Jumaat, 5 April 2024
Khutbah Jumaat : Ramadhan DiMartabat Islam DiNobat, Palestin DiDaulat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Kini kita berada pada hari-hari terakhir bulan Sya’aban 1445H di mana kita bakal menyambut kedatangan Ramadhan beberapa hari lagi. Antara amalan terbaik untuk kita sama-sama contohi para salafussoleh ketika berada diambang Ramadhan ialah [1] kita berdoa kepada Allah supaya kita diberikan kebarkatan, keimanan, keselamatan untuk kita menjadi benar-benar mampu untuk menempuhi Ramadhan dengan segala amal ibadah
Daripada Talhah bin Ubaidillah RA, Rasulullah ﷺ berdoa apabila melihat anak bulan Ramadhan.
اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ – رواه أحمد
Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”
Begitu juga dikatakan ramai di kalangan salaf al-soleh berdoa untuk mendapatkan Ramadhan supaya diisi dengan pelbagai amalan yang soleh. Antara doa mereka ialah:
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا – رواه الطبراني
Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”
Maal bin Fadhl menceritakan dalam kitab Lataif al-Maarif mengenai tentang orang-orang soleh pada zaman dahulu melakukan persediaan awal sebelum Ramadan dengan berdoa. Mereka memohon kepada Allah SWT enam bulan lebih awal supaya Allah sampaikan mereka ke dalam bulan Ramadan dalam keadaan yang paling terbaik dari segi rohani (iman) dan jasmani (kesihatan fizikal). Mereka turut meminta supaya Allah memberi pertolongan kepada mereka untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Malah, mereka berdoa pula selama enam bulan selepas itu supaya Allah menerima segala amalan yang sudah dilakukan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Amalan ke-[2] ketika berada diambang Ramadhan ialah Hendaklah kita merasa gembira dengan Ramadhan yang bakal menjelma dengan tawaran Allah yang istimewa dan lumayan. Sebaliknya golongan munafiq pula merasa gelisah, buntu dengan Ramadhan. Maka benarlah sabda Nabi ﷺ :
أَظَلَّكُمْ شَهْرُكُمْ هَذَا بِمَحْلُوفِ رَسُولِ اللهِ، مَا مَرَّ بِالْمُؤْمِنِينَ شَهْرٌ خَيْرٌ لَهُمْ مِنْهُ، وَلَا بِالْمُنَافِقِينَ شَهْرٌ شَرٌّ لَهُمْ مِنْهُ، إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَكْتُبُ أَجْرَهُ وَنَوَافِلَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ، وَيَكْتُبُ إِصْرَهُ وَشَقَاءَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ- رواه أحمد
Maksudnya: “Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadhan ini dengan Rasulullah ﷺ bersumpah: “Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadhan dan tidaklah kepada munafiq itu lebih teruk daripada bulan Ramadhan. Sesungguhnya Allah ﷻ menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadhan.”
Rata-rata umat Islam pada hari ini lebih fokus kepada ‘sambutan’ berbanding ‘persediaan’. Masjid-masjid mula dihiasi dengan lampu berwarna-warni, kain rentang sambutan dengan pelbagai ucapan mula dilihat bergantungan dan seperti tahun-tahun sebelumnya di Malaysia, tapak bazar akan disediakan di seluruh pelusuk negeri. Tidak ketinggalan restoran ternama dan hotel bertaraf antarabangsa akan mula mempromosikan program berbuka puasa dengan pelbagai tawaran istimewa. Televisyen dan radio turut memainkan peranan mereka dalam membuat hebahan dan menyusun siaran.
Tiada langsung salahnya perkara ini dilakukan. Ia mungkin diadakan dengan niat untuk menyemarakkan rasa gembira dan menghangatkan suasana bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia. Bagaimanapun, ia seharusnya tidak melalaikan kita untuk melakukan perancangan dan persediaan kendiri yang rapi supaya keberkatan yang dibawa oleh bulan Ramadan dapat digarap dengan sebaiknya dan tidak disia-siakan begitu sahaja sehingga rugi dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ …..
Maksudnya : Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah
Amalan ke-[3] sesuai dengan Syarat utama puasa diterima adalah seseorang itu mesti beriman kemudian diiringi dengan mengharap balasan baik daripada Allah. Pengharapan terbina atas dasar iman dan ilmu. Iman manusia sudah tentu ada turun dan naiknya. Maka, persiapan iman sebelum masuk ke bulan Ramadan adalah amat penting dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Iman yang benar perlu kepada ilmu yang benar. Oleh yang demikian, ini adalah waktu yang terbaik untuk kita mempelajari dan mengulangkaji semula hukum-hukum mengenai amalan ibadah di bulan Ramadan. Wajib bagi setiap mukmin itu melakukan ibadah dengan berlandaskan ilmu yang betul, bukan sekadar ikutan. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadan tiba supaya puasa kita benar-benar diterima dan mendapat ganjaran oleh Allah
Amalan ke-[4] berusaha memperbetul bacaan al-Quran, usaha untuk memperbaiki bacaan seharusnya sudah dilakukan sebelum kedatangan Ramadan kerana bulan Ramadan adalah bulan untuk kita pecut selajunya.
Amalan ke-[5] Seiring dengan persiapan fizikal dan tubuh badan, kita juga perlu mempersiapkan mental dan rohani kita bagi menghadapi Ramadan. Melakukan pembacaan mengenai teknik penyucian jiwa dan menghadiri majlis ilmu yang membincang perkara ini akan membantu kita bersiap siaga untuk melaksanakan ketaatan sepanjang bulan Ramadan.
Sebagai kesimpulan, mari sama-sama kita merancang agenda persiapan dan aktiviti ibadah kita sebelum dan sepanjang Ramadan supaya kita dapat memanfaatkan sebanyak mungkin masa kita di bulan Ramadan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 178 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ ۚ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ ۗ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿١٧٨﴾
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya
Sekiranya kita boleh menerima kewajipan berpuasa melalui firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah maka begitulah kita wajib menerima kewajipan dalam melaksanakan undang-undang Islam termasuk qisas sebagaimana firman Allah dalam ayat sebelumnya iaitu 178 surah al-Baqarah. Kita wajib memerdekakan minda, jiwa dan kehidupan kita daripada belenggu penjajahan. Kita telah dibekalkan oleh penjajah dengan perlembagaan yang memiliki banyak bom jangka sebagaimana yang telah digubal oleh Suruhanjaya Reid. Perlembagaan itu dibentuk oleh penjajah ketika memberikan kemerdekaan yang tidak sempurna, yang tersurat dengan perkara-perkara yang masih menjajah fikiran kita bagi menyesatkan kita daripada Islam. Sepatutnya, kita tidak membaca perlembagaan yang disediakan itu sehingga terikat dan dikongkong dengan perkara yang tersurat sahaja. Gunakanlah kebijaksanaan untuk memahami perkara yang tersirat menjadi aqidah dan iman kita dengan mentafsirkan perlembagaan atau menggunakan hak memindanya ke jalan yang betul mengikut petunjuk Allah secara istiqamah. Tidakkah sudah banyak perkara yang telah dipinda dalam perlembagaan tersebut.
Ada kalangan yang memberikan alasan bahawa kita telah dibenarkan melaksanakan hukum takzir yang menjadi sebahagian daripada hukum Islam. Benarkah begitu? . Hukum takzir ialah mata rantai yang tidak putus daripada hukum Islam, bukan hukum yang diambil semena-mena di tengah jalan. Hukum takzir ialah hukum Allah yang disertakan dengan hukum qisas dan hudud dalam kesalahan tertentu sahaja, dengan syarat-syarat yang ketat dan hukuman yang keras.
Apabila tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka barulah dibawa kepada hukum takzir dalam perkara yang luas lapangannya dan banyak pilihannya dengan syarat, rukun, dan adab Islam yang menjadi roh kepada syariat Islam yang tidak boleh disamakan dengan undang-undang sivil. Maka, undang-undang sivil gagal mencegah kemungkaran, walaupun hukumannya lebih keras daripada qisas dan hudud.
Semua hukum syariat ialah berkaitan dengan maqasid al-syari‘ah bagi memelihara rukun hidup manusia mengikut ketetapan Allah, iaitu menjaga agama, akal, nyawa, maruah, keturunan, dan harta. Perkara ini tidak dipedulikan secara sistematik dalam undang-undang sivil. Hakikatnya, mereka membuang undang-undang Allah lalu diganti dengan undang-undang ciptaan manusia yang berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian, bagi membebaskan kalangan pemimpin dan bangsawan mereka untuk mengerjakan maksiat. Oleh itu yakinlah kita sebagaimana kewajipan puasa adalah untuk kebaikan kita maka begitulah perundangan Islam untuk kebaikan kita dunia dan akhirat
Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٣٥﴾
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
Sempena berada diambang Ramadhan juga marilah kita sama-sama terus membantu saudara kita di Palestin dalam berdepan dengan kekejaman zionis Yahudi dan sekutu pengganasnya dalam membunuh rakyat yang tidak berdosa yang kini lebih 30 ribu terkorban dari kalangan kanak-kanak dan orang awam. Doakan keselematan dan kemenangan buat umat Islam dan kehancuran buat pengganas. Jadikah roh Ramadhan sebagai semangat dalam mencapai kemenangan. Tiada erti kekalahan dalam memperjuangkan Islam. Kemenangan atau syahid menunggu kita
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan