أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 22 Jun 2012

Islam DiLaksana Dunia Bahagia Akhirat Sentosa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Renungilah firman Allah dalam ayat 30 surah an-Nahlu : وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَ‌بُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرً‌ا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ‌ الْآخِرَ‌ةِ خَيْرٌ‌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ‌ الْمُتَّقِينَ Maksudnya : Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa Kini kita telah pun berada pada awal bulan Sya’aban di mana tidak berapa lama lagi kita akan sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan. Masa berlalu begitu pantas dengan keadaan umat manusia yang bermacam-macam samada mengambil manfaat dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah dengan menambah bekalan akhirat atau menambah bebanan dosa maksiat. Setiap diri manusia sentiasa inginkan kebahagiaan walau pun usaha ke arah mencapainya tidak sama di mana ada yang bersungguh-sungguh berusaha memenuhi syarat dan cara untuk mencapai kebahagiaan hidup dunia seterusnya akhirat. Ada pula yang hanya berangan-angan sahaja untuk mencapai kebahagiaan sedangkan tindak tanduknya tidak lebih daripada menempah kesengsaraan hidup dunia dan akhirat. Abdullah ibnu Abbas pernah menyatakan 7 tanda atau petunjuk kita mendapat kebahagiaan dunia yang menjadi gambaran awal untuk turut mengecapi kebahagiaan di akhirat nanti. [1] Memiliki hati yang selalu bersyukur dan menerima segala nikmat dengan penuh keikhlasan. Setiap Muslim wajib bersyukur ke atas pelbagai nikmat dikurniakan Allah SWT, baik kecil mahupun besar. Bersyukur dan mengingati Allah akan memudahkan semua amalan serta kegiatan Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Perkara ke-[2] antara petunjuk mendapat kebahagiaan dunia ialah memiliki pasangan hidup iaitu suami yang soleh atau isteri yang solehah. Islam daripada awal lagi menyeru umatnya supaya menjadikan agama sebagai pilihan terbaik ketika mahu memilih pasangan hidup. Abdullah ibnu Mubarak pernah menyatakan sekiranya kita memilih pasangan hidup berdasarkan keturunan semata-mata maka ia seumpama yahudi yang begitu berbangga dengan bangsa, sekiranya memilih pasangan berdasarkan kecantikan maka ia seperti Kristian manakala pemilihan pasangan berdasarkan harta seumpama Majusi. Berapa ramai pasangan yang asalnya baik menjadi rosak akibat salah pilih pasangan sehingga yang sentiasa menjaga solat mula mengabaikannya, yang menutup aurat mula membukanya. Oleh itu letaklah agama sebagai syarat utama pemilihan pasangan hidup agar kita dan keturunan kita mampu membina mahligai rumahtangga yang bahagia di dunia dan akhirat. قال الرسول : أَ لاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يُكْنَزُ ؟ المَرْأَةُ الصَّالِحَةُ الَّتِى ِإذَا نَظَرَ ِإليَهْاَ سَرَّتْهُ، وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ، وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ - رواه أبو داود والحاكم Maksudnya : Sukakah engkau aku beritahu tentang apakah simpanan yang paling baik?. Iaitu isteri yang solehah yang apabila engkau melihat kepadanya hati menjadi senang, apabila dia disuruh lalu dia menurutinya dan apabila suami tiada di rumah dia tetap menjaga kesetiaan terhadap suami Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 28 surah al-Anfal: وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّـهَ عِندَهُ أَجْرٌ‌ عَظِيمٌ Maksudnya : Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar Tanda kebahagiaan dunia yang ke-[3] pula ialah memiliki anak soleh. Mahu memiliki anak soleh bukan senang kerana ia memerlukan kesungguhan dan pematauan yang berterusan. Jadilah kita sebagai ibu bapa yang pandai mendidik anak dengan mengisi keperluan zahir dan batin bukan hanya tahu ‘menternak’ anak dengan memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal sahaja tanpa menghirau aspek rohani. Seorang ulama’ iaitu Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya Tarbiyatul Aulad menggariskan 5 panduan dalam kaedah mendidik anak serta mengekalkan disiplinnya. [1] Menunjukkan contoh teladan iaitu mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan. [2] Memastikan disiplin anak dengan cara kebiasaannya. Pujangga Arab berkata, sesiapa yang terdidik dari kecilnya maka akan terbiasa sehingga dewasa. Bahkan imam Ghazali menyatakan, akhlak adalah perbuatan yang tidak perlu kepada berfikir dahulu, iaitu tindakan terus akibat menjadikan perbuatan itu adat kebiasaannya. [3] Menggunakan nasihat dan bimbingan. Bukan sekadar ibu bapa perlu menasihatkan anak, malah ibu bapa wajar meminta pandangan dan nasihat dari anak mereka. [4] Pendidikan berterusan dengan pemerhatian serta pengawasan ibu bapa. Apabila anak meningkat remaja, ibu bapa perlu mengawasi anak daripada berbuat perkara yang menyalahi agama. [5] Disiplinkan anak dengan denda dan hukuman. Ia bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik agar mereka mematuhi konsep tarbiah dalam kehidupan seharian. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 119 surah at-Taubah: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar Petunjuk kebahagiaan dunia yang ke-[4] persekitaran yang merangsang untuk iman kita. Kita disuruh supaya bersahabat dengan orang yang dapat memberi kebaikan dan sering menasihati kepada perkara makruf serta menegah daripada kemungkaran. Pihak kerajaan pula wajib mewujudkan suasana yang menggalakkan rakyat untuk menjadi hamba Allah yang taat bukan menambah program maksiat yang merosakkan akhlak rakyat sehingga penagihan dadah terus bertambah, penzinaan dan masalah jenayah terus bercambah. Kebahagian dunia turut dicapai dengan memiliki perkara ke-[5] iaitu harta yang halal. Ingatlah amaran nabi bagaimana walau pun sedikit daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka api neraka lebih layak membakarnya. Saban tahun kita diingatkan tentang Isra’ Mikraj termasuk balasan orang yang terlibat dengan riba yang menyebabkan perut mereka membesar sehingga tak dapat bergerak. Kita melihat system riba semakin subur termasuk dalam pinjaman pengajian PTPTN dan pegawai kerajaan. Negara juga masih banyak bergantung kepada sumber haram seperti judi dan arak yang mana cukai keduanya bagi tempoh 4 tahun dari 2006-2011 menjangkau RM 24.4 bilion. Dengan dasar kerajaan yang liberal, Malaysia kini membawa imej pengeksport industri judi terkenal di dunia bila akhbar NST 5 Jun lalu melaporkan syarikat Malaysia iaitu Genting Malaysia Bhd kini sedang berusaha untuk mendapat kelulusan mengembangkan pelaburan kasino perjudian sehingga ke New York, Amerika Syarikat. Ini belum bercakap berkenaan isu rasuah dan pecah amanah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Mujaadalah: …. يَرْ‌فَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَ‌جَاتٍ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ‌ Maksudnya : …supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan Kebahagiaan dunia yang ke-[6] dicapai dengan memiliki semangat memahami dan mendalami ilmu agama. Beruntunglah orang yang sentiasa berusaha dalam meningkatkan ilmu akhirat tanpa mengira usia dan kerjaya. Bagaimana kita mahu menambah bekalan akhirat dan menjauhi api neraka Allah tanpa ilmu mengenainya. Kita tidak mahu lagi mendengar anak-anak yang telah akil baligh tak tahu mengucap 2 kalimah syahadah, bakal pengantin yang tak tahu solat, orang tua tak tahu halal haram dan pelbagai penyakit buta agama yang lain. Wujudkan dalam rumahtangga dan suasana sekitar dengan budaya ilmu. Jangan hanya mengejar kejayaan cemerlang dalam ilmu dunia tapi ilmu agama tercorot di belakang. Jangan hanya tahu menjawab soalan temuduga ketika minta kerja dan naik pangkat dunia sahaja sedangkan soalan mungkar nakir dalam lubang kubur tak pernah difikirkan Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Tanda kebahagiaan dunia yang ke-[6] bila dianugerahkan dengan umur yang diberkati Allah. Antara 4 tanda memilki keberkatan umur ialah [1] suka bersedekah kerana ia merupakan perisai daripada api neraka. [2] Selalu menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan dalam kehidupan seharian. Manusia yang mahu bahagia sentiasa suka memberi nasihat dan suka juga mendengar nasihat [3] sentiasa berbakti kepada kedua-dua ibu bapa ketika mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Kita melihat suasana perderhakaan terhadap ibubapa semakin parah dalam masyarakat seolah-olah begitu banyak terpengaruh dengan budaya hidup masyarakat barat yang tersasar daripada agama [4] Memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Kesibukan dengan urusan dunia tidak memandulkan sifat kasih sayang terhadap saudara seagama. Oleh itu rafakkan doa kepada Allah agar pembunuhan terhadap rakyat sendiri di Syria dihentikan. Kita turut meminta tindakan tegas daripada kerajaan untuk segera berusaha dalam menghentikan penghapusan etnik Ronghiya di Myanmar di mana ramai anak gadis Islam dirogol, mayat dicincang kemudian dicampak dalam rumah yang dibakar, menangkap seterusnya menembak mati seluruh isi rumah di mana 1 300 dilaporkan terbunuh manakala 3000 yang lain cedera tanpa mendapat rawatan yang disekat. Kita juga berdoa kepada Allah agar kemenangan tokoh gerakan Islam di Mesir segera diumum dan diiktiraf ketika musuh Islam berhempas pulas untuk menafikan kemenangan ini. Musuh Islam terutama zionis yahudi Israel begitu gerun dengan keputusan pilihanraya Presiden Mesir ini yang bakal mencorak masa depan Negara haram yahudi samada diteruskan atau dihancurkan. Yakinlah kita bahawa cahaya Islam tidak mampu dipadamkan walau pun pelbagai usaha jahat dilakukan. Kebangkitan Islam tidak mampu disekat dengan pelbagai kekuatan material yang digunakan. Di Mana bumi dipijak disitu Islam dijunjung. Takkan hilang Islam di dunia. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal: إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَ‌ةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُ‌وا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُ‌ونَ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: