أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Ahad, 20 April 2014

Kepimpinan Islam DiLaksana Keadilan Hidup DiRasa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Fussilat : إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَ‌بُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُ‌وا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Manusia dipilih oleh Allah sebagai makhluk paling mulia di muka bumi ini menggalas amanah dan tanggungjawab getir iaitu beribadah kepada Allah serta memakmurkan dunia ini berasaskan agama. Justeru, tidak hairanlah setiap manusia memiliki matlamat dalam meneruskan kelangsungan hidup di dunia. Al-Quran sebagai kitab panduan dan pedoman utama dalam membimbing umat manusia agar tidak melakukan kerosakan atas muka bumi akibat daripada menjadikan keseronokan dunia sebagai matlamat hidup. Nabi s.a.w menyarankan kepada kita agar sentiasa menyebut beberapa kalimah berharga terutama pada waktu pagi dan petang serta menghayatinya dalam kehidupan seharian agar kita tidak tergelincir daripada matlamat asal tujuan kita diciptakan serta tidak lupa bahawa kita semua bakal kembali kepada Allah untuk menerima pembalasan di akhirat nanti عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ :يَا أَبَا سَعِيدٍ، مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ - رواه مسلم Maksudnya : Sesiapa Redha Allah adalah Tuhan, Islam sebagai agama dan nabi Muhammad s.a.w adalah nabi maka dia pasti akan dianugerahkan dengan Syurga Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 12 surah Muhammad : إِنَّ اللَّـهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِ‌ي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ‌ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُ‌وا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ‌ مَثْوًى لَّهُمْ Maksudnya : Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. Al-Quran telah menjelaskan tentang matlamat dan cara hidup yang berbeza antara orang Islam dengan orang kafir. Matlamat hidup umat yang beriman ialah sebagai hamba yang tunduk patuh beribadat kepada Allah dengan melaksanakan kewajipan agama serta menjauhi segala larangan dalam setiap aspek kehidupan manakala orang kafir hanya menjadi keseronokan dunia sebagaimana binatang tanpa hala tuju yang jelas. Umat Islam diatur dengan ibadat khusus yang teratur seperti solat 5 waktu, puasa disamping ibadat umum yang lain termasuk kerja dalam mencari nafkah, makan minum dan selainnya mesti berpaksi kepada agama dari segi halal haram, dosa pahala. Manakala orang kafir hidup mengikut hawa nafsu sebagaimana binatang sehingga keseronokan menjadi matlamat hidup tanpa sekatan agama. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Kahfi : الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ‌ عِندَ رَ‌بِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ‌ أَمَلًا Maksudnya : Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. Matlamat umat beriman juga untuk mencari keredhaan Allah bagi memastikan kehidupan dunia dengan segala nikmat Allah dapat menghasilkan pahala sebagai bekalan akhirat kerana begitu yakin bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara sahaja di mana setiap diri kita pasti mati akan dihisab di akhirat nanti. Setiap amalan di dunia diyakini akan dibalas samada Syurga atau Neraka sehingga mendatangkan sikap begitu cermat dalam mengatur kehidupan agar selari dengan kehendak agama. Malah segala nikmat Allah samada sedikit atau banyak sentiasa disyukuri, begitu juga musibah yang menimpa sentiasa dihadapi dengan penuh sabar kerana ia merupakan aturan Allah dalam menguji keimanan. Manakala bagi orang kafir dunia ini adalah segala-galanya di mana jika tidak dapat mengecap nikmat duniawi samada takhta, harta dan sebagainya bererti kehidupan mereka tidak berguna lagi dan sia-sia sehingga ramai yang sanggup membunuh diri apabila gagal dalam pelajaran, pekerjaan, rumahtangga kerana cara itu dianggap jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah. Bagi orang kafir mati adalah pengakhir segala-galanya tanpa berfikir tentang balasan akhirat yang sepastinya ada walau pun mereka tidak percaya. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 44 surah Ibrahim : وَأَنذِرِ‌ النَّاسَ يَوْمَ يَأْتِيهِمُ الْعَذَابُ فَيَقُولُ الَّذِينَ ظَلَمُوا رَ‌بَّنَا أَخِّرْ‌نَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِ‌يبٍ نُّجِبْ دَعْوَتَكَ وَنَتَّبِعِ الرُّ‌سُلَ ۗ أَوَلَمْ تَكُونُوا أَقْسَمْتُم مِّن قَبْلُ مَا لَكُم مِّن زَوَالٍ Maksudnya : Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan? Matlamat hidup umat beriman ialah memastikan dunia ditadbir dengan adil mengikut acuan agama kerana setiap kita bakal disoal tentang amanah yang dipertanggungjawab di dunia ini. Manakala orang kafir suka melakukan kerosakan di muka bumi dengan menaburkan pelbagai fitnah dan kejahatan yang boleh mendatangkan mudarat kepada ummah sejagat asalkan dapat takhta dan harta yang diidamkan. Islam mengajar umatnya bahawa kuasa adalah amanah bukannya suatu anugerah agar ia tidak disalahguna oleh manusia yang rakus. Kita ingat bagaimana ucapan sulung Sayyidina Abu Bakar ketika dilantik sebagai Khalifah : “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, bantulah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Dasar yang dikehendaki oleh Islam begitu jauh berbeza daripada dasar kebanyakan pemimpin dunia yang terpengaruh dengan pemikiran Machiavelli bahawa pemimpin yang mahu kekal berkuasa hanya perlu berbuat baik termasuk membantu rakyat sekiranya ada keuntungan politik di mana bantuan perlu ditarik jika tidak ada keuntungan politik. Malah pemimpin yang seribu kali berbuat zalim kepada rakyat hanya perlu sekali dua sahaja berbuat baik kepada rakyatnya dengan kebaikan itu diperbesarkan oleh tukang ampu melalui media yang ada sehingga kemarahan rakyat dapat dipadamkan dengan sedikit bantuan yang dihulurkan. Politik kebendaan ini menyuburkan sikap munafik dan politik binatang di mana yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang papa kedana Ini tidak terlepas dalam Negara kita termasuk yang terbaru dengan lulusnya system cukai GST di Parlimen yang pasti akan menambah bebanan kepada golongan sederhana dan miskin. Negara kita bukan sahaja belum dapat menyaingi Negara yang melaksanakan GST seperti Singapura yang pendapatan per kapita rakyatnya yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia malah sikap boros dan pecah amanah serta rasuah dalam Negara kita jauh lebih teruk sehingga mendedahkan Negara kepada muflis. Penderitaan rakyat tidak mampu ditutup dengan bantuan yang sedikit seperti BR1M dan sebagainya kerana ia ibarat gula-gula daripada rompakan yang begitu tingggi daripada hasil mahsul Negara. Cuma atas kita samada sedar atau terus rela untuk ditipu sepanjang masa. Jadilah mukmin yang sebenar yang tidak mudah dijual beli dan ditipu berkali-kali قال الرسول: لاَ يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ – رواه البخاري ومسلم Maksudnya : Seorang mukmin tidak akan disengat dari lubang yang sama 2 kali Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Pegangan Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara turut menyaksikan banyak berlakunya keganasan dan peperangan terutama terhadap umat Islam akibat rakus membina empayar kuasa dan ekonomi tanpa belas kasihan. Kita mengutuk pembunuhan yang berlaku terhadap saudara seagama kita bangsa Ronghiya di Myamnmar dan Afrika Tengah atas dasar pembunuhan etnik dan agama. Begitu juga pembunuhan yang terus berlaku di Selatan Thailand. Tidak kita lupa kepada kezaliman pemimpin Syria yang terus membunuh rakyat yang tidak berdosa. Begitu juga bertambahnya sekatan dan pembunuhan kepada umat Islam di bumi Palestin terutama di Gazza oleh pembunuh utama dunia yahudi Israel. Begitu juga kerakusan manusia gila kuasa dan dahagakan darah di Mesir dan banyak Negara lain di dunia yang menjadikan pejuang Islam sebagai sasaran utama. Ia antara sunnatullah kepada pejuang Islam di mana kita bakal berdepan dengan pelbagai ujian dalam meninggikan kalimah Allah termasuk penjara, dibuang negeri atau dibunuh. Biar bermandi darah kita tidak akan berundur walau selangkah. Biar nyawa melayang namun Islam tetap dipertahankan. Kita terlalu yakin bahawa gugur syahidnya pejuang Islam bukan mengakhiri perjuangan Islam malah akan melahirkan lebih ramai lagi pemuda-pemuda yang berebut-rebut untuk gugur syahid. Benarlah janji Allah melalui ayat 23 surah al-Ahzab : مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِ‌جَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ‌ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا Maksudnya : Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: