أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 29 Mei 2015

Perang Bani Mustaliq DiKenang Kekejaman Boneka Zionis Yahudi DiHalang

لسلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Renungilah firman Allah dalam ayat 9 surah al-Maidah: وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ۙ لَهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَأَجْرٌ‌ عَظِيمٌ ﴿٩﴾ Maksudnya : Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa. Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.” Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Jika kita mahu mendapatkan hasil yang baik untuk kehidupan dunia maka kita membuat pelbagai persiapan awal apatah lagi untuk menyiapkan bekalan akhirat maka perlu kepada persediaan yang terbaik. Antara amalan sunat yang paling baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 32 surah at-Taubah : يُرِ‌يدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ‌ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّـهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَ‌هُ وَلَوْ كَرِ‌هَ الْكَافِرُ‌ونَ ﴿٣٢﴾ Maksudnya : Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian) Bulan Sya’aban yang sedang kita berada sekarang ini sarat dengan peristiwa yang besar yang pernah berlaku pada diri Rasulullah s.a.w dan para sahabat antaranya Peperangan Bani Mustaliq yang berlaku pada bulan Sya’aban tahun Keenam Hijrah . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi s.a.w itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Ini mengajar kita agar sentiasa bersiap sedia dengan kekuatan fizikal dan mental dari sudut ketenteraan dan keselamatan agar kedaulatan Negara terjamin dan perancangan jahat dapat dipatahkan dengan segera. Apa yang menariknya juga di mana para sahabat telah memerdekakan tawanan perang yang memeluk Islam malah Rasulullah s.a.w sendiri telah menjadikan anak kepada ketua Bani Mustaliq yang telah memeluk Islam iaitu Juwairiyyah sebagai isteri. Tindakan ini merupakan antara strategi dakwah yang telah membuka hati ramai di kalangan Bani Mustaliq untuk memeluk Islam setelah melihat bagaimana Islam begitu banyak menawar erti keamanan dan perdamaian. Islam begitu menitik berat keadilan walau pun kepada musuh yang ditawan bukan boleh dibunuh sesuka hati Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Ketika menyoroti peperangan Bani Mustaliq ini juga kita dapati bagaimana sikap golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai yang turut serta dalam tentera Islam bertujuan membuat kacau dan menabur fitnah serta lebih berminat untuk mendapatkan hasil rampasan perang. Antaranya Abdullah bin Ubai begitu marah apabila mendengar berita tentang 2 orang tentera Islam dari kalangan Ansor dan Muhajirin yang kembali berbaik semula selepas berbalah lalu dia berkata : “ Adakah munasabah dia melakukan demikian, apabila mereka (Muhajirin) sudah ramai dalam negeri kita maka mereka hendak menunjukkan kekuatan samalah seperti kata pepatah gemukkan anjingmu kemudian ia akan menggigitmu. Tengoklah nanti apabila pulang ke Madinah tahulah dia bagaimana orang mulia (Ansor) akan mengeluarkan orang yang hina ( Nabi dan Muhajirin)”. Mendengar kata-kata biadap yang keluar daripada mulut Abdullah bin Ubai itu lalu Sayyidina Umar meminta izin daripada nabi untuk membunuhnya tetapi nabi menegahnya bagi mengelakkan fitnah yang mengatakan nabi membunuh sahabatnya sendiri. Hasil daripada kesabaran ini juga menyebabkan lebih ramai orang membenci Abdullah bin Ubai sehingga dia semakin terpinggir. Allah turut merakamkan peristiwa bagi menjawab tuduhan Abdullah bin Ubai terhadap nabi dan golongan Muhajirin melalui ayat 8 surah al-Munafiqun : يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ ۚ وَِللهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لاَ يَعْلَمُونَ Maksudnya : Mereka (golongan munafik) berkata : “ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah maka benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya”. Sedangkan kekuatan itu hanyalah bagi Allah S.W.T, bagi rasulNya dan bagi orang-orang mukmin tetapi orang munafik itu tidak mengetahui. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Peristiwa ini mengajar bagaimana liciknya gerakan musuh dalam selimut yang dinamakan munafik dalam menghancurkan Islam yang mesti diambil perhatian sewajarnya agar ia tidak membantut kelancaran kepada perjuangan dan seterusnya pelaksanaan Islam dalam setiap aspek kehidupan. Malah semangat perkauman sempit yang cuba diapi-apikan oleh ketua munafiq Abdullah bin Ubai merupakan suatu senjata yang berterusan digunakan oleh musuh Islam dalam menghancurkan kesatuan umat Islam. Musuh terus melaung dan memastikan usaha melenyapkan kesatuan kaum Muslimin di mana dengan dasar pecah perintah maka umat Islam saling memandang bahawa isu umat Islam di Negara lain adalah masalah Negara dan bangsa masing-masing tiada kaitan dengan diri mereka seperti penderitaan umat Islam di Palestin, Iraq, Syria, bangsa Ronghiya di Myanmar dan sebagainya. Tiada lagi ruh persaudaraan Islam akibat rasukan semangat assobiyah atau kebangsaan sempit. Sedangkan kita sentiasa diajar tentang persaudaraan Islam yang melangkaui bangsa, Negara, budaya, bahasa قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى – رواه البخاري ومسلم Maksudnya : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, atas masjid yang mulia maka kita mendesak pimpinan Negara yang baru menjadi pengerusi ASEAN untuk menekan Myanmar agar memberhentikan tindakan kejam terhadap umat Islam Ronghiya. Marilah kita sama-sama bangkit atas semangat Islam dalam menghentikan segera pembunuhan, pembakaran, kekejaman terhadap saudara seagama kita. Kita tidak mahu menjadi umat yang tidak sempurna iman akibat tidak menghirau penderitaan saudara seagama yang sedang meraung kesakitan ketika kita melaung keseronokan, tidak membantu saudara yang kehilangan rumah akibat dibakar ketika kita tidur lena atas tilam empuk yang terhampar, tidak menolong saudara yang kebuluran ketika kita berehat kekenyangan. Di manakah sifat kemanusiaan kita?, di manakah nilai keimanan kita?, di manakah ruh Islam kita?. Tepuklah dada tanyalah iman kita Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal : وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya Usaha dalam meninggikan kalimah Allah yang tinggi di atas muka bumi ini bukan dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada jihad yang bersungguh termasuk menumpahkan darah, ia bukan diraih dengan jalan yang mudah sebaliknya berdepan dengan pelbagai halangan yang susah, ia bukan datang dengan kemenangan yang senang sebaliknya banyak nyawa yang melayang. Oleh itu kita wajib sedar tentang banyak halangan, cabaran yang terpaksa kita hadapi dalam memperjuangkan Islam di mana ramai pejuang Islam yang dibuang Negara, ramai juga yang dipenjara dan ramai lagi yang dibunuh. Kita juga sedar betapa banyaknya perncangan musuh dalam menyekat malah menghancurkan Islam dan umatnya di mana antara perancangan jahat musuh Islam ialah memastikan berdirinya negara diktator di dunia Islam di mana W.K Smith seorang orientalis Amerika yang mahir dalam hal ehwal Pakistan: “ apabila orang Islam diberikan kebebasan di dunia Islam serta hidup dibawah system demokrasi , maka sesungguhnya Islam akan mendapat kemenangan di Negara-negara tersebut. Hanya dengan cara diktator sahaja yang boleh memisahkan antara umat Islam dan agamanya.” Kita dapat lihat bagaimana kejatuhan satu demi satu pemerintahan kuku besi oleh rakyat seperti di Iraq, Mesir, Libya dan sebagainya tetapi musuh Islam segera bertindak memastikan penggantinya mesti daripada boneka bagi memastikan sebarang usaha dalam mengembalikan pemerintahan Islam dapat dikuburkan segera. Perancangan jahat musuh Uslam lagi ialah menyingkirkan tokoh-tokoh Islam dan tamatkan Gerakannya di mana telah ramai pemimpin gerakan Islam dipenjara serta ramai dibunuh. Banyak parti Islam telah diharamkan seperti FIS di Algeria, Ikhwanul Muslimin di Mesir dan sebagainya. Minggu ini kita dapat saksikan bagaimana kerajaan boneka zionis Yahudi-Amerika Syarikat di Mesir menjatuhkan hukuman bunuh kepada bekas Presiden Menteri yang digulingkan Mohammed Morsi disamping 100 pemimpin dan ahli Ikhwanul Muslimin yang lain atas tuduhan melakukan rusuhan. Musuh Islam tidak pernah rasa puas dalam mengkhianati perjuangan Islam sehingga mereka rasa bahawa pemimpin dan gerakan Islam dapat dikuburkan sepenuhnya. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, atas masjid yang mulia maka kita mengutuk tindakan kejam yang tidak bertamadun ini yang dilakukan oleh kerajaan boneka zionis Yahudi-Amerika Syarikat Mesir ini. Kita nyatakan kepada musuh Islam bahawa cahaya Islam terus bersinar terang walau pun ia cuba dipadam, Perjuangan Islam terus maju ke depan walau pun musuh menghalang. Biar bermandi darah namun kami tidak akan sama sekali menyerah kalah, biar berpisah nyawa dari badan namun perjuangan Islam tetap kami teruskan, biar dihalang dengan seribu cara namun system Islam tetap kami julang dengan berjuta cara. Islamlah nescaya kita bahagia dunia akhirat Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan : فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢﴾ Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: