أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 3 September 2009

127. RAMADHAN PENYEMARAK SEMANGAT JUANG

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 183 سورة البقرة :
يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Ketibaan Ramadhan buat sekian kalinya mestilah disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Kedatangan Ramadhan dengan pelbagai kelebihan bersama dengan keampunan dan penggandaan pahala yang akan dianugerahlan kepada hamba Allah yang beramal soleh dan bertaqwa memang sentiasa ditunggu-tunggu. Ketibaan Ramadhan bersama dengan terbuka luasnya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka disamping dirantainya para syaitan yang banyak melakukan godaan dalam menyeret manusia ke lembah kehinaan mestilah disambut dengan penuh kegembiraan dengan kita sama-sama meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah ke arah melahirkan diri sebagai orang yang bertaqwa kepada Allah. Kita tidak mahu menjadi golongan yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w di mana betapa ramai umat yang membaca al-Quran tetapi al-Quran melaknatnya dan betapa ramai umat yang berpuasa tetapi tidak mendapat sesuatu ganjaran daripada Allah melainkan lapar dan dahaga. Oleh itu kita mestilah mempunyai persiapan yang cukup dengan ilmunya dan juga semangat di dalam melawan pujukan hawa nafsu agar ibadat kita bertambah baik dari hari ke hari. Jadikanlah Ramadhan yang tiba ini sebagai medan mujahadah diri ke arah mendekatkan lagi diri kita kepada Allah dengan mengusir segala penghalang yang selama ini menghalang kita dalam mencapai tujuan tersebut.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Tunaikanlah kewajipan puasa dengan sebaiknya agar matlamat untuk lahir sebagai insan yang bertaqwa dapat diperolehi demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w:
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akn diampuni segala dosanya yang telah lalu
Sebagai seorang hamba yang sentiasa melakukan ibadat kerana Allah serta sentiasa berusaha bagi mendekatkan diri kepada Allah maka pengampunan dosa merupakan salah suatu anugerah yang besar disamping pengggandaan pahala kerana dosalah yang menyebabkan diri kita terhalang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan dosa juga sebagai suatu perkara yang menyebabkan kita terpesona dengan pujukan dunia sehingga melalaikan hati kita daripada mengingati Allah. Semoga kedatangan Ramadhan kali ini mampu memberi perubahan yang besar kepada diri kita dalam menambahkan amal soleh dan juga meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah sehingga diri kita mampu lahir sebagai pejuang yang mampu berjuang melawan nafsu dan segala halangan dunia demi mencapai keredhaan Allah.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kita di negara ini masih diberi peluang oleh Allah untuk hidup dalam keadaan aman dan mudah untuk melakukan amal ibadat. Kita di sini banyak diuji dengan serangan nafsu di mana ada yang berjaya melepasinya sehingga lahir sebagai insan mulia yang sentiasa mengingati Allah sepanjang masa dan tidak kurang yang kecundang sehingga menjadi hamba nafsu yang hina. Oleh itu kita hendaklah menggunakan masa yang senang ini untuk memperbanyakkan lagi amal ibadat kita dan janganlah kita mensia-siakannya yang akan menyebabkan kita akan menyesal kemudian hari. Kita tidak lupa kepada nasib saudara kita di beberapa negara yang lain seperti Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Selatan Filiphina dan lainnya di mana buat sekian kalinya mereka menyambut kedatangan Ramadhan buka sahaja untuk berhadapan dengan serangan nafsu yang bergelora tetapi terpaksa juga untuk berhadapan dengan keganasan musuh Islam yang sentiasa memburu mereka setiap masa. Kita di sini setelah menunaikan ibadat puasa selama beberapa jam yang tertentu maka kita dapat bergembira apabila berbuka di mana kita dapat menjamah hidangan yang lazat bersama keluarga tercinta mengikut kemampuan yang ada sedangkan saudara kita seagama yang sedang diperangi maka mereka bukan sahaja tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi untuk berbuka malah kadang-kadang mereka berbuka di tengah-tengah tembakan dan bedilan musuh. Saudara kita seagama bagaikan hidangan makanan yang sedang sedia dimamah oleh kuffar yang kelaparan. Pada malam hari pula kita di sini dapat keluar ramai-rami memenuhi masjid dan surau bagi solat terawikh berjemaah sedangkan saudara kita itu diterus diburu kebimbangan di mana senjata musuh sentiasa mencari sasaran untuk membunuh mereka.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Ramadhan juga adalah lambang kemenangan dan kegemilangan umat Islam. Kita sentiasa ingat bahawa umat Islam silam pernah berperang pada bulan Ramadhan di mana kebanyakan peperangan yang berlaku pada bulan Ramadhan dimenangi oleh umat Islam sebagaimana peperangan Badar al-Kubra, Pembukaan Baitul Maqdis, Pengusiran kekuatan yahudi dari Sinai, Mesir dan sebagainya. Berpuasa bukanlah bermakna melemahkan semangat umat Islam tetapi ia lebih menyemarakkan lagi semangat jihad yang sedia ada bagi memastikan agama Islam terus disanjung tinggi. Ramadhan bukan sahaja bulan di dalam mengalahkan nafsu yang bergelora tetapi ialah bulan kemenangan dalam melawan musuh Allah yang sentiasa melawan kita. Semoga sinar Ramadhan kali ini membawa sinar kemenangan kepada seluruh umat Islam dengan syarat mereka kembali bersatu di bawah payung Islam. Semoga air mata yang mengalir selepas ini bukan lagi air mata simpati terhadap pembunuhan yang berlaku terhadap umat Islam secara silih berganti tetapi biarlah air mata yang mengalir selepas ini merupakan air mata kegembiraan bagi menyambut kemenangan gemilang yang bakal dianugerahkan oleh Allah kepada pejuang yang ikhlas berjuang. Cukuplah penderitaan di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Filiphina dan sebagainya. Jadikanlah kedatangan Ramadhan kali ini sebagai medan yang akan menjanakan kemenangan dalam melawan nafsu dan mengalahkan kuffar yang sentiasa memerangi kita tanpa jemu. Gunakanlah peluang yang ada ini untuk meluaskan lagi usaha dakwah sehingga kita mampu melahirkan lebih ramai kawan daripada lawan. Sesungguhnya manusia itu akan memusuhi apa yang dia jahil tentang perkara itu.
Renungilah Firman Allah dalam ayat 26 surah an-Nahlu :
قد مكر الذين من قبلهم فأتى الله بنيــنهم من القواعد فخر عليهم السقف من فوقهم وأتئهم العذاب من حيث لايشعرون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orag sebelum mereka telah melakukan perancangan maka Allah menghancurkan bangunan-bangunan mereka dari asas-asas binaaannya lalu bumbung bangunan itu jatuh menimpa mereka dari atas dan datanglah azab itu kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: