أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Ahad, 27 November 2016
Islam DiNobat Rohingya DiSelamat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 110 surah Ali ‘Imran:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠﴾
Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik
Islam begitu menitikberatkan usaha dalam menguat dan mengukuhkan kedudukan umat Islam agar kita menjadi bangsa mulia bukannya hina, bangsa hebat bukannya bangsat, bangsa kuat bukannya melarat, bangsa memerintah bukannya dijajah. Betapa malangnya ia bertukar rupa akibat kita umat Islam yang terlena berabad lamanya kerana sebagai umat terbaik yang dilahirkan untuk seluruh manusia ini tidak sepatutnya kita menjadi beban kepada orang lain bagi memenuhi keperluan hidup kita baik di bidang ekonomi, ketenteraan dan lain-lain. Kita adalah umat yang banyak bercakap tetapi sedikit bekerja, jadi tidak hairanlah kita umat Islam yang berjumlah 1.6 billion berlutut di bawah Yahudi yang hanya berjumlah 3 juta orang.
Apabila kita merenungi al-Quran, maka kita akan menemukan umat itu sebagai umat lain, bukan sebagai umat al-Quran yang dilukiskan oleh Allah sebagai umat terbaik kerana mereka menyeru orang berbuat makruf dan mencegah orang berlaku mungkar, serta beriman kepada Allah. Sedangkan ramai umat Islam pada hari ini melihat makruf sebagai sesuatu yang mungkar dan melihat yang mungkar sesuatu yang makruf. Malah lebih dari itu, dia menyuruh orang berbuat mungkar dan mencegah mereka berbuat makruf, sehingga dilanda fitnah yang tidak ditemukan hujung pangkalnya, yang membuat intelektual muslim menjadi bingung. Secara ringkas dapat dikatakan bahawa umat kita telah melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada dirinya sendiri dan lupa kepada Allah Tuhan Maha Besar.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
Allah sentiasa menyeru untuk kita bersungguh dan istiqamah dalam melahirkan kekuatan umat Islam dalam setiap aspek kehidupan. Malangnya apa yang berlaku akibat mengenepikan seruan Allah dan rasulNya menyebabkan umat Islam mensia-siakan kelebihan dan kekuatan yang ada. Antara kekuatan yang disia-siakan oleh umat Islam ialah : [1] Kekuatan akal kerana kita bagaikan burung tiung hanya suka meniru. Kita tidak mahu berdikari, tidak suka mencipta sendiri, tidak kreatif, senang menghafal daripada berfikir dan lebih senang mengutip fikiran orang lain, baik fikiran pendahulu kita ataupun masyarakat lain, kerana kita menganggap tidak perlu bersusah payah berfikir sendiri. Suatu ketika dahulu bekas Menteri Luar Israel, menyatakan secara terbuka cita-cita dan keinginan negaranya. Dia mendapat serangan dan kecaman dari bangsanya, kerana mereka khuatir pernyataanya itu dibaca oleh bangsa Arab (umat Islam) dan rencana jahatnya diketahui. Namun dengan tenang dia menjawab dengan katanya: “Tenanglah, pecayalah padaku, bangsa Arab (nisbah kepada umat Islam) tidak akan membacanya, kerana mereka tidak suka dan malas membaca”. Inilah kenyataan pahit yang dimiliki suatu umat yang ayat pertama dalam al-Quran yang diturunkan kepadanya memerintahkan; “Iqra” (bacalah). Ternyata mereka malas dan tidak suka membaca. Kalaupun membaca, mereka tidak pandai memahami, kalaupun memahami, mereka tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya. [2] Kekuatan amalan yang disia-siakan di mana amat menyedihkan, umat kita merupakan umat yang paling sedikit dalam berbakti dan amal perbuatannya, tetapi yang paling banyak bercakap dan berdebat. Kita banyak bicara dan sedikit kerja. Andaikata bekerja, kita hanya mengerjakan sesuatu yang kurang penting dan meninggalkan yang penting, malah kadang-kadang kita mengerjakan yang tidak bermanfaat sedikitpun. [3] Kekuatan Ekonomi disia-siakan, padahal kita hidup di bumi terbaik, yang paling baik daerahnya, paling subur tanahnya, paling kaya bahan galiannya, tetapi kita tidak memanfaatkan kekayaan itu sebaliknya dikorek oleh orang lain dan kita hanya menjadi pengguna setia sahaja. [4] Kekuatan Tenaga umat Islam yang jumlah begitu ramai disia-siakan malah yang lebih malang kita perpecah da nada Negara yang berlaku perang saudara [5] Kekuatan Jiwa Kita sia-siakan Kurikulum pelajaran kita tidak mampu menterjemahkan erti dan sifat “Rabbaniyah” ke dalam jiwa kita. Tepat sekali apa yang dikatakan oleh seorang intelektual Islam ketika mengatakan tentang “sekolah-sekolah moden”, bahawa ia boleh membuka mata generasi muda untuk mempelajari berbagai hakikat dan pengetahuan, namun ia tidak mengajari matanya bagaimana menangis dan tidak mengajari hatinya supaya khusyuk. Musibah paling tragis yang menimpa umat kita dewasa ini ialah menjadikan agama sebagai permainan dan senda gurau dan menjadikan permainan dan senda gurau sebagai agama. Kita hanya berlumba menghiasi tembok masjid dan dinding rumah dengan ayat-ayat al-Quran, tetapi tidak menghias kehidupan kita dengan al-Quran. Kita hanya membaca al-Quran untuk orang mati tetapi tidak mengajarkan al-Quran kepada orang hidup. Kita berusaha memiliki al-Quran, membawanya berkat, padahal berkat yang hakiki terletak kepada sejauh mana kita mengikuti perintah Allah dan menjauhi larangan Nya yang terkandung dalam al-Quran
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 75 surah an-Nisaa’ :
وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَـٰذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ﴿٧٥﴾
Maksudnya : Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)".
Pada hari Jumaat yang mulia ini juga marilah kita sama-sama mengutuk dan mengecam pembunuhan etnik yang sedang berlaku di Myanmar. Ketahuilah bahawa kita sangat-terlambat, sebab tidak ada akses berita tentang saudara kita umat Islam Rohingnya, sehingga kita pun tidak mampu berbuat-apa-apa, padahal hakikatnya penindasan itu sudah berlangsung selama 228 tahun yang lalu, namun kita baru percaya setelah hampir dua juta muslim Rohingnya hidup di luar negerinya, dan lebih dari 500,000 mati dibunuh. Oleh kerana itu, pembelaan di tingkat pertama ini adalah memberikan maklumat yang benar tentang kezaliman yang mereka alami.
Berikut ini adalah ringkasan dari tragedi yang dihadapi oleh umat Islam di sana oleh pemerintah teroris Burma:
[1] Penghapusan kewarganegaraan atau etnik Rohingya Muslim di Arakan berdasarkan undang-undang yang mereka buat tahun 1982 M. Mereka dianggap orang asing ibarat pelarian di negara mereka sendiri yakni di Burma atau Myanmar setelah tahun 1824 (tahun masuknya penjajah Inggeris ke Burma) meskipun fakta dan sejarah mendustakan dakwaan itu.
Ketahuilah bahawa Islam masuk Arakan sejak abad pertama Hijriyyah, zaman sahabat Nabi 1400 tahun yang lalu. Islam masuk dibawa oleh para pedagang Arab pimpinan Waqqash bin Malik dan sejumlah tokoh tabi’in.
Kemudian gelombang kedua, Islam dibawa oleh para pedagang Arab Muslim pada abad kedua Hijriyah, tahun 172 H/788 M di masa Khalifah Harun al-Rasyid. Mereka singgah di Pelabuhan Akyab Ibukota Arakan. Umat Islam terus berkembang di Arakan hingga berdirilah Kerajaan Islam oleh Sultan Sulaiman Syah dan berlanjutan hingga 3- 5 abad lamanya (1430-1784 M), dipimpin oleh 48 raja Islam, dan berakhir dengan Raja Sulaiman Syah. Kemudian kerajaan Islam runtuh oleh serbuan kaum Buddha tahun 1784 M. Sejak ketika itulah sampai ke hari ini umat Islam ditindas dan diperlakukan seperti haiwan.
[2] Mengetatkan sistem keselamatan terhadap Muslim yang mahu keluar dalam perjalanan baik di dalam negeri mahupun di luar negeri.
[3] Penangkapan dan penyiksaan Muslim di kem-kem tahanan tanpa soal bicara.
[4] Memaksa umat Islam untuk melakukan kerja sebagai buruh paksa tanpa upah, seperti pembinaan jalan, penggalian parit di daerah pergunungan di Burma.
[5] Pengusiran umat Islam dan memberi penempatan kaum Buddha di rumah-rumah mereka.
[6] Menyita harta wakaf-wakaf umat Islam dan hasil pertanian mereka.
[7] Memeras kekayaan umat Islam, dan mencegah mereka dari mengimport dan mengeksport atau melakukan kegiatan perdagangan.
[8] Menghalangi umat Islam untuk menjadi kakitangan atau pegawai kerajaan, dan sebahagian kecil dari mereka yang telah mendapatkan kedudukan dalam masa penjajahan Inggeris dulu dipaksa untuk berhenti kerja
[9] Menghalang dan merintangi anak-anak Muslim dari melanjutkan pendidikan di sekolah-sekolah, dan universiti negeri.
[10] Melarang umat Islam untuk hadir dalam muktamar dan persidangan Islam antarabangsa (OIC) sehingga penderitaan mereka disembunyikan
Oleh itu kita menggesa pihak kerajaan Malaysia mengambil tindakan lebih tegas dalam menghentikan pembunuhan etnik terutama dalam menekan kerajaan Myanmar. Kita pula jangan asyik dengan bola sepak Piala Suzuki yang berlangsung di Myanmar sehingga melupakan pada nasib saudara seagama yang sedang ditindas. Adakah boleh kita bersorak girang ketika saudara agama kita disembelih, dibakar, dibunuh kejam. Adakah kita boleh tidur lena ketika rumah saudara kita dibakar, dirampas dan mereka dihalau keluar daripada kampung halaman. Bantulah dengan wang dan paling penting doa kepada Allah agar penindasan ini dapat dihentikan segera. Jika pada hari ini kita boleh menyaksikan bagaimana Allah sedang menghantar tenteranya berupa api untuk membakar Israel selepas larangan azan maka bantuan Allah akan turun di mana-mana dengan syarat kita kembali bersatu bawah panji Islam dan saling menolong atas dasar iman. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan