أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 26 Oktober 2012
Kepimpinan nabi Ibrahim a.s DiContohi Kebahagiaan DiRai
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Mumtahinah :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيهِمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ ۚ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللَّـهَ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ
Maksudnya : Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim a.s dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Kita baru sahaja menyambut ketibaan hari raya korban di mana pagi tadi kita sama-sama solat sunat hari raya secara berjemaah dan mengambil manfaat daripada khutbah hari raya. Ada antara kita telah pun selesai melakukan ibadat korban sebagaimana yang digalakkan oleh nabi Muhammad s.a.w dan ramai lagi akan turut berbuat amalan sunat ini sehingga berakhirnya hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah nanti. Kedatangan hari raya korban begitu banyak meninggalkan kesan dalam membentuk diri ke arah yang lebih cemerlang dan hampir kepada Allah. Antaranya melalui kisah nabi Ibrahim a.s yang begitu banyak mendidik kita di mana nabi yang mulia ini bukan sahaja tidak terpengaruh dengan suasana jahiliah pada zaman remajanya malah bangkit mempertahankan iman disamping begitu bersungguh menjalankan kerja-kerja dakwah dalam menghancurkan jahiliah. Kekuatan hujah nabi Ibrahim a.s terpaksa berdepan dengan tindakan menggunakan kekuatan kuasa oleh Raja Namrud sehingga nabi Ibrahim a.s dibakar hidup-hidup sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam ayat 68-69 surah al-Anbiya’ :
قَالُوا حَرِّقُوهُ وَانصُرُوا آلِهَتَكُمْ إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ ﴿٦٨﴾ قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ
Maksudnya : (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!" . Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada nabi Ibrahim! ".
Kisah ini mengajar kita supaya bersungguh dalam memperkasakan pendidikan agama bagi menjadi benteng daripada mudah ditipu dengan sebarang bentuk pemikiran dan cara hidup yang bertentangan dengan Islam. Kita begitu kecewa apabila peruntukan untuk sekolah agama rakyat (SAR) tidak dimasukkan dalam belanjawan 2013 dengan alasan tidak berdaftar dengan kementerian terbabit sedangkan dalam masa yang sama boleh menyumbang puluhan juta kepada sekolah jenis kebangsaan dalam suatu majlis yang penuh sarat dengan penghinaan terhadap hukum Islam termasuk Hudud.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 24-25 surah As-Sajadah :
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ ﴿٢٤﴾ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
Maksudnya : Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. (Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
Pertembungan antara iman dan kufur, perlawanan antara Islam dan jahiliah, pertentangan antara hak dan batil terus berlangsung hingga hari qiamat. Al-Quran membawa banyak kisah pemimpin yang mesti kita contohi untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat seperti kepimpinan nabi Ibrahim, nabi Musa dan nabi Muhammad s.a.w. Kepimpinan yang berteraskan kepada wahyu Allah ini bukan sahaja menunjuk kepada umat manusia bagaimana menguruskan dunia berdasarkan agama malah menitikberatkan tentang kehidupan dunia berkait rapat dengan akhirat agar kepimpinan tidak tergelincir daripada garisan yang telah ditetapkan oleh syarak. Kepimpinan yang adil dan hebat ini memerlukan kepada kesabaran dan keyakinan yang tinggi dalam mencapainya seterusnya mempertahankannya kerana ia dibenci oleh manusia yang dihasut oleh hawa nafsu dan syaitan. Kepimpinan ini bukan sahaja memberi keamanan kepada rakyat jelata di dunia malah sentiasa bersungguh dalam menyelamatkan umat daripada daripada api neraka di akhirat.
Kepimpinan ini akan sentiasa dicabar dan dimusuhi oleh manusia yang bertuhankan hawa nafsu dan syaitan seperti pemerintahan Raja Namrud, Firaun, Abu Lahab dan manusia bongkak yang lain. Kepimpinan jahiliah ini sepastinya hanya menjadi dunia sebagai matlamat utama dengan menolak keimanan terhadap balasan akhirat sehingga tidak mempedulikan lagi masalah sesat, zalim, dosa, khianat dalam kamus pemerintahan mereka. Inilah yang digambarkan oleh Allah dalam ayat 41-42 surah al-Qasas :
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنصَرُونَ ﴿٤١﴾ وَأَتْبَعْنَاهُمْ فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ هُم مِّنَ الْمَقْبُوحِينَ
Maksudnya : Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Menyedari tentang betapa pentingnya kepimpinan Islam dalam meruntuhkan pemerintahan jahiliah maka menjadi kewajipan kita bersama untuk memilih pemimpin yang benar-benar berjuang dalam menegakkan Islam agar kita bahagia dunia dan tidak menyesal di akhirat sana. Jika pemimpin dalam rumahtangga banyak mencorakkan cara hidup anak isteri samada taat kepada Allah atau lebih banyak menderhakaiNya apatah dalam negara. Kita telah menyaksikan semakin banyak berlakunya pertukaran kepada kepimpinan di beberapa negara terutama di negara arab dan Afrika akibat kebangkitan rakyat di atas kezaliman dan penindasan yang berlaku. Oleh itu kita juga mesti memastikan sebarang pemilihan pemimpin berdasarkan Islam bukan seperti yahudi yang meletakkan matlamat dunia semata-mata dalam menentukan kepimpinan Negara seperti calon Presiden Amerika mesti mesra yahudi barulah mendapat sokongan tertinggi.
Melalui ibadat korban juga sepatutnya banyak mengajar para pemimpin untuk berkorban demi kebahagiaan rakyat bukannya mengorbankan rakyat untuk kepentingan diri sendiri. Akhirnya banyak alasan diberi bila kos sara hidup semakin tinggi seperti kenaikan harga gula supaya rakyat hidup sihat dengan mengurangkan penggunaan gula, bil elektrik dan air naik supaya rakyat lebih jimat dalam penggunaan elektrik dan air sedangkan pembaziran, rasuah dan pecah amanah terus berlaku tanpa sebarang usaha bersungguh dalam mengubatinya. Kini ditambah dengan pelaksanaan saman melalui Sistem Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES) atas alasan mendidik rakyat ketika di jalanraya sedangkan apa yang kita nampak saman ini akan mencekik rakyat untuk keuntungan berapa kerat pihak yang berkepentingan. Jangan dek habuan ratusan ringgit kita lupa penyelewengan dan pembaziran wang Negara berjuta malah berbilion ringgit. Jadilah mukmin yang sebenar yang tidak mudah dijual beli dan ditipu berkali-kali
قال الرسول: لاَ يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ – رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Seorang mukmin tidak akan disengat dari lubang yang sama 2 kali
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tidak lupa pada hari mulia ini untuk sama-sama berdoa kepada para jemaah haji yang sedang berada di Mina pada hari ini untuk sama melontar di Jumratul Aqabah agar mereka dikurniakan dengan haji yang mabrur yang dijanjikan ganjaran yang hebat di sisi Allah sebagaimana yang disebut melalui nabi s.a.w
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: العُمْرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةَ - مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
Maksudnya : Antara umrah kepada umrah lainnya itu akan menghapuskan dosa di antara keduanya. Dan haji mabrur tidak ada balasannya melainkan Syurga.
Melalui amalan melontar ini kita dapat mengambil pengajaran bagaimana bahayanya godaan syaitan dalam menyekat hasrat murni nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail untuk menunaikan pengorbanan suci yang diperintahkan oleh Allah sehingga terpaksa dilontar dengan batu supaya gangguan syaitan itu dapat dipatahkan. Keadaan godaan dan gangguan syaitan ini terus berlaku dalam menghancurkan anak Adam supaya dapat menjadi teman kepada Syaitan dalam neraka Allah di akhirat kelak. Oleh itu kita wajib beriman bahawa syaitan adalah musuh yang nyata yang mesti dilawan dan ditentang sepanjang masa agar dia tidak merosakkan aqidah dan amalan kita. Jangan sekali-kali kita terpengaruh dengan sebarang seruan sesat yang menyatakan syaitan boleh dijadikan rakan. Jangan biarkan hati kita menjadi mati akibat mudah terpengaruh dengan hasutan hawa nafsu dan syaitan sehingga lupa kepada peringatan Allah sebagaimana kata Syeikh Ibrahim Adham antara tanda hati mati ialah mengaku syaitan itu musuh tetapi tidak berjuang menentangnya apatah lagi menjadikan syaitan sebagai rakan
Firman Allah dalam ayat 5-6 surah al-Faatir :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ وَعْدَ اللَّـهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۖ وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّـهِ الْغَرُورُ ﴿٥﴾ إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ
Maksudnya : Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka). (5) Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan