Ahad, 7 April 2024

Khutbah Aidil Fitri 1445H/ 2024M

KHUTBAH AIDIL FITRI 1445H/2024M KHUTBAH PERTAMA اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ .... فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ Firman Allah dalam ayat 134-135 surah Ali Imran : الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ‎﴿١٣٤﴾‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ ‎﴿١٣٥﴾‏ Maksudnya : Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;  Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).  اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Syukur kita panjatkan ke hadhrat Allah atas nikmat hari raya bersempena meraikan kemenangan berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan. Selama sebulan ditarbiah roh, jasad dan akal supaya tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Marilah kita sama-sama bermuhasabah apakah dengan menjalani ibadah puasa sebulan itu kita dapat merasai kesan tarbiahnya? Jika kita dapat merasai kesannya, apakah pula kesannya itu?. Pastikan kita mendapat petunjuk prestasi utama (KPI) hasil daripada tarbiah Ramadan yang diterima terutama memiliki sifat taqwa 5 ciri-ciri orang yang bertakwa sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 134-135 iaitu : [1] Menafkahkan sebahagian harta di mana bukan sahaja mengeluarkan zakat malah ditambah dengan sedekah hingga hilang sifat kedekut dan bakhil. [2] Menahan amarah dengan tetap menguasai diri di kala marah sedang memuncak. [3] Mudah memberi kemaafan kepada orang yang berbuat salah dengannya hilang sifat dendam [4] Sentiasa mengerjakan kebaikan dengan meninggal maksiat dan perkara yang merosakkan  [5] Bersegera memohon ampun dan istighfar atas kesalahan dosa yang dilakukan Muslimin dan muslimat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am: فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ ‎﴿٤٤﴾‏ Maksudnya : Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan) Ketika bergembira menyambut hari lebaran ini maka jangan lupa untuk kita bermuhasabah diri tentang nikmat hari raya ini sendiri, harta, pangkat dan kesihatan yang dimiliki samada semua ini adalah kurniaan Allah atau merupakan perangkap berbentuk istidraj. Kurniaan Allah biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan Solat Dhuha, kemudian Allah melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu kita namakan sebagai kurniaan atau karamah. Manakala orang yang tidak mengerjakan sembahyang lima waktu, berterusan melakukan maksiat dan derhaka kepada-Nya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj. Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda: إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ - رواه أحمد والبيهقي والطبراني Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.” Ibnu ‘Athoillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah , sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya kerana dibimbangi ianya merupakan istidraj atau tipudaya yang merbahaya اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ Daripada Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَنْ قَالَ: رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلاَمِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولاً، وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ- رواه مسلم وأبو دأود والنسائي Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan “Aku redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul,” pasti dia mendapat syurga. Kita dianjurkan untuk membaca doa ini setiap hari di mana antara tujuannya sebagai ikrar yang menyatakan keimanan kepada Allah dan rasulNya serta merasa syukur dan berbangga dengan Islam sebagai cara hidup. Islam adalah ajaran yang lengkap mengandungi elemen akidah, syariah dan akhlak islamiah yang meliputi seluruh aspek rohaniah ataupun material. Umat Islam mempunyai kedua-dua dorongan untuk maju ke hadapan iaitu : [1] dorongan fitrah tabi’enya sebagai manusia. [2] dorongan agama Islam yang dinamik yang menjadi keyakinannya. Sepatutnya umat Islam lebih maju dalam soal duniawi dan ukhrawi kerana mereka mempunyai 2 dorongan berbanding satu dorongan sahaja pada orang bukan Islam. Tetapi anehnya mengapa hal sebaliknya berlaku? . Ini disebabkan Muslim tidak lagi mempertajamkan, menyuburkan dan menyemarakkan 2 dorongan yang ada dalam dirinya sehingga tidak memberi kesan yang jelas dalam usaha membangunkan kehidupan dunianya. Fitrah hendak maju pun tidak kuat, roh keislamannya yang mendorong untuk maju pun tidak kuat menyebabkan umat Islam bersikap ‘cukup makan’ atau ‘sambil lewa’ dalam memburu kemajuan duniawi yang ada kaitannya dengan kemajuan akhirat itu. Tokoh Pemikir Muslim Dr. Muhammad Imarah ketika menjawab pertanyaan berbentuk sindiran tentang usaha dalam menerapkan Syariat Islam akan menyebabkan umat jadi mundur maka dijawab bahawa Islam pernah menguasai separuh dunia selama 500 tahun bermula penguasaannya zaman Sayyidina Umar diteruskan oleh Dinasti Dinasti Umayyah dan Abbasiyyah. Abdurrahman ad-Dakhil bersama pasukannya berhasil menguasai Itali dan Perancis di mana seorang tokoh barat menyatakan kebanyakan bumi Eropah tertinggal 100 tahun kemajuannya akibat kemaraan Islam tersekat di Perancis. Dalam bidang keilmuan, ketika ulama Arab seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, Ibnu Jabir, Ibnu Rusyd, Ibnu Khaldun dan lainnya mengajarkan dunia Arab dan dunia barat tentang ilmu kedoktoran, matematik dan sebagainya ketika barat masih mundur. Malah muslimin membangun universiti pertama di Sepanyol yang menggemparkan Eropah kala itu. Sejak itu juga, pakaian jubah longgar besar dari Arab itu menjadi pakaian rasmi untuk majlis konvokesyen Unversiti hingga hari ini. Islam agama pembawa kemajuan bila ia dilaksanakan dalam kehidupan. Bila umat Islam sendiri meninggalkan cara hidup Islam maka mereka mundur di negara sendiri اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ Firman Allah dalam ayat 108 surah Ali Imran: وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ‎﴿١٠٨﴾ Maksudnya : Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. Keadaan Ramadhan tahun ini bukan sahaja dalam cuaca panas malah banyak isu panas berkaitan agama berlaku termasuk penghinaan nama Allah di stokin diikuti beberapa tulisan di media sosial seperti mengajak berbuka puasa dengan daging khinzir dan sebagainya. Sebagai umat beriman sepastinya kita bangkit menentang kebiadapan ini dengan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada pesalahnya bukan menyerang secara melulu. Kita perlu jauhi sikap yang terlalu liberal hingga ´mencairkan´ prinsip-prinsip teras agama yang seharusnya tidak boleh digolok-gadai sehingga hampir-hampir tidak mempunyai prinsip dan rela berbuat apa sahaja atas alasan kesederhanaan, perpaduan dan Islam menerima perubahan ikut keadaan dan suasana semasa. Sedangkan, hakikat sebenarnya, golongan terlalu liberal telah ´hanyut´ dalam sistem nilai dan penjajahan bentuk baru musuh-musuh Islam. Kita turut mendesak agar ditarik balik kenyataan media Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) bahawa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah di Mahkamah Syariah ‘akan menjadi tidak berperlembagaan’. KIta minta mereka tidak mencampuri urusan, hal ehwal dan pentadbiran agama Islam sesuai dengan kedudukan khas serta istimewanya sebagai Agama Persekutuan. KIta sepatutnya mencontohi Kerajaan Brunei yang menjadikan enakmen syariah negeri Kelantan antara rujukan sebelum melaksanakan perundangan Islam di negara tersebut dengan memastikan sebarang pertindihan antara sivil dan syariah maka dicari jalan bagi memboleh enakmen syariah dilaksanakan tanpa disekat oleh undang sivil. KIta tidak mahu berulang lagi kes pembatalan enakmen syariah atas alasan bertindan dengan undang sivil di negara kita sehingga pihak tertentu terus menggunakan alasan ini dalam membatalkan enakmen syariah. Sebenarnya pelaksanaan enakmen syariah ini walau pun dikatakan telah ada di mahkamah sivil telah lama berjalan lancar sehingga ada pihak yang mempertikainya. Malah jika kita berdiam diri maka enakmen syariah yang dibatalkan dalam kes Nik Elin baru ini akan menguburkan enakmen di negeri-negeri lain. Oleh itu pelu ada pindaan perlembagaan dalam memastikan kuasa Mahkamah Syariah semakin kuat bukan semakin lemah. Jika penjajah telah menghancurkan perundangan Islam maka kita zaman merdeka sepatutnya mengembalikan semula kehebatan Islam bukan menguburkan perundangan Islam. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن KHUTBAH KEDUA اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .أَمَّا بَعْدُ..فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ Firman Allah dalam ayat 4 surah al-Isra’: وَقَضَيْنَا إِلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا ‎﴿٤﴾‏ Maksudnya : Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, Sempena berada di bulan Syawal ini juga marilah kita sama-sama terus membantu saudara kita di Palestin dalam berdepan dengan kekejaman zionis Yahudi dan sekutu pengganasnya dalam membunuh rakyat yang tidak berdosa yang kini lebih 33 ribu terkorban dari kalangan kanak-kanak dan orang awam. Sejarah mencatatkan bagaimana permusuhan ketat Yahudi terhadap Islam telah menyaksikan pada tanggal 3 Mac 1924M bersamaan 27 Rejab 1342H merupakan tarikh hitam dalam sejarah Islam dengan berakhirnya Khilafah Uthmaniyyah, Turki yang menaungi umat Islam selama ini. Kini 100 tahun ia berlalu samada kita ambil peduli atau pun tidak menghiraukannya. Antara faktor luaran kejatuhan khilafah Islam terakhir ini ialah sikap Yahudi zionis dari dulu sampai sekarang memainkan peranan sangat konsisten dalam melemahkan umat Islam. Episod ini hampir ke kemuncak apabila berlaku persidangan Yahudi Antarabangsa pada 1897 untuk merampas Palestin namun batu penghalangnya ialah Kerajaan Uthmaniah terutamanya Sultan Abdul Hamid II. Pada mulanya yahudi meminta untuk diberikan secara percuma bumi Palestin untuk menjadi Negara yahudi namun ditolak. Akhirnya setelah ditubuh Kesatuan Zionis Sedunia maka sekali lagi yahudi menemui Sultan Abdul Hamid II dengan cara mahu membayar sebanyak 150 juta pound sterling emas disamping melangsai hutang Khilafah Uthamniah namun tetap ditolak dengan katanya: “Seandainya kalian membayar dengan seluruh isi bumi ini, aku tidak akan menyerah walau sejengkal bumi Palestin yang merupakan tanah wakaf milik seluruh umat Islam”.   Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah, Perkembangan terkini dengan lulusnya resolusi gencatan senjata penuh oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC) minggu lepas,  menyokong bahawa sememangnya Is ra el sedang dan menuju kepada ‘keterpencilan’ dan fasa fasa kejatuhannya telah bermula. Daripada 15 anggota UNSC, 14 mengundi menyokong draf resolusi gencatan senjata yang menghendaki Is ra el menghentikan serangan sepenuhnya ke atas Ga za dan dibebaskan tawanan Is ra el yang berada di tangan Ha mas. Manakala Amerika Syarikat (AS) mengundi untuk berkecuali. Negara yang menyokong termasuklah 4 lagi kuasa veto iaitu Britain, Perancis, China dan Russia. Kuasa-kusa Barat dan sekutu Is ra el ini terpaksa menuruti arus dunia dan arus majoriti rakyat mereka sendiri kerana bimbang hilangnya rasa hormat dunia kepada mereka walaupun mereka mengaut keuntungan besar dengan menjual senjata kepada Is ra el. Penurunan drastik nilai dagangan antarabangsa disebabkan tindakan Houthi di Yaman yang tidak henti henti melakukan serangan terhadap kapal-kapal yang berurusan dengan Is ra el. Dalam masa yang sama di Gaza, berlaku kejutan di sebalik Is ra el berdegar-degar hendak menyerang Rafah yang kononnya kubu terakhir Hamas, tiba tiba muncul ‘gerombolan besar’ Hamas di Ga za City yang memulakan kembali serangan terhadap tentera Zionis yang mengepung ketat Gaza City sejak 4 bulan lalu. Teruskan berdoa keselamatan dan kemenangan buat umat Islam dan kehancuran buat pengganas. Jadikah ruh Ramadhan dan Syawal sebagai semangat dalam mencapai kemenangan. Tiada erti kekalahan dalam memperjuangkan Islam. Kemenangan atau syahid menunggu perjuangan mulia ini اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ Selamat hari raya Aidil Fitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Banyakkan bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan ziarahilah sanak saudara pada hari yang mulia ini bagi merapatkan lagi tali persaudaraan. Tidak lupa untuk berpuasa sunat 6 hari dibulan Syawal مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ ( رواه مسلم ) Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun. اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيْ الحَاجَاتِ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا المُسْلِمِيْنَ فِى فَلَسْطِين وَفِى سوريا وفي يَمَن وَفِى كُلّ َمَكَانٍ. اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِي سَبِيْلِكَ فِي كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ. اللّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُوْرِأَعْدَائِنَا وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ, اللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَقِلَّ عَدَدَهُمْ وَسِلاحَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاِبكَ يَاقَهَّارُ يَاجَبَّارُ يَامُنْتَقِمُ,اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ, Ya Allah, kami letakkan Kamu di batang leher musuh-musuh kami dan kami berlindung denganmu dari kejahatan mereka,Ya Allah hancurkan kumpulan mereka,Ya Allah pecahkan pakatan mereka,Ya Allah leburkan pendirian mereka,Ya Allah musnahkan langkah mereka,Cengkamkan anjing-anjingmu kepada mereka,Ya Allah yang Maha Memaksa,Ya Allah yang Maha Perkasa,Ya Allah yang Maha Membalas,Ya Allahu, Ya Allahu, Ya Allah,Yang turunkan kitab,Yang gerakkan awan,Yang tewaskan tentera Ahzab,Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka dan berilah kemenangan untuk kami. اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَحْزَابِ المُشْرِكِيْنَ الطَّاغِيْنَ الظَّالِمِيْنَ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ دَمِّرْهُمْ تَدْمِيْرًا وَ تَبِّرْهُمْ تَتْبِيْرًا وَاجْعَلْهُمْ هَبَاءً مَنْثُوْرًا اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللَّهُمَّ إِنِّا نعُوذُبِكَ مِنْ البَرَصِ، وَالجُنُونِ، وَالجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَامِ Ya Muqallibal Quluub, Teguhkan hati kami dalam agama Islam dan janganlah kau tarik nikmat Islam di dalam hidup kami. Sebagaimana Engkau kumpulkan kami pada hari raya ini maka kumpulkanlah kami untuk kebahagiaan yang berkekalan dalam SyurgaMu di akirat nanti .اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَزَكَاتَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan