أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 18 Februari 2016
Pemuda Bertaqwa Negara Sejahtera
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 45-46 surah al-Anfal :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٤٥﴾ وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan musuh maka teguhkanlah hatimu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh keuntungan. Dan taatlah kepada Allah dan rasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang akan menyebabkan kamu menjadi gentar serta hilang kekuatanmu dan bersabarlah sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar
Kita kini berada dalam bulan Jamadil Awwal yang telah mencatatkan beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya Peperangan Mu’tah, Jordan tahun ke 8 Hijrah yang meletus disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Rasulullah s.a.w dalam masa yang pantas dapat mengumpul 3000 orang tentera Islam untuk keluar ke Mu’tah. Penghantaran tentera ini bukan atas misi membalas dendam sebaliknya Rasulullah s.a.w telah meletakkan tujuan utama ialah berdakwah dengan mengajak terlebih dahulu penduduk Mu’tah agar memeluk Islam dan jika mereka enggan serta terus berkeras untuk berperang barulah serangan boleh dimulakan. Tindakan tegas ini mengajar kita tentang betapa pentingnya umat Islam memilih pemimpin yang takutkan Allah bukannya pengecut dengan musuh barulah maruah dan nyawa umat Islam dapat dibela. Kita berasa sedih apabila pada hari ini bukan seorang umat Islam yang dibunuh terutama di Palestin, Iraq, Syria, Afghanistan, Selatan Filiphina, Myanmar dan selainnya namun tidak ramai pemimpin negara umat Islam yang bangun membela sehingga musuh Islam lebih bermaharajalela dalam membaham dan meratah tubuh saudara seagama. Kebanyakan pemimpin negara umat Islam lebih memikirkan bagaimana mahu menambahkan kekayaan peribadi dan bagaimana mahu mengekalkan kuasa yang sedia ada bukannya untuk memperjuang agama. Malah pelarian Syria, Palestin dan sebagainya terpaksa berdepan dengan masalah murtad jika kebajikan terutama pendidikan mereka tidak diambil berat oleh saudara seagama sedangkan Islam mengajar kita betapa pentingnya kesatuan kita
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى – رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit
Sidang Jumaat yang diberkati Allah
Firman Allah dalam ayat 64-65 surah al-Anfal:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَسْبُكَ اللَّـهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٦٤﴾ يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ ۚ إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّائَةٌ يَغْلِبُوا أَلْفًا مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَفْقَهُونَ ﴿٦٥﴾
Maksudnya : Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu 20 yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan 200 orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu 100 orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) golongan yang tidak mengerti.
Ujian pertama yang terpaksa mereka lalui oleh tentera Islam ketika tiba di Mu’tah apabila mendapat berita bahawa musuh telah pun bersiap sedia dengan angkatan tentera seramai 200 ribu orang sehingga ada tentera Islam mencadangkan agar mereka berundur terlebih dahulu bagi meminta bantuan tambahan dari Madinah. Dalam keadaan kelam kabut ini lalu Abdullah bin Rawahah bangun sambil memberi semangat kepada tentera Islam dengan katanya : “ Demi Allah! Adakah kita benci dengan sebab keluarnya kita ke Mu’tah iaitu untuk untuk memburu syahid. Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan untuk beradu kekuatan tetapi datangnya kita ke sini adalah untuk Islam yang telah memuliakan kita. Oleh itu maralah kita ke medan peperangan kerana di sana 2 kebaikan pasti kita perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama dengan keredhaan Allah”.
Semangat jihad yang ditanam beserta keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada pertolongan Allah telah membawa kemenangan kepada tentera Islam di mana hanya 12 tentera Islam gugur syahid termasuk tiga panglima perang yang telah dilantik oleh Rasulullah s.a.w sedangkan pihak musuh lebih 3000 yang terbunuh. Kepimpinan tentera Islam selepas itu diambil alih oleh Sayyidina Khalid ibnu Walid telah berjaya mengundurkan tentera sedangkan musuh ratusan ribu jumlahnya tidak berani untuk mengejar kerana menyangka tentera Islam memasang perangkap dan adanya bantuan tambahan dari Madinah. Tindakan mengundur diri daripada peperangan ini diherdik oleh sebahagian umat Islam lalu Rasulullah s.a.w mempertahankan tindakan Khalid ibnu Walid ini dengan menyatakan ia bukan undur untuk lari dari medan peperangan sebaliknya untuk mengatur strategi untuk kembali memerangi musuh pada masa terdekat. Semangat jihad inilah yang digeruni oleh musuh Islam sehingga telah banyak usaha termasuk dalam merombak sukatan pengajian di kebanyakan university di Negara umat Islam supaya umat Islam mandul jihad dan tidak lagi bangkit menentang keganasan kuffar. Sekiranya terus ada pejuang Islam yang cintakan mati syahid bagi berdepan dengan tentera kuffar yang takut mati maka selagi itulah kuffar akan berdepan dengan tentangan sengit yang menakutkan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Jamadil Awwal turut merakamkan suatu kejayaan gemilang yang dicapai oleh Sultan Muhammad al-Fateh dalam menawan Constantinople atau Istanbul, Turki ibu kota Empayar Byzantine oleh Khilafah Uthmaniyyah pada 20 Jamadil Awwal 857H bersamaan 29 Mei 1453. Kejayaan besar dalam menyahut seruan nabi s.a.w iaitu sebaik-baik pemimpin dan tentera ialah yang berjaya membuka kota Constantinople di mana ia juga menandakan berakhirnya Empayar Byzantine yang berusia lebih kurang 1,000 tahun itu dan ia membuka jalan untuk Islam masuk ke Eropah.
Semangat jihad tinggi dan kepintaran Sultan Muhammad al-Fateh yang ketika itu masih muda memberi isyarat yang besar kepada kita dalam memastikan golongan muda supaya memiliki sifat atau cirri umat cemerlangnya antaranya 10 sifat yang telah digariskan oleh Hassan al-Banna : [1] ( سَلِيمُ العقيدة ) iaitu Aqidah yang sejahtera bebas daripada syirik. Dia juga membebaskan dirinya daripada tunduk kepada isme-isme dan tahayul, khurafat yang menyesatkan. [2] ( صحيح العبادة ) iaitu Ibadah yang soheh berdasarkan ilmu sehingga ibadat yang dilakukan mampu memberi kekuatan kepada diri daripada terjebak dengan maksiat dan kemungkaran
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Kahfi :
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾
Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka (ashabul Kahfi) dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
Ciri pemuda cemerlang yang ke-[3] ( مَتِينُ الخُلُقِ ) iaitu akhlak yang mantap. Kita bimbang pemuda kita hanyut dengan senjata musuh sebagaimana kata seorang pemimpin Tertinggi Imprealis: “ Arak dan nyanyian merupakan 2 unsur yang mampu menghancurkan ummat Muhammad dengan berkesan berbanding 1000 laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik.”
[4] ( قوي الجسم ) iaitu Tubuh badan yang kuat untuk memikul tanggungjawab yang berat. Islam menggalakkan senaman dan menjaga pemakanan yang seimbang, baik lagi halal. Muslim yang kuat lebih utama dam lebih dicintai Allah daripada muslim yang lemah. Kita begitu bimbang dengan angka yang diberikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan di mana pertambahan jumlah 22 ribu penagih dadah tahun 2015 berbanding 20 ribu tahun 2014
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mu’minun :
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ
Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;
Ciri pemuda cemerlang yang ke- [5] (مُثَقَّفُ الفِكْرِ ) iaituPemikiran yang terdidik dan matang. Musuh-musuh Islam telah menyusup ke pelbagai bidang kehidupan melalui disiplin-disiplin ilmu yang mereka kuasai. Untuk melawan mereka, maka kita juga perlu menguasai berbagai-bagai disiplin ilmu. Bangsa lain maju kerana membaca buku yang bermanfaat sedangkan kita terus mundur akibat asyik baca majalah hiburan
[6] ( مُنَظَّمْ فى شُؤُوْنِهِ) iaitu Teratur dalam urusan atau kerja hingga melahirkan hasil kerja yang berkualiti.
[7] مجاهدةللنفس iaitu Kesungguhan dalam diri di mana bersabar sewaktu ditimpa kesusahan dan bersyukur kepada Allah ewaktu mendapat kegembiraan atau menerima nikmat daripada Allah
[8] ( حَرِيْسٌ على وقته) iaitu Menjaga waktu dengan baik. Janganlah sampai kita gunakan waktu untuk perbuatan yang sia-sia, jauh sekali daripada melakukan ma’siat. Bukankah kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang kita ada?
[9] ( قادر على الكسب ) iaitu Mampu untuk bekerja dan berdikari. Dia boleh berusaha sendiri untuk mencari nafkah bagi diri sendiri, keluarga dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.
[10] ( نافع للغير ) iaitu Bermanfaat terhadap orang lain. Seorang muslim yang soleh harus menjadi rahmat bagi ‘alam. Dia membawa manfaat kepada diri sendiri, orang lain dan ‘alam sekitarnya dalam rangka menegakkan Islam.
Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Munafiqun :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan