أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 15 Julai 2016
Syawal Menjana Syarat Kemenangan
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 9-10 surah al-Syamsu :
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Kini telah 2 minggu kita berada di bulan Syawal di mana kehangatan sambutan hari raya masih terasa. Kenikmatan sebenar berhari raya tidak mampu dirasai kecuali oleh golongan yang benar-benar berjaya menunaikan kewajipan yang diperintah oleh Allah disamping berjaya mengawal diri daripada segala laranganNya bukan sahaja pada bulan Ramadhan yang baru lalu malah pada 11 bulan selepasnya. Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Bagi yang belum memulakannya atau tak pernah menunaikannya sebelum ini maka marilah kita sama-sama merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ - رواه مسلم
Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita sentiasa berusaha dan berdoa kepada Allah agar termasuk dalam kalangan hambaNya yang sentiasa istiqamah dalam mengerjakan amalan soleh dan menjauhi dosa maksiat dalam kehidupan seharian. Inilah antara tanda kemenangan yang kita capai hasil tarbiah Ramadhan di mana ia mampu dilihat dan dirasai dengan beberapa perubahan antaranya :
[1] Kemurahan Hati Kita yang Mengalahkan Sifat Kikir dan Tamak di mana sifat tamak dan kikir adalah sifat mazmumah atau tercela yang mendatangkan mudharat dalam keluarga, masyarakat dan Negara.
[2] Keikhlasan Kita yang Mengalahkan Sifat Riya’ di mana Puasa mengajarkan kita tentang bagaimana sebuah amal yang kita kerjakan hanya diketahui oleh Allah yang menjadi rahsia antara kita dengan Allah semata-mata sehingga dapat membersihkan hati kita daripada sifat riya’, ujub dan sum’ah. Riya’ menjadi penyebab rosaknya amal seseorang hingga tidak bernilai sama sekali di sisi Allah.
3. Pengendalian Diri Kita yang Mengalahkan Sifat Menuruti Hawa Nafsu di mana puasa memberikan latihan berharga terhadap seluruh unsur dalam diri kita termasuk fikrah, jasad, ruh, hati dan harta kita untuk di arahkan menuju kemaslahatan bagi diri kita dan orang lain. Ketabahan dan kesungguhan kita dalam menjalankan ibadah puasa maka kita dapat mengendalikan keinginan hawa nafsu itu melalui seluruh pancaindera iaitu mulut, kaki, tangan, telinga, mata termasuk hati untuk tunduk patuh kepada Allah.
Firman Allah dalam ayat 24 surah n-Nuur :
يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٢٤﴾
Maksudnya : Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :
إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (musyrik) itu juga telah (tercedera dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
Keberadaan kita pada bulan Syawal turut mengetuk hati untuk kita sama-sama mengambil iktibar daripada beberapa peristiwa besar yang telah tercatat dalam sirah nabi s.a.w antaranya peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah, Peperangan Ahzab bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh di mana ia berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah dan Peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Ketika berdepan dengan musuh Islam maka tentera Islam menerima keputusan yang berbeza antara menang dan kalah. Contohnya tentera Islam diberi kemenangan dalam peperangan Badar pada bulan Ramadhan, meskipun jumlah mereka terlalu kecil. Tetapi oleh kerana jiwa mereka suci dan hati mereka bersih untuk tunduk mengabdikan diri kepada Allah semata- mata, maka mereka telah dianugerahkan dengan kekuatan dan kemenangan. Tidak ada kebendaan yang dicari dan tidak ada pengaruh duniawi yang menjadi matlamat dan tujuan dalam perjuangan mereka. Sebaliknya, di dalam peperangan Uhud, apabila hanya ada segelintir sahaja daripada jamaah Islam itu yang tidak mengikut arahan Rasulullah S.A.W mereka telah diajar dengan percikan darah yang menitis keluar daripada tubuh umat Islam, sehingga gigi Rasulullah S.A.W sendiri patah dan pipinya berdarah. Justeru kerana sedikit daripada mereka meninggalkan bukit strategi untuk mengejar ghanimah perang dan kebendaan, mereka telah diajar oleh Allah melalui syuhada’ yang bergelimpangan. Dan bagaimana mereka diuji sekali lagi secara jama'ah di dalam peristiwa peperangan Hunain tatkala mereka berbangga dengan jumlah mereka yang ramai. Mereka merasakan bahawa mereka tidak mungkin dapat dikalahkan sehingga diuji dengan kekalahan pada peringkat awal peperangan dengan serangan hendap daripada musuh
Peristiwa ini menjadi dalil yang kuat untuk membuktikan bahawa kejayaan dan kemenangan umat Islam, kegemilangan generasi Islam bukanlah bikinan manusia, tetapi ia adalah kurniaan daripada Allah. Pertolongan dan kurniaan daripada Allah itu tidak akan datang secara percuma, walaupun Islam ini adalah agama yang diturunkan oleh Allah. Sebagaimana ungkapan seorang Ulama’ :, “Meskipun Allah boleh memberi kemenangan kepada umat Islam sebagaimana turunnya hujan dari langit, tetapi oleh kerana Islam itu diturunkan kepada manusia, maka kejayaan dan kegemilangan Islam ini hendaklah berjalan melalui proses kemanusiaan itu sendiri. Melalui sifat-sifat yang ada pada manusia, yang dibentuk melalui cara kehidupan manusia serta melalui tekanan dari penindasan yang dihadapi oleh mereka. Oleh kerana itulah Allah melatih dan membentuk mereka melalui wahyu secara individu dan jamaah, membentangkan di hadapan mereka ribuan tribulasi yang nyata dan praktikal. Sentuhan wahyu yang menggarap sikap dan semangat untuk memikul amanah Islam sehingga lahirnya individu-individu dalam rangkaian suatu jamaah yang padu dan kuat. Lahirnya jamaah Islam yang dapat melaksanakan perintah Allah tanpa syarat. Suatu jamaah yang tidak pernah menyimpang walau di saat wafatnya Rasulullah S.A.W. Mereka tidak mungkin dapat digugat, sebagaimana mereka tidak dapat digugat di zaman Rasulullah S.A.W.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 32 surah at-Taubah :
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّـهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٣٢﴾
Maksudnya : Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Pertembungan antara Islam dan jahiliah terus berlangsung, pertentangan antara iman dan kufur terus berlaku, perlawananan antara hak dan batil terus berjalan. Musuh Islam sentiasa berusaha siang dan malam dengan seluruh kekuatan melalui pelbagai cara untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Oleh itu sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya wajib bangkit dan bangun dalam berdepan dengan pelbagai taktik jahat musuh agar kita ditulis oleh Allah sebagai pejuang Islam bukannya orang yang berlepas tangan daripada kewajipan. Kita yakin bahawa cahaya Allah tidak mampu dipadamkan antaranya disebabkan 3 faktor utama sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 32 surah at-Taubah iaitu :
Pertama, Islam itu kukuh kerana adanya petunjuk Al Qur’an selama diamalkan oleh umat Islam. Mulia dan hinanya kita bergantung kepada sejauh mana kita memahami dan mengamalkan system al-Quran yang meliputi ibadat, ekonomi, politik, sosial dan pelbagai system hidup.
Kedua, Islam adalah Agama yang benar bukan rekaan iaitu Tauhid diikuti ‘amal soleh yang berguna di dunia dan akhirat. Islam akan tetap kukuh selagi ada umatnya yang berlumba menjaga aqidah dan beramal soleh
Ketiga, Allah sendiri yang menjaga kesucian Islam sampai cahaya kebenarannya betul-betul sempurna. Allah lah yang menjamin kemenangan Islam, dan kita wajib meyakini hal tersebut, dengan tidak hanya berpeluk tubuh dengan dalih bahwa Islam pasti dimenangkan Allah. Tugas kita adalah terus berikhtiar dengan jerih payah dan usaha yang terbaik yang kita miliki untuk menjadi saham kemenangan Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang mulia, bulan Syawal yang mulia dan di masjid yang mulia ini maka tidak lupa untuk kita sebagai umat Islam yang bermaruah untuk sama-sama bangkit membantah dan mengutuk di atas kekejaman ke atas umat Islam Rohingya terutama 120,000 orang di kem-kem pelarian tidak diberikan perhatian; 800,000 orang ‘dikurung’ di Rakhine disekat ketat daripada mendapatkan mendapat pendidikan, kesihatan dan pekerjaan; manakala sejak 2012, seramai 140,000 orang terpaksa melarikan diri melalui perairan – sama ada mati dalam perjalanan atau menjadi mangsa penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Kita menyeru negara-negara anggota Asean dan OIC serta PBB agar memberikan perhatian yang serius dan mengatur langkah yang berkesan bagi menangani krisis kemanusiaan dan memulihkan keamanan di Myanmar, khususnya di Rakhine. Semua negara dan pertubuhan ini perlu tegas memberikan tekanan dan mendesak Myanmar untuk:
(i) Menamatkan semua penindasan, sekatan dan serangan ke atas warga Rohingya dan memberi hak sama rata bagi mendapatkan pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.
(ii) Memberikan hak kerakyatan kepada warga Rohingya dan membenarkan mereka untuk mendapatkan kerakyatan dan membuktikan kerakyatan mereka.
(iii) Menempatkan semula warga Rohingya di penempatan asal mereka dengan mengembalikan semula tanah mereka yang telah dirampas dan membangunkan semula kediaman mereka yang telah dimusnahkan
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan