أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 5 Februari 2015
Islam DiLaksana Negara Sejahtera Rakyat Sentosa
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 107-108 surah an-Nahlu :
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمُ اسْتَحَبُّوا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَأَنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ﴿١٠٧﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّـهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ ۖوَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٠٨﴾
Maksudnya : (Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah petunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat). Mereka itulah orang-orang yang telah dimeterikan Allah hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang lalai.
Pertembungan antara Islam dan jahiliah terus berlangsung. Perlawanan antara iman dan kufur terus berlaku. Pemisah antara ibadat dan maksiat sentiasa jelas. Perbezaan antara halal dan haram sentiasa terang. Percanggahan pahala dan dosa begitu ketara. Kesedaran yang tinggi dan perasaan ambil cakno berkenaan dengan perkara ini amat penting dalam melahirkan umat Islam yang mempunyai jatidiri yang tahan daripada pelbagai ujian keimanan yang sentiasa datang silih berganti. Umat Islam wajib diisi dengan ilmu agama yang mampu memastikan hati kita sentiasa hidup dan berhati-hati dalam menguruskan urusan dunia berdasarkan panduan agama. Hati mati menyebabkan umat Islam mudah terpedaya dengan tipuan dunia dan dijajah oleh musuh Islam di tanahair mereka sendiri. Sheikh Ibni Athoillah As-Sakandari dalam kalam hikmahnya menukilkan : Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan disamping tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.
Antara sebab hati mati adalah kerana 3 perkara iaitu : [1] Hubbul dunia iaitu terlalu kasihkan dunia dan melupai akhirat. pahala dan dosa. [2] Lalai daripada zikirullah iaitu mengingati Allah sehingga nikmat yang diberi tidak disyukuri, musibah yang diuji tidak diambil pengajaran dalam menginsafkan diri. [3] Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu :
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖتَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ﴿٢٩﴾
Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud. Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar
Penyakit hati mati akibat kurang ilmu dan pengamalan system Islam dalam kehidupan seharian, hanyut dalam hiburan melalaikan, kecelaruan budaya dan identity akibat memisahkan kehidupan dunia daripada agama menyebabkan umat Islam hidup dihimpit seribu macam penindasan, penghinaan daripada musuh Islam. Kita dapat saksikan bagaimana 3 kesan buruk yang utama akibat kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki pada tahun 1924 iaitu : [1] Mengecutnya pengaruh umat Islam termasuk penguasaan Islam di bumi Eropah hilang apabila satu demi satu Negara yang dikuasai oleh umat Islam dirampas kembali. [2] Orang Yahudi Berjaya mendapat Negara di Palestin manakala Kristian berjaya menjajah Negara Arab dan Negara umat Islam yang lain dengan dasar pecah perintah. [3] Hilangnya system Khilafah yang menyatu dan menjaga keselamatan umat Islam sehingga musuh Islam kini tanpa rasa takut dan gerun terus membunuh, menindas dan menghina umat Islam di tanahair kita sendiri tanpa ada kuasa yang kuat dalam mencegahnya.
Antara penghinaan yang terbaru ialah sekali lagi majalah Charlie Hebdo yang berpusat di Paris, Perancis menghina nabi Muhammad s.a.w selepas 2 minggu syarikat mereka diserang. Negara penjenayah dan penyembelih umat Islam yang utama iaitu Amerika Syarikat dan Israel cuba menonjolkan kepada dunia bahawa mereka bencikan keganasan sedangkan merekalah yang rakus membaham dan meratah tubuh umat Islam di Afghanistan, Iraq, Palestin dan lain-lain. Malah tindakan biadap majalah Perancis tersebut tidak lebih dalam mewujudkan kebencian terhadap Islam dan umatnya bagi menyekat kemasukan rakyat Eropah ke dalam Islam yang terus meningkat dari hari ke hari. Oleh itu kita wajib bersatu atas dasar Islam dalam mengembalikan semula kekuatan dan kemuliaan umat Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soof :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)
Kita turut merasa kecewa dengan sikap sebahagian umat Islam sendiri yang mudah terpengaruh dan menari mengikut rentak musuh Islam dalam menyerang umat Islam. Sebagai contohnya selepas serangan 11September, kuasa besar Barat melalui pelbagai agensi sekuritinya seperti CIA, MI 5 dan MOSSAD telah melihat madrasah, pondok dan pesanteran sebagai sebahgian daripada program “memerangi keganasan” dengan itu musuh Islam mendesak semua kerajaan negara Islam di seluruh dunia memantau madrasah tradisional. Pada hakikatnya madrasah dan pondok bukan sumber kepada kewujudan kumpulan radikal. Malah pemikiran yang mempengaruhi pelbagai kelompok untuk memisahkan masyarakat Islam kepada label ekstrimis, moderate dan terrrorist itulah yang sebenarnya punca kepada ketegangan. Malah ketidakseimbangan darjat sosio-ekonomi serta ketidakadilan sosial yang berlaku dalam proses pembangunan negara dan dunia turut menyemarakkan konflik dalam masyarakat. Begitu juga pendidikan arus perdana yang lebih diutamakan serta segala kemudahan yang diberi kepada institusi yang ditaja oleh kerajaan dan syarikat itulah yang telah menyisih institusi pondok dan madrasah dan akibatnya ini telah melahirkan rasa terpinggir oleh para pendidik dan pelajar madrasah dan pondok. Harus diingat sumbangan berdekad-dekad pondok dan madrasah yang wujud dinegara inilah yang telah dapat mempertahankan jati diri negara ini sebagai negara umat Islam. Sistem pendidikan arus perdana sehingga kini masih belum menjamin keutuhan aqidah dan penghayatan Islam di kalangan penuntut untuk melahirkan masyarakat Islam yang boleh dicontohi. Kita yakin musuh Islam begitu takut kepada pusat pengajian Islam yang mampu melahirkan umat yang cintakan Islam yang sanggup menentang sebarang penjajahan kerana ia mampu menggugat kuasa dan kezaliman musuh Islam. Oleh itu marilah kita bersama bermula daripada kerajaan sehingga rakyat jelata bukan sahaja mempertahankan pusat pengajian Islam malah memperkasakannya agar Islam berdaulat, system Islam mampu dinobat, penjajahan dapat disekat.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ- رَوَاهُ أَبُو دَاوُدبِإِسْنَادٍ حَسَنٍ
Maksudnya : Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia 7 tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).
Islam adalah agama yang lengkap dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat dengan memberi tunjuk ajar yang terbaik dalam menguruskan kehidupan manusia. Tidak terkecuali dalam mendidik anak-anak di mana ada cara yang khusus diajar oleh Islam termasuk cara merotan supaya ia tidak menyebabkan berlaku penderaan dan penganiayaan kepada anak-anak. Sebab itu apabila adanya cadangan untuk membentangkan di Dewan Rakyat selewatnya Julai nanti rang undang-undang baru termasuk menjadikan rotan anak sebagai suatu jenayah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Kerajaan digesa meneliti kandungan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) sebelum menjatuhkan merotan sebagai suatu jenayah kerana terdapat kelonggaran di dalam CRC yang membolehkan hukuman dibuat berdasarkan budaya tempatan. Kita tidak mahu cetakan 100 peratus daripada undang-undang Barat akan menyebabkan kegagalan dalam melahirkan anak soleh disamping bakal menimbulkan masalah yang lain. Sebagai contoh di Sweden yang pernah menyaksikan pasangan Malaysia yang dipisahkan daripada anak-anak akibat undang-undang ini tahun lepas di mana ia turut mendapat bantahan oleh masyarakat Sweden sendiri. Hasil kajian di Sweden mendapati bahawa sejak undang-undang itu diperkenalkan pada 1979, sudah lebih 300 ribu kanak-kanak dipisahkan dengan ibubapa kandung mereka dan terpaksa hidup dengan keluarga angkat termasuk berlainan agama sehingga berusia 18 tahun. Undang-undang ini amatlah menyeksa jiwa anak-anak dan ibubapa kandung berkenaan. Beberapa pihak di Sweden juga mendedahkan betapa undang-undang ini dimanipulasi untuk mengaut keuntungan dengan wujudnya 'industri anak angkat', di mana pemberi maklumat dan ibubapa angkat diberi bayaran sehingga RM4,300 sebulan. Oleh itu kita mahu setiap undang-undang yang mahu diluluskan terutama yang melibatkan pendidikan mesti selaras dengan kehendak agama agar tidak mengorbankan masa depan anak-anak. Kita mahu pengajian berkaitan tarbiah anak-anak termasuk cara dan adab merotan dimasukkan dalam sukatan pengajian peringkat sekolah hingga Univerisiti serta dalam kursus nikah kahwin dan kursus lain yang sesuai. Islam mementingkan kasih sayang kerana itu rotan adalah jalan terakhir untuk mendidik bukan untuk mendera apatah lagi mencederakan. Oleh itu Islamkan cara merotan bukan mencegahnya. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan