أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Selasa, 24 Februari 2009

16. JAUHI ISLAM LIBERAL

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 51 سورة النور :
إنما كان قول المؤمنين إذا دعوا إلى الله ورسوله ليحكم بينهم أن يقولوا سمعنا وأطعنا وأولئك هم المفلحون
Maksudnya : Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah agar mereka berhukum dengannya di kalangan mereka lalu mereka berkata : “ Kami dengar dan kami patuh”. Dan mereka itulah golongan yang beroleh kejayaan.
Setiap kali kedatangan bulan Rabiul Awwal maka ucapan memuji serta menyebut sifat dan perjuangan junjungan besar nabi Muhammad s.a.w begitu banyak berkumandang berbanding bulan lain. Segala sebutan terhadap perjalanan hidup nabi ini akan lebih bermakna malah mampu mengubahkan keadaan umat Islam jika ia disusuli dengan tindakan dalam mencontohi segala apa yang telah ditunjuk dan diperjuangkan oleh nabi Muhammad s.a.w. Sebaliknya jika segala kebaikan dan tauladan yang ditunjukkan oleh nabi hanya setakat disebut tidak diikut, setakat dikata tidak dikota, setakat dilaung tidak dijunjung, setakat dicerita tidak dilaksana maka ianya hanya menjadi suatu budaya yang tidak banyak memberi manfaat kepada kita.
Apabila kita menyingkap tentang peristiwa yang pernah berlaku pada bulan Rabiul Awwal terutama berkaitan batang tubuh nabi itu sendiri maka di sana ada berita gembira disamping berita duka. Rabiul Awwal telah mencatatkan berita gembira dengan kelahiran nabi mulia ketika dunia kelam dengan kesesatan jahiliah akibat daripada hilangnya petunjuk dengan ketiadaan nabi dan wahyu dari langit. Kelahiran nabi ini telah mengubah keadaan daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam, daripada kekufuran aqidah kepada keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah, daripada kejahatan manusia yang bertuhankan nafsu kepada keadilan yang bersuluhkan wahyu. Tidak lupa kita bagaimana Rabiul Awwal turut mencatatkan berita duka buat umat Islam dengan kewafatan rasul mulia setelah selesai segala tugasnya di dunia dengan sempurnanya ajaran Islam yang dibawa. Namun begitu kewafatan Rasulullah s.a.w tidak bermakna Islam turut terhenti ajaran dan pelaksanaannya sebaliknya Islam terus dijulang dan dipertahankan sesuai dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri sebagai rasul untuk seluruh umat akhir zaman tanpa mengira bangsa dan budaya, adat dan tempat, pangkat dan darjat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
فرمان الله تعالى دالم أية 31 سورة محمد:
ولنبلونكم حتى نعلم المجــهدين منكم والصــبرين ونبلوا أخباركم
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan sabar di antara kamu dan agar Kami menyatakan baik buruknya keadaanmu.
Ketika mengimbas tentang sikap dan perjuangan Rasulullah s.a.w dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini maka terdetik dihati kita bagaimana perjuangan yang telah ditunjukkan oleh baginda bukanlah sesuatu yang mudah disamping kemenangan yang diraih bukan melalui jalan senang. Walau pun Islam merupakan agama Allah yang benar tetapi perjuangan dalam menegakkannya bukan dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada pengorbanan termasuk menumpahkan darah. Kita dapat saksikan bagaimana semasa menjalankan dakwah secara senyap maka tentangan daripada kuffar Quraisy terhadap Islam yang dibawa oleh nabi boleh dikatakan tiada terutama kuffar merasakan bahawa agama yang dibawa oleh nabi tidak membahayakan fahaman dan amalan sesat mereka sebagai penyembah berhala. Malah kuffar ketika itu lebih memusuhi agama al-Hanif yang masih dipegang oleh sesetengah golongan yang terang-terangan melawan penyembahan berhala. Sebaliknya setelah Islam mula disampaikan secara terang-terangan serta melawan amalan syirik kuffar maka tentangan terhadap nabi dan muslimin mula jelas dan kuat.
Melalui perkara ini dapatlah kita simpulkan bagaimana musuh tidak akan gerun dan melawan Islam jika umat Islam hanya patuh kepada Allah dengan mengikut Islam hanya untuk kegunaan peribadi semasa ibadat khusus sahaja. Malah kita telah membaca sejarah di mana penjajah British pernah memberitahu bahawa mereka tidak menghalang azan dilaungkan dan sembahyang didirikan dalam negara umat Islam yang dijajah jika ia hanya setakat untuk ibadat peribadi selagi ia tidak membangkitkan semangat dalam diri umat Islam untuk membebaskan negara atas dasar Islam. Oleh itu yakinlah kita bahawa perjuangan dalam menegakkan Islam bukannya dijanjikan dengan kesenangan dan kemewahan sebaliknya ia memerlukan kepada kesusahan dan pengorbanan sebelum datangnya kemenangan bersama dengan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Islam yang dibawa dan disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w merupakan suatu agama yang sempurna yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Oleh itu setiap system kehidupan yang mahu dilaksanakan mestilah dirujuk kepada Islam terlebih dahulu sebelum dilaksanakan agar ia dapat bergerak di bawah suluhan wahyu bukannya dikongkong oleh hasutan nafsu. Sebagai hamba Allah maka kita wajib tunduk dan patuh kepada seluruh system Islam serta bergantung ikatan hati kita dengan Allah sepanjang masa dan tempat. Kita jangan jadikan Islam sebagai suatu agama yang diguna pakai ketika beribadat khusus dan nikah kahwin sahaja serta hanya ingat Allah apabila berada di masjid sahaja sedangkan apabila berada di pejabat, kilang, pasar dan selainnya maka ikatan diri kita dengan agama diketepikan. Kita juga wajib menerima bahawa Islam merupakan agama Allah yang memerintah bukannya agama yang boleh diperintah sesuka hati kita dan Islam juga adalah agama yang mengawal gerak laku dan tindakan kita sepanjang masa dan ia bukannya agama yang boleh dikawal mengikut kehendak hawa nafsu kita.
Betapa malangnya apabila umat Islam yang terikut dengan cara hidup kuffar secara terang-terangan mahu menjadikan Islam sebagai agama yang mesti mengikut kehendak nafsu mereka sehingga lunturnya ketaatan kepada Allah. Akhirnya timbul golongan yang dipanggil Islam Liberal yang tidak merasakan bahawa agama merupakan suatu yang penting dan berharga sehingga mereka boleh menerima amalan murtad. Golongan ini juga tidak merasakan bagaimana manisnya amalan soleh yang dijanjikan pahala serta bahayanya maksiat yang dijanjikan dosa. Golongan ini menjadikan dunia sebagai matlamat hidup walau pun mulut mereka begitu petah bercakap tentang akhirat. Apa yang ada dalam pemikiran mereka hanya keseronokan walau pun terpaksa bergelumang dengan dosa, kemewahan dengan mengenepikan halal dan haram serta saling berebut harta kekayaan dunia walau pun terpaksa mengkhianati amanah dan orang lain. Golongan ini sentiasa merasakan bahawa segala tindakan mereka yang berwahyukan akal dan bertuhankan nafsu adalah tepat sedangkan sebarang teguran dan larangan berasaskan Islam yang sebenar dianggap sebagai penyekat kebebasan dan kemajuan. Akhlak dianggap masalah peribadi bukannya masalah yang boleh dikawal dengan perundangan. Islam adalah masalah hati bukannya agama yang terlibat dalam mengawal seluruh sistem kehidupan manusia. Apabila penyakit terlalu cintakan dunia dan bencikan kematian merasuk dalam diri maka tunjuk ajar berkenaan akhirat tidak dihirau lagi. Akhirnya wujud orang yang mengaku Islam tetapi perbuatannya tidak melambangkan Islam.
Benarlah sabda nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Abu Hurairah :
قال الرسول  : سَيُصِيْبُ أُمَّتِيْ دَاءُ الأمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ الأمَمِ قَالَ : الأشَرُ وَالبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِى الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ البَغْىُ
Maksudnya: Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat dahulu. Sahabat bertanya : “ Wahai Rasulullah! Apakah penyakit umat dahulu itu?”. Lalu nabi menjawab : [1] Terlalu banyak berseronok [2] terlalu mewah [3] menghimpunkan harta sebanyak mungkin [4] tipu menipu dalam merebut harta benda dunia [5] saling memarahi [6] saling dengki sehingga timbulnya zalim-menzalimi
Firman Allah dalam ayat 17 surah Luqman :
يبني أقم الصلـوة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ما أصابك إن ذلك من عزم الأمور
Maksudnya : Wahai anakku! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan dan tegahlah daripada kemungkaran serta sabarlah di atas cubaan yang menimpa engkau. Sesungguhnya demikian itu merupakan perkara yang dikehendaki ambil berat mengenainya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: