahkan sentiasa menanti saat kematian kerana kematian baginya adalah pertemuan dengan Allah yang begitu dirindui.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Malam tadi kita di sini menerima suatu berita yang menyedihkan dengan pemergian tokoh Murabbi Pondok Pasir Tumboh al-Marhum Tuan Guru Hj Soleh b Ismail yang merupakan Timbalan Mudir 1 madrasah ini. Ucapan takziah kita ucapkan kepada seluruh ahli keluarga beliau. Kita doakan semoga beliau ditempatkan bersama para solehin dengan dibalaskan segala amalan soleh dan diampuni segala dosanya. Kehilangan beliau sukar dicari ganti namun kita yang masih hidup wajib meneruskan perjuangan suci dalam menegakkan kalimah Allah yang mulia di atas muka bumi ini. Contohilah al-Marhum yang telah mengorbankan seluruh jiwa raga dan masa sehingga penghujung usia dalam menyebar luas ilmu agama. Kita juga doakan semoga al-Marhum dijauhkan daripada azab kubur dan azab Neraka sesuai dengan kelebihan seorang muslim yang meninggal pada malam atau hari Jumaat yang diberikan keistimewaan disisi Allah
عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ﴿مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ﴾ – رواه أحمد والترمذي
Maksudnya : Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan