أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Rabu, 13 April 2016
Islam DiJulang Tinggi Keberkatan DiMiliki
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 4-6 surah at-Tin :
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ ﴿٤﴾ ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ ﴿٥﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ ﴿٦﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
Kini kita berada di penghujung bulan Jamadil Akhir di mana mulai esok kita mula melangkah ke bulan Rejab. Perjalanan masa atau waktu berlalu begitu pantas yang menghasilkan 2 natijah atau kesan yang berbeza kepada umat manusia di mana umat yang berjaya memanfaatkan masa dengan sebaiknya terutama diisi dengan amal soleh pasti akan berjaya manakala golongan yang membazirkan nikmat masa dengan perbuatan sia-sia apatah lagi maksiat akan berada dalam kerugian yang berpanjangan. Ibarat kata Hukama’ : Umur kehidupan di dunia ibarat modal di mana keuntungannya dengan kejayaan kita menggunakan umur dalam melaksanakan amalan soleh manakala kerugiaannya bila dibuang pada perkara maksiat sehingga bukan sahaja umurnya rugi malah dirinya bakal berdepan dengan seksaan Allah.
Allah memberi amaran tentang perkara ini dalam ayat 178 surah Ali ‘Imran :
وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ خَيْرٌ لِّأَنفُسِهِمْ ۚ إِنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ لِيَزْدَادُوا إِثْمًا ۚ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ ﴿١٧٨﴾
Maksudnya : Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).
عَنْ اَبِى بَكْرَةَ رضي الله عنه اَنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ؟ قَالَ: مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَ حَسُنَ عَمَلُهُ. قَالَ: فَاَيُّ النَّاسِ شَرٌّ؟ قَالَ: مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَ سَاءَ عَمَلُهُ. رواه الترمذى
Dari Abu Bakrah RA, bahawasanya ada seorang lelaki bertanya, “Ya Rasulullah, manusia yang bagaimana yang paling baik ?”. Baginda SAW menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”. Orang tersebut bertanya lagi, “Lalu manusia yang bagaimana yang paling buruk ?”. Baginda SAW menjawab, “Orang yang panjang umurnya tetapi buruk amalnya”.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 269 surah al-Baqarah :
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩﴾
Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Menyedari betapa pentingnya mencari keberkatan umur, rezeki, keluarga dan lainnya yang bermula dengan keberkatan Ilmu. Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot menukilkan : “Ilmu yang muktabar menurut syarak adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturan yang telah ditetapkan oleh Allah samada suka atau tidak suka”.
Malah nabi s.a.w memberi amaran bagaimana hinanya umat Islam di akhir zaman sehingga mudah digayang dan diperkotak-katikkan oleh musuh Islam walau pun memiliki jumlah yang ramai akibat lemahnya budaya ilmu dan beramal sehingga hati umat Islam sendiri mudah dijangkiti dengan sifat mazmumah atau tercela termasuk al-Wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan terlalu benci pada kematian.
Menurut Imam al-Ghazali, hati manusia ibarat kolam sementara segala anggota dan pancaindera zahir seperti mata, telinga, lidah dan lain-lainnya umpama sungai. Apabila anggota dan pancaindera terbabit dengan dosa, setiap dosa itu akan mengalir ke dalam hati maka akan rosak binasalah seluruh kehidupan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾
Maksudnya : Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Di dalam Al-Quran perkataan barakah dan cabang-cabangnya disebut sebanyak 32 kali. Melalui perkataan barakah, Al-Quran telah menentukan orang tertentu, tempat tertentu dan masa tertentu mendapat berkat daripada Allah SWT sehingga termaktub hikmah pada perkara-perkara yang mendapat berkat itu untuk menghasilkan kebaikan dan manfaat kepada persekitarannya.
Misalnya dalam surah Hud ayat 48, Allah telah memberi keberkatan kepada nabi Nuh a.s. dan pengikut baginda a.s. serta memberi ancaman siksaan kepada mereka yang engkar dengan memberi sedikit kenikmatan sementara di dunia dan kelak akan diazab. Dalam surah Fussilat ayat 10, Allah memberi keberkatan ke atas muka bumi secara amnya apabila menegaskan Dialah yang menjadikan gunung-ganang di atas muka bumi yang mempunyai keberkatan iaitu yang dapat memberi faedah kepada semua makhluk di atas bumi termasuk haiwan, manusia dan tumbuh-tumbuhan. Imam al-Razi menegaskan erti berkat di sini ialah manfaat bumi yang banyak. Imam Al-Qurtubiy merumuskan bahawa keberkatan merangkumi kebahagiaan, pertambahan dan perkembangan.
Begitu juga Allah menyifatkan Al-Quran sebagai sebuah kitab penuh berkat yang perlu ditadabbur atau diperhatikan oleh manusia yang berakal sempurna agar mendapat iktibar seperti termaktub dalam surah Shad ayat 29. Dalam surah Qaaf ayat 9, Allah menegaskan bahawa Dia SWT menurunkan air yang pernuh berkat daripada langit yang menumbuhkan tanaman dan biji-bijian untuk dituai.
Rentetan daripada ini ulama mendefinisikan berkat sebagai 'limpahan rabbani' yang tercurah manfaatnya kepada apa-apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah SWT bagi memperlihatkan kebaikan perkara tersebut. Ulama juga dengan lebih lanjut memberi maksud berkat sebagai peningkatan dan pertambahan kebaikan dalam sesuatu perkara sama ada ia secara zahir atau pun batin.
Umat hari ini mula mengabaikan keberkatan atau kualiti kerana terlalu mengejar kuantiti atau jumlah zahir yang nampak banyak semata-mata sehingga sanggup terlibat dengan perkara yang haram seperti rasuah, riba, pecah amanah, skim cepat kaya dan sumber haram lain demi hidup mewah tak bermaruah. Malah isu mas kahwin mahal yang membawa kepada pergaduhan keluarga sepastinya akan mewujudkan suasana kahwin lebih mahal yang menyebabkan kes zina yang lebih murah semakin membarah.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 36-37 surah Saba’ :
قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ وَيَقْدِرُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٣٦﴾ وَمَا أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُم بِالَّتِي تُقَرِّبُكُمْ عِندَنَا زُلْفَىٰ إِلَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَـٰئِكَ لَهُمْ جَزَاءُ الضِّعْفِ بِمَا عَمِلُوا وَهُمْ فِي الْغُرُفَاتِ آمِنُونَ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (36) Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa.
Keberkatan juga melibatkan Negara di mana semakin tunduknya system Negara kepada Islam maka semakin mencurahlah keberkatan dalam sesebuah Negara itu. Kita ambil contoh al-Quran berkenaan keberkatan kerajaan Saba’ yang menikmati kemajuan dari sudut sosial di samping mempunyai empayar ekonomi, ketenteraan dan teknologi pembinaan yang tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Maa'rib yang masyhur dan masih kekal sehingga ke hari ini. Ia berbeza dengan tamadun Barat pada hari ini yang hanya maju dari sudut ekonomi, teknologi dan ketenteraan sahaja di mana semakin maju Negara itu, maka semakin banyak jenayah yang berlaku dan semakin ramai penjenayah yang rakus di dalam negara tersebut. Antara sebab utama kejatuhan kerajaan Saba’ akibat sikap manopoli pemimpin sehingga menindas rakyat
Itulah yang menjadi kebimbangan kita apabila pemimpin negara hanya memikirkan cara memperbanyakkan hasil kemasukan negara termasuk GST dan mengurangkan pengeluaran negara dengan menarik banyak subsidi sehingga membebankan rakyat. Golongan petani, penoreh getah misalnya menghadapi masalah harga yang terlalu rendah sedangkan pengilang dan syarikat mengecapi keuntungan yang berganda. Akhirnya negara ini menjadi "negara perniagaan" yang menyebabkan kegelapan dan kehancuran Negara sebagaimana yang diperingatkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukaddimahnya : "Sesungguhnya, perniagaan dari pihak kerajaan kepada rakyat merupakan suatu kemusnahan."
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Mimbar Jumaat pada hari ini juga tidak lupa menyatakan kesedihan atas pengeboman yang berlaku di Turki dan Belgium sehingga tekanan terhadap umat Islam terutama di bumi Eropah semakin kuat selepas pengeboman ini
Kita juga mengambil peduli terhadap saudara seagama kita terutama di Syria, Iraq dan selainnya yang menderita akibat peperangan. Begitu juga umat di Palestin merayu untuk kita mendoakan kejayaan mereka dalam memerdekakan bumi Palestin disamping bantuan material dan yang penting untuk bersatu memboikot barangan dan syarikat yang banyak membantu kezaliman dan kejahatan zionis Yahudi. Kita turut menyatakan kebimbangan dengan keputusan pilihanraya Presiden Amerika Syarikat tidak lama lagi yang biasanya memberi kesan buruk terhadap umat Islam terutama di Palestin kerana setiap calon yang mahu menang mestilah menjadi pelobi dan penyokong kuat kepada zionis Yahudi. Semoga Allah mendatangkan kemenangan kepada pejuang Islam yang istiqamah dalam menjulang panji Islam sebagaimana Allah meruntuhkan kerajaan Namrud, mengalahkan kerajaan Firaun, menumbangkan Empayar Rom dan Parsi. Islamlah nescaya kita berjaya dan bahagia dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 5-6 surah al-Qosas :
وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ﴿٥﴾ وَنُمَكِّنَ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَنُرِيَ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا مِنْهُم مَّا كَانُوا يَحْذَرُونَ ﴿٦﴾
Maksudnya : Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan