أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 18 Mei 2017
Rasulullah s.a.w DiIkuti Guru DiHormati
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 45-46 surah al-Baqarah :
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ﴿٤٥﴾ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿٤٦﴾
Maksudnya : Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (45) (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
Kini kita berada pada pertengahan bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Sya’aban ertinya berpecah atau bercerai-berai memandangkan Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air sehingga ke gua-gua. Ada mengatakan, Syaaban tanda pemisah yang memisahkan Rejab dan Ramadhan. Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling disukai oleh nabi Muhammad s.a.w sepanjang bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa dan memohon keampunan kepada Allah. Tidak lupa untuk sama-sama kita berdoa akan dipertemukan dengan Ramadhan ini
Sidang Jumaat yang diberkati Allah
Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumuat:
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢﴾
Maksudnya : Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
Mengikut kalendar Masihi pula kita berada pada bulan Mei di mana antara suatu hari yang penting yang disambut setiap 16 Mei ialah Hari Guru. Bila kita sebut tentang guru maka nabi Muhammad s.a.w merupakan Murabbi Agung dan pendidik terulung buat seluruh umat. Sejarah telah menyaksikan pendidikan yang dibawa oleh Rasulullah berjaya mengubah sikap masyarakat Arab yang sebelumnya kasar menjadi lembut dan beradab, mengubah mereka daripada bermusuhan kepada saling berkasih-sayang. Melalui pendidikan tersebut jugalah agama Islam yang suci ini dapat kita anuti. Alhamdulillah. Ketika menyoroti tentang cara atau teknik yang telah dilaksanakan oleh nabi s.a.w dalam mendidik para sahabat sehingga system pendidikannya menjadi model utama dalam membentuk manusia yang mampu meraih manfaat dunia dan akhirat. Antara cara didikan nabi s.a.w ialah :
[1] Menjadikan dirinya sendiri dan budi pekertinya sebagai model pendidikan. Kaedah ini merupakan kaedah utama yang digunakan oleh Baginda s.a.w agar baginda menjadi ikutan yang baik kepada para sahabat. Baginda tidak mengarahkan sesuatu perkara melainkan setelah Baginda melakukannya terlebih dahulu kemudian barulah diikuti oleh para sahabat berdasarkan apa yang mereka lihat. Ia merupakan cara terbaik agar mudah difahami dan lebih mendorong untuk diikuti berbanding pengajaran berbentuk teori dan penerangan lisan semata-mata.
[2] Berdialog dan pertimbangan akal fikiran di mana kaedah Berdialog dan bersoal jawab dapat menarik perhatian pendengar dan dapat mendorong mereka untuk menjawab persoalan tersebut. Jika para sahabat tidak dapat menjawab persoalan yang diutarakan oleh nabi s.a.w maka jawapan yang diberikan oleh Nabi lebih mudah untuk difahami dan memberi kesan dalam jiwa pendengar. Sebagai contoh, sebuah hadis masyhur riwayat Imam Ahmad yang panjang menceritakan mengenai seorang lelaki yang meminta izin daripada Nabi shallahu `alaihi wasallam untuk berzina. Di dalam hadis tersebut menunjukkan bagaimana Rasulullah mendidik dengan cara memahami psikologi pemuda tersebut tanpa membacakan ayat-ayat larangan dan ancaman kepada penzina, Nabi berdialog secara lembut agar pemuda tersebut dapat membuat pertimbangan akal sebaiknya dan tidak memberontak. Penting bagi seorang pendidik untuk memahami psikologi mereka yang ingin dididik sama ada pendidikan tersebut disampaikan melalui lisan mahupun tulisan. Pendidik tidak sekadar perlu memikirkan apa yang ingin disampaikan tetapi perlu meraikan emosi dan psikologi mereka yang dididik agar nasihat yang disampaikan membekas dan tidak membuatkan mereka menjauhkan diri.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 122 surah al-An’am :
أَوَمَن كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٢٢﴾
Maksudnya : Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat)
Cara ke-[3] : Menggunakan kiasan dan perumpamaan di mana sesuatu perkara yang sukar digambarkan oleh akal perlu disampaikan secara kreatif agar ianya dekat dengan akal dan muncul dalam imaginasi lalu mampu diterjemah secara berkesan oleh pendengar. Uslub kreatif yang dimaksudkan di sini ialah melalui kiasan dan perumpamaan. Kiasan dan perumpamaan banyak digunakan di dalam al-Quran dan hadis untuk menggambarkan sesuatu perkara dalam bentuk yang mudah difahami. Contohnya nabi s.aw mengibaratkan seorang yang sentiasa mandi 5 kali sehari sepastinya bersih daripada kotoran. Begitulah seorang yang sentiasa menjaga solat 5 waktu pasti diampunkan dosanya oleh Allah
[4] Menguji orang yang telah mengetahui sesuatu perkara dan memujinya jika jawapannya tepat. Maksud sabda Rasulullah s.a.w : "Wahai Abu Al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, paling agung?".
Aku (Ubay) berkata: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui".
Sabda baginda: "Wahai Abu Al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, paling agung?". Aku berkata: "Allahu Laa Ilaaha Illaa Huwal Hayyul Qayyum". Lalu baginda menepuk dadaku, dan bersabda: "Semoga dipermudahkan ilmu bagimu, Abul Munzir". (Hadis riwayat Imam Muslim).
[5] Memegang tangan atau bahu pendengar di mana seorang ahli antropologi barat, Helen Fisher dalam bukunya ‘Anatomy Of Love’ menjelaskan pentingnya peranan sentuhan dalam memelihara kedekatan emosional diantara dua individu. Sentuhan menjadi alternatif untuk menyatakan simpati, upaya menularkan semangat positif dan ajakan melakukan sesuatu. ‘Abdullah bin ‘Umar r.a berkata :“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat Imam al-Bukhari).
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 12 surah Luqman :
وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّـهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّـهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ﴿١٢﴾
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji
Cara mendidik ke-[6] Menyebutkan kisah-kisah dan berita umat terdahulu. Sudah menjadi tabiat manusia tidak gemar jika sentiasa diberi arahan secara langsung seperti ‘jangan kamu berbuat begini’, ‘bersabarlah’, ‘taatlah’ dan sebagainya. Maka melalui kisah-kisah dan penceritaan, insan dapat mengambil motivasi dan iktibar tentang perkara yang mesti dilakukan, yang perlu ditinggalkan dan sebagainya. Satu pertiga ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran merupakan sejarah. Terdapat sebuah hadis panjang yang masyhur riwayat Imam Bukhari dan Muslim mengenai kisah Juraij yang difitnah hasil doa ibunya yang terguris hati dengan sikap Juraij yang tidak mengendahkan panggilannya kerana ingin terus melakukan solat.
Hadis tersebut memberi iktibar kepada setiap anak supaya menyahut panggilan ibu walaupun sedang melakukan ibadah.
[7] Marah dan bersikap tegas ketika perlu di mana Rasulullah s.a.w menjadi marah apabila terdapat sahabat yang bertanya dan berbicara mengenai perkara yang tidak sepatutnya diperbincangkan. Ada ketikanya nabi akan mengalihkan perhatian penyoal kepada perkara yang lebih penting untuk difikirkan.
[8] Bersabar dan meraikan persoalan. Sebuah hadis menarik yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim; Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu-, dia berkata : Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w : “Amal perbuatan apa yang paling dicintai Allah?” Baginda menjawab : “Solat pada waktunya”. Saya bertanya : “Kemudian apa?” Baginda menjawab : “Berbakti kepada kedua orang tua”. Saya bertanya : “Kemudian apa?” Baginda menjawab : “Berjihad di jalan Allah”. Ibnu Mas’ud RA berkata : “Rasulullah menyampaikan ketiganya kepada saya, jika saya menambah pertanyaan tentangnya, niscaya Baginda menjawabnya”.
Semoga kita semua terutama dari kalangan ibubapa, guru dan siapa sahaja mampu menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai Murabbi dan Pendidik terulung dalam melahirkan umat yang Berjaya dunia dan akhirat. Kenangilah segala jasa ibubapa dan guru-guru kita untuk mendapat keberkatan hidup.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan