أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 19 Disember 2025
Khutbah Jumaat : Jauhi Maksiat, Umat Berkat, Palestin Berdaulat
Khutbah Jumaat : Jauhi Maksiat, Umat Berkat, Palestin Berdaulat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Mulk :
تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١﴾ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ ﴿٢﴾
Maksudnya : Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kami: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
Kehidupan dunia ini adalah medan ujian untuk menguji kualiti iman dan amal kita, di mana Allah Maha Mengetahui siapa yang paling baik, dan Dia juga Maha Pengampun bagi mereka yang benar-benar bertaubat. Ketika kita merenungi musibah banjir besar yang melanda beberapa negara sekitar kita terutama Thailand dan Indonesia serta tidak ketinggalan banjir yang melanda di negara kita sendiri maka kita wajib kembali kepada tuntutan agama.
Ujian pertama Manusia diuji dengan kenikmatan dan kesenangan seperti harta kekayaan, anak-pinak, pangkat dan perhiasan dunia bertujuan menguji bagaimana hambaNya menggunakan kekayaan tersebut samada di jalan yang redhai Allah atau sebaliknya
Manakala ujian kedua Manusia diuji dengan kesusahan dan kepayahan sama ada berlaku kepada diri individu ataupun berlaku secara umum atas dunia ini seperti kematian, kecacatan, penyakit, kegagalan, kekecewaan. Ujian juga berupa bencana alam seperti banjir, tsunami, gempa bumi, kemarau, letupan gunung berapi, ribut taufan dan tanah runtuh
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura:
وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ ﴿٣٠﴾
Maksudnya : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
Sebagai umat yang beriman kepada Qadha dan Qadar Allah maka sepastinya segala ujian ini semakin mendekatkan kita kepada Allah. Ulama’ menukilkan bagaimana hikmat di sebalik ujian Allah antaranya :
[1] Supaya insaf dan kembali kepada Allah. Sesungguhnya Allah menguji supaya manusia mahu berdoa kepadaNya, sentiasa mengingatiNya dan memohon dengan
merendahkan diri kepadaNya.
[2] Agar orang yang diuji beristighfar. Ini adalah manfaat yang sangat penting. Seseorang yang ditimpa musibah, harus mengakui dosa-dosa sebelum meminta keampunan Allah. Memang dosa-dosa manusia sangat banyak namun keampunan yang Allah beri lebih banyak lagi.
[3] Merendahkan diri dan tunduk kepada Allah. Orang yang diuji lebih banyak merendahkan diri dan tunduk kepada Allah. Ini merupakan manfaat besar yang tidak
dapat dirasakan kecuali oleh orang-orang diuji atau yang sedang mendapat musibah.
Orang yang ditimpa musibah akan mendapati dirinya sentiasa menggantungkan
harapannya kepada Allah SWT dalam segala urusan
[4] Meninggikan darjat orang yang diuji. Orang yang bersabar akan mendapat darjat yang mulia dan pahala tanpa batas. Firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 10:
قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ ﴿١٠﴾
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
قال النبي : عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ – رواه مسلم
Maksudnya : Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.
Hikmat ujian Allah yang ke - [5] Untuk mengetahui siapa yang mencintai diri. Ketika terjadi musibah, seseorang akan mendapati di sekelilingnya adalah orang yang benar-benar mencintai dirinya yang akan memberikan perhatian terhadap kesusahan yang dialami.
[6] Agar dapat merasakan nikmat Allah di mana seseorang tidak akan dapat merasakan nikmatnya kesenangan kecuali jika dia pernah mengalami pahitnya kesusahan. Nikmat Allah yang paling besar bagi seorang hamba di dunia adalah bersenang-senang dengan nikmat. Jadi, gunakanlah nikmat-nikmat Allah yang diberikan pada perkara kebaikan dan jangan gunakan untuk maksiat kepadaNya.
[7] Mendapatkan taqarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah dan juga istiqomah iaitu tetap pendirian sampai mati. Ketika menghadapi ujian, diharap orang yang diuji
kembali kepada Allah. Seseorang itu perlu minta kepada Allah akan keteguhan atas
Islam yang telah dihidayahkan oleh Allah.
[8] Agar kembali merujuk al-Quran di mana etika seorang tertimpa musibah, maka dia akan bernaung kepada al-Quran dan membacanya dengan penuh kecintaan. Setiap kali kita mentadabbur ayat Al-Quran pasti kita akan mempelajari hikmah, nasihat dan pengajaran yang begitu banyak . Segala peringatan yang Allah SWT sebut di dalam Al-Quran sewajarnya menjadi pegangan dan ingatan buat diri kita setiap hari.
Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d Ayat: 28
الَّذِيْنَ ءَامَنُوا وَتَطْمَىِٕنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللّٰهِ ۗ اَلَا بِذِكْرِ
اللّٰهِ تَطْمَىِٕنُّ الْقُلُوْبُ
Maksudnya : “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “dzikru’llah”. Ketahuilah! Dengan “dzikru’llah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
قال النبي : مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ - رواه البخاري مسلم
Maksudnya : “Tidaklah suatu kelelahan, sakit, kesedihan, kegundahan, bahkan tusukan duri sekali pun, kecuali akan menjadi penghapus dosa baginya.”
Hikmat ujian Allah yang ke - [9] Menghapuskan kesalahan dan dosa. Kesalahan-kesalahan seseorang akan berguguran disebabkan ujian yang dialami sebagaimana dedaunan yang berguguran.
[10] Untuk mendapatkan akidah yang sempurna. Ketika seorang hamba menderita sakit parah, dia akan segera menghadapkan hatinya kepada Allah dengan hati yang
khusyuk dan berharap agar Allah menyembuhkannya. Saat itulah tauhid yang murni
telah terwujud kerana orang yang sakit mengesakan Allah dengan doa. Sebab tidak
ada yang dapat mengelakkan musibah kecuali Allah SWT.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
لَا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرًى مُّحَصَّنَةٍ أَوْ مِن وَرَاءِ جُدُرٍ ۚ بَأْسُهُم بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ ۚ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْقِلُونَ ﴿١٤﴾
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan.
Sesuai dengan kita bakal memasuki bulan Rejab maka marilah kita sama-sama mengambil perhatian yang lebih serius terhadap penderitaan saudara agama kita di bumi Palestin bumi Israk Mikraj. Keganasan zionis Yahudi terutama dalam kancah terbaru mula Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 70 ribu nyawad ari kalangan kanaka-kanak dan orang awam. Umat Palesytin bukan Sahaja sedangn dihujani bom dan pelu musuh, malah msebahagian sedang berdepan dengan banjir dan kelaparan. Teruskan berdoa kepada Allah untuk kemenangan, keselamatan kepada rakyat dan bumi Aqsa. Boikot barangan yang membantu musuh serta berikan takanan kepada pemimpin negara umat Islam agar lebih serius dan bersungguh dalam memerdekakan bumi Palestin. Kita juga hendaklah mengkaji sejarah Palestin. Sejarah adalah cermin umat. Tidak mungkin kita dapat membantu Palestin dengan baik tanpa menguasai sejarahnya. Dari sejarah Palestin, umat Islam akan dapat belajar apa jua faktor kebangkitan dan kejatuhannya.
Jangan sampai apa yang dilakukan Kerajaan Sepanyol terhadap umat Islam di Andalusia kembali terjadi. Suatu gerakan genosid yang membuat penduduk Islam musnah. Kalau umat tidak waspada, rejim Zionis akan menerapkan sistem yang sama.
Pengakhiran yang sangat memilukan dirasai oleh umat Islam di Sepanyol ketika itu pada saat Abu Abdullah Muhammad al-Shaghir iaitu Raja Islam terakhir di Andalusia telah menandatangani perjanjian penyerahan kekuasaan. Peristiwa ini terjadi selepas gugurnya gerakan perjuangan umat Islam yang terjadi di seperempat wilayah Granada yang merupakan benteng terakhir umat Islam di Andalusia. Baginda keluar dari Kota Granada, dia berdiri di atas bukit berdekatan istana Hamra iaitu istana pemerintahan Kerajaan di Granada sambil menangis sedih. Melihat keadaan demikian, Ibunya Aisyah al-Hurrah berkata, “Menangislah… menangislah… menangislah… engkau menangis seperti perempuan yang kehilangan, padahal engkau tidak mampu mempertahankan kerajaan selayaknya seorang pahlawan perkasa.” Bukit itu pun diberi nama oleh penduduk Sepanyol, Bukit Tangisan Orang Arab Terakhir. Sungguh memilukan!
Bersamaan dengan itu umat Islam keluar dari tempat itu buat selama-lamanya, setelah memimpin Andalusia selama sekitar 800 tahun. Negeri yang pernah dipimpin oleh umat Islam selama lapan abad itu kini didiami hanya sekitar seratus ribu orang Islam. Ini adalah pelajaran yang harus diambil dan difahami oleh umat Islam.
Oleh itu bersungguhlah kita dalam memerdekakan bumi Palestin tanah wakaf milik seluruh umat Islam. Ia merupakan kewajipan kita bersama bukan hanya idserah kepada umat Palestin. Pastikan setiap usaha kita Bersama umat Palestin akan melepaskan kita daripada dipersoalkan pada hari akhirat nanti.
Firman Allah Ta’ala dalam ayat 160, Surah Aali-Imran:
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلاَ غَالِبَ لَكُمْ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya : “Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Ulasan (Atom)