أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 2 Ogos 2013

Lailatul Qadar DiRebut Sistem Islam DiIkut

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 133 surah Ali ‘Imran : وَسَارِ‌عُوا إِلَىٰ مَغْفِرَ‌ةٍ مِّن رَّ‌بِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْ‌ضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْ‌ضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ Maksudnya : Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Kini kita telah berada pada fasa ketiga daripada Ramadhan yang dijanjikan dengan kebebasan daripada api neraka bagi hamba Allah yang berjaya menghidupkan Ramadhan dengan amal soleh penuh keikhlasan kepada Allah. Beradanya kita pada 10 hari dan malam terakhir bulan Ramadhan ini juga memberi isyarat yang jelas supaya kita semakin bersemangat dalam menambahkan bekalan akhirat pada saat yang begitu berharga ini terutama salah suatu malamnya akan ada Lailatul Qadar yang beribadat padanya lebih baik daripada 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan. Antara hadis nabi sa.w yang menyebut tentang kelebihan Lailatul Qadar ialah قال الرسول : مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِإِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ -– رواه البخاري ومسلم. Maksudnya : Sesiapa yang bangun beribadat pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu Antara amalan terbaik dalam mengejar Lailatul Qadar ialah sebagaimana yang pernah diamalkan oleh para sahabat nabi seperti Anas ibn Malik dan ulama tabi’en iaitu mandi antara Maghrib dan Isya’, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian. Memperbanyakkan solat sunat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Nabi s.a.w sendiri tidak akan melalui bacaan ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui bacaan ayat azab kecuali memohon perlindungan Allah daripada azab itu. Menjaga Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Banyak beriktikaf di masjid kerana nabi s.a.w beriktikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah di mana sunnah iktikaf diteruskan oleh para isterinya. Kita turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa di mana doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Tidak ketinggalan dengan amalan mulia iaitu banyak bersedekah Sidang Jumaat yang dikasihi, Firman Allah dalam ayat 18 surah al-Hasyru: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَلْتَنظُرْ‌ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ‌ بِمَا تَعْمَلُونَ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. Sempena berada pada hari-hari terkahir bulan Ramadhan juga marilah kita bermusabah menghitung diri dengan amalan soleh yang telah kita lakukan disamping istighfar dan taubat yang telah kita pohonkan kepada Allah samada semakin banyak atau sebaliknya. Adakah telah ada perubahan dalam diri kita ke arah merasai kelazatan dan keseronokan beribadat kepada Allah serta merasa benci dan takut kepada maksiat. Adakah nafsu kita telah berjaya dijinakkan untuk tunduk patuh kepada Allah atau terus ganas menguasai jiwa kita. Ingatlah bahawa seganas-ganas binatang buas seperti harimau hanya mampu menerkam dan membunuh kita sahaja namun ia boleh ditembak atau ditangkap kerana ia musuh luaran. Sedangkan seganas-ganas nafsu yang bergerak sebati dalam diri jika tidak mampu dijinakkan boleh membawa kita terhumban ke dalam seksa Neraka Allah yang amat dahsyat. Pastikan kita tidak masuk dalam golongan yang sentiasa memberi alasan bila disebut berkaitan amal soleh. Jangan beri alasan tiada masa untuk solat berjemaah dan solat sunat sedangkan masa menonton tv, berbual dan berehat sentiasa ada luang. Jangan beri alasan tiada masa untuk membaca al-Quran sedangkan masa membaca akhbar, majalah, layari internet sentiasa ada kelapangan. Jangan beri alasan tiada wang untuk bersedekah sedangkan banyak wang dihabiskan untuk perkara tidak berfaedah seperti berbalas pesanan ringkas telefon (sms) pada perkara melalaikan dan membeli sesuatu yang tidak bermanfaat. Akhirnya ramai umat Islam lebih mementingkan kehidupan dunia yang bakal ditinggal berbanding bersiap dengan bekalan akhirat yang bakal kita hidup di sana selama-lamanya. Hitunglah diri kita di dunia ini sebelum kita dihitung atas neraca Allah di padang Mahsyar nanti Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Isra’: إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْ‌آنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ‌ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرً‌ا كَبِيرً‌ا Maksudnya : Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar Setiap kali tibanya Ramadhan dan hari raya kita sering berhadapan dengan kenaikan harga barang yang begitu membebankan terutama golongan susah dan sederhana. Sikap kerajaan yang lebih mendahulukan kehendak peniaga, pembekal dan pemborong antara sebab utama kenaikan harga barangan disamping membiarkan keperluan rakyat dimanopoli oleh segelintir pihak tertentu sahaja. Dasar kapitalisme yang mementingkan pengusaha besar walau pun dengan mengorbankan rakyat ramai turut menjadi antara faktor kepada kenaikan harga barang tidak tidak terkawal. Tahun ini kita tertekan dengan harga ayam dan barangan keperluan dapur yang lain disamping tambang bas ditambah pula dengan kebimbangan kepada ramalan naiknya harga minyak terutama diesel dan tarif elektrik. Akhirnya gula-gula bonus gaji yang dapat sedikit tetapi disedut semula dengan harga barangan melambung. Apatah lagi rakyat yang bekerja sendiri. Jurang antara golongan kaya dengan miskin semakin tinggi yang bukan sahaja boleh menambah masalah sosial malah meningkat kes jenayah dalam negara Sistem al-Quran sentiasa menganjurkan umatnya agar menjauhi sifat tamak serta menindas orang lain disamping melarang penipuan, sorok barang dan system manopoli yang menyusahkan rakyat. Islam bukan sahaja menghalalkan jual beli malah menggalakkan umatnya berkecimpung dalam bidang perniagaan dengan syarat menjaga halal haram serta menerapkan kasih sayang bukannya permusuhan dan penindasan dalam mengaut keuntungan. Malah kewajipan zakat termasuk zakat fitrah adalah bertujuan untuk memastikan aliran kekayaan tidak hanya berlegar di kalangan orang kaya tetapi turut dirasai nikmatnya oleh asnaf atau penerima zakat yang berkelayakan. Islam juga mengharamkan system riba yang menindas manusia Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’: وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua Ketika kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat turut tertekan dengan peningkatan kes jenayah di mana daripada data sampel yang dikumpul dari paparan media sejak 1 April hingga 30 Julai tahun ini, sebanyak 15 kes jenayah melibatkan senjata api, pedang dan parang melibatkan pelbagai kelas masyarakat. Malah dakwaan sebuah laman web pada Jun lalu yang menyatakan bahawa Kuala Lumpur adalah bandaraya yang ke-6 paling berbahaya di dunia akibat kadar jenayah yang meningkat 70 peratus dalam tempoh 3 tahun sepatutnya diambil perhatian bukannya ditolak mentah-mentah. Rakyat begitu bimbang apabila keadaan menunjukkan seolah-olah bagaimana senjata api begitu mudah dimiliki sehingga jaminan keselamatan rakyat terancam. Jika benar ia berlaku atas alasan kekurangan anggota keselamatan dan senjata maka ia mesti ditangani segera. Kita umat Islam yang berpegang teguh kepada al-Quran bertambah yakin bahawa kes jenayah dan social yang berlaku dalam Negara mampu ditangani dengan kembali melaksanakan system al-Quran dalam Negara. Kegagalan demi kegagalan system ciptaan manusia semakin mengancam nyawa dan keamanan negara. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Semoga tarbiah Ramadhan yang sedang kita lalui ini dengan ibadat puasa disamping kewajipan zakat fitrah mampu melahirkan kita sebagai umat yang sentiasa kasih kepada saudara Islam yang lain disamping sentiasa membantu setakat termampu samada melalui harta benda mahu pun doa berharga. Mimbar Jumaat pada hari yang mulia di bulan Ramadhan yang mulia buat sekian kalinya menyeru untuk kita semua bersatu atas dasar Islam dalam menghentikan keganasan di Syria. Begitu juga mengembalikan semula keamanan di Mesir di mana kita melihat arahan kerajaan sementara agar pihak anggota keselamatan mengambil tindakan kepada penyokong bekas Perdana Menteri yang digulingkan akan menambahkan masalah setelah tindakan pembunuhan beramai-ramai yang mencatat 480 angka korban disamping 8000 yang cedera sejak rampasan kuasa dilakukan oleh pihak tentera. Kita begitu sedih apabila umat Islam dilagakan oleh musuh Islam akibat ada pihak yang mengikut telunjuk zionis yahudi sebagaimana dipetik daripada ucapan perisik Israel bahawa penggulingan kerajaan pilihan rakyat kerana bimbang Mesir akan melaksanakan syariat Islam dan mengembalikan system Khilafah Islam yang sepastinya akan menggugat kepentingan musuh Islam terutama zionis yahudi Israel. Semoga semangat Ramadhan mampu digunakan sebaik mungkin dalam mengembalikan kesatuan umat ke arah mencapai kemenangan gemilang dunia akhirat Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal: وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَ‌سُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِ‌يحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُ‌وا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: