أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 9 Jun 2011

Isra' Mikraj DiHayati Kemenangan DiRai

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Kini kita berada di penghujung bulan Rejab antara 4 bulan haram selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Rejab diibaratkan bulan menabur benih, Sya’aban pula bulan menyuburkan tanaman dengan baja sebelum datangnya bulan menuai hasil dengan kedatangan Ramadhan. Rejab merupakan bulan yang terbaik dalam memperbanyakkan amalan soleh sebagai persiapan diri lebih awal ke arah menghidupkan bulan Ramadhan nanti. Orang yang sentiasa membuat persiapan dan latihan awal akan lebih merasai nikmat ibadat apabila datangnya Ramadhan nanti berbanding orang yang hanya menunggu bila datangnya Ramadhan baru mahu memulakan menggandakan amal ibadat. Bila beradanya kita pada bulan Rejab maka tidak pernah lekang untuk kita merenungi suatu peristiwa besar yang pernah berlaku ke atas diri nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ dan Mikraj. Begitu banyak pengajaran yang berguna yang boleh diambil daripada peristiwa yang berlaku di luar pemikiran manusia selain daripada ujian terhadap keimanan kita tentang kehebatan Allah yang mampu melakukan apa sahaja dengan kehendakNya

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut:
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Bulan Rejab dikenali sebagai bulan solat memandangkan kewajipan solat diterima oleh nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Kewajipan solat 5 waktu yang diterima bukan sebagai bebanan untuk menyiksa umat sebaliknya solat adalah ubat mujarrab dalam mengubati pelbagai penyakit umat. Kerosakan akhlak dan peningkatan jenayah daripada kalangan umat Islam kebanyakannya berpunca daripada pengabaian terhadap kewajipan solat samada solat dengan tidak sempurna, solat pada waktu rajin sahaja atau meningggal terus solat 5 waktu atas pelbagai alasan termasuk malas. Bila manusia meninggal solat maka hilang rasa taat kepada Allah sehingga menjadi hamba kepada nafsu serakah. Bila manusia meninggal solat maka putus hubungan ikatan hatinya dengan Allah menyebabkan dirinya lebih dekat dengan hasutan syaitan. Bila solat diabai seolah-olah ubat paling mujarrab diketepikan maka gunalah ubat yang lain sepastinya tidak mampu mengubati penyakit yang semakin parah. Bila akar tunjang sudah mati maka pokok bukan sahaja tidak berbuah malah menunggu masa untuk menyembam tanah. Bila tiang diruntuhkan maka baikilah bahagian lain dengan wang berjuta sudah pasti sesuatu bangunan bukan semakin tegak berdiri sebaliknya membilang hari untuk runtuh berkecai. Kajian demi kajian terhadap golongan yang meninggalkan solat menunjukkan bahawa jumlahnya semakin teruk bukan bertambah baik sebagaimana jumlah kerosakan akhlak dan jenayah yang bukan semakin turun sebaliknya semakin meningkat. Oleh itu kita wajib bersungguh dalam memastikan ahli keluarga dan anggota masyarakat kita supaya menjaga solat barulah kita selamat dunia akhirat

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Anas:
قال الرسول : مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَقِلَّ العِلْمُ وَيَظْهَرَ الجَهْلُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا وَتَكْثُرَ النِّسَاء ُوَيَقِلَّ الرِّجَالُ حَتَّى يَكُوْنََ لِخَمْسِيْنَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ
Maksudnya : Antara tanda qiamat itu ialah ilmu agama sedikit, kejahilan semakin jelas, perbuatan zina dilakukan terang-terang, jumlah perempuan cukup ramai manakala jumlah lelaki berkurangan sehingga bandingan 50 orang perempuan dijaga oleh seorang lelaki
Semasa dibawa melawat neraka dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj, nabi Muhammad s.a.w telah diperlihat tentang pelbagai jenis seksaan mengikut kesalahan yang dilakukan termasuk dahsyatnya balasan terhadap orang berzina terutama orang yang telah berkahwin yang berzina dengan orang lain. Pada hari ini kita melihat masalah zina yang begitu meluas seolah-olah menjadi budaya yang dibanggakan termasuk yang telah berkahwin. Kita merasa gerun apabila membaca tentang hasil kajian terbaru Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendedahkan lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas sehingga ada yang menggugurkan janin. Lebih mengejutkan lagi kira-kira 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu, bukan saja tidak kesal, malu atau takut dari segi dosa malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan akibat pengaruh rakan sebaya disamping faktor internet, telefon bimbit dan sebagainya. Ini ditambah dengan laporan berdaftarnya anak luar nikah seramai 257 000 bermula tahun 2000 hingga 2008. Inilah antara fitnah akhir zaman akibat daripada pengabaian ilmu agama di mana majority umat Islam sendiri menganggap ilmu untuk masuk syurga Allah tidak perlu belajar banyak-banyak sebaliknya ilmu untuk mencari habuan dunia yang bakal ditinggalkan itulah yang lebih penting dan mesti ditambah sepanjang masa. Ramai menjadi malas dan malu untuk belajar ilmu agama bila lanjut usia sedangkan sentiasa bersemangat dan sanggup menghabis wang untuk belajar ilmu dunia. Oleh itu sudah tiba masanya ilmu fardhu ‘ain diperkasakan bukan sahaja di sekolah dan universiti malah kepada golongan yang sedang bekerja samada kerajaan, swasta atau sendiri. Begitu juga pengasingan dan pengawalan terhadap pergaulan antara lelaki dan perempuan di sekolah, universiti, tempat kerja serta tempat umum yang merupakan antara pintu zina yang wajib ditutup. Pelaksanaan hukum Islam wajib dikembalikan dalam menyekat penyakit sosial yang semakin bertambah. Kita turut mengecam cadangan NGO termasuk Sisters in Islam yang meminta agar kerajaan menghapuskan kuasa Mahkamah Syariah yang membenarkan umat Islam yang berumur 16-18 tahun untuk berkahwin atas alasan umur ini tidak mampu menafkah keluarga sedangkan remaja peringkat ini semakin ramai terlibat dengan zina akibat kerajaan membuka terlalu banyak pintu zina termasuk hiburan dan rancangan tv serta majalah tidak senonoh.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 4 surah Isra’ :
وَقَضَيْنَا إِلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا
Maksudnya : Dan kami telah tetapkan terhadap Bani Israel di dalam kitab itu: Sesungguhnya kamu (Bani Israel) akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar.
Ketika membicarakan tentang Isra’ dan Mikraj maka kita tidak sewajarnya lupa tentang tanggungjawab bersama dalam membebaskan Masjid Aqsa daripada dirobohkan oleh zionis yahudi yang beralasan ia dibina atas Haikal atau tempat ibadat serta istana nabi Sulaiman a.s. Dakwaan sesat yahudi ini tidak mempunyai bukti kukuh malah jika benar wujudnya perkara itu maka ia milik umat Islam kerana nabi Sulaiman a.s sebagaimana nabi-nabi yang lain beragama Islam bukannya yahudi. Kita tidak mahu keseronokan berbincang tentang Piala Dunia yang pastinya ada unsur yahudi kerana ia termasuk dalam protokol yahudi ke-13 dalam menguasai dunia yang berbunyi : untuk menjauhkan orang ramai selain yahudi daripada mendapat maklumat baru tentang garis kerja yang zionis yahudi laksanakan maka yahudi akan melalaikan masyarakat dunia dengan pelbagai program permainan dan hiburan. Yahudi akan mengiklankan di dalam akhbar dan lainnya tentang seruan supaya mereka menceburi pelbagai kegiatan seperti aktiviti seni hiburan, sukan dan sebagainya. Dengan keseronokan yang baru ini maka pemikiran manusia akan lalai daripada memikirkan masalah perselisihan antara yahudi dengan mereka. Apabila sesuatu bangsa telah kehilangan sedikit demi sedikit nikmat berfikir maka mereka akan datang kepada yahudi kerana sebab yang satu iaitu yahudi akan menjadi anggota masyarakat yang bernilai dan lebih layak dalam mengemukakan pendapat dan buah fikiran yang baru kepada manusia. Melalui cara ini negara Israel akan diiktiraf oleh dunia dan seluruh dunia akan berkhidmat untuk yahudi. Sinai di Mesir jatuh ke tangan Israel pada tahun 1967, antara sebabnya adalah kerana pada waktu itu orang Arab sedang disibukkan dengan bola. Oleh itu tumpuan kepada sukan tersebut janganlah melalaikan kita daripada menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah terutama dalam menjaga solat Subuh, kerja dan tugasan harian, amanah keluarga serta mengambil berat tentang isu umat Islam termasuk di bumi Isra’ Palestin

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ketika kita membaca tentang beberapa teori tentang kehancuran zionis Yahudi Israel pada tahun 2022 seperti teori seorang pendeta Yahudi mengatakan bahawa kerajaan Yahudi Israel akan kekal selama 74 tahun sahaja sejak penubuhan negara haram Israel iaitu 1948 sehingga 2022. Begitu juga teori pimpinan Israel yang menganggap bahawa selepas peperangan terhadap Lubnan pada 1982 adalah tahun nikmat bagi zionis yahudi sehingga 40 tahun seperti yang dinaskan di dalam Kitab Taurat ciptaan mereka. Ini bermakna penamatnya ialah pada 2022 . Ada juga teori kebetulan yang disebut mengenai bilangan jumlah huruf dari ayat 2 surah Isra’ hingga ayat 104 berjumlah 1443 huruf di mana tahun 1443 Hijrah bersamaan 2022 Masihi. Adakah teori ini bakal terjadi ditambah dengan janji Allah dan nabi Muhammad s.a.w sendiri bahawa yahudi bakal dihancurkan di bumi Palestin. Kemenangan bukan diraih dengan angan-angan sebaliknya perlu kepada kesungguhan dalam berjuang dengan memenuhi syarat kemenangan. Kita lebih seronok berbincang tentang kemenangan Islam bila umat Islam mampu bangun tahajjud sebagaimana kita mampu bangun berjaga malam untuk menonton Piala Dunia. Kita lebih yakin membicarakan tentang kemerdekaan Masjid Aqsa bila umat Islam bersemangat datang berjemaah di masjid terutama solat Subuh sebagaimana memenuhi stadium untuk menonton sukan atau hiburan yang diminati. Sekiranya umat Islam turut gila bola sebagaimana orang lain seperti yang menimpa rakyat Perancis dan England yang dilaporkan begitu sedih kerana pasukan mereka tidak layak ke peringkat lebih tinggi yang menyebabkan industri hiburan dan makanan merudum di mana jika umat Islam pun berperangai buruk seperti itu juga maka payah untuk kita membicarakan tentang kemenangan Islam. Ingatlah bahawa kehidupan kita tidak sebagaimana perlawanan Piala Dunia di mana sang juara bakal meraih piala sedangkan yang kalah tidak akan diseksa dalam penjara sedangkan manusia yang berjaya melawan hawa nafsu dan syaitan akan meraih pahala yang dijanjikan Syurga sedangkan yang kalah bakal diseksa dalam api neraka. Kita diberi pilihan samada mahu menjadi pemenang atau memilih untuk menjadi orang yang kalah dalam meraih pahala Allah yang lebih hebat dan membahagiakan. Tepuklah dada tanyalah iman kita
Firman Allah dalam ayat 108 yang berbunyi:
وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولاً
Maksudnya : Dan orang-orang Mukmin itu hanya berkata: Maha suci Tuhan kami, sesungguhnya janji-janji Tuhan kami pasti akan terjadi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: