أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Ahad, 1 November 2009

Maksiat DiSisih Kemenangan DiRaih

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 152 Surah Ali ‘Imran :
وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُمْ بِإِذْنِهِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَعَصَيْتُمْ مِنْ بَعْدِ مَا أَرَاكُمْ مَا تُحِبُّونَ ۚ مِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الْآخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ ۖ وَلَقَدْ عَفَا عَنْكُمْ ۗ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.
Bulan Syawal buat sekian kalinya bakal meninggalkan kita di mana setiap kali berada dibulan Syawal maka ia mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah diikuti dengan Peperangan Ahzab atau Khandak yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah dan juga Peperangan Hunain yang berlaku pada tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Peperangan besar ini menyedarkan kita bagaimana api permusuhan kuffar terhadap Islam tidak pernah padam malah terus membara serta ia tidak mengenal tempat dan masa. Jika Rasulullah s.a.w bersama para pejuang Islam terpaksa berdepan dengan musuh yang nyata pada bulan Syawal sedangkan kita pada hari ini ramai yang kecundang dengan nafsu syahwat dan syaitan pada bulan Syawal yang diisi dengan program maksiat meminggirkan terus hasil tarbiah Ramadhan yang lalu. Betapa ruginya bila diri yang telah bersih kembali kotor dengan dosa. Betapa malangnya jiwa yang suci kembali dicemari oleh jijiknya maksiat

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Melalui ketiga-tiga peperangan ini kita dapati pelbagai pengajaran penting yang mesti diambil antaranya ialah bahawa proses menang dan kalah merupakan suatu ketentuan Allah bukannya datang secara kebetulan dan bergantung kepada nasib semata-mata. Kita perlu faham tentang ketentuan kemenangan iaitu سُنَّةُ النَّصْرِ dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَةِ di mana musuh Islam sekali pun tetap diberi kemenangan jika mereka memenuhi syarat kemenangan. Begitulah juga dengan umat Islam jika mencukupi syarat kekalahan maka kita akan kalah walau pun perjuangan Islam adalah benar sekali pun. Sayyidina Ali Karramallahu wajhah pernah mengingatkan kita : “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”. Perjuangan Islam tidak dijanjikan dengan kemenangan yang mudah sebaliknya memerlukan kepada kesungguhan dan istiqamah. Kemenangan Islam tidak datang melayang sebaliknya menuntut kepada pengorbanan dan keikhlasan. Janji kejayaan daripada Allah tidak diperolehi dengan jalan yang senang sebaliknya menuntut kepada semangat kental dan kepatuhan. Bolehkah kita berjaya jika musuh Islam berusaha siang dan malam dalam menghancurkan kita sedangkan ramai umat Islam tenggelam dalam maksiat hampir keseluruhan masa. Bolehkan kita menang jika musuh Islam menggunakan seluruh kekuatan yang ada untuk merosakkan kita sedangkan umat Islam lebih senang berehat dan berhibur daripada memperjuangkan Islam. Mampukah kita mengalahkan musuh jika kita pun berperang untuk mengaut keuntungan dunia dan takut pada kematian sebagaimana musuh. Jangan banyak bertanya kepada Allah mengapa kita belum menang sebaliknya perbaikilah kelemahan yang masih ada dalam diri sendiri agar memenuhi syarat kemenangan.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini juga maka kita mengucapkan takziah kepada mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia. Kita juga wajib mengambil iktibar daripada peristiwa yang dahsyat ini untuk memperbaiki diri agar menjadi hamba yang taat setia kepada Allah bukannya golongan penderhaka. Bila kita mengkaji tentang Antara yang menarik sekaligus membuktikan mukjizat al Quran ialah keselarasan ayat quran dengan peristiwa gempa bumi di Padang Sumatera . Gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 september tempohari ialah tepat jam 5.16 petang [ atau jam 17:16 ] dan gegaran kedua berlaku pada jam 5. 58 petang [ atau jam 17 : 58 ] . Sementara esoknya 1 Oktober jam 8.52 am berlaku gegaran susulan di Jambi. Apabila kita selaraskan masa berlaku gempa bumi dengan surah dan ayat al quran , kita akan temui persamaannya seperti berikut . [ Jam 17 : 16 bersamaan Surah ke 17 ayat ke 16 ] [ Jam 17 : 58 bersamaan Surah ke 17 ayat ke 58 ] dan [ Jam 8:52 bersamaan Surah ke 8 ayat ke 52 ]. Secara susunan dalam al-Quran maka surah ke 17 ialah surah al Israa' manakala surah ke 8 ialah surah al Anfaal .
Bila direnungi satu persatu ayat-ayat tersebut iaitu bermula dengan firman Allah dalam surah al -Israa’ ayat 16 :
وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
Maksudnya : “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”
Diikuti dengan firman Allah dalam surah al -Israa’ ayat 58 :
وَإِنْ مِنْ قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا ۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا
Maksudnya : “Tak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz).”
Manakala firman Allah dalam surah al -Anfaal ayat 52 :
كَدَأْبِ آلِ فِرْعَوْنَ ۙ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۚ كَفَرُوا بِآيَاتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.
Ayat - ayat di atas jelas menunjukkan azab dan musibah yang Allah swt timpakan ke atas sesebuah negara atau negeri lantaran penghuninya derhaka kepada Allah swt . Kita juga mesti ingat bahawa musibah yang datang jika ia dilalui dengan penuh kesabaran maka Allah datangkan pahala yang lebih besar serta pengampunan dosa dan kita juga doakan agar saudara yang meninggal dunia dalam musibah ini diberi oleh Allah dengan ganjaran yang baik. Ingatlah bahawa orang yang ditimpa musibah antara orang yang dikasihi oleh Allah jika ia mampu dihadapi dengan tabah kerana golongan yang paling banyak dan teruk dikenakan bala atau ujian oleh Allah ialah para nabi sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Mas’ab bin Sa’ad daripada ayahnya:
قُلْتُ : يَارَسُوْلَ اللهِ أَىُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلاءً؟ قَالَ : الأنْبِيَاءُ ثُمَّ الأمْثَلُ فَالأمْثَلُ . يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِيْنِهِ فَإِنْ كَانَ فِى دِيْنِهِ صُلْباً اِشْتَدَّ بَلاؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِى دِيْنِهِ رِقَّةً اُبْتُلِىَ عَلَى قَدَرِ دِيْنِهِ فَمَا يَبْرَحُ البَلاءُ بِالعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الأرْضِ وَمَاعَلَيْهِ خَطِيْئَةٌ
Maksudnya : Aku bertanya : wahai Rasulullah! Siapakah di kalangan manusia yang paling kuat ujiannya? Sabdanya : Para nabi kemudian seumpamanya maka sepertinya. Diuji seorang lelaki mengikut kadar agamanya, sekiranya agamanya kuat maka semakin kuat ujiannya dan jika agamanya lemah maka diuji mengikut kadar agamanya. Sentiasa berlangsung ujian ini sehingga ia berhenti, berjalan dia di atas muka bumi ini sedangkan tiada lagi dosa di atasnya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: