Jumaat, 5 April 2024
Khutbah Jumaat : Kalimah Allah DiJulang, Al-Quran DiPerjuang, Palestin DiDaulatkan
الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua
Syukur kita panjatkan ke hadhrat Allah atas nikmat Ramadhan di mana beberapa hari lagi kita akan mula memasuki 10 malam terakhir di mana salah satu malamnya ada lailatul Qadar di mana kelebihannya lebih baik dari 1000 bulan. Oleh itu marilah sama-sama kita berlumba dalam merebut kesempatan ini dengan amalan soleh dan memohon keampunan dari Allah.
Ramadhan dan al-Quran tidak dapat dipisahkan maka beigitulah juga dengan diri kita jangan pisahkan daripada al-Quran Para ulama’ meriwayatkan bahawa al-Quran itu diturunkan secara keseluruhannya dari Lauh Mahfuz ke kawasan Bait al-‘Izzah di langit dunia. Kemudian, ia diwahyukan sedikit demi sedikit dalam tempoh masa 23 tahun bagi menyatakan ajaran Islam yang sempurna dalam perkara aqidah, syariat dan akhlak, serta menyatakan hukum, jawapan kepada sebab yang berlaku, soalan, ilmu kejadian alam, cerita yang diambil iktibar, berita akhirat dan perkara alam ghaib dan lain-lain. Adapun kitab suci para rasul terdahulu, ia diturunkan sepenuhnya sekali gus.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 23-24:
﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤﴾
“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), cubalah reka satu surah (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. Maka, jika kamu tidak dapat merekanya, dan pasti kamu tidak akan dapat merekanya, maka peliharalah dirimu daripada neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir. ”
Al-Quran ialah mukjizat ilmu yang diberikan kepada Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW secara berperingkat. Perkara ini berbeza dengan mukjizat para rasul sebelumnya mengikut zaman masing-masing yang diwahyukan sepenuhnya sekali gus.
Al-Quran menyatakan petunjuk semua ilmu yang berkait dengan seluruh ajaran Islam yang sempurna, berkenaan urusan dunia dan akhirat, alam nyata dan alam ghaib, hubungan manusia dengan Allah, dirinya sendiri, jasad, roh, akal, keluarga dan masyarakat. Turut dinyatakan ilmu agama dalam urusan ibadat, dan ajaran agama dalam urusan mentadbir dunia dengan agama, dalam aspek politik negara, ekonomi dan semua urusan kehidupan dan hubungannya dengan semua keperluan. Termasuklah sains dan teknologi dalam segala jurusannya mulai aspek alam sekitar dunia sehingga ke angkasa lepas dan alam ghaib yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia, sehinggalah ilmu sihir yang diharamkan.
Kesempurnaan al-Quran dan kehebatan ilmunya tidak mampu dicapai oleh manusia kerana al-Quran berasal daripada ilmu Allah Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan. Seterusnya, inti pati al-Quran itu dilaksanakan melalui hikmah rasul pilihan Allah.
Semua ilmuwan dalam segala lapangan yang mengkaji al-Quran dengan ikhlas, akhirnya menyerah diri dan mengakui kebenarannya. Termasuk kalangan mereka yang menyanggah kebenaran al-Quran pada awalnya, akhirnya mengaku mereka tersalah dan al-Quran adalah jawapan yang betul. Namun, hanya yang mendapat hidayah sahaja akan menyerah diri secara iman dan Islam.
Allah menceritakan betapa para malaikat yang suci dan mulia itu tunduk serta patuh kepada ilmu Allah serta menerimanya, apabila makhluk manusia itu ditetapkan peranan untuk mentadbir dunia bersama Kitab-Nya.
Antara ilmu yang dikurniakan oleh Allah ialah ilmu wahyu. Hanya makhluk perosak alam yang bernama Iblis dan pengikutnya sahaja yang menolak ilmu Allah disebabkan sifat takbur dalam dirinya
Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 108 surah al-An’am:
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٠٨﴾
Maksudnya : Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Malaysia dikejutkan dengan insiden penjualan stokin yang dicetak dengan nama Allah di salah sebuah rangkaian kedai serbaneka beberapa hari yang lalu, menyebabkan pelbagai pihak tampil memberikan pandangan dalam versi pelbagai.
Isu utama yang menjadi bahan sensitif dalam perkara ini adalah berkait dengan kedudukan nama Allah SWT yang diletakkan pada tempat yang bukan sepatutnya. Hakikatnya nama Allah SWT tidak layak sama sekali diletakkan di kaki termasuk cetakan di stokin yang secara urufnya adalah sarung yang dipakaikan di kaki. Oleh itu kita mengajak semua pihak membuka mata terhadap isu penghinaan terhadap Islam atau mana-mana agama yang boleh merencatkan keharmonian masyarakat Malaysia. Tidak boleh mana-mana pihak menghina atau menyentuh soal agama dengan tujuan yang salah. Kita menyokong penuh gesaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong supaya mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.Kes ini masih dalam perbicaraan di mahkamah di mana kita berharap agar suatu hukuman keras dijatuhkan kepada pihak yang bersalah bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang
Masalah penghinaan terhadap agama membayangkan krisis dalaman yang menimpa manusia hari ini kesan daripada pembaratan dan pensekularan. Ia tidak boleh diatasi semata-mata dengan cara undang-undang tanpa memahami akar umbi masalah.
Dalam soal ini kaum Muslimin mempunyai tugas yang amat besar, bukan sekadar dengan menunjukkan bantahan dan kemarahan terhadap penghinaan yang dilemparkan terhadap Islam, tetapi yang lebih utama adalah dengan menunjukkan jalan keluar daripada krisis itu. Umat manusia pada hari ini sedang menderita akibat daripada keraguan terhadap makna diri dan nasib akhir. Apa yang mereka tidak miliki itu ialah keimanan yang memberikan keamanan kepada diri, dan keamanan itu tidak mungkin tercapai oleh jiwa yang ragu-ragu dan keluh-kesah mengenangkan nasib yang tidak pasti. Yang mereka perlukan adalah ilmu yang berpunca daripada petunjuk dan hidayat Allah SWT. Ilmu itulah yang telah mereka nafikan kerana terpedaya dengan falsafah ilmu sekular, dan akibatnya mereka turut menderita kekosongan jiwa kerana tiada keyakinan.
Maka perjuangan sebenar bagi membela Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada manusia adalah perjuangan yang diasaskan kepada ilmu dan keyakinan. Manusia yang selama ini sudah hilang keyakinan terhadap agama kerana dakyah kebudayaan Barat, mesti diyakinkan semula bahawa ilmu dan keyakinan dapat dicapai olehnya, dan hanya dengan itu kesejahteraan dapat dicapai.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٣٥﴾
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
Sempena berada di bulan Ramadhan ini juga marilah kita sama-sama terus membantu saudara kita di Palestin dalam berdepan dengan kekejaman zionis Yahudi dan sekutu pengganasnya dalam membunuh rakyat yang tidak berdosa yang kini lebih 32 ribu terkorban dari kalangan kanak-kanak dan orang awam.
Perkembangan terkini dan lulusnya resolusi gencatan senjata penuh oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC) beberapa hari lepas, menyokong bahawa sememangnya Is ra el sedang dan menuju kepada ‘keterpencilan’ dan fasa fasa kejatuhannya telah bermula. Daripada 15 anggota UNSC, 14 mengundi menyokong draf resolusi gencatan senjata yang menghendaki Is ra el menghentikan serangan sepenuhnya ke atas Ga za dan dibebaskan tawanan Is ra el yang berada di tangan Ha mas. Manakala Amerika Syarikat (AS) mengundi untuk berkecuali. Negara yang menyokong termasuklah 4 lagi kuasa veto iaitu Britain, Perancis, China dan Russia. Kuasa-kusa Barat dan sekutu Is ra el ini terpaksa menuruti arus dunia dan arus majoriti rakyat mereka sendiri kerana bimbang hilangnya rasa hormat dunia kepada mereka walaupun mereka mengaut keuntungan besar dengan menjual senjata kepada Is ra el.
Penurunan drastik nilai dagangan antarabangsa disebabkan tindakan Hou thi di Yaman yang tidak henti henti melakukan serangan terhadap kapal-kapal yang berurusan dengan Is ra el. Dalam masa yang sama di Ga za, berlaku kejutan di sebalik Is ra el berdegardegar hendak menyerang Rafah yang kononnya kubu terakhir Ha mas, tiba tiba muncul ‘gerombolan besar’ Ha mas di Ga za City yang memulakan kembali serangan terhadap tentera Zi onis yang mengepung ketat Ga za City sejak 4 bulan lalu.
Teruskan berdoa keselamatan dan kemenangan buat umat Islam dan kehancuran buat pengganas. Jadikah roh Ramadhan sebagai semangat dalam mencapai kemenangan. Tiada erti kekalahan dalam memperjuangkan Islam. Kemenangan atau syahid menunggu kita
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan