Jumaat, 19 April 2013
Kepimpinan Islam DiPilih Kezaliman Jahiliah DiSisih
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Kepimpinan dan pembinaan tamadun merupakan suatu yang berkait rapat antara satu sama lain. Bila kita membaca sejarah sesuatu kerajaan maka topik utama perbincangan banyak berkisar tentang pemimpin, corak pemerintahan dan kejayaan atau kegagalannya dalam membina tamadun. Oleh itu Islam begitu mengambil berat tentang masalah kepimpinan dan cara pembinaan tamadun agar selari dengan kehendak syarak. Islam bukan hanya mahu tamadun kebendaan sahaja ditegakkan sedangkan tamadun rohani dipinggirkan. Umat Islam sentiasa diperingatkan tentang ikatan antara kebahagiaan dunia akhirat, dosa pahala, Syurga Neraka agar kita sentiasa memastikan setiap tindakan kita termasuk dalam memilih pemimpin dan pembinaan tamadun mesti mengikut kehendak wahyu bukan tunduk kepada hawa nafsu. Dunia diberi oleh Allah kepada sesiapa yang mencintai Allah dan memusuhiNya sedangkan agama hanya dianugerahkan kepada hamba Allah yang mencintai Allah. Oleh itu kita sedar bahawa tujuan kita memilih pemimpin bukan untuk mendapat habuan dunia semata-mata sebaliknya kita memilih pemimpin dari kalangan orang yang mampu membangunkan Tamadun dunia dan rohani berdasarkan agama. Tidak ada pemimpin yang mampu membina Tamadun Kebendaan dan Rohani secara serentak berdasarkan agama melainkan orang yang kenal Allah dan mencintai Allah. Antara contohnya ialah pemimpin yang mengatakan judi adalah haram maka kedai judi tidak diberikan lesen untuk beroperasi agar rakyat terjaga daripada keruntuhan akhlak. Kita tidak tertipu dengan pemimpin yang hanya berbangga kerana membuka perbankan Islam sedangkan dia sendiri begitu seronok dengan sistem riba. Kita wajib memilih pemimpin yang sentiasa berusaha dalam memberi kefahaman kepada rakyat tentang pentingnya solat 5 waktu sehingga banyak program tarbiah dilaksanakan agar rakyat betul-betul menjaga solat. Kita wajib menolak pemimpin yang hanya tahu mengeluh apabila lahirnya ramai anak zina, keruntuhan akhlak akibat hiburan melampau sedangkan pintu zina diberi lesen samada kelab malam, rancangan tv, program hiburan melampu sehingga tak cukup artis tempat maka berjuta wang dibazirkan untuk menjemput artis luar negara. Bijak mengundi bawa bahagia, Silap mengundi bawa derita dunia akhirat
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 19 surah at-Taubah :
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
Islam begitu mengambil berat tentang Syiar dan pelaksaan syariat di mana pada zaman nabi s.a.w ada sahabat yang berbangga kerana keluarganya diamanah untuk memegang anak kunci Ka’abah, ada sahabat yang lain berbangga kerana keluarga mereka berperanan besar dalam memberi minum jemaah haji lalu Sayyidina Ali bangkit menerangkan bahawa beliau antara orang yang paling awal beriman kepada Allah dan rasulNya dan banyak berjuang pada jalan Allah. Oleh itu kita bukan sahaja digalakkan untuk membina masjid tetapi apa yang paling penting dalam memperkasakan pengajian agama sehingga rakyat jelata berilmu dan semakin jinak dengan masjid. Jangan pula seronok memberitahu dunia bahawa mereka adalah golongan yang membina masjid sedangkan tangan yang sama memberi lesen untuk judi, kelab malam, kilang dan kedai arak yang berleluasa, hiburan melampau serta tempat dan aktiviti maksiat yang lain. Kita tidak mahu hanya menjadi jaguh di kaca tv dan dada akhbar dalam mempertahankan kalimah Allah sedangkan membiarkan pemimpin yang sedia ada memberi kelulusan untuk membawa masuk Bible dari Indonesia yang bertulis kalimah Allah untuk diedarkan. Kita tidak mahu manusia yang menghina hukum Allah terus membiak sehingga banyak bala Allah merebak termasuk jenayah dan video fitnah liwat dan zina dibiarkan tersebar tanpa tindakan sewajarnya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Imam Muslim meriwayat dari Abu Hurairah ra, bahwasanya Rasulullah saw bersabda:
مَنْ خَرَجَ مِنْ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ وَمَنْ خَرَجَ عَلَى أُمَّتِي يَضْرِبُ بَرَّهَا وَفَاجِرَهَا وَلَا يَتَحَاشَى مِنْ مُؤْمِنِهَا وَلَا يَفِي لِذِي عَهْدٍ عَهْدَهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ
Maksudnya : “Barangsiapa keluar dari ketaatan dan memecah belah Jama’ah, lalu dia mati, maka matinya (seperti) mati jahiliyyah. Dan barangsiapa berperang di bawah panji Assobiyah, marah kerana Assobiyah, atau menyeru kepada Assobiyah, atau menolong kerabat (dalam kezaliman), kemudian dia terbunuh, maka matinya adalah mati jahiliyyah. Dan siapa saja memerangi umatku, membunuh orang yang baik maupun orang yang buruk dari umatku, dan tidak memperhatikan orang-orang mukminnya, tidak pula memperhatikan orang yang membuat perjanjian, maka ia bukan termasuk golonganku, dan aku bukan termasuk golongannya
Rakyat ditakutkan melalui tv, radio, akhbar dan media massa yang lain bahawa bangsa Melayu akan hilang kehebatan dan kuasa jika pemimpin sekarang diubah. Sebagai rakyat yang bijak dan cerdik sepastinya kita tidak mudah tertipu dengan laungan yang tersasar daripada hakikat yang sebenar ini. Laungan kebangsaan sempit ini begitu merbahaya jika kita termakan racunnya yang berbisa sehingga Rasulullah s.a.w memberi amaran keras tentang bahaya Assobiyah. Ibnu Khaldun di dalam Al-Muqaddimah menyatakan bahawa semangat dan kekuatan bangsa boleh membantu menaikkan sesuatu bangsa kepada kemajuan dengan syarat ia mesti berteraskan Islam. Tetapi dalam masa yang sama apabila semangat kebangsaan atau kekitaan ini mula dilonggarkan daripada Islam maka ia akan menghancurkan bangsa tersebut. Ia terjadi apabila pemimpin mula merasakan kekuatannya adalah hasil sokongan yang tidak berbelah bahagi atas nama mereka sebangsa walau apa pun yang dilakukan. Akhirnya pemimpin tersebut mula terpesong dan mementingkan diri sendiri sehingga segala kemewahan negara pada mulanya dinikmati oleh seluruh bangsanya mula diperkecilkan kepada mereka yang menyokongnya sahaja sehingga mengabai dan menzalimi mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi sokongan kepadanya di atas sebab tertentu. Disebabkan perasaan tamak terus menguasai diri menyebabkan pemimpin itu mula memperkecilkan lagi pembahagian hak dan kemewahan kepada keluarga terdekat dan mereka yang menjadi pendokong kuat kepadanya walau pun bukan dari bangsanya. Tindakannya ini akhirnya menimbulkan perasaan dendam di kalangan bangsanya sendiri terutama penyokongnya yang selama ini begitu setia kepadanya akibat daripada kezaliman yang dilakukan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita mesti yakin bahawa mulianya sesuatu bangsa kerana berpegang kepada Islam dan hina serta mundurnya suatu bangsa kerana membuang Islam daripada kehidupan mereka. Ingatlah kita kepada kata-kata Sayyidina Umar yang masyhur ketika beliau berjaya membebaskan Baitul Maqdis yang berbunyi :
نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نبَتْغَيِ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ
Maksudnya : Kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Selama mana kita mencari kemuliaan dengan sesuatu yang bukan apa yang telah dimuliakan kita dengannya iaitu Islam maka kita akan dihina oleh Allah
Bangsa Melayu akan kembali perkasa dan kuat apabila kita berani membuat perubahan termasuk dalam memilih pemimpin. Kita jangan lupa kepada jenayah golongan yang mengaku memperjuangkan hak Melayu sedangkan banyak tanah rezab Melayu digadai kepada orang asing termasuk saki baki tanah milik Keretapi Tanah Melayu KTM di Singapura. Pengkhianat kepada tulisan jawi yang menyebabkan ramai yang buta al-Quran dan agama. Pengkhianat kepada pusat pengajian agama termasuk serangan besar-besaran terhadap sekolah agama rakyat SAR yang mengorbankan puluhan ribu pelajar. Menyusahkan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Azhar sehingga banyak kolej Islam ditutup dan ribuan pensyarah dan pelajar menjadi mangsa. Mengkhianat bahasa Malaysia dengan pelaksanaan pembelajaran matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa inggeris yang mengorbankan ratusan ribu anak Melayu. Ibarat kata Ibnu Khaldun bangsa yang paling bangsat ialah bangsa yang bergantung kepada bahasa penjajahnya sendiri untuk maju. Kita rakyat Kelantan yang majoritinya orang melayu dinafikan hak Royalti minya lebih 12 bilion disamping pembangunan yang lain oleh golongan yang mendakwa mereka pejuang bangsa Melayu. Jangan kerana atas alasan Melayu menyebabkan kita terus membiarkan pembaziran wang rakyat seperti kos bil elektrik dan air kediaman Perdana Menteri mencecah RM10 juta setahun manakala kos selenggara RM49 juta setahun. Jangan kerana terhutang budi dengan duit RM100, RM500 dan sebagainya menyebabkan kita terus membiarkan masalah rasuah, pecah amanah yang mendekatkan Negara kita menjadi muflis. Jangan kerana nama Melayu menyebabkan kita rela syarikat kapal terbang MAS terpaksa membeli minyak daripada Syarikat arak Filiphina di mana salah seorang ahli pengarahnya orang Melayu. Islamkan Melayu nescaya kita bahagia dunia akhirat, jangan melayukan Islam sehingga kita menderita dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan