أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 3 Oktober 2025
Khutbah Jumaat : Soladariti Gaza dan Sumud Flotilla
Khutbah Jumaat : Soladariti Gaza dan Sumud Flotilla
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 67-68 surah Ali ‘Imran :
مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿٦٧﴾ إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا ۗ وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٦٨﴾ مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا
Maksudnya : Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.
Palestin dan Masjid Aqsa mempunyai kedudukan yang istimewa di hati umat Islam. Terdapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan bumi Palestin yang telah dinyatakan oleh al-Quran dan dikhabarkan oleh Baginda S.A.W. Palestin menjadi tempat tinggal para Nabi dan Rasul antaranya Nabi Ibrahim, Nabi Luth, Nabi Ya’qub, Nabi Musa, Nabi Isa serta ramai lagi dan akhirnya Allah S.W.T menjadikannya sebagai milik umat Islam setelah bangsa Yahudi menempuh jalan kesesatan. Allah S.W.T memberkati bumi Palestin dan telah turut menyucikannya
Sejarah lampau pengikut Nabi Musa diperintahkan untuk membebaskan Palestin namun mereka menolak masuk ke Palestin kerana ketakutan terhadap kekuatan bangsa Kanaan. Mereka mencipta alasan tidak merebut kembali tanah Palestin dengan keyakinan bangsa Kanaan keturunan Ham antara salsilah Nabi Nuh terlalu kuat untuk dikalahkan. Pengikutnya mengejek dan menolak ikut serta Nabi Musa atas risalah beriman kepada Allah. Kisah ini terdapat dalam Quran surah al-Maidah ayat 21 hingga 26 secara jelas mereka golongan fasik yang mengembara kebingungan di bumi.
Pemukiman orang Yahudi di Palestin dianggap peristiwa yang menanti saatnya, iaitu keutamaan akan diberi kemenangan oleh Allah. Sarjana Islam Syeikh Athiyah Saqr mantan ketua Lujnah Fatwa Al Azhar menjelaskan bahawa sebelum kelahiran Nabi Isa terdapat sebuah suku keturunan Nabi Ibrahim yang tinggal di tepi sungai Furat. Kawasannya subur untuk bercucuk tanam dan mengembala ternakan sebagai sumber kehidupan kemudian berpindah ke arah Barat melintasi daerah Mesir Hulu. Mereka dikenal sebagai orang Ibrani dan kini dikenal sebagai orang Yahudi.
Mereka berpindah-randah dalam perjalanan tanpa tujuan hingga akhirnya tiba di Mesir dan hidup dengan damai selama 5 abad. Selama itu Bani Israel mengalami perlakuan tidak adil dan penindasan oleh penguasa Mesir, iaitu Firaun. Nabi Musa diutuskan untuk menyelamatkan mereka dan di bawah pimpinan Nabi Musa, mereka diberi petunjuk dan dibimbing tauhid beriman kepada Allah. Mereka bertebaran melewati Sinai menuju suatu destinasi sebagai tempat tinggal baharu.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
. Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Maidah :
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَٰقَهُمْ لَعَنَّٰهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَٰسِيَةً ۖ
Maksudnya : "Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran)."
Sifat khianat Yahudi bukanlah pertama kali berlaku. Allah telah merekodkan sifat keji mereka ini di dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran. Sifat keji ini menjadikan hati mereka keras
Lebih dahsyat dari itu, al-Quran mendedahkan bagaimana mereka turut pernah membunuh Nabi yang diutuskan kepada mereka. Oleh itu jangan kita hairan mereka dengan kejam Yahudi yang membunuh kanak-kanak kerana mereka pernah buat lebih dahsyat dari itu. Firman Allah dalam ayat 91 surah al-Baqarah:
قُلْ فَلِمَ تَقْتُلُونَ أَنۢبِيَآءَ ٱللَّهِ مِن قَبْلُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka): Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar orang-orang yang beriman?"
Bahkan Allah turut membongkarkan kepada kita isi hati mereka yang sangat membenci orang-orang yang beriman. Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Maidah:
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ
Maksudnya : "Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik."
Oleh itu ramai menyifatkan cadangan gencatan senjata yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung perang Gaza sebagai strategi untuk menyelamatkan Israel. Trump dengan bangga mengumumkan gencatan senjata itu akan dicapai dalam masa terdekat antara (HAMAS) dan negara haram Israel dengan mengemukakan 20 cadangan di mana dari jumlah itu, tidak ada walaupun satu kecaman ke atas Israel yang melakukan pelbagai jenayah ke atas rakyat Palestin. Dalam masa yang sama, tidak ada satu jaminan penamatan pencerobohan ke atas bumi Palestin khususnya Tebing Barat
Trump mahu menamatkan perang Gaza kerana beberapa objektif termasuk penumpuan kepada politik dalaman Amerika Syarikat, menyelamatkan Israel dan merapatkan kembali hubungan dengan sekutu negara-negara Arab. Persoalannya, kenapa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan mudah menerimanya? Seolah-olah ada sesuatu yang sedang dirancang di belakang tabir. Gencatan senjata di atas lebih kepada strategi melambatkan pergerakan untuk mencapai objektif yang lebih utama iaitu menyelamatkan Israel, meluaskan kuasanya serta menghapuskan musuh yang lebih utama.
Walaupun gencatan senjata yang bakal berlaku dijangka akan meredakan buat sementara waktu keperitan rakyat Gaza, namun harapannya tidaklah meyakinkan kerana beberapa kali ianya telah dilanggar oleh Zionis Israel. Perang Taufan al-Aqsa yang akan memasuki tahun ketiga benar-benar menjadi igauan ke atas Israel. Mitos tentera yang tidak dapat dikalahkan hanya omong kosong. Topeng kejahatan sebenar Zionis Israel tersingkap di mata masyarakat antarabangsa yang tidak dapat disembunyikan lagi. Kebenaran pasti menang dan kebatilan pasti tumbang
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Gaza kini telah hancur dimusnahkan oleh rejim zionis Israel. Lebih 65,000 jiwa syahid, dan yang paling menyayat hati, 70% daripadanya ialah anak-anak kecil dan wanita yang tidak berdosa. Rejim Zionis terus menyekat segala bentuk bantuan, menyebabkan rakyat Gaza menanggung kelaparan yang dahsyat. Hospital yang sepatutnya menjadi tempat rawatan, masjid yang menjadi rumah ibadah, sekolah yang melahirkan harapan masa depan, serta prasarana awam yang diperlukan rakyat semuanya kini dimusnahkan dengan rakus. Namun, di tengah kegelapan ini, Misi Sumud Flotilla yang disertai lebih 44 negara digerakkan, demi menyelamatkan dan membela Gaza yang ditindas. Inilah lambang keberanian dan kesatuan hati manusia menentang kezaliman. Penderitaan rakyat Gaza membuka mata penduduk dunia untuk bangkit menentang kekejaman rejim Zionis Israel laknatullah. Kita di Malaysia juga mesti menyahut seruan ini, dengan doa yang tidak putus agar misi mereka diberi kejayaan. Sesungguhnya, inilah tanda kecil sumbangan kita kepada Gaza dan Palestin, bumi perjuangan yang tidak pernah padam dari doa umat Islam seluruh dunia
Ketahuilah bahawa Palestin bukan sekadar isu politik atau kemanusiaan, bahkan ia isu akidah dan amanah keimanan kita. Justeru, setiap usaha untuk membela Palestin adalah sebahagian daripada ibadah dan tuntutan iman.
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى – رواه مسلم
Maksudnya: Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Maka apakah kita masih mampu berdiam diri melihat saudara kita di Gaza kelaparan tanpa makanan, kehausan tanpa air, kesakitan tanpa ubat, bahkan dinafikan hak untuk hidup bebas? Apakah kita sanggup melihat anak-anak di Gaza mengutip sisa makanan di atas tanah untuk dijadikan alas perut? Apakah kita sanggup membiarkan misi kemanusiaan yang murni ini digagalkan oleh keangkuhan kuasa zalim Zionis? Maka dalam menyokong misi kemanusiaan ini, kita dituntut; [1] kita hendaklah menyatakan dengan jelas dan terbuka solidariti bersama Gaza serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada Misi Sumud Flotilla Global yang membawa harapan buat mereka yang terzalimi. [2] kita hendaklah menyokong segala usaha Kerajaan dalam misi menuntut pembebasan dan keselamatan peserta misi terutamanya dari kalangan rakyat Malaysia. Kita juga menuntut agar jaminan laluan selamat pergi dan balik bagi sumud flotilla, supaya bantuan dapat sampai tanpa sebarang sekatan.
[3] Hulurkanlah segala yang termampu baik wang ringgit, doa, dan sokongan moral buat para sukarelawan flotilla serta rakyat Gaza yang berjuang mempertahankan maruah mereka. Dan [4], didiklah generasi muda kita bahawa membela Palestin bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi sebahagian daripada perjuangan umat Islam yang tidak akan pernah terhenti hingga ke hari kiamat. Sesungguhnya, inilah amanah iman dan bukti cinta kita kepada Masjid al-Aqsa
Firman Allah dalam ayat 129 surah Ali Imran :
وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ١٣٩وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan