أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 7 Mac 2014

Ilmu Agama Didalami Anti Hadis DiJauhi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 11 surah ar’Ra’adu : لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ‌ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ‌ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُ‌وا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَ‌ادَ اللَّـهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَ‌دَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ Maksudnya : Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya Suasana panas dengan cuaca dan isu terus berlaku dalam Negara sehingga ia mengundang rasa bimbang bagi kita umat yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Penghinaan terhadap Islam berbentuk serangan fizikal seperti pembuangan daging atau najis binatang terhadap masjid, bentuk penulisan terutama melalui laman sosial Facebook dan lain-lain. Atas alasan kebebasan berfikir dan bersuara maka manusia cuba melontar pemikiran mereka tanpa disiplin ilmu dan melanggar batas syarak sehingga boleh menjejaskan aqidah mereka. Golongan ini seolah-olah memerintah agar agama mengikut kehendak nafsu serakah mereka bukannya mahu tundukkan nafsu mengikut acuan agama. 3 hari lepas Negara dikejutkan dengan pembuangan mashaf al-Quran yang berselerak atas lantai masjid sehingga ke tandas di Terengganu yang kemudiannya didapati perbuatan tidak bertamadun ini dilakukan oleh seorang yang sakit mental. Ia sepatutnya memberi peringatan supaya kita jangan hanya marah bila mashaf al-Quran dihina tetapi turut tanyakan diri kita berapa banyak kita membuka lembaran al-Quran untuk dibaca dalam sehari serta turut marah kepada golongan yang menghina hokum al-Quran. Begitu juga kesungguhan pihak Kristian yang terus menuntut penggunaan kalimah Allah yang ditangguhkan keputusan rayuan di Mahkamah semalam sepatutnya mengetuk hati kita tentang berapa banyak kalimah Allah yang kita ucapkan dalam sehari serta bagaimana dengan kepatuhan kita dalam mengikuti arahan Allah dan menjauhi larangan Allah dalam kehidupan seharian yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kita wajib yakin bahawa Allah akan membantu kita apabila kita melaksanakan segala suruhanNya serta menjauhi laranganNya Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Ketika melihat kepada keperitan hidup yang sedang ditanggung disebabkan kenaikan kos sara hidup dan cuaca kemarau maka renungilah suatu hadis nabi yang diriwayatakan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah ibnu Umar RA ….وَلَمْ يَنْقُصُوْا المِكْيَالَ وَالِمْيزَانَ إِلا أُخِذُوْا بِالسِّنِيْنَ وَشِدَّةِ المُؤْنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلا مُنِعُوْا القَطْرَ مِنَ السَّمَآءِ وَلَوْ لا البَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوْا…. Maksudnya : …Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka. Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T… Oleh itu musibah yang berlaku hendaklah menyedarkan kita tentang betapa banyaknya nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita termasuk air. Manusia jarang merasakan sesuatu itu nikmat kecuali apabila ia ditarik oleh Allah. Jagalah halal haram bukan sahaja dari jenis makanan seperti babi dan arak malah cara penyembelihan seperti kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa hanya 20 peratus ayam disembelih dijamin. Begitu juga kesedaran tentang kewajipan zakat dan jauhkan daripada sumber haram seperti rasuah, pecah amanah, riba dan cara lain yang diharamkan oleh Islam. Antara saranan agama apabila berlakunya kemarau ialah solat sunat Istisqa’ minta hujan di mana beberapa buah negeri telah melaksanakannya dan kita sendiri di Kelantan baru mengadakannya pagi tadi. Perbanyakkan istighfar dan bertaubat memohon keampunan Allah kerana istighfar itu sendiri antara amalan terbaik untuk mendatangkan rezeki daripada Allah Firman Allah S.W.T dalam ayat 10-12 surah Nuh : فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُ‌وا رَ‌بَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارً‌ا ﴿١٠﴾ يُرْ‌سِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَ‌ارً‌ا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارً‌ا Maksudnya: Maka aku (nabi Nuh) berkata : Pohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Akan dikirimkan oleh Allah kepada kamu awan yang menurunkan hujan lebat. Diberikan oleh Allah S.W.T kepada kamu kekayaan harta dan anak-anak serta diadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 31surah Ali ‘Imran : قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ‌ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ‌ رَّ‌حِيمٌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani Setelah hampir 20 tahun tenggelam tiba-tiba golongan anti Hadis termasuk Kasim Ahmad timbul kembali dan wajib dibanteras agar tidak merosakkan aqidah umat Islam. Sekiranya Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku ‘Ultraman The Ultra Power’ atas alasan mengandungi unsur-unsur mungkin memudaratkan ketenteraman awam maka buku yang menyesatkan umat Islam wajib diharamkan. Antara kesesatan yang tersebar ialah dari 12 perkara yang menurut Kasim Ahmad bagaimana hadis bercanggah dengan Al-Quran iaitu; [1] Mendakwa Al-Quran menegaskan bahawa rujukan kaum muslimin hanya satu sahaja ialah kitab Al-Quran. Namun hadis menegaskan ada 2 sumber rujukan utama iaitu Al-Quran dan as-Sunnah atau al-Hadis. [2] Mendakwa Al-Quran menyebutkan 5 sahaja rukun iman, sedangkan hadis menyebut 6 iaitu dengan menambah Qadha dan Qadar. [3] Mendakwa Al-Quran mengajar syahadah hanya Lailaha-Illallah, tetapi hadis menambah Muhammadur-Rasulullah. Tambahan tersebut menurut Kasim bercanggah dengan ayat yang memerintahkan agar jangan menyekutukan Allah dengan sesiapapun. عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ Maksudnya : “Islam dibangun di atas lima (rukun): Syahadat Laa ilaaha illa Allah dan (syahadat) Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa Ramadhan”. [5] Mendakwa Al-Quran melarang mendewa-dewakan manusia. Namun hadis memerintahkan agar mendewakan Nabi Muhammad iaitu dengan berselawat kepadanya ketika membuka dan menutup doa dan juga apabila mendengar namanya disebut. Sedangkan al-Quran dengan jelas menyebut suruhan berselawat kepada nabi melalui ayat 56 surah al-Ahzab : إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا Maksudnya : Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya [6] Mendakwa Al-Quran menerangkan bahawa Nabi Muhammad atau mana-mana Nabi tidak memiliki kuasa syafaat, namun hadis menjelaskan bahawa Nabi Muhammad mempunyai kuasa syafaat. [7] Mendakwa Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi Muhammad tidak diberi mukjizat melainkan Al-Quran. Namun hadis menceritakan bermacam-macam mukjizat Nabi Muhammad selain al-Quran. [8] Mendakwa menurut al-Quran, Nabi Isa telah wafat. Namun hadis menjelaskan bahawa baginda tidak mati dan akan turun di akhir zaman untuk membunuh Dajjal. [9] Mendakwa Al-Quran tidak menetapkan sebarang hukuman bagi orang murtad. Namun hadis menetapkan bahawa orang yang murtad hendaklah dibunuh. [10] Mendakwa Al-Quran menetapkan hukuman ke atas orang berzina hanya sebatan sahaja, namun hadis menambah satu lagi hukuman iaitu rejam. [11] Mendakwa Al-Quran memerintahkan manusia menggunakan akal dan fikiran. Namun hadis pula melarangnya di mana Rasulullah SAW pernah berkata “Sesiapa mentafsir al-Quran mengikut fikirannya, biarlah ia menghuni neraka”. [12] Mendakwa Al-Quran mengajar kebebasan beragama iaitu terdapat ayat menyebutkan لاإكراه فى الدين “Tiada paksaan di dalam agama”. Namun hadis menetapkan orang yang murtad dihukum bunuh. Hukum ini menurut Kasim berasal dari Taurat Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Malah apa yang lebih sesat apabila Kasim Ahmad terpengaruh dengan penafsiran al-Quran Dr Rashad Khalifah yang menafsir al-Quran berdasarkan Kod 19 antaranya menolak ayat al-Quran itu sendiri iaitu 2 ayat yang terakhir surah at-Taubah yang didakwa oleh Kasim Ahmad sebagai mencemari al-Quran yakni menurut beliau ayat tersebut sebenarnya bukanlah ayat al Quran tetapi ditambah oleh para Sahabat nabi di mana ayat 128-129 surah at-Taubah itu: لَقَدْ جَاءَكُمْ رَ‌سُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِ‌يصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَ‌ءُوفٌ رَّ‌حِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَ‌بُّ الْعَرْ‌شِ الْعَظِيمِ Maksudnya : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), Yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan Yang ditanggung oleh kamu, Yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang Yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka Katakanlah (Wahai Muhammad): “Cukuplah bagi Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy Yang Besar.” Menyedari betapa sesatnya golongan anti hadis maka marilah kita sama-sama menambahkan ilmu agama dengan cara berguru bukan setakat berguru dengan internet agar aqidah kita kukuh dan tidak terpengaruh dengan pelbagai ajaran sesat. Kita juga meminta agar kerajaan bertegas dalam menyekat ajaran sesat ini kerana sikap lunak dan berlembut akan membuka lebih banyak ruang untuk orang jahil lain untuk mempertikaikan hukum Islam seperti usaha jahat dalam menghalalkan murtad, zina, homeseks, lesbian, dedah aurat dan sebagainya. Sekat sebelum melarat, tegah sebelum membarah, cegah sebelum bercambah. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: