أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Rabu, 21 Disember 2011
Amanah Jamin Bahagia Khianat Bawa Derita
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 124 surah al-Baqarah :
وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."
Kepimpinan merupakan suatu perkara yang penting dalam memberi kesan perubahan kepada umat manusia pada setiap zaman dan tempat. Melalui al-Quran, kita dapat mengambil pengajaran penting daripada beberapa kisah nabi-nabi seperti kisah nabi Ibrahim a.s yang berdepan dengan kesesatan Raja Namrud, Nabi Musa a.s pula berdepan dengan kezaliman Firaun manakala nabi kita sendiri nabi Muhammad s.a.w berdepan dengan keangkuhan dan kejahilan Abu Lahab, Abu Jahal dan pemimpin jahiliah yang lain. Setiap masa dan tempat sentiasa berlaku pertembungan antara hak dan batil, kebenaran dan kesesatan, keadilan dan kezaliman, Islam dan jahiliah, cahaya keimanan dan kegelapan kekufuran
Allah menjanjikan kebahagiaan di dunia dan akhirat bagi siapa yang bijak memilih pemimpin yang adil serta dalam masa yang sama mengancam dengan kerosakan dan penderitaan sekiranya memilih ketua yang tidak amanah serta mengkhianati kepercayaan yang diberi. Kita dapat rasa sendiri bagaimana akibat pecah amnah dan ketidak adilan dalam mengurus hal ehwal dan kewenangan negara telah menyebabkan pelbagai penyelewengan berlaku di mana pemimpin dengan sewenangnya membahagikan harta rakyat seperti harta rampasan perang ketika rakyat jelata semakin dihimpit dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi. Betapa malangnya TV, radio dan media massa digunakan semaksima yang mungkin dalam menyembunyikan masalah pecah amanah, rasuah sehingga rakyat terus tertipu dan terpedaya. Akhirnya masalah besar dipandang kecil manakala masalah kecil diperbesarkan sehingga masalah pecah amanah terus bertambah dan hampir menyebabkan negara bankrap. Ingatlah amaran nabi s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :
إِيَّاكُم وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَلاَ يَزَالُ الْرجل يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّاباً - رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Berhatilah kamu dengan penipuan. Sesungguhnya penipuan membawa kepada maksiat dan maksiat membawa kepada neraka. Seseorang itu akan berterusan dan bersunguh-sungguh menipu sehinggalah dia dicatatkan sebagai penipu
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :
وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka
Ketika membicarakan tentang amanah kepimpinan maka ia bukan suatu yang boleh dianggap main-main kerana ia bakal menyaksikan kebahagiaan atau penderitaan hidup di dunia dan akhirat. Kita sentiasa ingat bagaimana pesanan nabi kepada seorang sahabat yang bernama Abu Dzar yang datang bertanyakan tentang jawatan ketika sahabat-sahabat yang lain dilantik oleh nabi s.a.w sedangkan beliau sendiri tidak diberi sebarang jawatan lalu nabi bersabda :
يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْىٌ وَنَدَامَةٌ إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِى عَلَيْهِ فِيهَا - رواه مسلم
Maksudnya : Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan yang akan menimpa kecuali orang yang telah mengambilnya dengan hak dan menunaikan tanggungjawabnya
Kita juga pernah mendengar bagaimana Khalifah Harun ar-Rasyid ketikamenunaikan ibadat haji di Mekah telah datang berjumpa dengan seorang Ulama’ yang sedang menjaga kambingnya di atas jabal rahmat berhampiran padang Arafah lalu ulama’ itu berkata : “ Wahai Harun ar-Rasyid! Aku ini hanya pengembala kambing sahaja maka aku sudah pasti akan ditanya oleh Allah tentang diriku dan kambing-kambing peliharaanku sahaja sedangkan engkau yang dilantik menjadi khalifah maka engkau bukan sahaja akan ditanya di akhirat nanti tentang rakyat yang sedang berada di bumi Arafah pada hari ini malah seluruh rakyat yang berada di bawah pemerintahanmu. Jika engkau berjaya menunaikan amanah kepimpinan dengan adil maka berjaya dan bahagialah engkau. Sebaliknya sekiranya engkau mengkhianati amanah dan melakukan kezaliman maka celaka dan menderitalah engkau dalam neraka Allah.
Di sini kita dapat saksikan bagaimana pentingnya gabungan antara Umara’ atau pemimpin dengan ulama’ dalam mengurus negara berdasarkan kehendak agama dalam memastikan negara diberkati dan dirahmati Allah bukannya ditipa pelbagai bala’ dan musibah silih berganti akibat penderhakaan terhadap Allah
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Allah telah menjanjikan doa yang sentiasa dimakbulkan bagi seorang pemimpin yang adil. Begitu juga di akhirat nanti, pemimpin yang adil akan dipayungi di bawah naungan atau teduhan bayangan ‘Arasy Allah. Ia bukan suatu janji yang kecil dan ia juga bukan suatu janji yang mudah dicapai kecuali bagi orang yang sentiasa taqwa dalam menguruskan amanah kepimpinan serta tidak menjadikan hamba hawa nafsu
Imam Syafi’e pernah berwasiat tentang 5 perkara yang mesti ada pada pemimpin yang benar-benar taqwa kepada Allah dan jujur dalam kepimpinan iaitu [1] benar dalam percakapan, [2] menjaga rahsia, [3] menunaikan segala janji, [4] sentiasa memberi nasihat kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan [5] menunaikan segala kewajipan yang diamanahkan dengan telus dan jujur
Sekiranya negara dipimpin oleh pemimpin yang bertaqwa kepada Allah nescaya penyelewengan terhadap harta rakyat tidak akan berlaku. Sebaliknya apabila kepimpinan negara diserahkan kepada mereka yang tidak amanah maka kita dapat saksikan bagaimana laporan Audit Negara 2010 sebagai contoh menjelaskan bagaimana berbilion wang rakyat disalahgunakan tanpa ada di sana usaha yang bersungguh dalam menanganinya. Akhirnya menteri berkenaan yang sebelum ini mempertahankan kenyataannya bahawa amalan pemberian subsidi kepada rakyat akan menyebabkan negara menjadi muflis diubah kepada akibat pembaziran dan penyelewengan terhadap harta rakyat disamping hutang yang semakin bertambah bakal menyaksikan negara menjadi muflis. Penyelewengan di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan tidak lebih daripada meneruskan malan buruk pihak atasan bak kata pepatah busuknya ikan bermula daripada kepalanya melarat kepada ekor. Apabila yang di atas tidak amanah maka yang di bawah meneruskan amalan buruk itu tanpa rasa segan silu dan rasa bersalah. Benarlah kata syair
النَّاسُ عَلَي دِيْنِ مُلُوْكِهِمْ
Manusia mengikut agama pemimpin mereka
Apabila pemimpin sibuk melonggok harta maka begitulah tabiat rakyat jelata, apabila pemimpin seronok dengan hiburan melalaikan maka begitulah rentak hidup rakyat bawahan. Sebaliknya bila pemimpin suka melakukan amalan soleh dan amanah dalam pentadbiran maka rakyat di bawah akan mengikut jejak langkah yang baik ini
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 54-55 surah an-Namlu :
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ ﴿٥٤﴾أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ
Maksudnya : Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)".
Kita turut berasa bimbang dengan masalah kerosakan akhlak yang semakin teruk termasuk dengan isu terbaru tentang dakwaan adanya orang Melayu yang berkahwin sesama lelaki dengan rakyat negara asing di luar negara di mana ia masih dalam siasatan. Isu ini bagaikan menghangat kembali tentang usaha suatu kumpulan yang menganjurkan Festival Seksualiti Merdeka bertujuan untuk menyokong dan memperkasa cara hidup bebas golongan lesbian, gay, bisexual and transgender yang jelas merosakkan akhlak baru-baru ini. Program itu akhirnya diharamkan oleh pihak keselamatan setelah dibantah di seluruh negara walau pun ia telah pun dianjurkan dengan restu pemerintah sejak tahun 2008 lagi. Semua pihak bermula daripada kerajaan wajib membasmi penyakit yang bahaya ini mengikut landasan agama bukannya mengikut kehendak nafsu. Ubatilah penyakit ini secara bijaksana kerana ia bakal mengundang bala Allah yang dahsyat jika ia hanya dipandang secara sambil lewa. Cegah sebelum parah, sekat sebelum melarat, tolak sebelum merebak
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” أَرْبَعَةٌ يُصْبِحُونَ فِي غَضَبِ اللَّهِ ، وَيُمْسُونَ فِي سَخْطِهِ ، أَوْ يُمْسُونَ فِي غَضَبِهِ ، وَيُصْبِحُونَ فِي سَخْطِهِ ، شَكَّ الْمُحَدِّثُ ، قِيلَ : مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : الْمُتَشَبِّهُونَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ ، وَالْمُتَشَبِّهَاتُ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ ، وَالَّذِي يَأْتِي الْبَهِيمَةَ ، وَالَّذِي يَأْتِي الرَّجُلَ - رواه الطبراني والبيهقي
Maksudnya: “4 kelompok manusia yang bangun dari tidurnya di bawah kemarahan Allah dan pergi tidur di bawah kemurkaan Allah. Mereka yang mendengarkan perkataan Baginda bertanya: Siapa mereka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki, mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan