أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 10 Julai 2009

83. HINDARI CIRI MASJID DHIRAR

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 107dan 108 surah al-Taubah :
والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا وتفريقا بين المؤمنين وإرصادا لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحلفن إن أردنا إلا الحسنى والله يشهد إنهم لكــذبون . لاتقم فيه أبدا لمسجد أسس على التقوى من أول يوم أحق أن تقوم فيه فيه رجال يحبون أن يتطهروا والله يحب المطهرين
Maksudnya : Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) kekufuran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), lebih patut engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan ( mensucikan ) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)
Kita kini telah berada dalam bulan Rejab yang turut mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam kalendar umat Islam terutama yang paling masyhur ialah pada bulan ini telah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj. Tidak ketinggalan juga untuk umat Islam mengingati suatu lagi peristiwa yang amat penting ialah peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H di mana Rasulullah s.a.w telah berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera bagi mengajar kebiadapan dan kezaliman kerajaan Rom yang telah membunuh Farwah bin 'Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom setelah mengetahui bahawa beliau telah memeluk Islam dan menjalankan kerja dakwah Islam di kawasan tersebut. Sepanjang peperangan ini tidak berlakunya pertempuran yang sengit kerana musuh berundur diri di mana Rasulullah s.a.w melarang tentera Islam daripada mengejar mereka kerana bimbang akan terjatuh dalam perangkap musuh yang kemungkinan besar akan datang menyerang secara mengejut dan juga disebabkan peluang memang mudah yang diperolehi digunakan sebaik mungkin untuk menghantar wakil ke kawasan berhampiran bagi menyebarkan dakwah Islam. Islam bukan berperang untuk membalas dendam sebaliknya apabila keadaan memaksa seperti berlakunya penindasan terhadap umat Islam atau mempertahankan diri apabila musuh mahu menyerang serta bertujuan mengembangkan dakwah di mana orang bukan Islam Islam hanya perlu bersetuju untuk tunduk kepada sistem Islam sehingga mereka layak untuk mendapat hak keamanan sebagai rakyat bukannya memaksa mereka agar memeluk Islam.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Peperangan yang dibenarkan oleh Islam begitu berbeza jauh dengan penjajahan terutama yang baru dilakukan oleh kuasa besar kuffar yang diketuai oleh Amerika yang berusaha meranapkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengannya terutama negara umat Islam. Amerika yang baru sahaja memperingati tahun kedua serangan 11 September di mana dalam masa yang sama telah 2 buah negara negara umat Islam baru dijajah iaitu Afghanistan dan Iraq disamping musuh bersiap sedia untuk meluaskan penjajahan ke atas Iran dengan alasan yang sama semasa menyerang Iraq iaitu berusaha membangunkan nuklear dan senjata merbahaya. Tidak ketinggalan di mana umat Islam di Palestin juga semakin tertekan terutama apabila Iraq mula dijajah sehingga hampir setiap hari adanya umat Islam yang terbunuh dan cedera serta rumah mereka ranap dimusnahkan oleh rejim yahudi. Negara arab sekelilingnya hanya melihat saudara seagama ditindas tanpa ada suatu tindakan yang sewajarnya kerana kebanyakan pemimpin negara umat Islam sanggup menjadi hamba kepada yahudi dan Amerika. Perasaan takut kepada mati dan terlalu cintakan dunia telah menyebabkan bumi Isra’ Mikraj iaitu Baitul Maqdis hampir ditawan sepenuhnya. Umat Islam di Palestin terpaksa berhadapan dengan musuh yang lengkap bersenjata sedangkan mereka tiada apa-apa kelengkapan yang spatutnya sehingga banyak serangan berani mati terpaksa dilakukan. Kita perlu faham bahawa seluruh rakyat yahudi Israel ialah rakyat yang sedia terlatih dengan latihan ketenteraan dan peperangan yang menyebabkan mereka termasuk dalam hukum kafir harbi yang menjajah bumi umat Islam dan boleh diperangi bila-bila masa sahaja. Ingatlah kita bahawa umat Islam bukan tidak pernah berdamai dengan yahudi malah perjanjian damai yang terbaru dilanggar oleh yahudi terlebih dahulu sebelum gerakan Islam bertindak menarik balik gencatan senjata dan menyerang balas yang menyebabkan bumi Isra’ hari ini begitu kacau bilau. Yahudi bagaikan benci pada perdamaian sebaliknya hanya menunggu saat yang dijanjikan oleh Allah iaitu yahudi bakal dikumpulkan di suatu tempat untuk dihancurkan oleh umat Islam yang benar-benar memperjuangkan kesucian agama Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Selepas selesai dalam misi peperangan di Tabuk maka Rasulullah s.a.w telah dijemput oleh golongan munafik untuk merasmikan sebuah masjid yang di bina oleh mereka yang digelar oleh Allah sebagai masjid Dhirar. Masjid ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat 107 surah at-Taubah yang telah dibaca pada awal khutbah tadi mempunyai 4 ciri buruk yang membezakannya daripada masjid yang dibina atas asas taqwa seperti Masjid Quba’. Ciri pertama yang ada pada masjid Dhirar ialah mendatangkan kemudharatan terhadap ummah, kedua untuk mengkufurkan kaum muslimin, ketiga untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam dan keempat ia menjadi pusat intipan untuk memerangi Allah dan rasulNya.
Cuba kita bayangkan bagaimana jahatnya golongan munafik di mana sanggup mempergunakan masjid untuk kepentingan mereka bukannya untuk memperkasakan lagi kekuatan umat Islam dalam mengembangkan dakwahnya yang suci melalui masjid sebagaimana sepatutnya. Jika masjid yang dibina bukan atas taqwa serta mendatangkan keburukan kepada umat Islam telah diarahkan agar diruntuhkan oleh Allah lalu dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w apatah lagi tempat yang lain yang dibina untuk menghancurkan kekuatan umat Islam serta menjadi tempat untuk melakukan maksiat kepada Allah seperti kelab malam, pusat judi, kedai arak maka ia lebih utama untuk diruntuhkan. Cuma cara meruntuhkan tempat sarang maksiat ini mengikut kebijaksanaan pemerintah samada meruntuhkan bangunan atau melalui tindakan undang-undang dan perlesenan yang ketat. Tempat maksiat yang melawan arahan dan larangan Allah ini tidak boleh dibiarkan merebak kerana ia akan merosakkan masyarakat seterusnya menggugat kestabilan negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Amat malang apabila masjid hari ini begitu dikawal ketat lebih daripada pusat maksiat sehingga ia banyak memberi kesan kepada pembinaan insan itu sendiri. Ada juga masjid yang hanya terkenal sebagai tempat pelancongan untuk dilihat kecantikan seni binanya sedangkan pengisian untuk menghidupkannya begitu terhad. Malah ada yang bertindak lebih rakus dengan meletakkan kamera dan alat perakam untuk mengintip majlis yang ada dalam masjid sehingga ia dianggap bagaikan sarang yang melahirkan pengganas sedangkan pusat maksiat yang lain dibiarkan bebas dan tidak dikawal begitu ketat. Kita ingat kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud : Akan datang suatu zaman di mana tidak tersisa daripada Islam kecuali tinggal namanya sahaja. Tidak tersisa daripada al-Quran kecuali tulisannya. Masjid-masjid mereka megah dan cantik tetapi jauh daripada petunjuk Allah…..
Oleh itu kita janganlah menjadikan masjid berperanan sebagaimana masjid Dhirar malah kita hendaklah menghidupkannya dengan majlis ilmu dan program yang dapat menyemarakkan lagi kehebatan Islam dan umatnya. Jangan liar dan jauh daripada masjid sehingga kita dijauhkan daripada mendapat rahmat daripada Allah. Jadikan masjid sebagai pusat yang membangkitkan lagi semangat persaudaraan dan semangat jihad dalam mengembalikan semula kegemilangan Islam.
Firman Allah dalam ayat 109 dan 110 surah al-Taubah:
أفمن أسس بنيــنه على تقوى من الله ورضون خير أم من أسس بنيــنه على شفا جرف هار فانهار به فى نار جهنم والله لايهدى القوم الظــلمين . لايزال بنيــنهم الذي بنوا ريبة فى قلوبهم إلا أن تقطع قلوبهم والله عليم حكيم
Maksudnya : Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersamanya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka kecuali bila hati mereka telah hancur. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: