أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 11 September 2015
Perjanjian Hudaibiyah DiKenang Dakwah Islam DiKembang
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fajr :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ
Maksudnya : Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;
Kini kita berada dipenghujung bulan Zulkaedah di mana beberapa hari lagi kita bakal menyambut kedatangan bulan Zulhijjah yang sarat dengan fadhilatnya. Telah ramai di kalangan umat Islam dari seluruh dunia termasuk ibubapa, adik-beradik, sanak saudara mahu pun sahabat handai kita telah dan akan bertolak menuju ke tanah suci Mekah bagi menunaikan Fardhu haji. Kita doakan semoga para jemaah haji diberikan keselamatan, kesihatan, kemudahan sepanjang menunaikan ibadat di Mekah dan dianugerahkan dengan ganjaran haji mabrur yang diidamkan. Bertemunya kita dengan Zulhijjah buat sekian kalinya dalam kehidupan kita janganlah dilepaskan begitu sahaja fadhilatnya terutama 10 hari awal daripada bulah Zulhijjah di mana kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh dalam menambah lagi bekalan akhirat. Al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah, ibadat korban dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat secara serentak pada bulan-bulan lain. Inilah antara tanda betapa kasih dan cintanya Allah kepada kita di mana Allah tahu setiap kita tidak mampu untuk melakukan ibadat khusus terutama amalan sunat sepanjang hari lalu dengan dianugerahkan hari-hari tertentu bagi digandakan pahala dan diampuni dosa agar umur kita yang pendek tidak menghalang daripada kita meraih pahala yang berlipat ganda dengan syarat menggunakan ruang waktu yang ada terutama dengan kedatangan hari-hari tertentu termasuk 10 hari yang awal daripada bulan Zulhijjah ini. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a:
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ” – رواه البخاري
Maksudnya : Tiada hari-hari yang amalan soleh dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 27 surah al-Fathu :
لَّقَدْ صَدَقَ اللَّـهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang mukmin ketika mereka berbai’ah (janji setia) kepada engkau di bawah pohon. Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi ganjaran kepada mereka kemenangan yang dekat waktunya.
Bulan Zulkaedah pernah mencatat beberapa peristiwa besar dan bersejarah antaranya telah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy. Peristiwa ini berlaku apabila umat Islam yang ingin menunaikan ibadat haji telah dihalang oleh kafir Quraisy sehingga berlakunya Perjanjian antara kedua pihak di mana ulama’ berkata : “Tidak pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah Islam kemenangan yang lebih besar dari kemenangan Perjanjian Hudaibiyah. Peperangan membuat manusia saling bertembung dan membunuh. Maka, ketika ketenangan itu tiba, peperangan itu tidak diperlukan lagi. Manusia merasa aman, sebahagian daripada mereka dapat berbicara dengan sebahagian yang lainnya. Mereka bertemu sambil berbincang, berbicara dan sanggah menyanggah. Tidak ada seorang pun yang berbicara tentang Islam dan memikirkan sesuatunya, kecuali dia akan masuk Islam. Orang yang masuk Islam selama 2 tahun itu sama ramainya dengan orang yang masuk Islam sebelum Perdamaian atau bahkan lebih.” Antara hikmat daripada Perjanjian Hudaibiyah ialah :
[1] Pengakuan kaum Quraisy terhadap kedudukan kaum muslimin sehingga mereka bukan lagi dianggap penduduk Mekah yang terusir sebaliknya masyarakat yang berdaulat dan memiliki kedudukan yang diiktiraf keberadaannya.
[2] Ketenangan dengan kaum muslimin berehat dari peperangan di mana Perjanjian Hudaibiyah memberi jaminan keamanan dan ketenangan bagi kaum muslimin mahupun kaum musyrik untuk tidak menyerang satu sama lain. Peluang ini digunakan untuk mengembangkan Islam ke luar semenanjung Tanah Arab terutama raja-raja dan qabilah sekitarnya sehingga dakwah Islam bergerak lancar tanpa gangguan
[3] Perdamaian memungkinkan kaum muslimin dan kaum musyrikin bergaul dengan bebas. Perjanjian damai ini memungkinkan kaum muslimin dan kaum musyrik di Mekah mahupun Madinah bergaul dengan bebas sehingga kaum muslim bebas menonjolkan akhlak dan perilaku kehidupan mereka setelah beriman. Kaum musyrikin pun boleh menyaksikan keindahan akhlak kaum muslimin yang menjadi dakwah yang sangat efektif untuk menyentuh hati kaum musyrikin untuk mengenal seterusnya memeluk Islam.
[4] Masa perdamaian yang lama telah memungkinkan hubungan yang harmonis antara kaum muslimin dan kaum musyrik ternyata telah banyak membuka pintu hidayah bagi kaum musyrikin untuk memeluk islam.
[5] Orang-orang lemah yang telah beriman di Kota Mekah mulai berani menampakkan keIslamannya.
[6] Perjanjian Hudaibiyah turut memberi ruang untuk melemahkan pengaruh Yahudi yang banyak melakukan kekacauan di Madinah sehingga golongan ini yang terus memerangi kerajaan Islam Madinah berjaya dihalau keluar tanpa mendapat sokongan daripada golongan lain kerana mematuhi perjanjian yang dibuat
Sejarah mencatat bagaimana Perjanjian Hudaibiyah merupakan bentuk kemenangan terbesar bagi kaum muslimin tidak sebagaimana yang ditakutkan oleh para sahabat dan kaum muslimin ketika mula tertulis perjanjian tersebut.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 56-58 surah al- Anfal :
الَّذِينَ عَاهَدتَّ مِنْهُمْ ثُمَّ يَنقُضُونَ عَهْدَهُمْ فِي كُلِّ مَرَّةٍ وَهُمْ لَا يَتَّقُونَ ﴿٥٦﴾ فَإِمَّا تَثْقَفَنَّهُمْ فِي الْحَرْبِ فَشَرِّدْ بِهِم مَّنْ خَلْفَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ﴿٥٧﴾ وَإِمَّا تَخَافَنَّ مِن قَوْمٍ خِيَانَةً فَانبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَىٰ سَوَاءٍ ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْخَائِنِينَ
Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu). Oleh itu, jika engkau menemui mereka dalam peperangan maka hancurkanlah mereka (supaya dengan itu) orang-orang yang di belakang mereka (gerun gentar); mudah-mudahan orang-orang itu pula beringat (insaf). Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.
Pada hari ini kita dapat lihat dan rasa sendiri bagaimana banyak perjanjian dengan musuh Islam membawa kepada penerusan penjajahan baru bermula dengan tergadainya bumi Palestin kepada Israel selepas Peperangan Dunia Ke-2 dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki. Musuh Islam memasang jerat dengan penuh dendam kesumat terhadap umat Islam dengan perjanjian berat sebelah. Menyedari bahayanya penjajahan baru yang dulunya dinamakan globalisasi tetapi kini bergerak atas nama tertentu seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) di mana ramai menyatakan kebimbangan dengan penjajahan baru ini menyebabkan lebih banyak pengangguran, peniaga tempatan bakal gulung tikar malah hasil Negara akan disedut tanpa batasan kerana kapitalis lebih berkuasa daripada undang-undang Negara malah boleh menggugat isu akhlak dan agama. Ini bakal menambah lagi keperitan rakyat yang sedang memikul keperitan hidup dengan kenaikan kos sara hidup yang berganda ditambah lagi dengan kejatuhan nilai ringgit yang paling buruk dalam sejarah yang begitu memberi kesan termasuk Jemaah haji di Mekah apatah lagi anak-anak kita yang sedang belajar di luar Negara. Jika sebelum ini ramai pelajar kita di Negara Arab terpaksa pulang akibat peperangan maka dibimbangi yang belajar di Eropah dan lainnya terpaksa pulang akibat kejatuhan nilai ringgit yang begitu membimbangkan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soof :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Sesuai dengan keberadaan kita pada 11 September pada hari ini maka kita sama-sama memperingati bagaimana liciknya musuh Islam terutama zionis Yahudi yang merancang serangan 11 September 2001 yang lalu dengan menjadi umat Islam sebagai kambing hitam untuk menutup kejahatan mereka. Serangan ini diakui oleh dunia sebagai salah satu cara dalam melancarkan Islamphobia supaya masyarakat membenci dan menjauhi Islam namun perancangan musuh Islam tidak mampu melawan perancangan Allah yang jauh lebih hebat di mana mengikut kajian rakyat Amerika Syarikat sendiri dan Eropah berganda-ganda lebih ramai memeluk Islam selepas sejarah hitam tersebut ketika umat Islam sendiri terpaksa membayar dengan penjajahan baru di Afghanistan, Iraq dan selainnya atas alasan membasmi keganasan dunia.
Antara faktor yang membawa rakyat AS dan Eropah untuk memeluk Islam ialah:
[1] Kehidupan mereka yang sebelumnya sekuler, tidak terarah, tidak punya tujuan, hidup hanya untuk wang, hiburan dan keseronokan. Pola hidup itu menciptakan kegersangan dan kegelisahan jiwa. Mereka merasakan kekacauan hidup, tidak seperti pada orang-orang Muslim yang mereka kenal. Dalam hingar bingar dunia moden dan kemewahan yang melimpah banyak dari mereka yang merasakan kehampaan dan ketidakbahagiaan. Ketika menemukan Islam dari pembacaan Al-Qur’an, buku atau kehidupan teman Muslimnya yang sehari-harinya taat beragama, dengan mudah saja mereka masuk Islam.
[2] Merasakan ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan yang tidak pernah dirasakannya dalam agama sebelumnya seperti Kriastian. Dalam Islam mereka merasakan hubungan dengan Tuhan itu langsung dan dekat.
[3] Menemukan kebenaran yang dicari-cari selama ini apabila ajaran Islam lebih rasional atau lebih masuk akal seperti tentang keEsaan Tuhan, kemurnian kitab suci, kebangkitandan penghapusan dosa berbanding Kristian yang banyak keraguan
[4] Kaum perempuan Amerika begitu yakin Islam sangat melindungi dan menghargai perempuan di mana kedudukan perempuan dalam Islam dimuliakan dan posisinya sangat dihormati.
Perkembangan Islam di dunia Barat sesungguhnya lebih mudah karena mereka berfikiran terbuka dan umat celik huruf yang sentiasa mengkaji termasuk berkaitan Islam. Oleh itu berusahalah kita bersungguh-sungguh dalam mendalami ilmu agama bukan sahaja untuk amalan seharian kita malah untuk mengembang luas kepada orang bukan Islam agar mereka sekali pun tidak memeluk Islam namun sekurang-kurang tidak membenci Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan