أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 1 Disember 2010

75. CABARAN SEBELUM HIJRATURRASUL S.A.W

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 100 surah an-Nisa’ :
ومن يهاجر فى سبيل الله يجد فى الأرض مرغما كثيرا وسعة ومن يخرج من بيته مهاجرا إلى الله ورسوله ثم يدركه الموت فقد وقع أجره على الله وكان الله غفورا رحيما
Maksudnya : Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah S.W.T nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah S.W.T dan rasulNya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang dituju maka telah tetap pahala di sisi Allah S.W.T. Dan adalah Allah S.W.T Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
Peristiwa penghijrahan nabi Muhammad s.a.w dari tanahairnya Mekah ke tempat baru iaitu Yathrib yang kemudiannya ditukar nama kepada Madinah al-Munawwarah yang bererti Kota yang bercahaya merupakan suatu pengorbanan besar dalam membebaskan diri daripada kongkongan kekufuran kepada keimanan, jahiliah kepada Islam, dosa kepada pahala, kesesatan kepada kebenaran, kezaliman kepada keadilan, lemah tanpa kuasa kepada gagah bersama tertegaknya negara. Hijrahnya nabi Muhammad s.a.w telah banyak meninggalkan pengajaran dan tauladan yang sepatutnya dihayati dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh umat Islam dalam mengembalikan semula kemenangan dan kegemilangan Islam. Sebagai pejuang yang mengaku bahawa kita ini berjuang untuk meletakkan kalimah Allah S.W.T di tempat paling tinggi maka sudah semestinya mengambil iktibar sebanyak mungkin daripada peristiwa hijrah agar semangat kita terus berkobar dan gerak kerja kita sentiasa berterusan tanpa rasa takut dan gentar terhadap sebarang ujian dan cabaran yang mendatang. Kita dapat lihat bagaimana kuffar Quraisy telah memandang Islam sebagai sebuah agama yang bukan sahaja menggugat agama sesat mereka yang menyembah berhala malah turut mengancam kedudukan para pembesar Mekah pada masa itu. Setelah melihat bagaimana ancaman Islam terhadap kesesatan dan kezaliman mereka lalu para pemimpin Quraisy berusaha bersungguh-sungguh dalam menyekat penyebaran Islam. Melihat kepada bertambahnya pengikut nabi Muhammad s.a.w lalu beberapa siri perbincangan dengan baginda telah dilakukan. Apa yang dilakukan oleh musuh Islam yang begitu benci terhadap Islam adalah hampir sama pada setiap zaman di mana setelah kegagalan dalam membuktikan kesesatan ajaran Islam lalu pemimpin Quraisy menawarkan kesenangan dunia berbentuk takhta, harta dan wanita serta rawatan percuma kepada Rasulullah s.a.w dengan syarat meninggalkan dakwah Islam.
Tawaran menarik ini sentiasa diuji ke atas setiap pejuang Islam sehingga ramai yang tergoda dengan panggilan dunia yang menyebabkan mereka lupa kepada perjuangan Islam yang diperjuangkan selama ini. Janji-janji manis terus ditabur agar perjuangan Islam dapat dilemahkan dan penentangan terhadap kesesatan system dan kezaliman dapat dilunturkan. Begitulah juga yang berlaku pada hari ini akibat terpesona dengan janji bahawa pelajar dari peringkat rendah lagi akan diwajibkan khatam al-Quran dan menguasai bahasa arab telah menyebabkan kita lupa kepada perbuatan jahat golongan yang sama dalam menghancurkan sekolah agama rakyat yang sedang berjalan sehingga hari ini. Oleh itu kita jangan terpedaya dengan janji manis yang baru dilaksanakan kerana dalam masa yang sama pengkhianatan terhadap pusat pengajian agama terus berjalan. Bagaimana orang sama boleh meninggikan Islam sedangkan dalam masa yang sama dia meruntuhkan Islam. Kita begitu kecewa dengan perbuatan memerangi pusat pengajian agama di negara ini yang menyebabkan umat Islam di beberapa negara jiran terutama di Selatan Thailand turut menjadi mangsa kepada kezaliman pemimpin mereka yang meniru cara negara ini sehingga ramai ulama’ yang dibunuh serta pengajian agama diganggu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Tawaran kesenangan dunia banyak menghanyutkan umat Islam sehingga mereka dihinakan oleh Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Penolakan nabi Muhammad s.a.w terhadap semua tawaran dan janji manis daripada pemimpin Quraisy yang sememangnya ingin menghancurkan Islam telah memberi peringatan besar kepada kita agar tidak terpesona dengan habuan dunia sehingga mengenepikan agama. Nabi Muhammad s.a.w menolak tawaran dan janji manis Quraisy dan telah berhijrah sehingga tertegaknya Daulah Islamiah di Madinah yang memastikan segala system Islam dapat dilaksanakan. Kita jangan terpengaruh dengan janji manis sehingga sanggup menukarkan pemimpin yang bersungguh mengharamkan judi dan menghadkan penjualan arak di kalangan bukan Islam di negeri ini kepada pemimpin yang akan menghalalkan kembali judi dan arak. Kita jangan terpedaya dengan janji palsu orang yang menyatakan bersungguh melaksanakan Islam sedangkan dirinya terlibat dengan budaya rasuah, riba serta menentang pelaksanaan hukum hudud dan qisas dalam menyelesaikan masalah jenayah terutama zina, rogol yang mencatatkan 26 kes sehari. Kita jangan serahkan kepimpinan negeri ini kepada mereka yang bakal menempah bala Allah S.W.T dengan menghidupkan kembali hiburan yang merosakkan akhlak yang selama ini telah diharamkan di negeri ini.
Firman Allah S.W.T dalam ayat 204-205 surah al-Baqarah :
ومن الناس من يعجبك قوله فى الحيــوة الدنيا ويشهد الله على ما فى قلبه وهو ألد الخصام. وإذا تولى سعى فى الأرض ليفسد فيها ويهلك الحرث والنسل والله لايحب الفساد
Maksudnya : Dan di antara manusia ada orang di mana ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu. Dan dipersaksikan kepada Allah S.W.T isi hatinya sedangkan dia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila dia berpaling dari kamu, dia berjalan di atas muka bumi ini untuk melakukan kerosakan padanya dan merosak tanaman dan binatang ternakan dan Allah S.W.T tidak menyukai kebinasaan

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Penolakan nabi Muhammad s.a.w terhadap tawaran dunia tidak menghentikan usaha pemimpin Quraisy dalam menghancurkan Islam di mana kegagalan cara lembut diikuti dengan cara keras. Akhirnya setelah mengetahui semakin ramai umat Islam yang berhijrah ke Madinah lalu kuffar Quraisy mengadakan suatu mesyuarat di Darul Nadwah bagi mengambil tindakan terhadap nabi Muhammad s.a.w. Iblis yang merupakan diri sebagai orang tua dari Najd turut hadir dalam perjumpaan penting ini. Melalui mesyuarat di Darul Nadwah ini maka terbitlah beberapa cadangan iaitu cadangan pertama meminta supaya nabi dibuang negeri agar segala ancamannya selama ini dapat dihentikan tetapi ia ditolak oleh Iblis yang merupakan dirinya sebagai orang tua dengan alasan jika dibuang negeri maka nabi Muhammd s.a.w akan dapat menambah jumlah pengikut dan akhirnya boleh menggugat kedudukan pemimpin Quraisy Mekah. Cadangan kedua pula mengesyorkan agar nabi di penjarakan dalam penjara besi agar baginda tidak mampu lagi menjalankan usaha dakwah di mana cadangan ini turut ditolak oleh Iblis dengan alasan penjara tidak mampu menyekat dakwah nabi kerana umat Islam pasti akan datang membebaskan nabi yang menyebabkan usaha dakwah akan dapat diteruskan. Akhirnya Iblis turut bersetuju dengan cadangan ketiga daripada Abu Jahal yang mencadangkan agar setiap kabilah menghantar pemuda bagi membunuh nabi di mana keluarga Abdul Manaf tidak mampu berhadapan dengan kabilah yang banyak dan tidak boleh mendakwa mana-mana kabilah yang membunuh nabi s.a.w selepas ini.
Melihat kepada ketiga-tiga cadangan kuffar Quraisy dalam menyekat perkembangan Islam iaitu buang negeri, penjara tanpa bicara dan bunuh terhadap nabi maka inilah juga ujian yang terpaksa dihadapi oleh pejuang Islam dalam menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Golongan yang memusuhi Islam akan menggunakan samada cara lembut untuk melunturkan semangat juang dan jika gagal dengan cara itu maka cara yang lebih keras akan dilakukan termasuk buang kerja, tukar tempat kerja, sekat bantuan, tahan di bawah ISA, bunuh dan sebagainya. Oleh itu istiqamahlah dalam berjuang agar kita mencapai keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Bersusah dahulu di dunia agar kita dapat bersenang di akhirat nanti hasil memperjuangkan Islam dengan penuh ikhlas dan istiqamah. Tiada istilah rugi dan lelah dalam memperjuangkan Islam kerana ganjaran pahala yang besar menanti kita selain kemenangan bersama keredhaan Allah S.W.T sedangkan betapa rugi memperjuangkan sekuler dan semangat kebangsaan sempit dengan mengagungkan pembangunan kebendaan semata-mata tanpa mementingkan pembangunan kemanusiaan kerana ia akan merosakkan aqidah dan agama kita serta bakal ditimpa kerugian di akhirat nanti.
Firman Allah dalam ayat 40 surah at-Taubah :
إلا تنصروه فقد نصره الله إذ أخرجه الذين كفروا ثانى اثنين إذ هما فى الغار إذ يقول لصــحبه لاتحزن إن الله معنا فأنزل الله سكينته عليه وأيده بجنود لم تروها وجعل كلمة الذين كفروا السفلى وكلمة الله هى العليا والله عزيز حكيم
Maksudnya : Jika kamu tidak menolong nabi Muhammad s.a.w maka sesungguhnya Allah S.W.T telah menolongnya ketika orang-orang kafir mengeluarkannya dari Mekah. Sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua di waktu dia berkata kepada sahabatnya : “ Janganlah engkau berdukacita sesungguhnya Allah S.W.T bersama dengan kita”. Maka Allah S.W.T menurunkan ketenangan kepada nabi Muhammad s.a.w dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan Allah S.W.T menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah dan kalimah Allah S.W.T itulah yang tertinggi. Allah S.W.T Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: