أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Ahad, 18 Julai 2010

Jahiliah DiPuja Umat Menderita

السلام عليكم ورحمة الله
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :
قد نرى تقلب وجهك في السماء فلنولينك قبلة ترضئها فول وجهك شطر المسجد الحرام وحيث ماكنتم فولوا وجوهكم شطره وإن الذين أوتوا الكتب ليعلمون أنه الحق من ربهم وما الله بغفل عما يعملون
Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.
Kita sekarang ini berada pada minggu pertama bulan Sya’aban yang pernah melakar suatu peristiwa besar dalam sejarah Islam iaitu peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah. Sewaktu Rasulullah s.a.w mula-mula tiba di bumi Madinah, baginda diarahkan agar menghadap ke arah Baitul Maqdis dan ramai di kalangan penduduk Madinah waktu itu daripada golongan Yahudi di mana sememangnya qiblat mereka adalah Baitul Maqdis. Oleh itu kaum yahudi sentiasa mengejek dan mencerca nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Cercaan dan ejekan yahudi ini agak memberi kesan mendalam terhadap umat Islam pada masa itu sehingga nabi berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu yang mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah di Mekah. Akhirnya selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w menghadap ke Baitul Maqdis, barulah Allah memerintahkan agar baginda menghadap ke Ka’abah.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 217 surah al-Baqarah :
..... وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya : …….Dan sesiapa daripada kamu yang murtad daripada agamanya lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir maka gugurlah amalan-amalan mereka di dunia dan akhirat. Dan mereka menjadi ahli neraka yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya
Peristiwa pertukaran Qiblat ini memberi isyarat yang jelas kepada umat Islam agar kita mesti berusaha menjauhi sebarang kepercayaan, amalan dan budaya hidup yang bercanggah daripada Islam yang sentiasa disogokkan oleh musuh Islam dengan pelbagai cara. Umat Islam mesti mempunyai jatidiri berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi sehingga kita mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada orang bukan Islam bukannya kita menjadi penghalang atau tembok yang mendinding orang bukan Islam daripada melihat keindahan yang ada dalam Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Betapa malangnya apabila ramai di kalangan umat Islam sendiri pada hari ini berasa malu untuk berakhlak dengan akhlak Islam, berpakaian sebagaimana sunnah nabi, menggunakan system hidup sebagaimana yang dianjurkan oleh agama. Apa yang lebih malang apabila adanya umat Islam termasuk pemimpin yang sanggup membelakangkan larangan agama seperti amalan tafakkur hadapan tugu negara terutama pada Hari Pahlawan yang jelas hukumnya haram dan boleh membawa kepada syirik.
Aqidah umat Islam semakin goyah terutama ketika suasana politik dalam negara yang agak bercelaru telah menyebabkan pihak tertentu seperti Kristian yang giat berusaha dalam memurtadkan umat Islam. Antara yang sedang hangat diperkatakan ialah mengenai tindakan beberapa individu yang berusaha memujuk kakitangan termasuk pramugari MAS untuk meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Kristian dengan memberi hujah-hujah yang mengelirukan. Satu laporan polis telah dibuat oleh salah seorang pramugara Muslim terhadap tindakan jahat ini disamping beberapa NGO Islam telah bersemuka dan menyatakan bantahan mereka kepada Pengerusi MAS sendiri, namun belum ada tindakan rasmi yang dilaporkan diambil terhadap kakitangan MAS tersebut yang secara terangan telah menyalahi perlembagaan Persekutuan. Begitu juga dengan usaha Majlis Peguam yang mahu menganjurkan sebuah forum yang bakal menyentuh pertukaran agama bertemakan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, esok yang bersumberkan fahaman sekular yang hanya menyelewengkan pemahaman sebenar terhadap Islam serta boleh mencetuskan konflik dan akhirnya ketegangan yang tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak. Oleh itu kita wajib membantah forum ini kerana isu-isu berkaitan dengan hak dan kepentingan Islam adalah sesuatu yang mutlak seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh setiap negeri. Islam adalah agama yang membawa dan menjanjikan kebaikan buat semua, oleh yang demikian sebarang perbincangan berkenaan dengannya perlulah melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan autoriti kerana Islam berdiri berteraskan sumber-sumbernya sendiri bukannya mengikut tafsiran manusia yang serba lemah dan kekurangan. Kita beri kata dua kepada golongan pelampau ini agar jangan cuba menjolok sarang tebuan buruk padahnya. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam. Biar nyawa melayang namun Islam tetap kita pertahankan. Biar bermandi darah namun maruah Islam tetap kita perjuangkan

Siang Jumaat yang dikasihi,
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad :
قال الرسول  : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Sesiapa yang meniru suatu kaum yang lain maka dia adalah daripada kaum itu
Apabila umat Islam sendiri menjadikan tamadun kebendaan barat sebagai qiblat kehidupan mereka maka banyaklah kerosakan dan kehancuran yang berlaku. Kita begitu sedih apabila segala jasa pejuang kemerdekaan negara bakal dicemari dengan suatu persembahan daripada penyanyi barat yang runtuh akhlak sempena sambutan merdeka nanti. Sepatutnya setelah 51 tahun mencapai kemerdekaan maka semakin banyak system Islam yang dapat dilaksanakan serta semakin banyak cara hidup barat berjaya disingkirkan. Apa yang berlaku adalah sebaliknya sehingga keruntuhan akhlak di kalangan umat Islam sendiri semakin meruncing apabila lebih banyak racun yang dihidangkan berbanding ubat yang menyembuhkan. Amalan rasuah dan pecah amanah yang telah membarah dalam masyarakat turut menjadi punca utama kepada berlakunya pelbagai jenayah dan penyelewengan sehingga keamanan negara tergugat. Sejak tahun 80-an negara kita telah mengalami kerugian sebanyak RM 100 billion akibat rasuah. Kita turut merasa gerun apabila mendengar berita kehilangan barang bukti iaitu dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM1.1 juta dari bilik simpanan barang bukti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang menunjukkan tempat yang dikawal ketat pun boleh dicerobohi. Selagi Islam tidak dijadikan cara hidup maka selagi itulah kehancuran semakin bertambah dan membarah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kegagalan menjadikan Islam sebagai cara hidup turut menjadi punca kepada meluasnya budaya fitnah dan mengaibkan maruah manusia yang lain. Kadang-kadang perkara yang tidak sepatutnya diperbesarkan terutama yang melibatkan keaiban manusia telah menyebabkan perhatian rakyat kepada isu negara yang lebih besar dan penting diketepikan. Inillah bahayanya apabila lahirnya pemimpin yang lebih takut kepada kedudukannya yang semakin goyah daripada takut kepada Allah. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia di bulan sambutan kemerdekaan maka kita buat kalinya mendesak agar tahahan ISA dimerdekakakan. ISA adalah suatu tindakan yang zalim dan bertentangan dengan Islam. Takutlah pada amaran Allah melalui ayat 58 surah Al-Ahzab :
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (menyeksa) mukiminin atau mukminat dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan perbuatan atau kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu menanggung pembohongan dan dosa besar yang nyata,"
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: