أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 3 Februari 2011

125. KELAHIRAN RASULULLAH S.A.W PERUBAH TAMADUN

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 7 - 8 سورة الفرقان :
وقالوا مال هذا الرسول يأكل الطعام ويمشى فى الأسواق لولآ أنزل إليه ملك فيكون معه نذيرا أو يلقى إليه كنز أو تكون له جنة يأكل منها وقال الظــلمون إن تتبعون إلا رجلا مسحورا
Maksudnya : Dan mereka(orang kafir) berkata : “ Mengapakah rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?. Mengapakah tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengannya?. Atau (mengapakah tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan atau ada kebun baginya di mana dia dapat makan hasilnya?”. Dan orang-orang yang zalim itu berkata lagi :” Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang terkena sihir”.
Umat Islam dan Rabiul Awwal begitu rapat di mana setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh pelusuk dunia sama-sama merayakan majlis memperingati Maulidur Rasul samada secara besar-besaran atau kecil-kecilan. Umat Islam sama-sama memperingati kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang telah banyak berjasa dalam membentuk umat manusia yang telah lama tenggelam dalam kesesatan dan tersiksa dalam kezaliman. Kelahiran baginda telah mengubah tamadun manusia daripada kegelapan jahiliah kepada suluhan sinar cahaya Islam, daripada penindasan berasaskan hukuman manusia yang sesat kepada keadilan Islam yang mampu menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
Walau pun nabi Muhammad s.a.w telah meninggalkan kita lebih 1400 tahun yang lalu namun setiap kali tibanya tarikh 12 Rabiul Awwal maka umat Islam sentiasa menyebut tentang riwayat hidup nabi Muhammad s.a.w bersama dengan perjuangan dakwahnya yang suci dan mukjizatnya serta pujian terhadap segala sifatnya yang terpuji yang mesti diteladani oleh seluruh umat Islam bukannya sekadar disebut dalam berzanji dan selawat sahaja. Jika umat Islam mahu kembali menjadi umat yang mulia dan dikagumi oleh dunia maka kita mesti kembali semula kepada seluruh ajaran yang telah dibawa oleh nabi kita Muhammad s.a.w dan jangan sama sekali kita hanya mengambil sebahagian hukum yang disukai dan meninggalkan sebahagian yang lain sehingga kita menjadi umat yang dihina oleh Allah akibat daripada kedegilan kita sendiri. Kejayaan nabi Muhammad s.a.w dalam membina Daulah Islamiah yang unggul di bumi Madinah Munawwarah dan seterusnya diikuti oleh khulafa’ ar-Rasyidin dan khalifah selepas mereka berasaskan kepada hukuman wahyu al-Quran yang adil telah membawa kepada terbinanya tamadun yang utuh yang mementingkan pembinaan insan dan kebendaan secara serentak demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Umat Islam yang dulunya tertindas di bumi Mekah telah menjadi umat mulia malah mula menjadi umat yang memerintah dunia bermula daripada bumi Madinah kerana mereka menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai perlembagaan

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Ketika umat Islam sentiasa menyebut tentang kelebihan dan kemulian serta kehebatan peribadi dan sifat yang ada pada Rasulullah s.a.w maka ada juga di kalangan umat Islam sendiri yang cuba mempertikaikan beberapa sifat kemanusiaan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w seolah-olah mereka mahu menutupi kehebatan nabi dengan sifat kemanusiaan yang ada pada nabi itu. Jika pada zaman nabi adanya golongan kuffar yang sentiasa merendah-rendahkan keperibadian nabi yang dianggap tidak layak menjadi nabi lagi rasul disebabkan makan dan membeli-belah di pasar sebagaimana manusia lain serta tidak pula mempunyai harta kekayaan dan kebun disamping tiada bersamanya malaikat sebagai pembantu dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Maka pada zaman kita ini wujud golongan yang mahu merendah-rendahkan martabat nabi yang sememangnya mulia dan hebat apabila mereka lebih banyak menonjolkan tentang beberapa sifat kemanusiaan yang ada pada nabi seperti nabi berkahwin dengan ramai wanita malah mereka turut menuduh bahawa nabi mempunyai gundik bagi menunjukkan bahawa nabi merupakan seorang yang kuat nafsunya. Ini merupakan tuduhan yang sesat dan liar sedangkan antara hikmat kepada perkahwinan nabi itu sendiri ialah bagi menyebarkan dakwah Islam secara yang lebih meluas bukannya bertujuan untuk memuaskan hawa nafsu sebagaimana yang dituduh. Setiap perbuatan dan perkataan nabi berdasarkan wahyu bukannya dilakukan atas dasar mengikut hawa nafsu
Golongan ini juga cuba menonjolkan tentang kepimpinan nabi yang didakwa memulakan dasar kepimpinannya atas asas kebangsaan iaitu bangsa arab Quraisy sebelum menonjol diri dengan kepimpinan agama. Jika diteliti dari sudut sejarah sendiri maka kita dapati Rasulullah s.a.w merupakan seorang nabi yang begitu kuat menentang asabiyyah atau kebangsaan bertepatan dengan perutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri adalah untuk menjalankan dakwah kepada seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa berbeza dengan nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum ini yang diutuskan untuk kaum tertentu sahaja. Kita turut diingatkan bagaimana nabi pernah menolak jawatan sebagai raja Mekah yang berdasarkan bangsa bukannya Islam. Malah nabi begitu benci dan marah kepada umatnya yang berjuang atas dasar kebangsaan sehingga kepimpinan yang berasaskan Islam ini dengan mengenepikan semangat kebangsaan telah membawa kejayaan kepada dakwah Islam semenjak di Mekah lagi apabila ramai di kalangan umat bukan arab yang memeluk Islam seperti Bilal bin Rabah dari Afrika, Salman dari Farsi dan Suhaib dari Rom. Jika nabi memulakan dasar kepimpinan atas dasar bangsa maka sudah tentu cahaya Islam ini tidak mampu menembusi hati-hati umat bukan arab dari awal permulaan dakwah nabi di Mekah lagi.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Setelah meneliti dari segi serangan dan dakwaan dalam menyerang peribadi Rasulullah s.a.w maka kita dapati bagaimana golongan ini merupakan antara mereka yang meneruskan perjuangan musuh-musuh Allah dalam menyerang Islam dan menjauhkan umat Islam daripada ajaran menyeluruh berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Jika sebelum ini golongan Syiah dan anti hadis berusaha memburukkan-burukkan para sahabat terutama perawi hadis yang bertujuan agar umat Islam dijauhkan daripada hadis nabi maka golongan ini pula cuba meracuni pemikiran umat Islam agar turut mempertikaikan keperibadian nabi Muhammad s.a.w sehingga wujudnya golongan yang hanya menerima pakai sebahagian ajaran nabi dan menolak sebahagian yang lain atas alasan bahawa nabi sendiri ada melakukan sesuatu berdasarkan nafsu bukannya wahyu.
Malah golongan ini juga cuba menghalalkan semangat kebangsaan yang diharamkan oleh Islam atas alasan bahawa nabi memulakan perjuangannya atas dasar kebangsaan sedangkan pada hakikatnya tidak begitu. Malah semangat kebangsaan ini telah dijadikan senjata yang paling berkesan oleh musuh Islam dalam menghancurkan kesatuan umat Islam terutama selepas peperangan Dunia Kedua atas dasar pecah dan perintah. Jika nabi dan para sahabat serta pejuang Islam selepas itu berjaya meluaskan dakwah Islam sehingga runtuhnya Empayar Kristian Rom dan Empayar Majusi Parsi diikuti dengan jatuhnya Empayar Budha China dan Hindu India ditangan umat Islam yang mengenepikan semangat kebangsaan dengan mengutamakan semangat jihad Islam tetapi kini umat Islam dengan jumlah yang ramai menjadi umat yang hina kerana ditanam semangat kebangsaan dan menjauhkan diri daripada melaksanakan Islam yang menyeluruh. Yahudi terus mengganas di bumi Palestin sedangkan umat Arab Islam begitu ramai dikeliling mereka tetapi atas dasar kebangsaan maka mereka hanya mampu memerhati bumi Palestin dijadikan bumi penyembelihan terhadap saudara seagama oleh yahudi laknatullah. Atas dasar kebangsaan juga maka Pakistan sanggup bersekongkol dengan Amerika dan sekutunya dalam menyerang Afghanistan sebelum ini tetapi pada hari ini Pakistan menjadi sasaran kuffar seterusnya apabila kuffar membantu India untuk menyerang Pakistan. Umat Islam terus dibunuh di Gujerat India dan Kashmir tanpa ada bantuan daripada umat Islam dari negara jiran kerana masing-masing sedang sibuk dengan peperangan dalam negara sendiri. Pemimpin negara kita seronok dipuji oleh ketua pengganas dunia Amerika kerana mampu memenjara rakyat yang didakwa pengganas sedangkan kita tidak mampu membantu saudara seagama di Selatan Filiphina yang sedang dibunuh serta membantu umat Islam di Acheh dan Ambon. Umat Islam dijadikan senjata dalam melawan saudara seagama dan kuffar terus berseronok sebagai pemenang. Betapa hinanya umat Islam apabila meninggalkan Islam. Oleh itu kita mesti bersungguh-sungguh dalam mengembalikan semula kemuliaan dan kehebatan umat Islam dengan sama-sama kembali kepada seluruh ajaran Islam demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 116 surah Huud :
فلولا كان من القرون من قبلكم أولوا بقية ينهون عن الفساد فى الأرض إلا قليلا ممن أنجينا منهم واتبع الذين ظلموا ما أترفوا فيه وكانوا مجرمين
Maksudnya : Maka mengapakah tiada daripada umat sebelum kamu golongan yang memberi keutamaan dalam menegah daripada berlakunya kerosakan di muka bumi kecuali sebahagian di antara golongan yang telah Kami selamatkan di antara mereka. Orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan mewah yang ada pada mereka dan mereka adalah golongan berdosa
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

Tiada ulasan: