أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 19 November 2010

Nabi Ibrahim a.s DiContohi Negara Berkat DiRai

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 127-128 surah al-Baqarah :
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا ۖ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; "Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;
Kita masih berada pada salah satu daripada hari Tasyriq yang mempunyai kelebihan tersendiri di mana kita disunatkan untuk terus bertakbir serta melaksanakan ibadat korban bagi yang berkemampuan. Kedatangan hari raya korban begitu banyak meninggalkan kesan dalam membentuk diri ke arah yang lebih cemerlang dan hampir kepada Allah. Jika saudara mara kita yang berkesempatan menunaikan ibadat haji di Mekah maka mereka dapat menghayati begitu banyak hikmat dan tauladan daripada ibadat haji termasuk keajaiban bumi Mekah yang merupakan Pusat Bumi ditambah dengan keaijaban Ka’abah itu sendiri sehingga kompas tidak berfungsi bila berada sekitarnya. Malah keselamatan sekitar Ka’abah dijaga oleh Allah apabila gagal dikesan oleh gelombang radar satelit ditambah dengan tarikan magnetik yang begitu kuat seolah-olah menarik seluruh tumpuan dunia kepada Ka’abah. Sebab itulah semakin dekat umat Islam kepada Ka’abah maka semakin kuat rasa kehebatan dan ingatan mereka kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 103-107 surah as-Sooffat :
فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاَءُ الْمُبِينُ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ
Maksudnya : Setelah keduanya berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah) dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah ( untuk disembelih) serta Kami menyerunya :”Wahai nabi Ibrahim! Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu”. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebuskan anak itu dengan sembelihan yang besar
Tidak ketinggalan bagi kita yang tidak menunaikan haji di mana kita dapat mengambil pengajaran yang begitu banyak daripada ibadat korban diantaranya mengingati ibadat korban yang dilakukan oleh 2 anak nabi Adam dalam membuktikan siapakah diantara mereka berdua yang lebih ikhlas kepada Allah disamping mengingati ujian demi ujian terhadap nabi Ibrahim termasuk menyembelih anaknya sendiri bagi membuktikan keimanan kepada Allah. Bila menyentuh tentang penyembelihan yang dianjurkan oleh Islam yang mempunyai syarat dan adab yang mesti dijaga sebagaimana seruan nabi dalam suatu hadis :
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " إِنَّ اللهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُل ِّ شَيءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِبْحَة وَلْيُحِد أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ ولْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ " (رواه مسلم(
Maksudnya : Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara paling sempurna, tajamkan pisau kamu supaya haiwan itu cepat dan mudah mati
Jika sebelum ini banyak suara sumbang yang menuduh bahawa cara menyembelih ikut Islam begitu kejam dan menzalimi binatang tetapi tuduhan liar dan jahat ini dibuktikan secara saintifik salah kerana penyembelihan dalam Islam terbukti jelas mematikan haiwan dengan cara yang meminimumkan kesakitan. Kajian saintifik diketuai Profesor Wilhelm Schulze dari Jerman mendapati kaedah sembelihan dalam Islam terbaik kerana haiwan tidak mengalami kesakitan sewaktu disembelih berbanding kaedah stunning yang digunakan beberapa negara Barat. Hasil pemerhatian Profesor Temple Grandin dari Universiti Negeri Colorado pula mendapati haiwan yang disembelih menggunakan pisau yang tajam dengan kaedah betul memberikan reaksi tenang dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika sedang disembelih. Inilah keindahan Islam yang sentiasa menanamkan sifat ihsan termasuk ketika menyembelih binatang.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 37 surah Ibrahim :
رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
Maksudnya : "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
Begitu banyak doa nabi Ibrahim yang terkandung dalam al-Quran di mana ia bukan setakat untuk dibaca tetapi dihayati isinya dalam membina generasi dan Negara yang diberkati oleh Allah. Antaranya menjelaskan kepada kita bagaimana Negara berkat mesti mempunyai Rumah Allah tempat menyatukan antara hamba dengan Allah dan antara manusia sesama manusia sebagaimana pembinaan Ka’abah di Mekah oleh nabi Ibrahim dan pembinaan masjid oleh nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa hijrah yang bersejarah. Seterusnya pemimpin dan rakyat jelata mesti menjadikan solat sebagai sumber kekuatan utama di mana zionis yahudi sentiasa menekankan bahawa mereka tidak gerun kepada umat Islam sehingga kita mampu memenuhi masjid ketika solat Fardhu terutama solat Subuh sebagaimana kita memenuhi masjid pada hari Jumaat dan hari raya. Doa nabi Ibrahim turut menjelaskan bagaimana pentingnya memilih pemimpin yang takutkan Allah agar tidak berlakunya kezaliman dan penderhakaan terhadap Allah, menghancurkan sebarang bentuk penyembahan dan system yang bercanggah dengan Islam disamping ditekankan tentang rezeki yang berkat hanya akan dianugerahkan kepada umat yang bersyukur dengan melakukan suruhanNya dan menjauhi segala tegahanNya dalam setiap system kehidupan. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Melalui mimbar Jumaat yang mulia ini kita mendesak agar pemimpin menarik balik rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab hiburan malam kerana bakal mengundang lebih banyak bala daripada Allah. Kita juga mendesak agar keputusan untuk mula belajar pelajaran seks ala barat iaitu berzina tidak salah asalkan jangan mengandung di sekolah mulai tahun depan dikaji semula agar masalah sosial tidak bertambah parah. Jika kegagalan pengajian bahasa Inggeris dalam matematik dan sains sebelum ini merugikan ribuan juta wang rakyat dan masa maka kegagalan pelajaran seks bakal menghancurkan maruah rakyat dan memusnahkan Negara. Hayatilah cara nabi Ibrahim dalam menjadikan Negara aman dan berkat iaitu bersuluhkan wahyu Allah bukannya duduk dalam kegelapan tempurung jahiliah. Pemimpin sepatutnya mengambil iktibar daripada kehancuran Lubnan di mana Kota Beirut terkenal sebagai “Paris Timur” kerana apa yang ada di Paris, Perancis itulah yang ada di Luban seperti Kasino, disko, arak dan pelacur sehingga Allah menghancurkan Lubnan mulai 1971 dengan Perang Saudara dan sasaran hebat Israel hingga kini. Kita wajib sekat sebelum turunnya laknat Allah sebagaimana yang pernah berlaku di Mesir apabila pemimpin mengumpul Ulama’ setelah mengalami kekalahan demi kekalahan untuk dibacakan kitab hadis Sohih Bukhari terutama bab doa yang boleh menolak bala lalu apabila memimpin mempertikai sebab apa doa ulama’ yang ada turut ditolak oleh Allah maka bangun seorang Ulama’ menyatakan dengan penuh berani bahawa al-Quran sentiasa benar, hadis dalam kitab Sohih Bukhari tidak berbohong sebaliknya tindakan pemimpin Mesir yang menyuburkan amalan riba, hiburan melampau, judi, arak, zina merupakan antara punca yang besar Allah datangkan dengan bala kekalahan dan kehinaan sehingga doa ulama’ pun di tolak sebagaimana peringatan nabi Muhammad s.a.w :
لَتَأْمُرُونَ بِالمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَونَ عَنِ المُنكَرِ أَوْ لَيَسَلَّطَنَّ اللهُ عَلَيكُم شَرَارَكُم فَيَدْعُو خِيَارُكُم فَلَا يُسْتَجَابُ لَهُ
Maksudnya : “Hendaklah kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran. Atau (jika kamu tidak laksanakannya) Allah s.w.t akan melantik dan memberi kekuasaan kepada golongan yang jahat, dan saat itu sekalipun orang baik-baik berdoa, maka Allah s.w.t tidak akan mengkabulkan doanya”. (HR al-Bazzar dan at-Thabrani)
Oleh itu bangkitlah wahai umat Islam yang bermaruah. Jangan tunggu Negara musnah baru mengadah, jangan tunggu Negara binasa baru menyesal yang tiada guna. Sekat sebelum merebak, cegah sebelum parah
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: